fbpx

Dua anak Malaysia ini adalah jurutera bendalir litar pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas

jurutera bendalir f1 – the star

SIAPA sangka di sebalik prestasi cemerlang pasukan Formula Satu (F1) Mercedes-AMG Petronas, terdapat tenaga anak Malaysia di bahagian teknikalnya.

Dua anak tempatan, Wan Mohd Saifullah Wan Saudi dan Emil Johan Bernsten dipertanggungjawabkan bagi menggalas tugas sebagai jurutera bendalir litar Petronas (PTFE) bagi tahun ini.

Tugas mereka adalah menganalisis bahan api dan minyak pelincir dalam masa yang singkat untuk digunakan jentera F1 pasukan itu supaya enjinnya sentiasa berada pada prestasi optimum.

Jadi, Wan Mohd Saifullah dan Emil Johan akan mengikut pasukan Mercedes-AMG Petronas ke semua 24 perlumbaan seluruh dunia, bermula di Bahrain pada 2 Mac depan.

Wan Mohd Saifullah, 36, dilantik sebagai PTFE pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas sejak Mei tahun lepas, manakala Emil, 26, pula telah memulakan kerjaya itu pada Mei 2022.

Wan Mohd Saifullah berkata, beliau dan Emil secara umum ditugaskan untuk melakukan sokongan teknikal dan analisis kimia terhadap kira-kira 150 sampel bahan api serta minyak pelincir yang digunakan kereta lumba F1 Mercedes-AMG Petronas sebelum dan selepas setiap perlumbaan.

Katanya, analisis itu penting supaya ia mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), selain memastikan keputusannya tepat yang dapat menyumbang kepada prestasi enjin kereta lumba F1 pada tahap optimum sekali gus mengurangkan kadar kesilapan yang berlaku pada setiap sesi latihan, kelayakan dan hari perlumbaan.

“Sebagai contoh, semasa kereta lumba F1 memanaskan enjinnya sebelum digunakan di litar, saya akan mengambil (analisis) sampel minyak pelincir yang digunakan dan daripada itu saya dapat tahu berapa kandungan logam tertentu yang ada dalamnya.

“Jika keputusan analisis lambat dan mendapati ada berlaku kerosakan, pasukan jurutera lain tidak dapat menukar ganti barang-barang yang rosak itu dengan secukup masa, dan jika ini berlaku ia akan menjejaskan kereta lumba F1 dalam keadaan terbaik pada hari perlumbaan,” katanya.

Wan Mohd Saifullah berkata, setiap kali perlumbaan beliau perlu menjalankan analisis utama yang melibatkan bahan api Petronas Primax, minyak pelincir Petronas Syntium, minyak pelincir transmisi Petronas Tutela dan minyak hidraulik Petronas Tutela.

Selain itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Kelantan itu turut menganalisis serta mengurus minyak pelincir dan bahan api bagi pasukan F1 lain yang menggunakan enjin Mercedes seperti pasukan F1 McLaren, Aston Martin dan Williams.

“Walaupun perlu menyediakan keputusan analisis dengan cepat dan tepat, dengan disiplin berpasukan dan perancangan yang teliti, apa jua cabaran yang ditempuhi berjaya ditangani sekali gus menghasilkan keputusan yang positif kepada pasukan,” katanya.

Sementara itu, Emil menyifatkan berada dan bekerjasama dalam pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas adalah sesuatu yang menakjubkan dan ia adalah peluang yang hanya datang sekali dalam seumur hidup.

“Sememangnya peluang yang seronok untuk saya bekerja dalam dunia kereta lumba F1. Saya bukan sahaja dapat belajar secara teknikal melalui pengalaman yang diperoleh di litar, tetapi juga teruja menjadi sebahagian dan melihat bagaimana budaya pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas beroperasi.

“Mereka sentiasa bersama berusaha untuk cemerlang dalam setiap perkara yang dilakukan,” tambahnya.

Syabas buat Wan Mohd Saifullah dan Emil kerana berpeluang bersama pasukan F1 terulung dunia. Teruskan mengharumkan nama negara!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved