Mitsubishi mengemas kini penawaran bagi model MPV popular Xpander untuk pasaran Indonesia.
Tiada sebarang perubahan dari segi kuasa, bermakna Xpander masih lagi kekal dengan enjin 1.5 liter MIVEC yang mampu menjana kuasa 104 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 141 Nm @ 4,000 rpm.
Terdapat pilihan transmisi manual lima kelajuan atau CVT.
Namun begitu, terdapat satu perubahan penting di mana Xpander versi standard kini hadir dengan fungsi Active Yaw Control (AYC) yang sebelum ini dikhaskan untuk model Xpander Cross sahaja.
Dari segi rupa luaran, Mitsubishi Xpander facelift ini menampilkan beberapa perubahan kecil.
Seperti contoh, unit lampu utama berbentuk T itu diberikan efek asap, diikuti dengan struktur jeriji yang dikemaskan dengan jalur perak melintang dan bukaan menegak pada bahagian bawah.
Selain itu, bampar depan dan belakang juga telah direka semula, manakala keempat-empat sudut dipadankan dengan rim aloi 17 inci baharu.
Varian Xpander Cross pula membawakan elemen yang lebih agresif dan lasak, seperti rekaan panel jeriji berbentuk huruf X, bampar hadapan dan belakang yang lebih nampak lasak, serta rekaan rim 17 inci yang lebih eksklusif.
Untuk ruang kabin, Xpander dan Xpander Cross didatangkan dengan beberapa pembaharuan seperti skrin kluster digital lapan inci dan skrin tengah 10 inci lengkap dengan butang fungsi kapasitif.
Tempat duduk baris kedua pula didatangkan dengan ciri perehat tangan di bahagian tengah siap dengan tempat meletak botol.
Tidak cukup dengan itu, Xpander facelift kini didatangkan dengan enam beg udara, satu perubahan yang amat dialu-alukan walaupun ia terhad kepada varian yang paling tinggi.
Di negara jiran, Mitsubishi Xpander dijual pada harga bermula dari Rp 270,100,000 (RM70,642) hingga Rp 337,800,000 (RM88,348).
Manakala Xpander Cross pula dijual pada harga Rp 338,000,000 (RM88,401) hingga Rp 364,200,000 (RM95,253).
Pada acara Malaysia Autoshow 2025, WTC Automotif mengumumkan bahawa GAC M8 kini sudah boleh ditempah.
Harga sebenar masih belum diumumkan, namun menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Keng Meng, MPV plug-in hybrid itu dijangka dijual pada harga bermula dari RM333,000.
Spesifikasi penuh juga masih belum didedahkan, namun carian di laman web GAC Motor Malaysia menunjukkan bahawa M8 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Luxury.
Kedua-duanya menampilkan enjin petrol 2.0 liter dengan pengecas turbo, sebuah motor elektrik, dan transmisi hibrid DHT dua kelajuan. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 372 PS dan 630 Nm.
Motor elektrik tersebut mendapat bekalan tenaga daripada pek bateri berkapasiti 25.57 kWj, yang membolehkan M8 dipandu dengan kuasa elektrik sahaja sehingga 120 km (kitaran NEDC).
Apabila digabungkan dengan enjin pembakaran dalaman, MPV ini dikatakan mampu memberikan jarak pemanduan keseluruhan sejauh 1,038 km.
Mengetengahkan gaya mewah dan premium, M8 akan tampil dengan lampu LED ‘Lion Eye’ di bahagian hadapan, lampu LED ‘Time Portal’ di bahagian belakang, serta rim aloi berukuran 18 inci.
Apa yang menarik, logo GAC pada bahagian tengah rim tersebut sentiasa berada dalam keadaan menegak, tidak ubah seperti yang terdapat pada kenderaan Rolls-Royce.
Di dalam, M8 menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan kerusi kapten pada barisan kedua. Antara ciri yang disertakan termasuk upholsteri kulit dua tona, fungsi penyejukan, urutan serta perehat kaki Ottoman dengan pelarasan kuasa untuk kerusi kapten, bumbung panoramik dengan corak tahi bintang dan paparan berkembar.
Dari segi keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem ADAS Tahap 2, sistem bantuan parkir penuh (FAPA) dan teknologi beg udara 360 darjah yang merangkumi beg udara untuk cermin belakang, dikatakan pertama seumpamanya di dunia.
M8 didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km, dan waranti lapan tahun/150,000 km untuk bateri, motor dan unit kawalan elektrik.
Bukan itu sahaja, pelanggan yang membuat tempahan dalam tempoh pra-jualan juga akan menerima pakej penyelenggaraan berjadual percuma selama dua tahun serta kabel pengecas mudah alih dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3,800.
Mercedes-Benz telah memperkenalkan konsep Vision V, MPV elektrik ultra mewah yang memberikan gambaran awal mengenai barisan modelnya yang akan datang.
Vision V dibina di atas platform Van Electric Architecture (VAN.EA) yang akan diperkenalkan bermula tahun depan. Selain MPV, platform ini juga akan digunakan untuk menghasilkan kenderaan komersial dan limosin untuk kegunaan VIP.
Vision V yang boleh dianggap sebagai banglo bergerak ini memang besar, dengan ukuran panjang 5,486 mm, lebar 2,100 mm, tinggi 1,892 mm dan tapak roda 3,530 mm.
Reka bentuknya tampak berani, dengan lampu utama yang tajam dan langsing, gril besar yang dihiasi ratusan elemen bercahaya, rim 24 inci dan lampu brek yang mengelilingi keseluruhan tingkap belakang. Apabila didekati, semua lampu ini memainkan pertunjukan cahaya sebagai sambutan kepada penumpang.
Akses ke bahagian dalaman sangat mudah dengan adanya pintu gelongsor automatik dan papan pemijak yang menyala. Ruang kabin belakang, yang dinamakan sebagai ‘Private Lounge’, dipisahkan daripada bahagian kokpit dengan dinding kaca yang boleh ditukar dari lutsinar ke legap.
Di dalam Private Lounge, penumpang disambut dengan upholsteri kulit Nappa putih, kemasan kayu dan aluminium yang menyerlahkan suasana mewah dan moden. Lampu siling dan sistem wangian terbina dalam menambahkan lagi suasana seperti berada di ruang tamu sebuah rumah agam.
Tiada kerusi kapten yang tipikal di sini. Sebaliknya, Vision V dilengkapi dengan sepasang kerusi lounge yang direka menggunakan kusyen tiub fleksibel, dipasang di atas tapak logam berkilat. Kerusi ini boleh dilaras secara automatik dan dibaringkan untuk keselesaan maksimum.
Terdapat juga kabinet kecil pada bahagian dinding yang boleh digunakan untuk menyimpan barang, manakala konsol tengah dilengkapi dengan skrin sentuh dan meja lipat yang turut berfungsi sebagai papan catur.
Untuk hiburan, terdapat skrin 4K bersaiz 65 inci yang akan ‘muncul ‘dari lantai, disertakan dengan sistem bunyi Dolby Atmos dengan 42 pembesar suara. Tingkap juga boleh bertukar menjadi skrin digital, manakala pencahayaan ambien berubah mengikut irama muzik yang dimainkan.
Vision V masih dalam peringkat konsep. Oleh itu, tiada maklumat mengenai trenkuasa buat masa ini. Seperti konsep lain, versi produksinya nanti mungkin berbeza, namun ia jelas menunjukkan kemampuan Mercedes-Benz dalam menetapkan tanda aras baharu dalam segmen van dan MPV mewah.
Jika anda masih ingat, pada acara Japan Mobility Show 2023, Nissan pernah mempertontonkan sebuah van konsep yang dikenali sebagai Hyper Tourer. Kini, dua tahun selepas kemunculannya, model tersebut bakal memasuki fasa produksi sebagai Nissan Elgrand generasi baharu.
Reka bentuk sebenar masih belum didedahkan, namun imej teaser yang dikongsi oleh Nissan menunjukkan bahawa van mewah ini akan menampilkan beberapa elemen reka bentuk yang dibawa dari Hyper Tourer.
Antaranya termasuk logo Nissan yang berlampu, rekaan gril yang kompleks serta jalur lampu nipis, walaupun ia tidak ‘ditarik’ hingga ke bahagian sisi dan belakang seperti pada model konsep asal.
