fbpx

Senarai hitamkan kenderaan Singapura langgar peraturan jalan raya Malaysia – PPJK

konvoi singapura halang lalu lintas 03

KERAJAAN dicadangkan supaya menyenarai hitamkan pengguna jalan raya Singapura yang melanggar peraturan jalan raya di Malaysia.

Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, selain itu, denda yang dikenakan perlu ditingkatkan dan setimpal dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan.

“Saya mencadangkan pengguna jalan raya Singapura yang lakukan kesalahan tidak boleh masuk memandu dalam Malaysia dalam tempoh setahun.

“Kenderaan harus disenarai hitamkan terus dan tidak boleh dibenar masuk,” katanya kepada Harian Metro.

Baru-baru ini dilaporkan, penunggang motosikal melambung selepas merempuh kereta dipandu warga asing yang menukar laluan secara tiba-tiba di Kilometer 123.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah Yong Peng, Batu Pahat.

Selain itu, seorang lelaki warga Singapura yang terbabit dalam pergaduhan menggunakan tongkat kayu di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh telah didenda sebanyak RM5,500.

Mengulas lanjut, Fahami Ashrof berkata, dari segi denda, pihaknya mencadangkan ia dikenakan sebanyak RM20,000 kepada mereka yang melanggar peraturan jalan raya.

“Tak kiralah pemandu luar (atau) dalam negara sendiri yang melanggar undang-undang. Denda itu harus tinggi supaya menjadi pengajaran dan tidak dilakukan semula oleh samseng jalan raya ini,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas itu perlu bagi memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya warga Singapura yang masuk ke dalam negara ini.

“Kerajaan harus bertindak lebih efektif dalam mengekang salah laku yang dilakukan oleh pengguna jalan raya dari Singapura dan mereka menggunakan lebuh raya sebagai satu tempat yang sewenang-wenangnya untuk berlumba serta tidak mengikut undang-undang kita,” katanya.

Fahami Ashrof berkata, kerajaan juga disaran untuk meningkatkan kesiapsiagaan dengan memberitahu pengguna jalan raya dari negara luar seperti Thailand, Singapura atau Brunei yang mahu memasuki ke dalam negara ini agar peka dengan undang-undang.

“Ini disebabkan mungkin penggunaan jalan raya itu berbeza antara sesebuah negara. Sebagai contoh, Malaysia kita menitik beratkan soal penggunaan jalan raya yang lebih efisien,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved