Mitsubishi Xpander 2024 facelift, dua varian, harga dari RM99,980
Model MPV tujuh tempat duduk yang ditunggu-tunggu akhirnya sudah pun dilancarkan secara rasmi oleh Mitsubishi Motors Malaysia, iaitu Mitsubishi Xpander 2024 facelift.
Xpander baru ini masih lagi mengekalkan enjin empat silinder sebaris 1,499 cc MIVEC yang mampu menghasilkan 105 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 141 Nm @ 4,000 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik 4 nisbah kelajuan, tidak seperti model Xpander pasaran luar yang sudah pun dilengkapi dengan kotak gear CVT.
Dari segi ukuran, Xpander facelift ini membawakan dimensi sepanjang 4,475 mm, lebar 1,750 mm, tinggi 1,730 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,775 mm.
Ia juga turut menawarkan radius putaran sekecil 5.2 meter, serta jarak kelegaan tanah 225 mm, antara yang terbaik dalam kelasnya.
Terdapat dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Xpander dan Xpander Plus.
Secara standard, kedua-dua varian dilengkapi dengan unit lampu utama (depan dan belakang) berbentuk T yang lebih moden, lampu nyalaan siang LED, cermin sisi boleh lipat, serta rim aloi bersaiz 17 inci dua tona.
Untuk ruang kabin pula, kedua-dua varian datang dengan ciri seperti skrin kluster digital 4.2 inci TFT, skrin tengah sebesar sembilan inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, butang kawalan iklim digital automatik, roda stereng rekaan baharu dengan larasan empat tahap, serta enam pembesar suara.
Varian asas hanya dilengkapi dengan kemasan hitam pada bampar, diikuti tempat duduk balutan fabrik serta kamera undur.
Manakala varian Xpander Plus pula mendapat tambahan ciri seperti berikut:
-tempat duduk balutan leatherette
-sistem kamera keliling 360 darjah
-kamera perakam video pemanduan depan belakang
-slot pengecasan peranti tanpa wayar
-visor pintu
-spoiler belakang
–scuff plate
-kemasan perak pada bampar depan dan belakang
Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah dua beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Auto Hold, Bantuan Bula Mendaki, Kawalan Cengkaman (TC), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Lampu Berhenti Kecemasan (ESS), peringatan tali pinggang keledar, serta cagak ISOFIX.
Untuk pasaran Malaysia, Mitsubishi Xpander 2024 facelift dijual pada harga bermula dari RM99,980 hingga RM109,980 untuk tempoh terhad sehingga 31 Disember 2024.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.