Arkib Tag: MRT

GoCar letak kereta sewa di 10 stesen MRT, diskaun 50 peratus untuk fungsi Sharing

DALAM inisiatif meningkatkan kemudahan pergerakan seharian dalam Lembah Klang, GoCar Malaysia kini meluaskan ciri GoCar Sharing mereka kepada 10 stesen MRT terpilih. Ini dijangka membuatkan perkhidmatan mereka lebih mudah didapati sebagai pengangkutan alternatif.

Stesen-stesen MRT tersebut adalah Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Sri Damansara Sentral, Kepong Baru, Sungai Buloh, Jinjang, Kuchai, Universiti Putra Malaysia (UPM), Taman Equine, dan Putra Permai. Kesemua kereta juga boleh ditempah untuk perjalanan pergi dan balik (round trip).

Ini bermakna anda boleh melanggan kereta-kereta GoCar sebaik turun dari MRT, bersiar-siar, dan memulangkannya semula sebelum naik semula MRT di stesen sama.

Serentak dengan itu juga, GoCar menawarkan diskaun 50 peratus untuk semua tempahan GoCar Sharing Round Trip dengan kod promo “YAY50”. Juga tiada sebarang had perbatuan dan had diskaun maksima.

Berikut adalah senarai model dan kadar harga langganan:

Promosi ini sah untuk kenderaan GoCar terpilih, termasuk kereta elektrik (EV) kecuali Ora Good Cat. Promosi ini berlangsung dari hari ini hingga 15 Disember sahaja.

“Integrasi perkhidmatan kami dengan hab-hab transit seperti stesen MRT akan menggalakkan solusi mobiliti lebih cekap dan lancar di masa depan,” kata Wong Hoe Mun, CEO GoCar Malaysia.

Untuk menempah langganan GoCar Sharing Round Trip, muat turun aplikasi GoCar di sini.

Laluan MRT Putrajaya dibuka secara rasmi hari ini

LEMBAH Klang kini akan mempunyai laluan kedua MRT yang akan dilancarkan secara rasmi hari ini. MRT Putrajaya akan dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di depot MRT Serdang, dan akan dibuka kepada orang awam bermula jam 3 petang.

Dalam laporan pada Disember lepas, MRT Corp berkata pembinaan laluan dari stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah disiapkan.

Jajaran sepanjang 38.7km bagi Laluan Putrajaya Fasa Dua yang terdiri daripada 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.

Fasa Satu Laluan Putrajaya sepanjang 17.5km yang meliputi 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah dibuka kepada orang ramai mulai 16 Jun 2022.

Apabila Fasa Dua siap sepenuhnya nanti, penumpang akan boleh bertukar ke laluan lain sedia ada di 10 stesen pertukaran berbeza.

Stesen-stesen pertukaran tersebut adalah Kwasa Damansara (dengan Laluan MRT Kajang), Sungai Buloh (dengan KTM), Sri Damansara Timur (dengan KTM), Kampung Batu (dengan KTM), Titiwangsa (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling, KL Monorel), Ampang Park (dengan Laluan LRT Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (dengan Laluan MRT Kajang), Chan Sow Lin (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling), Sungai Besi (dengan Laluan LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (dengan Laluan ERL dan Transit KLIA).

Laluan Putrajaya akan dikendalikan menggunakan 49 set tren. Setiap set tren terdiri daripada empat buah gerabak dan boleh membawa seramai 1,200 penumpang.

Operasi tren adalah secara automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu. Terdapat juga kemudahan parkir di 15 buah stesen dengan jumlah tempat letak kereta sebanyak 5,870 petak di sepanjang jajaran.

MRT laluan Putrajaya Fasa 2 beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023

MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua akan beroperasi sepenuhnya bermula Mac, menurut Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Dalam satu kenyataan, MRT Corp berkata pembinaan laluan dari stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah disiapkan.

