fbpx

Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancarkan – jumlah terhad, harga dari RM145,900

Suzuki Swift Sport Silver Edition 01

NAZA Eastern Motors telah melancarkan Suzuki Swift Sport Silver Edition ke pasaran tempatan. Model edisi terhad ini dilancarkan bersempena dengan pembukaan pusat 3S pertama Suzuki di Johor baru-baru ini.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Swift Sport Silver Edition tampil dalam warna Premium Metallic Silver yang diserlahkan lagi jalur perlumbaan pada bahagian hud dan sisi, perincian merah pada gril dan bampar belakang, serta rim dua tona.

 

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan kemasan gentian karbon pada cermin sisi, pemegang pintu belakang dan spoiler, serta muncung ekzos gentian karbon keluaran Akrapovic untuk bunyi yang lebih garang.

Tidak cukup dengan itu, kemasan gentian karbon turut digunakan pada panel instrumen, suis pendingin hawa dan pintu, sekali gus menaikkan lagi suasana sporty di dalam kabin.

Terdapat juga sistem infohibur Soundstream yang boleh diakses menerusi skrin sentuh berukuran 10 inci yang turut menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.

Seperti versi standard, Swift Sport Silver Edition dikuasakan oleh enjin Boosterjet 1.4-liter yang mampu menghasilkan 140 hp dan 230 Nm pada 2,500 rpm. Masih tiada pilihan transmisi manual, hanya automatik enam kelajuan dengan paddle shifter ditawarkan.

Swift Sport dibina menggunakan platform Heartect yang memfokuskan kepada keselamatan dengan bahagian underbody yang diperkukuhkan. Menurut Suzuki, model ini 80 kg lebih ringan berbanding sebelum ini, memberikannya nisbah tork-berat sebanyak 4.2 kg/Nm.

Menurut Naza Easter Motors, Swift Sport Silver Edition akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad dan hanya boleh didapati di Malaysia. Harga jualannya bermula dari RM145,900 tidak termasuk insurans.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved