Arkib Tag: Negeri Sembilan

Jalan Temiang-Pantai jadi ‘port’ bergambar, JPJ beri kata dua

PENGGUNA lebuh raya dinasihati tidak memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan lebuh raya Temiang-Pantai bagi tujuan bergambar.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan berkata,ia mengundang bahaya kepada si pelaku malah, berisiko kepada pengguna lebuh raya lain.

“Tindakan pemandu itu membahayakan keselamatan orang ramai dan tidak munasabah kerana ia boleh memberikan satu persepsi bahawa tempat itu adalah tempat pelancongan.

“Perlu diingat jalan raya ini digunakan untuk kenderaan dan jentera bergerak.

“Apabila mereka berhenti secara berkumpulan atau beramai-ramai ia mengganggu kelancaran trafik,” kata Hanif Yusabra Yusuf.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf. – Foto ihsan Bernama

Jalan Temiang-Pantai mulai tular di media sosial selepas ramai kalangan pemandu gemar memberhentikan kenderaan di kawasan terbabit.

Pemandu didapati bersalah boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah lalu lintas Jalan 1959.

Undang-undang tersebut memperuntukan tiada kenderaan boleh diletak di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh disiasat mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Van sekolah ‘haram’, JPJ gesa ibu bapa berwaspada

ISU pengusaha van sekolah ‘haram’ terus mendapat perhatian serius pihak berkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Terbaharu, JPJ mendedahkan wujud taktik pengusaha van sekolah tanpa lesen mengecat kenderaan mereka berwana kuning bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata, ibu bapa diharap lebih peka dalam mendapatkan perkhidmatan van sekolah bagi anak-anak mereka.

Jelasnya, van sekolah perlu mempunyai permit daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menjamin keselamatan anak-anak.

“Mereka ini mengaburi ibu bapa dengan menunjukkan van masing-masing yang dicat warna kuning itu adalah van sekolah sedangkan tiada permit.

“Dari segi hasil risikan di kawasan sekolah di sini, terdapat beberapa van haram ini yang mengambil dan menghantar pelajar di sekolah dengan jumlah yang ramai untuk mendapatkan keuntungan lebih,” katanya.

Hanif ditemui pemberita selepas Operasi Bas Sekolah Haram di Negeri Sembilan pada semalam.

Sementara itu, JPJ mendedahkan antara alasan pengusaha van sekolah tidak memohon permit adalah kerana terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi.

Pada masa, pengusaha van terbabit juga tidak perlu mengikut standard ditetapkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Berdasarkan peraturan ditetapkan kerajaan, pengusaha van dan bas sekolah perlu menghantar kenderaan mereka menjalani pemeriksaan PUSPAKOM setiap enam bulan.

Antara kesalahan sering dilakukan adalah salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada perlindungan insurans.

Mazlan: 82 peratus kenderaan Polis Kontijen Negeri Sembilan lebih usia

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan 82 peratus daripada 827 kenderaan milik Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah melebihi had usia penggunaan.

Mazlan berkata, aset berkenaan akan digantikan mengikut kemampuan bajet diperuntukkan kerajaan dari masa ke masa.

Jelasnya, kenderaan terbabit bagaimanapun masih dapat digunakan susulan penyeliaan dan penyelenggaraan mengikut jadual.

“Itu sebabnya kita masih lagi dapat menggunakan kenderaan itu, dari masa ke masa kita akan gantikan kenderaan tersebut dalammelaksanakan tanggungjawab.

“Kita yakin bahawa kenderaan yang ada di kontinjen ini masih dapat digunakan dan kita dapat selenggara dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program penyerahan kenderaan pasukan kepada ketua polis daerah dalam kontinjen Negeri Sembilan, hari ini.

Sementara itu, Mazlan memaklumkan pengurusan aset berusia itu melibatkan kos tinggi dan bukan suatu yang mudah untuk ditangani.

Sebanyak 25 kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo dan van Go Auto Higer Ace diserahkan kepada kontinjen Negeri Sembilan.

Ia adalah keseluruhan daripada 640 unit yang diedarkan di seluruh negara melibatkan kos RM108 juta bagi kegunaan penugasan anggota polis.

Rentas negeri dan daerah, berapa ‘nilai’ harga diri kita?

TULAR di media sosial perdebatan mengenai ‘status’ bandar Nilai 3 sama ada ia terletak di Negeri Sembilan atau Selangor.

Semuanya gara-gara tindakan seorang selebriti dan suaminya (cuba teka) yang terlepas dakwaan kesalahan merentas negeri baru-baru ini.

Apa yang lebih melucukan, isu ini turut ‘dibincangkan’ secara terbuka oleh menteri besar kedua-dua negeri di media sosial.

Perkara ini sudah pasti membingungkan segelintir individu yang dikategorikan sebagai ‘pembaris’.

Jangan risau, EnGear akan cuba membantu anda mencari jawapan sama ada bandar Nilai 3 terletak di Negeri Sembilan atau Selangor.

Kronologi Nilai milik Negeri Sembilan atau Selangor?

Kontroversi mula tercetus apabila sekeping foto tular di media sosial pada 2 Mei lalu menunjukkan seorang selebriti dan suaminya didakwa berada di Nilai 3.

Pasangan terbabit dikatakan berada di bandar itu bagi membeli karpet di sebuah kedai.

