Arkib Tag: mercedes-amg petronas

Dua anak Malaysia ini adalah jurutera bendalir litar pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas

SIAPA sangka di sebalik prestasi cemerlang pasukan Formula Satu (F1) Mercedes-AMG Petronas, terdapat tenaga anak Malaysia di bahagian teknikalnya.

Dua anak tempatan, Wan Mohd Saifullah Wan Saudi dan Emil Johan Bernsten dipertanggungjawabkan bagi menggalas tugas sebagai jurutera bendalir litar Petronas (PTFE) bagi tahun ini.

Tugas mereka adalah menganalisis bahan api dan minyak pelincir dalam masa yang singkat untuk digunakan jentera F1 pasukan itu supaya enjinnya sentiasa berada pada prestasi optimum.

Jadi, Wan Mohd Saifullah dan Emil Johan akan mengikut pasukan Mercedes-AMG Petronas ke semua 24 perlumbaan seluruh dunia, bermula di Bahrain pada 2 Mac depan.

Wan Mohd Saifullah, 36, dilantik sebagai PTFE pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas sejak Mei tahun lepas, manakala Emil, 26, pula telah memulakan kerjaya itu pada Mei 2022.

Wan Mohd Saifullah berkata, beliau dan Emil secara umum ditugaskan untuk melakukan sokongan teknikal dan analisis kimia terhadap kira-kira 150 sampel bahan api serta minyak pelincir yang digunakan kereta lumba F1 Mercedes-AMG Petronas sebelum dan selepas setiap perlumbaan.

Katanya, analisis itu penting supaya ia mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), selain memastikan keputusannya tepat yang dapat menyumbang kepada prestasi enjin kereta lumba F1 pada tahap optimum sekali gus mengurangkan kadar kesilapan yang berlaku pada setiap sesi latihan, kelayakan dan hari perlumbaan.

“Sebagai contoh, semasa kereta lumba F1 memanaskan enjinnya sebelum digunakan di litar, saya akan mengambil (analisis) sampel minyak pelincir yang digunakan dan daripada itu saya dapat tahu berapa kandungan logam tertentu yang ada dalamnya.

“Jika keputusan analisis lambat dan mendapati ada berlaku kerosakan, pasukan jurutera lain tidak dapat menukar ganti barang-barang yang rosak itu dengan secukup masa, dan jika ini berlaku ia akan menjejaskan kereta lumba F1 dalam keadaan terbaik pada hari perlumbaan,” katanya.

Wan Mohd Saifullah berkata, setiap kali perlumbaan beliau perlu menjalankan analisis utama yang melibatkan bahan api Petronas Primax, minyak pelincir Petronas Syntium, minyak pelincir transmisi Petronas Tutela dan minyak hidraulik Petronas Tutela.

Selain itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Kelantan itu turut menganalisis serta mengurus minyak pelincir dan bahan api bagi pasukan F1 lain yang menggunakan enjin Mercedes seperti pasukan F1 McLaren, Aston Martin dan Williams.

“Walaupun perlu menyediakan keputusan analisis dengan cepat dan tepat, dengan disiplin berpasukan dan perancangan yang teliti, apa jua cabaran yang ditempuhi berjaya ditangani sekali gus menghasilkan keputusan yang positif kepada pasukan,” katanya.

Sementara itu, Emil menyifatkan berada dan bekerjasama dalam pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas adalah sesuatu yang menakjubkan dan ia adalah peluang yang hanya datang sekali dalam seumur hidup.

“Sememangnya peluang yang seronok untuk saya bekerja dalam dunia kereta lumba F1. Saya bukan sahaja dapat belajar secara teknikal melalui pengalaman yang diperoleh di litar, tetapi juga teruja menjadi sebahagian dan melihat bagaimana budaya pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas beroperasi.

“Mereka sentiasa bersama berusaha untuk cemerlang dalam setiap perkara yang dilakukan,” tambahnya.

Syabas buat Wan Mohd Saifullah dan Emil kerana berpeluang bersama pasukan F1 terulung dunia. Teruskan mengharumkan nama negara!

George Russell dijemput Petronas untuk sesi perkongsian dengan pelajar

PETRONAS Lubricants International (PLI) baru-baru ini telah menjemput George Russell, salah seorang pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula 1 untuk sesi perkongsian dengan pelajar-pelajar universiti tempatan.

Acara yang dinamakan ‘Success on the Fast Lane’ itu ialah sebahagian dari usaha PLI untuk memberi inspirasi kepada pemimpin-pemimpin masa depan dengan perkongsian pengalaman sebenar dari mereka yang terlibat dalam industri.

Acara itu diadakan di 360 Hall, Petronas Leadership Centre (kampus baharu) di Bangi, Selangor dan telah dihadiri lebih 200 pelajar dari Universiti Malaya, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi MARA, Taylor’s University dan Sunway University.

Kelihatan para pelajar cukup teruja semasa George berjalan masuk, menantikan sesi perkongsian eksklusif tentang kehidupan seorang pemandu F1, termasuklah bagaimana beliau mengharungi cabaran dalam industri penuh tekanan ini.

George Russell berkongsi, “Ia memerlukan kesungguhan untuk terus mengejar minat anda. Walaubagaimanapun, penting juga untuk tetap mengingati matlamat anda dan kekal fokus untuk mencapainya.”

“Ia juga penting untuk bersedia berubah mengikut perubahan persekitaran – ini terbukti bukan sahaja dalam litar dimana suasana perlumbaan boleh berubah dalam sekelip mata, tetapi juga dalam kehidupan seharian.

“Saya gembira dapat berkongsi pengalaman dan pengajaran yang dipelajari, dan diharap saya memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar di sini untuk terus mengejar minat mereka,” katanya.

‘Success on the Fast Lane’ ialah lanjutan dari siri oleh PLI bertajuk ‘Shaping Industry-ready Graduates’ yang bermula pada 2021.

Siri ini sebahagian dari usaha Petronas untuk mempersiapkan pada graduan dalam industri automotif, khasnya penting bagi pelajar Malaysia yang telah menghabiskan lebih setahun belajar secara maya semasa waktu pandemik.

Petronas merupakan rakan kongsi komersial dan teknikal bagi pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One Team. Mereka membekalkan bendalir dan bahan api seperti rangkaian Primax, Syntium, dan Tutela.

Max Verstappen juara F1 2021 selepas potong Lewis Hamilton di pusingan akhir!

MAX Verstappen muncul juara dunia Formula 1 (F1) 2021 setelah memotong Lewis Hamilton di Abu Dhabi Grand Prix yang mendebarkan dan penuh kontroversi.

Kejuaraan Verstappen itu sekaligus menamatkan dominasi Hamilton selama empat tahun berturut-turut sejak 2017 hingga 2020.

Verstappen pada mulanya ketinggalan 10 saat di belakang Hamilton dengan perlumbaan berbaki lima pusingan. Hamilton sudah hampir pasti merangkul kejuaraannya yang ke-8 tetapi satu insiden melibatkan Nicolas Latifi mengubah sepenuhnya plot perlumbaan.

Safety Car keluar dan meninggalkan litar di pusingan terakhir, menyaksikan persaingan sengit satu pusingan akhir dimana Verstappen memotong Hamilton dengan kemenangan luar jangkaan.

Perlumbaan penuh kontroversi

Imej: Dutch News

Perlumbaan akhir bagi musim 2021 ini penuh dengan kontroversi dan drama dengan persoalan utama adakah Hamilton akan menjadi juara dunia untuk kali ke-8 atau Verstappen menjadi juara dunia untuk kali pertama.

Verstappen mempunyai kemenangan lebih banyak dalam musim ini berbanding Hamilton, jadi pelumba Belanda itu akan menjadi juara dunia secara automatik sekiranya dia dan Hamilton gagal menamatkan perlumbaan.

Perlumbaan bermula dengan sangat baik Hamilton dimana dia memotong Verstappen di pusingan pertama, tetapi pemandu Red Bull itu semestinya terus memberi saingan.

Verstappen kemudian cuba merampas kedudukan pertama dengan memotong di sebelah dalam dan Hamilton cuba mempertahankannya dan berjaya kekal di depan.

Pasukan Red Bull kurang berpuas hati dengan tindakan Hamilton tetapi pihak FIA menetapkan tiada tindakan diperlukan setelah melihat semula insiden itu.

Hamilton terus jauh ke depan tetapi selepas dia dan Verstappen masuk ke pit, pelumba British itu ‘terperangkap’ di belakang rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez yang bertindak dengan baik cuba melengahkan Hamilton.

Verstappen kemudian ‘datang’ dari belakang dan setelah Perez dipotong oleh kedua-dua pelumba, jarak Hamilton hanya tinggal dua saat sahaja di depan Verstappen.

Dengan perlumbaan berbaki 20 pusingan, Verstappen masuk ke pit untuk kali kedua, dan Mercedes tidak memanggil Hamilton masuk.

Verstappen menyertai semula perlumbaan dengan 17 saat di belakang Hamilton, dan 10 saat jarak dalam lima pusingan terakhir. Pada saat ini, hampir pasti bahawa Hamilton akan menjadi juara.

Kemudian plot berubah apabila Nicholas Latifi (Williams) terbabas dan menghentam penghadang jalan, memaksa Safety Car masuk ke dalam litar sekali lagi.

Verstappen masuk ke pit semula dan harapannya untuk menjadi juara semakin tenggelam apabila pengawal perlumbaan memaklumkan kereta yang tertinggal satu pusingan tidak akan dibenarkan memotong Safety Car.

Ini bermakna pelumba berusia 24 tahun itu perlu melepasi beberapa kereta sebelum ‘sampai’ ke Hamilton dalam pusingan akhir.

Kemudian arahan berubah; dimana pengarah perlumbaan FIA, Michael Masi memaklumkan kereta yang tertinggal pusingan boleh memotong Safety Car.

Sambil bos Mercedes, Toto Wolff berteriak di radio, “Tidak Michael, tidak”.

Ini meletakkan Verstappen di belakang Hamilton semula dalam pusingan terakhir. Tetapi kali ini, Verstappen mempunyai tayar baharu yang mencengkam manakala Hamilton masih dengan tayar lama.

Verstappen memotong Hamilton di selekoh kelima dan terus meninggalkan pelumba Mercedes itu untuk menjuarai perlumbaan, sekaligus menjadi juara dunia F1 musim 2021.

Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 walaubagaimanapun kekali sebagai juara kategori pengeluar.