“Jajaran sepanjang 38.7km bagi Laluan Putrajaya Fasa Dua yang terdiri daripada 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023.”

Fasa Satu Laluan Putrajaya sepanjang 17.5km yang meliputi 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah dibuka kepada orang ramai mulai 16 Jun 2022.

Apabila Fasa Dua siap sepenuhnya nanti, penumpang akan boleh bertukar ke laluan lain sedia ada di 10 stesen pertukaran berbeza.

Stesen-stesen pertukaran tersebut adalah Kwasa Damansara (dengan Laluan MRT Kajang), Sungai Buloh (dengan KTM), Sri Damansara Timur (dengan KTM), Kampung Batu (dengan KTM), Titiwangsa (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling, KL Monorel), Ampang Park (dengan Laluan LRT Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (dengan Laluan MRT Kajang), Chan Sow Lin (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling), Sungai Besi (dengan Laluan LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (dengan Laluan ERL dan Transit KLIA).

Menurut kenyataan itu lagi, laluan Putrajaya akan dikendalikan menggunakan 49 set tren. Setiap set tren terdiri daripada empat buah gerabak dan boleh membawa seramai 1,200 penumpang.

“Operasi tren adalah secara automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu. Terdapat juga kemudahan parkir di 15 buah stesen dengan jumlah tempat letak kereta sebanyak 5,870 petak di sepanjang jajaran.”

Namun demikian, masih ada beberapa siri ujian lagi yang masih perlu dijalankan untuk memenuhi prosedur kawalan kualiti dan keselamatan.

Tarikh permulaan perkhidmatan Fasa Dua akan diumumkan sebaik sahaja proses kelulusan dimuktamadkan dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

LRT laluan Kelana Jaya beroperasi semula Isnin 14 November 2022, beri pampasan kepada pengguna

RAIL Sdn Bhd (Rapid Rail), operator perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang, akan membuka keseluruhan jajaran LRT Laluan Kelana Jaya bermula jam 6 pagi esok, bersamaan Isnin 14 November 2022.

Ini bermakna ia dibuka dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan, setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Berdasarkan analisa ke atas ujian meluas yang dijalankan pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM Thales Group, APAD telah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.

En. Mohd Azharuddin Mat Sah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad berkata kelulusan yang diberikan adalah satu berita yang amat dialu-alukan setelah sebahagian daripada LRT Laluan Kelana Jaya digantung perkhidmatannya.

“Kami berterima kasih kepada APAD dengan kelulusan yang telah diberikan untuk menyambung operasi LRT Laluan Kelana Jaya. Kini kami boleh kembali memberi perkhidmatan sebaiknya kepada seluruh warga kota.

“Pemantauan sistem akan diteruskan bagi memastikan ia kekal stabil agar perkhidmatan dapat dijalankan dengan selamat.

“Pembukaan penuh perkhidmatan lebih awal daripada jadual ini diharap dapat mengurangkan kesulitan yang telah dilalui oleh pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya.”

Pampasan kepada pengguna

Sebelum ini, pihak Rapid Rail telah mengumumkan pemberian tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

Sebahagian perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah digantung selama lima (5) hari, namun pengguna akan diberi perjalanan percuma selama tujuh (7) hari. Ini akan dilaksanakan seperti berikut:

Pengguna My50

– Pengguna akan diberi tambahan perjalanan percuma selama tujuh (7) hari apabila memperbaharui pas My50 setelah tamat tempoh. Pembaharuan boleh dilakukan bermula 21 November hingga 20 Disember 2022.

– Pengguna perlu kemana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT dan Pegawai Khidmat Pelanggan akan membuat pengesahan.

– Bagi pelanggan pas My50 yang tamat tempoh di antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November 2022, boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj. Sila pastikan sekurang-kurangnya RM5.00 nilai tersimpan dikekalkan di dalam pas.

Pengguna Kad Touch ‘n Go

– Pengguna kad Touch ‘n Go yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya boleh menggunakan kad seperti biasa tanpa sebarang caj di antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November 2022 dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.

– Sila pastikan sekurang-kurangnya RM5.00 nilai tersimpan dikekalkan di dalam kad.

Pengguna Token

– Semua pengguna yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya dari Isnin 14 November sehingga Ahad 20 November layak untuk menikmati tambang percuma.

– Pengguna perlu kemana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala, dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua diatas kesabaran anda ketika tempoh yang sangat mencabar ini,” tambah En. Azharuddin.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menghulurkan bantuan dan sokongan terutama sekali pihak Smart Selangor, MARA Liner, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga rakyat Malaysia yang telah memberi bantuan kepada penumpang-penumpang yang terjejas.”

Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya. Segala usaha akan diambil bagi memastikan gangguan seumpama ini tidak akan berulang.

Bas ekspres Rapid KL dari LRT Pasar Seni dan KLCC dihentikan mulai hari ini

PERKHIDMATAN bas ekspres Rapid KL dari stesen LRT/MRT Pasar Seni dan LRT KLCC ke luar bandar semasa waktu puncak telah ditamatkan, bermula hari ini 4 Julai.

Perkara ini diumumkan oleh Rapid KL di laman sosial mereka semalam.

Bas ekspres percuma itu telah mula beroperasi pada pertengahan Jun untuk mengurangkan kesesakan di stesen-stesen kereta api di tengah pusat bandar Kuala Lumpur pada waktu puncak lewat petang. Seminggu kemudian, ia kemudiannya ditambah untuk waktu puncak pagi juga.

Satu laluan adalah dari LRT/MRT Pasar Seni ke LRT Universiti di kawasan Kerinchi/Bangsar South. Satu lagi laluan adalah dari LRT KLCC ke LRT Wangsa Maju.

Tiada sebarang sebab diberikan di atas penamatan khidmat bas ekspres ini. Ianya untuk mengurangkan beban pada LRT semasa mula diperkenalkan.

Jadi mungkin sekarang tiada lagi keperluan untuk bas-bas ini dan LRT serta perkhidmatan bas biasa kini telah mencukupi.

Proses baik pulih LRT Kelana Jaya dijangka siap November ini, pengguna perlu bersabar – Menteri Pengangkutan

PARA pengguna transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya perlu bersabar kerana proses membaik pulih dan menyelenggara tren yang menjejaskan waktu ketibaan dijangka siap secara berperingkat November ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, “Sepanjang tempoh tersebut, tempoh frekuensi menunggu LRT telah bertambah daripada tiga minit kepada lima minit dan kini lapan minit sekali gus menimbulkan kesesakan seperti mana berlaku kebelakangan ini.

“Jadi, kita memohon maaf kepada pengguna kerana ini merupakan faktor yang tidak boleh dielakkan, soal keselamatan merupakan keutamaan kita. Kalau masih gunakan, kita tidak mahu risiko tidak diingini berlaku.

“Maka, kita meletakkan dua tempoh iaitu bulan Ogos iaitu mengurangkan frekuensi kepada lima minit dan sepenuhnya pada November (tiga minit) untuk menggantikan semua alat. Seperti sedia maklum, bahawa ada sedikit kekangan dan memerlukan masa menghantar alat ganti.

“Sebab itu kita terpaksa berdepan situasi ini, ada kesulitan kepada penumpang khususnya empat stesen iaitu KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni dan KL Sentral,” katanya dalam satu sidang akhbar semalam.

Gambar oleh: Malay Mail

Beliau mengulas mengenai rungutan orang ramai khususnya warga kota yang mengalami kesesakan pengangkutan LRT ketika waktu puncak sejak kebelakangan ini.

Ka Siong menambah, pihak Rapid Rail telah menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk menuju ke destinasi dituju.

“Oleh itu, saya minta orang awam untuk bersabar sedikit dalam beberapa bulan ini kerana terpaksa buat pembaikan,” katanya.