Nissan Hyper Tourer
Selain itu, Elgrand baharu turut dilihat mempunyai lampu LED piksel di bahagian hadapan dan belakang, serta spoiler bumbung yang sporty.
Gambar ruang dalaman masih belum didedahkan, namun kami menjangkakan ia akan tampil dengan kemasan mewah serta dipenuhi pelbagai ciri tipikal bagi segmen ini, seperti kerusi kapten, peti sejuk, dan sistem infotainmen untuk penumpang belakang.
Menurut Nissan, Elgrand baharu akan dikuasakan oleh rangkaian kuasa hibrid e-Power generasi ketiga, yang terdiri daripada enjin petrol 1.5 liter dan motor elektrik. Seperti yang diketahui mengenai sistem e-Power, enjin pembakaran dalaman berfungsi sebagai penjana kuasa, manakala motor elektrik digunakan untuk memacu roda.
Rangkaian kuasa generasi baharu ini bukan sahaja lebih ringan, malah turut menjanjikan peningkatan signifikan dari segi kesenyapan dan kecekapan bahan api, menurut syarikat itu.
Model ini dijangka membuat kemunculan sulung sekitar suku ketiga tahun ini, bermakna ia mungkin diperkenalkan secara rasmi pada acara Japan Mobility Show 2025.
Siapa sangka, crossover sedan yang nampak garang ini sudah pun menjadi sebahagian daripada armada kereta peronda (MPV) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Namun, usah bergembira terlalu awal, kerana dua unit Peugeot 408 yang diserahkan oleh Peugeot Malaysia ini merupakan unit yang dipinjamkan kepada PDRM untuk tujuan penilaian dalam dunia sebenar.
Berdasarkan gambar yang dibekalkan, unit yang dipinjamkan itu merupakan varian Allure.
Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 memiliki tanda harga bermula dari RM146,055, dan dikuasakan oleh enjin Puretech 1.6 liter turbo menghasilkan 218 PS dan 300 Nm.
Buat masa ini, pihak PDRM mempunyai armada kereta peronda yang terdiri daripada sedan segmen C Honda Civic generasi FC dan juga FE.
Denza, sub-jenama premium BYD, telah menyerahkan 200 unit pertama Denza D9 dalam acara ‘Denza and BYD Electrifying Experience’ yang diadakan di Plaza Arkadia, Desa Parkcity pada hujung minggu lalu.
Acara tersebut menyambut pelanggan awal yang membeli MPV elektrik premium itu semasa fasa pelancarannya pada bulan lalu.
Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia berkata penyerahan 200 unit pertama Denza D9 itu menandakan satu peristiwa penting buat Denza di Malaysia.
“Sambutan luar biasa ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrik premium dan menegaskan dedikasi kami terhadap inovasi, ketukangan, dan pengalaman pelanggan.
“Kami komited untuk membentuk masa depan EV mewah dan tidak sabar untuk menyerahkan lebih banyak kenderaan yang luar biasa kepada pelanggan kami di Malaysia,” katanya.
Dilancarkan pada 20 Februari, D9 dijual pada harga bermula dari RM259,000 untuk varian Advanced FWD dan RM309,000 untuk Premium AWD.
Varian Advanced FWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 308 hp dan 360 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.
Sementara itu, Premium AWD pula mempunyai dua motor elektrik yang memberikan 369 hp dan 470 Nm, sekali gus mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j kepada 6.9 saat.
Kedua-dua varian mendapat bateri Blade LFP berkapasiti 103 kWj yang menawarkan jarak gerak (kitaran NEDC) sejauh 600 km bagi Advanced FWD dan 580 km bagi Premium AWD.
Mereka yang membeli D9 di acara tersebut atau di mana-mana cawangan Denza Malaysia sebelum 16 Mac menerima pakej pelancaran eksklusif yang merangkumi wall box percuma berserta kad pemasangan dan pakej servis percuma selama enam tahun.
Bermaz Xpeng Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Xpeng di Malaysia, telah melancarkan model keduanya iaitu X9.
Digelar sebagai “Ultra Smart Large Seven-seater,” MPV elektrik ini bakal memberi saingan model-model seperti Zeekr 009 dan Denza D9.
Ia kini sudah boleh ditempah, dengan harga dan varian seperti berikut:
X9 Standard Range 2WD Pro – RM269,888
X9 Long Range 2WD Pro – RM287,888
X9 Long Range 2WD Pro Plus – RM299,888
Bermaz menawarkan waranti pengeluar selama lima tahun/120,000 km, dan pakej servis percuma selama lima tahun/100,000 km. Turut disertakan adalah waranti bateri voltan tinggi untuk lapan tahun/160,000 km.
Ketiga-tiga varian didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 315 hp dan 450 Nm. Pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa 7.7 saat, manakala kelajuan maksimum boleh mencecah 200 km/j.
Apa yang menarik, X9 boleh didapati dengan dua jenis bateri. Varian Standard Range 2WD Pro didatangkan dengan bateri LFP 84.5 kWj yang menawarkan jarak gerak 500 km (WLTP), manakala varian-varian Long Range mendapat bateri NMC 101.5 kWj dengan jarak gerak 590 km.
X9 menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 317 kW, yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam masa 20 minit.
Menurut Xpeng, X9 merupakan MPV 7 tempat duduk BEV pertama di dunia yang menampilkan struktur badan aluminium tuangan pada bahagian hadapan dan belakang bagi tujuan meningkatkan keselamatan dan ketahanan.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang aktif yang dipadankan dengan sistem suspensi udara dual chamber, memberikannya radius pusingan 5.4 meter.
Masuk ke dalam, anda akan disapa oleh kokpit yang diinspirasikan daripada kapal angkasa lepas. Varian Standard Range 2WD Pro dan Long Range 2WD Pro didatangkan dengan upholsteri leatherette, manakala Long Range 2WD Pro Plus pula diberikan kerusi Zero Gravity yang dibaluti upholsteri kulit Nappa.
Tarikan utama di sini adalah skrin infohibur berukuran 21.3 inci, sistem audio X-Opera dengan 23 pembesar suara yang memberikan kualiti audio setanding konsert, serta sistem penulenan udara maju.
X9 didatangkan dengan konfigurasi tujuh tempat duduk namun ia boleh ditukarkan kepada empat tempat duduk dengan menekan satu butang sahaja. Tempat duduk barisan ketiga akan dilipat, sekaligus memperluaskan kapasiti ruang but dari 755 liter kepada 2,554 liter.
Untuk lebih keselesaan, ciri-ciri seperti sistem pelarasan kerusi barisan ketiga, fungsi urut dan peti sejuk pintar turut disertakan.
Untuk keselamatan pula, terdapat sistem XPilot 2.5 yang merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop & Go, Lane Centering Control (LCC), Adaptive Turning Cruise (ATC), Intelligent Speed Limit Assist (SAS), dan Active Lane Change (ALC).
Parkir juga menjadi lebih mudah dengan adanya Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0), Auto Exit Parking Assist (AEP), dan Straight Summon yang boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih XPeng.
Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk enam beg udara, Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind-Spot Detection (BSD), Lane Keeping Assist (LKA), dan Rear Cross-Traffic Alert (RCTA).
X9 diimport sepenuhnya (CBU) dari China dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Nebula White, Crescent Silver dan Dark Night Black. Untuk bahagian dalam pula, terdapat dua pilihan warna iaitu Starry Night Black dan Moon Shadow Brown.
Selepas dipertontonkan di Malaysia buat pertama kali pada minggu lalu, MPV elektrik premium dari sub-jenama milik BYD iaitu Denza D9 akhirnya dilancarkan ke pasaran tempatan secara rasmi.
Dengan pelancaran ini, Denza turut mengumumkan harga jualan D9. Ia bermula dari RM259,000 untuk varian Advanced FWD dan RM309,000 untuk Premium AWD.
Ia didatangkan dengan waranti sehingga lapan tahun/160,000 km untuk bateri (SOH melebihi 70%) serta waranti sehingga lapan tahun/150,000 km untuk motor pacuan dan pengawal motornya.
Selain itu, Denza juga menawarkan waranti kenderaan sehingga 6 tahun atau 150,000 km.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, D9 didatangkan dengan konfigurasi tujuh tempat duduk. Ia mempunyai ukuran panjang 5,250 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,920, manakala tapak rodanya 3,110 mm panjang.
Varian Advanced FWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 308 hp dan 360 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.
Dengan dua motor elektrik, Premium AWD pula mempunyai 369 hp dan 470 Nm yang menyaksikan masa pecutan 0-100 km/j dikurangkan kepada 6.9 saat sahaja.
Kedua-dua varian mendapat bateri Blade LFP berkapasiti 103 kWj yang sama. Bagaimanapun, jarak gerak (kitaran NEDC) antara kedua varian ini berbeza iaitu 600 km bagi Advanced FWD dan 580 km bagi Premium AWD.
Bateri tersebut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 166 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit. Pengecasan selama 10 minit pula akan memberikan jarak gerak sejauh 150 km.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan pengecasan AC 11 kW.
Tarikan utama pada bahagian dalam ada kerusi kapten pada barisan kedua. Ia dilengkapi dengan pelarasan elektrik 10 hala, fungsi memori dan urut, yang boleh diakses dan dikawal menerusi skrin digital kecil pada perehat tangan.
Sistem infohibur merangkumi panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sentuh 15.6 inci, sistem Dynaudio dengan 14 pembesar suara dan tiga pengecas tanpa wayar 50W. Secara keseluruhannya, MPV ini mempunyai enam port pengecas USB.
Selain itu, ciri-ciri upholsteri kulit (Nappa untuk Premium AWD), bumbung kaca panoramik dan peti sejuk 7.5 liter yang juga mempunyai fungsi pemanas turut disertakan.
Di samping upholsteri kulit yang lebih mewah, varian Premium AWD juga mendapat pelapik bumbung suede, cermin anti-silau automatik, cermin pandang belakang digital dan head-up display 12 inci.
Satu lagi kelebihan varian tertinggi itu adalah turut dilengkapi dengan sistem peredam pintar Disus-C.
Untuk keselamatan, D9 diberikan enam beg udara serta sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dengan ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Front Cross Traffic Alert, Lane Keeping Assist, Lane Departure Warning dan banyak lagi.
Bagaimanapun, ciri Forward Traffic Crossing Alert (FCTA) dan Forward Traffic Crossing Braking (FCTB) disertakan pada Premium AWD sahaja.
Ia bukanlah satu rahsia yang Denza, sub-jenama premium di bawah BYD, akan memasuki pasaran Malaysia menerusi Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia sebagai pengedar rasmi.
Model pertama yang akan dibawa masuk adalah MPV mewah elektrik Denza D9, yang telah dipertontonkan secara rasmi kepada pihak media sebelum pelancarannya pada 20 Februari ini.
Seperti yang dijangka, harga masih belum diumumkan namun kami boleh mengesahkan yang D9 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Advanced FWD dan Premium AWD.
Kedua-dua varian didatangkan dengan konfigurasi tujuh tempat duduk. Terdapat tiga warna luaran untuk dipilih iaitu Arctic White, Whale Sea Blue dan Cosmos Black.
Varian Advanced FWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang menghasilkan 308 hp dan 360 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.
Sementara itu, Premium AWD pula mempunyai dua motor elektrik yang memberikannya kuasa keseluruhan mencecah 369 hp dan 470 Nm. Dengan kuasa lebih tinggi, masa pecutan 0-100 km/j berjaya dikurangkan kepada 6.9 saat sahaja.
Kedua-dua varian didatangkan standard dengan bateri Blade LFP berkapasiti 103 kWj, yang memberikan jarak gerak kitaran NEDC sejauh 600 km bagi Advanced FWD dan 580 km bagi Premium AWD.
D9 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 166 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit, atau mendapatkan semula jarak sehingga 150 km dalam tempoh 10 minit pengecasan. Bateri tersebut juga didatangkan dengan pengecasan AC 11 kW.
Di dalam, MPV elektrik itu mampu memuatkan sehingga tujuh orang penumpang (dengan ketinggian sehingga 180 cm) dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3 yang menampilkan kerusi kapten di barisan kedua.
Kerusi kapten dilengkapi dengan pelarasan elektrik 10 hala, fungsi memori dan urut, yang boleh diakses dan dikawal menerusi skrin digital kecil pada perehat tangan.
Selain itu, terdapat juga upholsteri kulit Nappa, pelapik bumbung suede (varian Premium AWD sahaja), bumbung kaca panoramik dan peti sejuk yang juga mempunyai fungsi pemanas.
Untuk sistem infohibur pula, D9 tampil standard panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sentuh 15.6 inci, sistem Dynaudio dengan 14 pembesar suara dan tiga pengecas tanpa wayar 50W. Secara keseluruhannya, MPV ini mempunyai enam port pengecas USB.
Di belakang kerusi barisan ketiga, terdapat ruang kargo yang dikatakan boleh memuatkan tujuh beg pakaian berukuran 20 inci dan tujuh beg galas.
Akhir sekali, D9 diberikan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dengan ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Front Cross Traffic Alert, Lane Keeping Assist, Lane Departure Warning dan banyak lagi.
Rakan media di paultan.org melaporkan bahawa Denza D9 kini dibuka untuk tempahan untuk pasaran Malaysia.
Spesifikasi dan harga masih belum diumumkan namun kami menjangkakan MPV mewah itu akan tiba dalam versi elektrik seperti di Hong Kong dan Thailand.
Selain elektrik, D9 juga boleh didapati dengan trenkuasa hibrid plug-in di China. Kehadiran D9 dengan pacuan elektrik akan meletakkannya sebagai pesaing terdekat kepada Zeekr 009 dan Maxus Mifa 9.
Dari segi saiz, D9 mempunyai ukuran panjang 5,250 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,920 mm dan tapak roda 3,110 mm. Ini menjadikannya lebih panjang berbanding 009 tetapi tapak rodanya 95 mm lebih pendek berbanding pesaing terdekatnya itu.
D9 EV boleh didapati dalam dua konfigurasi trenkuasa iaitu pacuan roda depan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD). Varian FWD menampilkan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 313 PS (230 kW) dan 360 Nm, dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.
Sementara itu, varian AWD dengan motor elektrik berkembar mempunyai 374 PS (275 kW) dan 470 Nm, membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat sahaja.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 103 kWj yang menawarkan jarak gerak WLTP sejauh 520 km untuk FWD dan 480 km untuk AWD.
MPV elektrik itu mampu memuatkan sehingga tujuh orang penumpang (dengan ketinggian sehingga 180 cm) dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3 yang menampilkan kerusi kapten yang boleh digelongsor di barisan kedua.
Ruang kargonya pula dikatakan boleh memuatkan tujuh beg pakaian berukuran 20 inci dan tujuh beg galas.
Di China, D9 EV dijual pada harga antara 379,800 yuan dan 469,800 yuan (RM233,648 hingga RM289,015). Untuk perbandingan, harga Zeekr 009 untuk pasaran Malaysia bermula dari RM349,800.
Di samping X, Zeekr Malaysia turut melancarkan MPV mewah yang akan bersaing dalam pasaran EV tempatan iaitu Zeekr 009.
Ia bakal berentap dengan model-model popular seperti Toyota Alphard/Vellfire, Maxus Mifa 9, serta model-model yang akan datang seperti GWM Wey 80 dan Denza D9, 009.
009 boleh didapati dalam dua varian iaitu Luxury dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, dan Ultra Luxury dengan enam tempat duduk.
Tidak kira varian apa yang dipilih, 009 dipacu oleh motor elektrik berkembar yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 603 hp dan 693 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat.
Pek bateri 116 kWh pula menawarkan jarak gerak sejauh 582 km (kitaran WLTP), selain menyokong pengecasan pantas DC 150 kW yang membolehkan pengecasan 10%-80% dalam 30 minit.
Aspek pemanduan Zeekr 009 dibantu dengan sistem gantungan jenis double-wishbone multilink, suspensi udara elektromagnetik dan fungsi pengimbangan automatik, diikuti unit pencahayaan LED matriks dengan fungsi suluhan pemanduan adaptif (ADB) dan pencahayaan zon pintar.
Di dalam, anda akan menemui meter kluster 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 15.05 inci, paparan head up realiti terimbuh (AR) sebesar 35.95 inci, skrin bumbung OLED 17 inci, sistem audio Yamaha, pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sehingga 9 port USB-C tersedia.
Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan diberikan larasan 12 tahap berserta fungsi urut, pengudaraaan dan memori.
Penumpang baris kedua pula menikmati tempat duduk Sofaro First Class Aeronautics dengan fungsi Ultra Long Electric Slide Rail sepanjang 1.1 meter, tempat rehat kaki yang boleh dilaras, fungsi pengudaraan, urut dan memori.
Untuk keselamatan, terdapat sistem ADAS yang merangkumi ciri kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), kawalan jelajah adaptif (ACC), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), sistem pengelakan lorong, pengesanan titik buta (BSD), amaran bukaan pintu dan juga sistem pemantauan prestasi pemandu (DPM).
009 Luxury dijual pada harga RM349,800, manakala versi Ultra Luxury pula berharga RM359,800. Seperti X, model ini didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km dan waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km.
Turut disertakan adalah data internet 6GB percuma selama dua tahun untuk akses aplikasi Zeekr, sistem navigasi dan kemas kini perisian secara Over-the-Air (OTA).
500 pembeli pertama 009 akan mendapat pakej eksklusif yang merangkumi pengecas kediaman, pengecas mudah alih dan filem solar.
Biarpun Mitsubishi Xpander mendarat agak lewat di pasaran Malaysia, keadaan tersebut tidak menghalangnya daripada terus menjadi model MPV bukan nasional paling laris, dengan lebih 40,000 unit telah terjual.
Kami berpendapat pengaruh Xpander akan menjadi lebih kukuh di sini menerusi kehadiran model Xpander 2024 facelift yang telah dilancarkan pada bulan lepas.
Terutama untuk golongan bapa yang sedang mencari kenderaan yang sesuai untuk kegunaan keluarga.
Minggu lalu Mitsubishi Motors Malaysia telah menjemput para pengamal media untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan Xpander facelift menuju ke Melaka Darul Traffic Light.
Berdasarkan pemanduan, apa yang kami boleh simpulkan ialah Xpander facelift masih lagi boleh menjadi sebuah kenderaan yang ideal untuk kegunaan keluarga masa kini.
Berikut merupakan catatan ringkas selepas kami memandu Xpander facelift:
1. Rupa luaran lebih moden
Secara keseluruhan, reka bentuk Xpander tidak banyak berubah, melainkan muka hadapan yang kini menggunakan elemen Dynamic Shield yang lebih moden dan lebih kemas.
Unit lampu LED berbentuk T itu dikemaskan dengan gugusan lampu LED yang menggandingkan fungsi lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu membelok.
Rekaan jeriji juga nampak lebih kemas pada model facelift.
Untuk bahagian belakang, reka bentuk lampu kini menampilkan grafik berbentuk huruf T yang turut menyumbang kepada perubahan bentuk cermin belakang.
Mereka yang memilih varian Xpander Plus akan mendapat tambahan ciri seperti visor tingkap serta spoiler belakang hitam yang tidak terlalu agresif, namun masih lagi mampu memberikan imej yang sporti.
Akhir sekali, keempat-empat sudut gerbang roda dipasangkan dengan rim bersaiz 17 inci diikuti dengan balutan getah Bridgestone Ecopia.
2. Ruang kabin lebih kemas
Perubahan besar dibawakan pada ruang kabin, di mana susun atur papan pemuka kini lebih kemas.
Secara standard, Xpander facelift masih lagi menawarkan skrin infohibur sebesar 9 inci, skrin kluster TFT 4.2 inci dengan paparan meter analog, kawalan iklim dengan paparan digital, dan roda stereng yang diinspirasikan daripada sedan Evo X.
Walaupun datang dengan fungsi asas, tempat duduk balutan leatherette itu tetap selesa untuk digunakan, terutama untuk perjalanan jauh.
Perkara yang paling digemari penulis ialah ruang yang tersedia apabila Xpander facelift baharu ini menggunakan butang brek elektronik bagi menggantikan brek tangan fizikal.
Nampak lebih teratur, dan dalam masa yang sama tidak menjadikan pemanduan Xpander ini kurang praktikal.
Harus anda tahu Xpander facelift juga kini didatangkan dengan beberapa fungsi canggih seperti slot pengecasan peranti pintar Qi tanpa wayar, kamera perakam pemanduan depan dan belakang dan paling penting kamera 360 darjah.
Penggunaan bahan sentuh lembut pada bahagian tertentu juga menjadikan pengalaman pemanduan yang rasa lebih premium.
3. Praktikaliti untuk seisi keluarga
Jika dibandingkan dengan model pesaing, Xpander facelift mempunyai kelebihan yang tersendiri, iaitu ruang kabin yang lebih luas disebabkan oleh dimensi yang lebih besar.
Tiada masalah untuk memuatkan penumpang pada tempat duduk baris ketiga kerana ia memang cukup selesa untuk digunakan.
Sekiranya tiada penumpang tambahan, tempat duduk tersebut boleh dilipat untuk menyediakan ruang sebesar 837 liter, selain terdapat tiga ruang tambahan yang boleh disorok pada bahagian kargo.
Tidak cukup dengan itu, terdapat banyak ruang barangan kecil yang disediakan di sekitar kabin, terutama di bahagian panel pintu, dulang kecil pada papan pemuka, laci di bawah tempat duduk penumpang hadapan, dan poket-poket kecil di belakang tempat duduk hadapan.
4. Pemanduan Xpander, berubah?
Apa yang tidak berubah pada Xpander facelift ialah unit enjin empat silinder sebaris 1.5 liter berkuasa 105 PS dan 141 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik 4-kelajuan.
Ya, kedengaran agak ketinggalan zaman di situ, memandangkan rata-rata pesaing sudah pun dilengkapi dengan transmisi CVT atau DCT.
Ia bukanlah kotak gear yang paling moden, tapi ia terus dikekalkan supaya pemilik tidak perlu risau akan ketahanan dan kelasakan komponen ini.
Disebabkan itu, boleh dikatakan pemanduan Xpander tidak banyak berubah dari segi hamburan kuasa dan pecutan yang ditawarkan.
Ia masih mampu membuat penukaran gear yang lancar, dan dalam masa yang sama isu ‘gear hunting’ tidak menghantui pemandu semasa downshift atau pemanduan mendaki bukit.
Perkara tersebut dapat kami rasai semasa melalui jalan-jalan berliku di sekitar Hulu Langat, namun untuk pemanduan yang biasa di atas lebuh raya, gandingan enjin dan kotak gear tersebut sudah lebih daripada memadai.
Dalam masa yang sama, kami dapat merasakan aspek kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) dalam kabin Xpander facelift naik satu tahap yang lebih baik berbanding model terdahulu.
Bunyi enjin ditapis dengan berkesan, manakala bunyi bising angin hanya kedengaran masuk setelah meter kelajuan melepasi paras 160 km/j.
5. Pengendalian Xpander, tak padan tinggi!
Satu lagi perkara yang membuatkan penulis kini faham kenapa Xpander menjadi pilihan utama ialah keselesaan yang ditawarkan.
Jika Xpander terdahulu membuktikan keselesaan yang tersendiri untuk perjalanan jauh, Xpander facelift ini naik satu lagi anak tangga lebih baik.
Menurut Mitsubishi, suspensi belakang MPV ini telah ditala semula dengan penyerap hentak yang lebih besar bertujuan untuk memastikan pemanduan yang lebih selesa.
Tidak menghairankan apabila kami sukar untuk merasai sebarang kekasaran yang ketara tatkala tayar bertemu dengan permukaan jalan yang tidak rata.
Nak kata pengendalian macam Evo X, bohong sama sekali. Tapi Xpander facelift nyata boleh dikendalikan dengan baik di atas jalan lurus mahupun di jalan-jalan yang berliku tanpa mengganggu keselesaan penumpang di belakang.
Cuma, disebabkan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi (225 mm), aspek kestabilan dirasakan sedikit kurang terutama ketika menempuh kawasan angin lintang di lebuh raya.
Mungkin juga disebabkan oleh faktor penggunaan tayar Bridgestone Ecopia yang dirasakan tidak cukup mencengkam berbanding tayar Toyo Proxes CR1 yang digunakan pada model terdahulu, walaupun nyata ia lebih senyap.
Satu perkara yang pasti, anda sebagai pemandu Xpander facelift tidak perlu risau untuk meredah laluan yang tidak rata di kawasan kampung dan luar bandar, disebabkan pakej jarak kelegaan tanah yang tinggi berbanding pesaing lain.
Berdasarkan pandu uji ringkas yang dibuat tempoh hari, Mitsubishi Xpander 2024 facelift ini dilihat mampu untuk menjadi pilihan utama keluarga di Malaysia, terutama bagi mereka yang mementingkan aspek keselesaan dan praktikaliti.
Spesifikasi Mitsubishi Xpander 2024 (facelift)
Enjin: empat silinder sebaris 1.5 liter MIVEC
Kuasa: 105 PS @ 6,000 rpm
Daya kilas: 141 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik 4-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Harga: dari RM99,980
Selain daripada Zeekr X, Zeekr Malaysia turut sama membuka tempahan bagi sebuah lagi model berkuasa elektrik, iaitu minivan Zeekr 009.
Disasarkan sebagai pesaing kepada MPV popular Alphard/Vellfire, Zeekr 009 menawarkan pakej yang jauh lebih luas, lebih berkuasa dan dalam masa yang sama lebih mampu milik.
Dua varian ditawarkan, iaitu Luxury dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, dan Ultra Luxury dengan enam tempat duduk.
MPV elektrik ini datang dengan motor elektrik berkembar berkuasa 603 hp dan 693 Nm yang memacu semua roda (AWD), di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.5 saat.
Pek bateri 116 kWh pula menawarkan jarak gerak sejauh 582 km (data WLTP), selain menyokong pengecasan pantas DC 150 kW (pengecasan 10-80 peratus dalam 30 minit).
Aspek pemanduan Zeekr 009 dibantu dengan sistem gantungan jenis double-wishbone multilink, suspensi udara elektromagnetik dan fungsi pengimbangan automatik, diikuti unit pencahayaan LED matriks dengan fungsi suluhan pemanduan adaptif (ADB) dan pencahayaan zon pintar.
Ruang kabin Zeekr 009 pula dilengkapi dengan meter kluster 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 15.05 inci, paparan head up realiti terimbuh (AR) sebesar 35.95 inci, skrin bumbung OLED 17 inci, sistem bunyi keliling Yamaha, pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sehingga 9 port USB-C tersedia.
Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan diberikan larasan 12 tahap berserta fungsi urut, pengudaraaan dan memori.
Sementara penumpang baris kedua pula disediakan tempat duduk Sofaro First Class Aeronautics dengan fungsi Ultra Long Electric Slide Rail sepanjang 1.1 meter, tempat rehat kaki yang boleh dilaras, fungsi pengudaraan, urut dan memori.
Sistem ADAS merangkumi ciri seperti kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), kawalan jelajah adaptif (ACC), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), sistem pengelakan lorong, pengesanan titik buta (BSD), amaran bukaan pintu dan juga sistem pemantauan prestasi pemandu (DPM).
Untuk pasaran Malaysia, harga anggaran Zeekr 009 bermula dari RM370,000 dengan yuran tempahan sebanyak RM4,000.
Di samping Denza D9 dan M6, BYD kini mempunyai satu lagi penawaran yang boleh memberikan saingan sengit dalam pasaran MPV.
Ia dikenali sebagai BYD Xia dan menurut syarikat itu, Xia merupakan model flagship dalam siri Dynasty. Namanya dipilih sempena dinasti tertua dalam sejarah China yang mula memerintah pada 2070 SM.
Xia mempunyai ukuran panjang 5,145 mm, lebar 1,970 mm dan tinggi 1,805 mm, menjadikannya 105 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan 115 mm lebih rendah berbanding D9. Ukuran tapak roda Xia adalah 3,045 mm, 65 mm lebih pendek berbanding tapak roda D9.
Tanpa pengaruh Mercedes-Benz seperti yang ditunjukkan menerusi D9, reka bentuk luaran Xia jelas nampak kurang mewah. Ini masuk akal kerana BYD adalah jenama untuk pasaran massa, manakala Denza pula adalah sub-jenama BYD sendiri yang mengkhususkan dalam kenderaan mewah.
Namun begitu, rekaannya masih mampu menarik perhatian pembeli dengan elemen ‘Dragon Face’ dan gril besar pada bahagian hadapan, serta lampu melintang yang merentangi sepenuhnya bahagian belakang.
Ruang dalaman masih belum didedahkan namun menurut CarNewsChina, Xia menawarkan tujuh tempat duduk dalam konfigurasi 2+2+3, di samping ciri-ciri seperti skrin sentuh besar dan stereng flat bottom.
Xia tampil dengan trenkuasa hibrid plug-in DM-i generasi kelima yang dikhabarkan menggabungkan enjin turbo 1.5-liter dengan 200 hp dan sebuah motor elektrik berkuasa 268 hp.
Trenkuasa itu dilaporkan menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 200 km, menunjukkan yang ia mungkin dilengkapi dengan bateri Blade berkapasiti tinggi.
Selain itu, Xia menggunakan sistem suspensi boleh laras dengan sistem elektromagnetik DiSus-C seperti yang digunakan oleh Tang dan Han. Teknologi lain yang turut disertakan termasuk DiPilot ADAS dan sistem kokpit DiLink 150.
Xia akan memasuki pasaran China tahun ini dengan harga bermula dari 300,000 yuan (RM182,756), lebih murah daripada D9 yang dijual pada harga antara 339,800 yuan hingga 469,800 yuan (RM207,010-RM286,210).
JIKA anda membesar pada lewat 90-an dan awal 2000, anda pasti pernah ternampak Fiat Ulysse. Ia salah satu MPV saiz sederhana yang popular di negara kita pada masa itu selain Toyota Estima, Nissan Serena, dan Honda Odyssey.
Penulis sendiri masih ingat di taman perumahan tempat penulis membesar dahulu ada satu keluarga ini memiliki Fiat Ulysse berwarna biru.
Penulis cukup tertarik dengan rekaan unik padanya, sebagai contoh rak bumbungnya sedikit berbeza dari model-model pesaingnya. Ia mempunyai dua bar melintang berwarna perak, tidak seperti kelaziman yang mempunyai dua rel hitam memanjang dari depan ke belakang. Mungkin ini reka bentuk Eropah.
MPV citarasa Eropah
Fiat Ulysse sebenarnya mempunyai beberapa generasi, tetapi yang kita hendak sembang hari ini ialah generasi pertama yang dikeluarkan dari 1994 hingga 2002.
Ulysse direka untuk menggabungkan praktikaliti sebuah wagon dan keselesaan sebuah sedan. Ia mempunyai bentuk bersegi, cermin depan yang besar, dan dua pintu belakang gelungsur. Menariknya, rel gelungsur ini disorok, memberikan permukaan kemas di bahagian sisi.
Pintu but belakang juga cukup besar dengan ‘bibir’ yang rendah untuk memudahkan barangan dimasukkan atau dikeluarkan.
Ia mempunyai stereng berkuasa, sistem ABS pada beberapa varian, dan tempat duduk pemandu yang sedikit tinggi untuk kemudahan pengendalian.
Ruang dalaman direka untuk ruang dan praktikal. Konsol tengah dengan bentuk seperti pulau yang menempatkan kawalan pendingin hawa dan tombol gear. Posisi tombol gear ini juga ditempatkan di sini agar pemandu dapat meminimakan pergerakan tangan semasa memandu.
Pilihan enjin petrol dan diesel
Fiat Ulysse didatangkan dengan enjin petrol (1.8, 2.0, dan 2.0 turbo) dan diesel (1.9 turbo, 2.0, dan 2.1 turbo). Tetapi mengikut kajian ringkas penulis, Ulysse yang memasuki pasaran Malaysia pernah ditawarkan dengan 2.0-liter petrol dan 1.9-liter diesel turbo.
Faceflit pada 1999
Pada 1999, pasaran minivan/MPV di Eropah semakin perlahan, tetapi trend ini masih rancak di Asia dan Malaysia. Jadi, model facelift diteruskan pada 1999.
