Chery Malaysia tawar diskaun eksklusif untuk atlet Olimpik, Paralimpik
Chery Malaysia mengumumkan penawaran diskaun eksklusif sehingga 50% untuk model-model keluarannya bagi meraikan pencapaian atlet Malaysia di Sukan Olimpik dan Paralimpik di Paris baru-baru ini.
Menurut syarikat itu, pemenang pingat emas layak mendapat diskaun 50% untuk Tiggo 8 Pro, Omoda 5, dan Omoda E5.
Pemenang pingat perak dan atlet yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akhir pula akan menikmati diskaun 30% sehingga untuk model-model yang sama.
Selain itu, semua atlet Malaysia yang layak bersaing di Sukan Olimpik dan Paralimpik di Paris akan menikmati diskaun 15% untuk rangkaian kenderaan Chery yang sama.
Chery Malaysia dalam satu kenyataan berkata, ini merupakan penglibatan pertamanya dalam menyokong sukan Malaysia sejak kemasukannya ke pasaran tempatan.
“Sebagai pemain baru dalam landskap automotif Malaysia, kami amat berbesar hati dapat menyokong para atlet tempatan Malaysia.
“Ketabahan, keazaman, dan semangat juang mereka memberi inspirasi kepada kita semua, dan kami berharap dapat terus memberi galakan kepada semua atlet sukan Malaysia,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.
Chery turut menekankan kepentingan untuk menyokong atlet kurang upaya, yang telah menunjukkan prestasi luar biasa serta telah mencerminkan semangat ketahanan dan kecemerlangan di sukan Paralimpik baru-baru ini.
Syarikat automotif itu berharap dapat melihat lebih ramai lagi atlet Malaysia layak ke Sukan Olimpik Musim Panas 2028, mencerminkan kekuatan negara yang semakin berkembang dalam sukan di peringkat global.
“Kami amat berbangga dengan keputusan kontinjen Malaysia di Paris. Kejayaan mereka memberi tumpuan kepada kuasa dedikasi, kerja keras, dan kebanggaan negara.
“Sukan memegang tempat istimewa dalam hati setiap rakyat Malaysia, menyatukan dan membangkitkan rasa bangga apabila kita bersama sebagai satu pasukan, satu negara.
“Di Chery Malaysia, kami memahami kuasa transformatif sukan dan kami komited sepenuhnya untuk memupuk bakat tempatan, memastikan atlet Malaysia mendapat sokongan yang diperlukan untuk menyerlah di pentas dunia,” tambah Michael.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.