Tambang percuma selama sebulan untuk LRT, MRT – PM

RAKYAT Malaysia akan dapat menikmati tambang percuma selama sebulan untuk semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL.

Ini merangkumi MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel dan bas RapidKL.

Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini Menteri sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu.

“Kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat,” katanya.

“Oleh itu, sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

Gambar oleh: Malay Mail

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” tambah Ismail.

Mengulas lanjut, melalui penyediaan kemudahan laluan MRT Putrajaya, Perdana Menteri berkata ia akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

“Melalui pembukaan laluan ini, kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

“Laluan ini juga dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan yang lama atau yang belum dibangunkan sebelum ini,” katanya.

MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km) meliputi 12 stesen termasuk tiga stesen yang pada asalnya sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang ini.

Kerajaan kaji caj kesesakan untuk masuk pusat bandar KL pada 2030

KENDERAAN mungkin akan dikenakan ‘bayaran kesesakan’ untuk memasuki pusat bandar Kuala Lumpur (KL) apabila projek MRT3 (Mass Rapid Transit Line 3) siap pada 2030.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Wee, cadangan itu berkenaan mengenakan bayaran kesesakan atau caj alam sekitar dan ia akan diputuskan sebaik MRT3 mula beroperasi sepenuhnya dan selepas KL mempunyai “sistem rangkaian pengangkutan awam yang lengkap”.

Wee berkata bahawa projek itu (MRT3) mendapat kelulusan kabinet pada 4 Mac lalu dan fasa pertamanya dijangka dibuka kepada orang awam pada Disember 2028.

“Sebaik sahaja ia siap pada 2030, kita akan melihat semula kepada struktur bayaran untuk kenderaan yang memasuki pusat bandar,” katanya menjawab pertanyaan dari Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai).

“Ini ialah trend yang betul (untuk mengenakan bayaran) bukan sahaja untuk kenderaan yang memasuki bandar tetapi dari segi perlindungan alam sekitar juga.”

Beliau berkata bayaran atau caj serupa telah dibuat di bandar-bandar besar utama seluruh dunia, walaupun kenderaan elektrik (EV) mungkin diberikan pengecualian.

Adakah anda setuju dengan cadangan ini? Dan adakah ia akan berkesan dalam mengawal kesesakan lalulintas di pusat bandar KL?

Penumpang positif Covid-19, Rapid KL minta individu bergejala jalani swab

SEMUA pengguna perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan juga MRT Laluan Kajang yang mempunyai gejala Covid-19 diminta menjalani ujian saringan secepat mungkin.

Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, ia susulan dua orang pengguna LRT disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

Pada 3 Julai lalu, seorang penumpang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan penumpang terbabit kepada Rapid KL menerusi laman sosial Twitter.

Berdasarkan maklumat diterima, penumpang itu memaklumkan menaiki tren dari Stesen LRT Subang Jaya kira-kira jam 6.50 pagi dan turun di KL Sentral.

Pada sebelah petang, penumpang itu sekali lagi menggunakan perkhidmatan LRT untuk pulang dari KL Sentral ke Subang Jaya pada 4.15.

Sementara itu, Rapid KL turut menerima emel daripada seorang penumpang yang mendakwa dirinya dijangkiti Covid-19.

Penumpang itu mengakui pernah menaiki tren dari Stesen MRT TTDI ke Stesen MRT Bukit Dukung untuk menjalani saringan Covid-19 pada pukul 4.30 petang.

Rapid KL seru patuh prosedur operasi standard (SOP)

Rapid KL menyeru semua penumpang terus mematuhi SOP ketika menggunakan perkhidmatan mereka.

Penumpang menjalani ujian calitan Covid-19 diminta mengasingkan diri sehingga menerima keputusan.

Kerajaan sebelum ini menghadkan hanya 50 peratus daripada jumlah maksimum.