Muka depan Ulysse diperbaharui dengan permukaan yang lebih melengkung dan lembut, tiada lagi muka rata dan lampu depan petak seperti Iswara.
Lampu depannya yang sedikit gelap atau smoked, ciri ini juga ada pada model-model Fiat yang lain pada masa itu. Gril juga diubah dengan logo Fiat lebih kecil di tengah.
Kemudian cladding di sekeliling badan diubah dengan warna badan, nampak lebih premium berbanding cladding kelabu sebelumnya.
Bahagian dalam tidak banyak berubah berbanding keluaran sebelumnya, walaupun terdapat penggunaan bahan-bahan lebih baik dan rekaan tulisan lebih menarik dalam kluster instrumen.
Sama seperti sebelumnya, Ulysse masih mampu menempatkan tujuh penumpang dengan dua pintu depan dan dua pintu gelungsur belakang.
Enjin 2.0-liter diesel turbo mula ditawarkan pada model facelift pada Januari 2001 hasil pembangunan bersama rakan-rakan niaga Fiat.
Ada kembar Citroen dan Peugeot
Tetapi tahukah anda, Fiat Ulysse mempunyai kembar dari Citroen dan Peugeot? Kembar-kembar Ulysse adalah Citroen Evasion dan Peugeot 806, kesemua Eurovan ini mempunyai perbezaan yang sangat minima.
Harus diketahui ini bukanlah disebabkan rebadge seperti Proton Wira yang diambil dari Mitsubishi Lancer, tetapi lebih kepada model yang dibangunkan bersama. Sebagai contoh Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize atau Toyota GR86/Subaru BRZ.
Citroen Evasion dan Peugeot 806 juga pernah ditawarkan untuk pasaran Malaysia, penulis masih ingat pernah ternampak model-model ini dan hairan apabila melihat ianya bukan Fiat. Pada masa itu belum faham konsep rebadge dan pembangunan bersama.
Di pasaran Eropah, ada kembar tambahan, iaitu Citroen Synergie dan Lancia Zeta. Tak habis lagi rupanya!
Pernah popular di pasaran terpakai Malaysia
Selepas tamat pengeluarannya, Fiat Ulysse ini mula membanjiri pasaran kenderaan terpakai. Apabila penggunaan internet mula meluas, Fiat Ulysse juga menjadi antara MPV yang dicari di laman web seperti Mudah.my.
Sudah tentu, memandangkan ia model jenama Eropah, harganya susut agak drastik. Ada yang dijual pada harga sekitar RM7,000, malah ada yang dijual bawah RM5,000. Bayangkan jika ini MPV jenama Jepun, mesti harganya kekal pada julat RM15,000 hingga RM20,000.
Tetapi pemilik sebelumnya pasti golongan berkemampuan yang tidak begitu terkesan dengan susut nilai kenderaan ini.
Pemilik baharu pula jenis yang berani meminang janda-janda Eropah yang masih cantik dan sedap dipandu, cuma dibayangi kos penyelenggaraan yang boleh membuatkan anda demam.
Jika pemilik itu kenal bengkel pakar jenama Continental, sepatutnya tiada masalah besar.
SIAPA masih ingat Honda Freed yang pernah masuk ke pasaran Malaysia dulu? Generasi ketiga Freed baru dilancarkan di Jepun dengan pilihan enjin 1.5-liter NA dan hibrid, jom kita lihatkan perinciannya.
Enjin 1.5-liter petrol 4-silinder menawarkan 117hp dan 142Nm tork, dengan transmisi CVT menghantar kuasa ke roda depan. Terdapat juga pilihan pacuan semua-roda.
Varian hibrid pula dibekalkan dengan sistem e:HEV yang terdiri enjin 1.5-liter berkuasa 105hp dan 127Nm, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 121hp dan 253Nm. Sistem ini mirip dengan e:HEV pada City dan Civic.
Dari segi saiz, Honda Freed baharu ini mempunyai ukuran 4,310mm panjang, 1,720mm lebar, dan sehingga 1,780mm tinggi. Jarak roda dikekalkan, pada 2,740mm.
Reka bentuk Freed kali ini lebih bersegi dengan permukaan rata di sisi badan. Muka depan juga lebih menegak, dengan lampu trapezoidal dan DRL bertitik. Gril di tengah hanya mempunyai lubang kecil, manakala apron bawah lebih terbuka.
Dapat dilihat di bahagian sisi ialah pintu belakang jenis gelungsur, kemudian terdapat juga garisan sisi yang ditarik dari lampu depan melepasi pemegang pintu. Jika anda pilih varian Crosstar, ia dilengkapi rupa dan kemasan unik yang lebih rugged.
Rekaan dalam juga menegak dan dilihat seperti mengutamakan ruang dan praktikaliti. Paparan instrumen kini digital, dan papan pemuka dibaluti dengan kemasan fabrik. Menurut Honda, fabrik yang digunakan adalah kalis air dan minyak.
Bergantung kepada varian, anda boleh pilih konfigurasi tempat duduk 2+2+2 atau 2+3+2, tetapi Crosstar hanya mempunyai lima atau enam tempat duduk.
Honda Freed di Jepun dilengkapi dengan ciri keselamatan Honda Sensing yang merangkumi Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist dan pelbagai lagi. Harga bermula 2.5 juta Yen (RM73,536).
Menarik jika masuk Malaysia? Kami rasa ia boleh jadi pilihan untuk peniaga kecil-kecilan dan hujung minggu.
Sebelum kewujudan model Innova yang lebih besar, MPV lasak seperti Toyota Unser dan Toyota Avanza merupakan antara model kenderaan yang menjadi pilihan utama golongan bapa-bapa, serta ustaz ustazah di sekolah yang ada ramai anak.
Boleh dikatakan model-model ini sangat bersepah atas jalan, dan keadaan tersebut diteruskan dan dimeriahkan lagi dengan penjualan model Toyota Innova.
Innova 1st gen, pra-facelift
Innova 1st gen, facelift
Innova 2nd gen, pra-facelift
Innova 2nd gen, facelift
Duduk di tengah-tengah antara penawaran Avanza yang lebih murah, serta MPV kotak Alphard/Vellfire yang berada di luar kemampuan, ternyata Innova mempunyai golongan peminat yang tersendiri sebagai alternatif MPV saiz pertengahan yang lebih mampu milik.
Namun, Innova tetap mempunyai had dan kelemahan yang tersendiri.
Disebalik spesifikasi yang telah ditambah baik, ia masih lagi sebuah kenderaan yang dibina berdasarkan platform ladder-frame IMV, bermakna karakteristik pemanduannya tidak lari jauh daripada perangai tipikal sebuah trak pikap, walaupun sifatnya tidak begitu ketara.
Jadi, untuk model generasi baharu, Toyota membuat keputusan untuk menggunakan platform yang jauh lebih moden.
Namun, adakah pelantar baharu ini membuatkan Innova Zenix jauh lebih baik? Jom kita teliti satu persatu.
1. Platform TNGA-C yang lebih maju
Beza utama antara Innova terdahulu dengan Innova Zenix sudah pasti dari segi asas binaan kenderaan itu sendiri.
Tidak seperti model terdahulu, Innova Zenix kini membawakan struktur casis monocoque, bermakna aspek pengendalian adalah jauh lebih baik, selain ruang kabin yang lebih senyap, selesa, dan lebih luas.
Selain itu, Innova Zenix terbaharu membawakan satu perubahan besar dari sudut pendekatan rekaan, di mana ia kini lebih tampak seakan sebuah SUV dengan garis hud enjin yang lebih panjang, jeriji yang lebih menegak, serta padanan plastik pelindung pada gerbang roda.
Tak salah kalau penulis gelarkan Innova Zenix ini sebagai Corolla Cross versi tiga baris tempat duduk.
2. Perubahan pacuan belakang kepada pacuan depan
Satu lagi perkara utama yang berubah pada Innova ialah konfigurasi pacuan, di mana Innova masa kini menawarkan sistem pacuan roda hadapan.
Disebabkan ketiadaan terowong aci pemacu di tengah untuk menggerakkan roda belakang, struktur lantai kabin kini lebih lapang dan rata, sekaligus mewujudkan ruang yang lebih luas untuk seisi keluarga.
3. Innova kini ada enjin hibrid
Penggunaan platform TNGA-C yang lebih moden telah menyediakan ruang yang bersesuaian untuk memuatkan enjin baharu yang lebih cekap, serta pilihan unit rangkaian kuasa hibrid pada MPV keluarga ini.
Anda boleh mendapatkan Innova Zenix dengan enjin Dynamic Force 2.0 liter (M20A-FKS) berkuasa 174 PS/205 Nm, atau enjin hibrid M20A-FXS berkuasa 186 PS yang dipadankan dengan bateri NiMH 6.5 Ah.
Jadi, anda dah boleh ucapkan selamat jalan kepada Innova berenjin purba 1TR yang sangat kurang berkuasa itu di belakang jalan.
4. Ruang kabin yang jauh lebih moden dan selesa
Susun atur ruang kabin Innova kini sudah jauh lebih kemas dan tidak menyakitkan mata memandang, serta masih lagi menawarkan praktikaliti yang tersendiri.
Skrin kluster digital tujuh inci berwarna penuh itu menawarkan informasi yang mudah untuk dibaca, sementara skrin tengah bersaiz 10 inci itu menawarkan paparan grafik yang cukup jelas, ditambah dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Butang kawalan yang diposisikan pada konsol tengah (mod pemanduan, kawalan iklim) serta roda stereng sangat mudah untuk dikawal dan dioperasikan, bermakna anda boleh mengurangkan peralihan tumpuan dengan kerap sewaktu di atas jalan raya.
Kesan penggunaan platform yang lebih moden itu menyebabkan penumpang kini boleh menikmati ruang yang lebih luas dan selesa di belakang.
Unit yang kami pandu uji ini dilengkapi dengan kerusi kapten di tengah, lengkap dengan meja boleh lipat, dan usah risau kerana setiap baris didatangkan dengan corong pendingin hawa masing-masing.
Secara standard, Innova Zenix menawarkan ruang barangan sebesar 239 liter, atau sehingga 690 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat rata.
Untuk konfigurasi empat tempat duduk, kami rasa Innova Zenix HEV ini dah macam Alphard/Vellire versi bajet pula.
5. Pemanduan lancar untuk keselesaan keluarga
Duduk di tempat pemandu, tiada rungutan yang perlu diluahkan, ini kerana ia menawarkan keselesaan untuk perjalanan jauh, respons roda stereng yang ringan, mudah untuk dijangka dan dikawal terutama dalam kawasan sempit.
Yang paling utama ialah respons sistem hibrid yang digunakan.
Dalam keadaan pemanduan yang santai, nadi M20A-FXS itu sudah cukup berupaya untuk menggerakkan badan MPV hibrid ini dengan mudah (terutama di persimpangan lampu isyarat) tanpa perlu anda menyumpah seranah ‘anak gajah’ setiap kali pedal pendikit ditekan.
Perkara yang membuatkan penulis rasa kagum ialah Innova Zenix mampu dipandu dalam keadaan sifar emisi, walaupun jarak elektrik yang ditawarkan itu tidak terlalu jauh.
Tapi ia sangat berguna terutama di kawasan parkir bertingkat, di mana tiada sisa-sisa asap yang mampu menyesakkan nafas, dan pergerakannya yang senyap boleh membuatkan orang menyangka Innova Zenix ini sebuah EV tulen.
Terima kasih kepada penggunaan platform TNGA-C (kongsi dengan Corolla Cross), Innova Zenix ini sebenarnya sebuah MPV hibrid yang amat seronok untuk dipandu.
Berdasarkan pandu uji, Innova Zenix menawarkan kawalan olengan badan yang baik, ditambah pula dengan talaan suspensi yang memang sesuai sangat untuk keadaan jalan di sini, di mana ia mampu menyerap segala hentakan dengan baik tanpa melahirkan rasa kekasaran yang mampu mengganggu keselesaan penumpang di belakang.
Dengan kecekapan sistem hibrid Toyota, kadar penggunaan bahan api juga sangat baik di mana penulis nampaknya tidak perlu singgah ke stesen minyak dengan kerap seperti Corolla Cross GR Sport yang dipandu uji tempoh hari.
Akhir sekali, pakej keselamatan Toyota Safety Sense 3.0 yang didatangkan secara standard (termasuklah Amaran Pra-Pelanggaran, Kawalan Jelajah Radar Dinamik, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Papan Tanda, Amaran Lintasan Trafik Belakang) menjadikan Innova Zenix HEV ini antara model yang perlu dipertimbangkan untuk kesejahteraan keluarga sepanjang perjalanan.
Apa pula perkara yang kurang memuaskan pada Innova Zenix?
Tiada satu kereta yang sempurna segenap sudut tanpa sebarang kekurangan. Bagi kami, Innova Zenix ini juga mempunyai kelemahan yang tersendiri. Antaranya:
1. Harga jualan yang agak mahal
Ya, pada julat harga melebihi RM200,000 ia akan membuatkan banyak pihak melakukan kira-kira terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menempah.
Ini kerana pada julat harga yang disebutkan itu tadi, anda sebenarnya mempunyai beberapa alternatif yang memiliki rupa paras yang lebih cantik, serta spesifikasi yang lebih menyeluruh.
2. Rekaan luar mungkin bukan kegemaran ramai
Walaupun Innova Zenix ini secara relatifnya sebuah model yang agak moden, akan tetapi ia masih lagi dilihat mengekalkan elemen rekaan yang wujud pada model-model seperti Fortuner dan Innova yang lama.
Secara peribadi, penulis tidak mempunyai masalah besar, cuma rekaan tayar yang digunakan itu nampak agak kecil bila duduk dalam gerbang roda Innova.
Walaupun nampak terperosok, tapi ia merupakan ciri yang membuatkan Innova Zenix ini mampu mencapai radius putaran sekecil 5.67 meter, sangat berguna bila berada di kawasan yang sempit.
Eh kejap, ini poin baik atau kurang baik?
3. Sistem kamera keliling tipikal Toyota
Untuk sebuah MPV yang agak besar, kehadiran sistem kamera 360 darjah sememangnya sangat membantu pemandu untuk mengendalikan kenderaan ini dengan lebih baik.
Cuma sayang sekali, untuk sebuah kereta berharga RM200k, ia tidak didatangkan dengan sistem kamera dan ciri parkir 3D yang lebih tajam paparannya. Jadi agak sukar untuk mengagak kedudukan kereta ini dengan tepat bila di tempat parkir.
Kebanyakan masa, penulis lebih gemar menggunakan khidmat cermin sisi. Cara manual, jika dilakukan dengan betul akan menghasilkan keputusan yang lebih memuaskan hati.
Spesifikasi ringkas Toyota Innova Zenix HEV
Enjin hibrid empat silinder sebaris M20A-FXS
Kuasa enjin 152 PS @ 6,600 rpm, 188 Nm @ 4,400-5,200 rpm
Bateri NiMH 6.5 Ah
Kuasa keseluruhan 186 PS
Transmisi e-CVT
Sistem pacuan roda hadapan
Tiga mod pemanduan + mod EV
Suspensi topang MacPherson depan, torsion beam belakang
Dimensi 4,760 x 1,850 x 1,795 mm
Jarak antara roda 2,850 mm
Jarak kelegaan tanah 185 mm Harga RM202,000
Ucapkan selamat datang kepada Honda Freed generasi baharu, MPV bersaiz kecil dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk yang akan mula dijual di pasaran Jepun pada bulan Jun tahun ini.
Tidak seperti model terdahulu, Honda Freed generasi ketiga ini tampil dengan rekaan yang lebih minimalis, dan dalam masa yang sama terus menawarkan praktikaliti yang diperlukan oleh golongan pembelinya yang pelbagai.
1. Rekaan luar yang lebih ringkas
Sekali imbas, rekaan luaran Freed ini mengingatkan kita pada sebuah lagi model MPV bersaiz lebih besar, iaitu Honda Stepwgn.
Anda boleh lihat pendekataan rekaan yang lebih ringkas pada struktur keseluruhan Freed, dan dalam masa yang sama mengekalkan penawaran pintu gelangsar kiri dan kanan.
