Arkib Tag: naza

Pusat 3S Suzuki dibuka di Johor Bahru, tampilkan Lifestyle Corner pertama

NAZA Eastern Motors – pengedar tunggal kenderaan Suzuki di Malaysia – baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 3S pertama mereka di Johor, di lokasi strategik di Permas Jaya.

Ia merupakan 3S kedua di negara ini selepas bilik pameran Petaling Jaya yang dibuka pada 2021, sekaligus mengukuhkan misi dan komitmen jenama itu di Malaysia.

Pusat 3S ini mempunyai keluasan 7,252 kaki per segi, mampu memuatkan enam kereta di ruang pameran serta mempunyai kapasiti servis untuk 12 kenderaan sehari.

Bilik pameran baharu ini juga buat pertama kali diperkenalkan dengan Suzuki Lifestyle Corner, suatu ruang khas yang menawarkan pelbagai aksesori dan koleksi jenama Suzuki, kesemuanya boleh dibeli.

Serentak dengan pembukaan ini juga, Naza melancarkan Suzuki Swift Sport Silver Edition dengan keluaran terhad, berharga RM145,900.

Mohamad Irwan Shahril, Ketua Pegawai Operasi Naza Eastern Motors berkata, “Pusat 3S di Permas Jaya dijangka menjadi ‘rumah kedua’ untuk Suzuki Cars Family di Johor, membawakan suasana bilik pameran kami di Petaling Jaya.”

Naza Italia tamatkan kerjasama dengan Ferrari, berkuat kuasa April ini

SELEPAS beberapa khabar angin kebelakangan ini, kini sah bahawa Naza Italia Sdn Bhd bukan lagi pengedar eksklusif kenderaan Ferrari di Malaysia, berkuat kuasa 9 April 2023. Perkara ini juga disahkan oleh pihak Naza dalam satu kenyataan media.

“Naza Automotive telah mengkaji semula jenama di bawah kami untuk melihat kesesuaian dengan strategi perniagaan. Kami telah bersetuju untuk menamatkan kerjasama dengan Ferrari S.p.A (Ferrari) disebabkan jangkaan mereka tidak selari dengan strategi kami,” kata kenyataan itu.

“Kami akan terus membekalkan sokongan kepada Ferrari untuk peralihan perniagaan yang lancar, hingga April 2023.”

Dengan ini, berakhirlah satu era yang bermula sejak 2008. Menurut wakil Ferrari di rantau ini yang dilaporkan oleh Caricarz, kerjasama mereka dengan Naza akan berakhir secara rasmi pada 8 April 2023.

Ferrari berkata: “Dalam tempoh peralihan ini, Ferrari S.p.A akan menetapkan perkara berkaitan jualan dan selepas-jualan untuk para pelanggan sehingga kami dapat mengesahkan rakan kongsi baharu.”

Ferrari juga menegaskan komitmen mereka untuk pasaran Malaysia dan akan terus menepati permintaan serta berhubung dengan pelanggan di sini.

Pada masa ini, Naza Italia hanya mempunyai jenama Maserati selain Ferrari. Di bawah naungan Naza Automotive Group pula adalah jenama-jenama sedia ada seperti Ducati, Suzuki, dan rangkaian pengedaran Mercedes-Benz.

Mercedes CLK DTM AMG yang rare ini terjual di Malaysia, hanya 100 unit seluruh dunia!

SEBUAH Mercedes-Benz CLK DTM AMG baru-baru ini telah mendapat tuan baru setelah dijual oleh Naza Automall. Difahamkan unit itu hanya mempunyai kira-kira 90km perbatuan pada odometernya.

Untuk yang belum tahu, Mercedes CLK DTM AMG adalah antara model paling istimewa pernah dihasilkan pengeluar Jerman itu. Ia merupakan versi jalanan untuk jentera perlumbaan DTM (Deutsche Tourenwagen Masters) iaitu siri perlumbaan Touring Car popular di Eropah.

CLK DTM AMG ini dikeluarkan pada 2004 dan hanya 100 unit pernah dibina untuk seluruh dunia, menjadikan model ini sangat rare! Dari jumlah itu pula, hanya 40 unit adalah versi pemanduan stereng kanan (RHD). Agaknya berapa unit ada di Malaysia?

Sebenarnya tanpa perlu mengetahui dengan lebih mendalam, anda pasti tahu CLK DTM AMG ini satu model istimewa berdasarkan kit badannya yang sangat agresif.

Dari bampar depan dengan ruang kemasukan udara besar, gerbang roda lebar yang terkeluar dari badan, dan spoiler belakang, semuanya dibangunkan dari DTM. Dan sama seperti versi jentera lumba, kereta ini juga mendapat banyak komponen dari gentian karbon untuk luar dan dalam.

AMG mungkin terkenal dengan enjin turbonya hari ini, tetapi CLK DTM dikuasakan oleh unit 5.4-liter V8 supercharge yang menjana sekitar 580hp dan 800Nm tork.

Sudah tentu output ini disalurkan ke roda belakang, dan ia menggunakan kotak gear semi-auto 5-kelajuan, serta hadir dengan LSD (Limited-Slip Differential) dan Electronic Stability Control yang ditala semula.

Pecutan 0-100 boleh dibuat kurang dari 4 saat dan ia mampu mencapai kelajuan maksima melebihi 320km/j.

Satu fakta menarik mengenai Mercedes CLK DTM AMG juga ialah ia mempunyai kumpulan pemilik elit seperti bekas pelumba Formula Satu, Jenson Button dan Takuma Sato.

Berkenaan unit CLK DTM AMG yang dijual oleh Naza Automall ini pula, tiada sebarang harga didedahkan tapi sudah tentu harganya akan ‘keras’.

Untuk rujukan, beberapa CLK DTM AMG di luar negara pernah terjual pada harga melebihi USD200,000 (RM837,700) dan jika ditambah dengan segala cukai dan kos lain, kami yakin harganya di sini sekitar RM2 juta.

Sumber foto: Naza Automall, Carpixel, Autocar, Autoevolution