Susulan itu, warga maya mempersoalkan bagaimana pasangan terbabit boleh merentas negeri hanya untuk membeli karpet.

‘Menghangatkan’ lagi suasana apabila Pejabat Peguam Negara baru-baru ini tidak mengenakan tuduhan rentas negeri terhadap pasangan itu.

Jelas polis, keputusan dibuat hasil kajian dan keterangan diperoleh berhubung kes berkenaan.

Tidak terhenti di situ, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut bergurau mengenai perkara itu di media sosial.

Secara berseloroh, kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai soal ‘jual-beli’ Nilai 3 selepas Amirudin memuat naik ciapan mengenai sejarah bandar itu.

Gurauan Aminuddin dan Amirudin mendapat perhatian warga maya yang ternyata terhibur dengan seloroh kedua-dua pemimpin itu.

Ada yang kreatif sehingga menghasilkan peta menunjukkan Nilai 3 kini berada di negeri Selangor.

Apa ada dengan Nilai?

Bandar Nilai bukan sahaja terkenal dalam kalangan ‘pencinta’ karpet tetapi menjadi tumpuan sebagai pusat pengajian tinggi.

Berdasarkan kajian EnGear lakukan (di Google sahaja), Nilai merupakan bandar terletak di daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Kian membangun, bandar Nilai mempunyai beberapa kompleks membeli-belah termasuk  Nilai 3 Wholesale Centre, Nilai Square, Mydin, Tesco Hypermarket dan Giant Hypermarket.

Terdapat beberapa tempat menarik di Nilai terutama kepada individu yang gemar melakukan aktiviti konvoi sama ada bermotosikal atau berkereta.

Antara kawasan tumpuan umum adalah:-

• Dataran Nilai
• Taman Awam Nilai
• Taman Rasah Kemayan
• Hutan Lipur Lenggeng

Bagaimanapun, buat setakat ini anda dinasihati tidak melakukan aktiviti konvoi ke Nilai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anda bukan sahaja tidak dibenarkan merentas negeri malah, turut dilarang memasuki daerah lain.

Karpet merupakan antara produk yang boleh didapati di Nilai 3, Negeri Sembilan.

Larangan rentas daerah dan negeri

Umum mengetahui PKP menuntut anda tidak melakukan aktiviti rentas negeri atau daerah demi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Rentas negeri atau daerah hanya dibenarkan bagi tujuan tertentu sama ada kecemasan, bekerja, vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Jika gagal mematuhi arahan anda bukan sahaja boleh dikenakan denda malah, tidak terkecuali berdepan hukuman penjara.

Jadi, bagaimana mengelak daripada ‘terentas’ negeri atau daerah?

Mudah, ikuti tips yang kami sediakan ini:

1. Jangan keluar rumah. Amalkan kawalan kendiri.

2. Jika terpaksa keluar, pastikan terus ke tempat dituju dan jangan merayau.

3. Elak membeli barangan di daerah atau negeri lain. Contohnya anda tidak perlu ke Nilai untuk membeli karpet, cari kedai karpet berdekatan kediaman anda.

4. Gunakan aplikasi seperti Waze atau Google Map untuk mengetahui sempadan daerah dan negeri.

5. Sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa. Kini, berita hanya ‘di hujung jari’ sahaja!

Kesimpulannya, isu rentas negeri atau daerah bukan suatu yang sukar untuk difahami.

Apa yang penting adalah sejauh mana kesediaan anda mematuhi arahan pihak berkuasa demi kemakmuran bersama.

Jangan kerana sikap pentingkan diri, kita mengabaikan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pemerintah.

Tepuk dada, tanya iman.

Nota: Sah! Bandar Nilai terletak di Negeri Sembilan.

PKP: Jumlah kenderaan cuba rentas negeri tinggi, polis arah patah balik

JIKA anda berhasrat merentas negeri bagi menyambut Aidilfitri minggu ini, sila lupakan niat itu.

Ini kerana polis telah mengambil langkah mengetatkan kawalan sempadan negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bermula 12 Mei ini.

Setakat semalam, polis telah mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa laluan utama seluruh negara termasuk lorong ‘tikus’ di kawasan tertentu.

Berdasarkan statistik polis, Kelantan antara negeri tertinggi mencatatkan jumlah kenderaan diarah berpatah balik.

Terdapat kira-kira 1,426 kenderaan diarah berpatah balik membabitkan kawasan Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh.

Sementara itu, polis telah mengadakan lebih 24 SJR di Negeri Sembilan bagi memantau pergerakan orang ramai.

Memetik kenyataan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan cubaan merentas negeri.

“Saya menasihatkan supaya mereka (orang ramai) untuk tidak berbuat demikian (rentas negeri) kerana ini akan mengundang padah.

“Sekiranya mereka melanggar arahan ini tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Di Selangor, polis juga telah mengadakan lebih lima sekatan jalan raya di bawah jajaran sempadan kawasan Kuala Selangor.

SJR diadakan di kawasan mempunyai pergerakan serta kepadatan penduduk yang tinggi.

Semalam, kerajaan mengumumkan akan mengenakan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Orang ramai dinasihati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Antara SOP dikenakan termasuk hanya tiga individu dibenarkan berada dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

Jumlah itu termasuk pemandu kenderaan.

Pada masa sama, kerajaan juga tidak membenarkan aktiviti kunjungan Aidilfitri dan ziarah kubur 1 Syawal nanti.