2. Nadi hibrid e:HEV
Tidak banyak informasi didedahkan oleh Honda berhubung unit rangkaian kuasa yang digunakan pada model Freed.
Apa yang pasti, Freed sah menerima unit enjin hibrid dengan sistem pacuan roda depan atau sistem pacuan semua roda (4WD).
Berkemungkinan besar ia merupakan unit hibrid 1.5 liter e:HEV yang sama digunakan pada model City e:HEV, City Hatchback e:HEV, Fit e:HEV dan HR-V e:HEV.
3. Dua stail badan
Sama seperti penawaran terdahulu, Honda Freed generasi ketiga boleh didapati dalam varian Air yang lebih kemas, atau varian Freed Crosstar yang dilengkapi dengan elemen SUV.
Secara standard, Honda Freed menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk dengan pilihan enam atau tujuh tempat duduk.
Sementara varian Freed Crosstar pula datang dalam pilihan tiga baris/enam tempat duduk atau dua baris/lima tempat duduk dengan ruang kargo yang lebih praktikal.
4. Ruang kabin nampak luas
Bergantung kepada spesifikasi, Honda Freed datang dengan kelengkapan seperti skrin kluster digital, serta tidak ketinggalan skrin infohibur bersaiz besar yang menyokong fungsi seperti Wi-Fi, kawalan jauh, sistem pemetaan dan kunci digital.
Seperti yang kita tahu, Honda merupakan pakar dalam menghasilkan ruang dalaman yang nampak luas.
Menurut Honda, ruang kabin Freed direka supaya penumpang dapat merasai keselesaan yang tersendiri.
Selain itu, Honda Freed nyata lebih praktikal untuk kegunaan keluarga dengan kehadiran dulang barangan kecil pada papan pemuka, rekaan lantai yang hampir rata, serta corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.
Tatkala ruang kabin Freed Air lebih mementingkan aspek kemewahan, ruang kabin Freed Crosstar pula menekankan penggunaan bahan yang lebih nampak lasak.
5. Ciri keselamatan Honda SENSING
Sama seperti model-model Honda yang lain, Honda Freed turut dilengkapi dengan ciri keselamatan Honda SENSING, merangkumi fungsi-fungsi seperti informasi titik buta, bantuan kesesakan trafik, sistem mitigasi brek pelanggaran, kawalan jelajah adaptif, serta bantuan suluhan tinggi automatik.
Tahukah anda, kira-kira 14 tahun yang lepas, Honda menawarkan model MPV kecil Honda Freed untuk pasaran Malaysia sebagai alternatif kepada Toyota Sienta.
Sayang sekali disebabkan permintaan yang kurang memberangsangkan, Honda Malaysia terpaksa menamatkan penjualan model tersebut, tanpa digantikan dengan model generasi kedua.
Menariknya, pengguna di sini masih boleh terus mendapatkan model pesaingnya Toyota Sienta sebelum jualan model tersebut turut ditamatkan pada tahun 2019.
ACARA Geneva Motor Show 2024 menyaksikan kemunculan Denza D9, sekali gus menandakan kemasukan sub-jenama itu ke dalam pasaran Eropah.
Untuk pengetahuan, Denza merupakan satu usaha sama antara BYD dan Mercedes-Benz. Pengaruh pengeluar kenderaan mewah dari Jerman itu boleh dilihat menerusi rekaan luaran dan dalaman mewah D9.
Spesifikasi untuk pasaran Eropah masih belum didedahkan namun ia dijangka tidak jauh berbeza dengan versi pasaran China, di mana ia ditawarkan dalam versi plug-in hybrid dan elektrik.
Versi PHEV menampilkan enjin petrol 1.5-liter yang menghasilkan 137 hp/231 Nm, dan motor elektrik tunggal dengan 228 hp/340 Nm pada gandar hadapan. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 296 hp/571 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.
Dengan penambahan motor elektrik gandar belakang, model AWD pula mempunyai kuasa sebanyak 401 hp/681 Nm dan pecutan 0-100 km/j yang lebih pantas iaitu 7.9 saat.
D9 versi elektrik pula dijana oleh motor elektrik gandar hadapan yang menghasilkan 308 hp dan 360 Nm. Versi ini memerlukan 9.5 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.
Pelanggan juga boleh mendapatkan model AWD yang mempunyai 369 hp dan 470 Nm. Output yang tinggi itu mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j kepada 6.9 saat sahaja.
Kedua-dua varian menggunakan bateri LFP Blade berkapasiti 103.4 kWj yang memberikan jarak pandu sekitar 600 km untuk model AWD dan 620 km untuk FWD. Angka adalah berdasarkan kitaran CLTC.
Seperti kebanyakan MPV mewah yang ada dalam pasaran sekarang, D9 mempunyai bentuk berkotak, pintu gelongsor elektrik dan gril yang besar – dengan rekaan berbeza untuk membezakan antara versi PHEV dan EV.
Ukurannya juga tidak jauh berbeza dengan pesaing-pesaing terdekatnya iaitu panjang 5,250 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,920 mm dan tapak roda 3,110 mm.
Dimensi yang besar itu (lebih besar daripada LM) memberikan D9 ruang dalaman yang luas, dengan hampir segenap ruang dibalut upholsteri kulit mewah.
D9 menggunakan konfigurasi 2-2-3 yang menampilkan kerusi kapten yang boleh digelongsor di barisan kedua. Banyak ciri mewah dimuatkan dalam ruang ini, antaranya termasuk sistem infohibur untuk penumpang belakang, panel kawalan untuk tempat duduk barisan kedua, peti sejuk dan sistem audio Dynaudio.
Menurut laporan, D9 akan dijual di pasaran Eropah bermula akhir tahun ini.
DINAMIKJAYA Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia, telah memperkenalkan Kia Carnival model tahun 2024.
Seperti sebelum ini, Carnival dipasang secara tempatan dan boleh didapati dalam konfigurasi tujuh, lapan dan 11 tempat duduk. Bagaimanapun, bilangan varian yang ditawarkan telah dikurangkan daripada empat kepada tiga iaitu:
2.2L 11 tempat duduk – RM198,500
2.2L 8 tempat duduk – RM245,888
2.2L 7 tempat duduk – RM259,888
Ketiga-tiga varian dikuasakan oleh enjin 2.2-liter turbodiesel yang menghasilkan 199 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm.
Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda hadapan.
Apa yang baharu dengan model tahun 2024 ini? Menurut Dinamikjaya, penampilan Carnival tujuh dan lapan tempat duduk kini dipertingkatkan dengan rim aloi 19 inci berwarna hitam dan upholsteri leatherette hitam dan kelabu.
Selain itu, kedua-dua varian berkenaan mengekalkan ciri-ciri premium yang ditawarkan sebelum ini seperti lampu nyalaan siang LED, bumbung suria berkembar, Smart Power Sliding Door dan Smart Power Tailgate.
Bukan itu sahaja, ciri pemanas dan penyejuk tempat duduk, lampu dalaman LED dan Surround View Monitor turut dikekalkan. Bagaimanapun, kerusi Premium Relaxation hanya tersedia pada varian tujuh tempat duduk yang mempunyai konfigurasi 2-2-3.
Sementara itu, Carnival 11 tempat duduk terus menawarkan empat barisan tempat duduk dengan konfigurasi 2-3-3-3, sesuai untuk mereka yang mempunyai keluarga yang besar.
Untuk sistem infohibur, Carnival didatangkan dengan skrin sentuh berukuran 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta beberapa ciri kemudahan lain seperti pengecas wayarles, Bluetooth dan tujuh port pengecas USB.
Sistem keselamatan untuk varian tujuh dan lapan tempat duduk telah dipertingkatkan menerusi penambahan satu ciri baharu iaitu Blind-Spot View Monitor (BVM).
Untuk makluman, Carnival dipasang secara tempatan di kilang pemasangan Inokom di Kulim, Kedah. Untuk model tahun 2024, terdapat empat warna yang boleh dipilih iaitu Astra Blue, Snow White Pearl, Meteor Gray dan Jet Black.
Tempahan untuk MPV ini telah pun dibuka dan setiap pembelian didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaran berjadual percuma selama lima tahun/100,000 km.