Arkib Tag: m3

BMW 3.0 CSL dengan enjin 6-silinder paling berkuasa, manual 6-kelajuan

TAHUN ini nampaknya BMW meraikan ulangtahun jenama M yang ke-50 dengan beberapa model ikonik seperti M4 CSL dan M2 baharu.

Dan yang terakhir mungkin sebagai penutup, BMW M memperkenalkan pula 3.0 CSL. Ia sebagai penghormatan kepada CSL (atau nama penuhnya Coupe Sport Lightweight) asal dari 1970an, dan dikatakan sebagai “model istimewa paling eksklusif” dalam sejarah M.

Gril kidney yang unik diambil dari konsep 3.0 CSL Hommage 2015, tetapi diolah semula dengan corak berlian, dan lingkaran luarannya menerima kemasan satin aluminium.

Terdapat ruang kemasukan udara yang besar di bampar depan untuk penyejukan enjin dan brek. Kemudian corong udara di atas hud pula mirip model CSL 1970.

BMW 3.0 CLS 2023 ini mendapat lampu depan laser dari M4 CSL dengan kemasan kuning yang sama, inspirasi dari jentera lumba GT3. Di bahagian sisi, paling menyerlah ialah fender kembung yang menjadi identity CSL, serta rim bersaiz 20-inci di depandan 21-inci di belakang, dengan centerlock.

Rim bercorak Y ini dibaluti oleh tayar Michelin dengan tulisan “50” untuk menandakan ulangtahun jenama itu. Dan pelengkap gaya luaran ini ialah spoiler besar seperti Batmobile, yang juga diinspirasikan dari model klasik yang asal.

BMW 3.0 CSL ini hadir dengan warna khas Alpine White Uni dengan grafik M tradisional. Ia dikuasakan oleh enjin 3.0-liter 6-silinder paling berkuasa pernah dikeluarkan oleh Bavaria.

Enjin ini menghasilkan 553hp dan 550Nm tork, dan output disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear manual 6-kelajuan dan differential M.

Ciri lain termasuklah brek karbon-seramik, suspensi adaptif M, penyerap hentak kawalan elektronik, tempat duduk bucket karbon, trim pintu CFRP, dan tombol gear berwarna putih.

Hanya 50 unit 3.0 CSL ini akan dikeluarkan, dan setiap unit mendapat nombor siri khas. Menurut BMW, cat putih pada kereta ini memerlukan proses khas manakala komponen CFRP pula dihasilkan dengan tangan.

BMW M3 Touring akhirnya direalisasikan – wagon dengan 510hp, 0-100 dalam 3.6 saat

BMW M nampaknya benar-benar sibuk dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-50. Selepas memperkenalkan M4 CSL pada bulan lalu, divisyen itu kini mempersembahkan pula model yang tidak kurang istimewanya iaitu M3 Touring.

Percaya atau tidak, ini merupakan kali pertama M3 ditawarkan dalam bentuk wagon, 36 tahun selepas kemunculan E30.

Selain mempunyai bentuk badan wagon yang konvesional serta bumbung yang lebih panjang, penampilan M3 Touring boleh dikatakan sama sahaja dengan versi sedan.

Ini bermakna bahagian luarannya diserlahkan dengan elemen-elemen yang spesifik kepada M seperti lubang udara sisi yang besar, gerbang roda lebar dan muncung ekzos quad yang ditempatkan di dalam diffuser.

Sama juga dengan bahagian dalaman, di mana jentera ini hadir dengan tempat duduk M Sport yang dibalut upholsteri kulit Merino, stereng M dengan butang mod M1 dan M2, dan paparan melengkung yang merangkumi panel instrumen 12.3-inci dan skrin sentuh 14.9-inci.

Pelanggan mempunyai pilihan untuk mendapatkan tempat duduk bucket M Carbon yang menggunakan material CFRP pada bahagian belakang. Menurut BMW, kerusi jenis ini 9.6kg lebih ringan berbanding kerusi M Sport standard.

Tempat duduk belakang M3 Touring boleh memuatkan tiga penumpang dan boleh dilipat rata dalam konfigurasi 40:20:40. Dengan cara ini, kapasiti ruang but akan meningkat dari 500 kepada 1,510 liter.

M3 Touring hanya boleh didapati dalam versi Competition, bermakna ia mempunyai 510PS dan 650Nm yang dibekalkan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris dengan dua pengecas turbo.

Dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan M xDrive, ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 3.6 saat dan 0 hingga 200km/j dalam 12.9 saat.

Jika dilengkapi dengan pakej M Driver’s, kelajuan maksimum boleh ditingkatkan dari 250km/j kepada 280km/j.

Memandangkan model ini mempunyai bentuk wagon yang lebih besar dan berat, sistem suspensi Adaptive M dan komponen-komponen berkaitan telah ditala semula.

Selain itu, ia didatangkan dengan rim dan sistem brek yang sama dengan M3 Competition sedan. Seperti model itu juga, brek karbon seramik ditawarkan sebagai opsyen.

BMW tidak memberitahu secara spesifik jika M3 Touring akan ditawarkan secara global namun menurut laporan, syarikat itu akan menumpukan kepada pasaran-pasaran seperti UK, Eropah, Korea Selatan, Jepun, New Zealand dan Australia.

BMW Malaysia mencari pemilik BMW M tertua sempena sambutan ulangtahun ke-50

BMW M GmbH akan menyambut ulangtahun yang ke-50 pada Selasa depan, 24 Mei 2022. Dan untuk itu, BMW Group Malaysia akan menyertai sambutan itu dengan mencari pemilik BMW M tertua di negara ini.

Sebelum itu, sedikit latar belakang. BMW M dikatakan sebagai “huruf paling berkuasa di dunia”, dengan penghasilan jentera-jentera berprestasi tinggi dan jentera lumba yang mendominasi litar-litar seluruh dunia.

Ianya bermula dengan penubuhan divisyen BMW Motorsport GmbH pada sekitar 1972 dan menjadi elemen penting dalam BMW Group memandangkan mereka mampu menggabungkan fungsi perlumbaan dengan rupa sporti untuk sesebuah kenderaan.

Pasukan ini bermula dengan projek 3.0 CSL yang dibina untuk European Touring Car Championship. Jentera ini terus mendominasi perlumbaan ini setiap tahun dari 1975 hingga 1979.

BMW 3.0 CSL juga menjadi dua model pertama di BMW Art Cars yang dicat oleh artis terkenal Alexander Calder dan Frank Stella.

Sehingga hari ini, BMW M telah menghasilkan pelbagai jentera berprestasi tinggi yang seronok dipandu, bermula M1, M2, M3, M4, M5, M6, M8, termasuk SUV mereka X3 M, X4 M, X5 M dan X6 M.

Berbalik kepada pencarian BMW M tertua di Malaysia, BMW Malaysia mencari model BMW M tertua dalam setiap siri.

Jika anda adalah pemilik atau anda mengenali pemilik berkenaan, anda boleh hantarkan butiran di pautan ini.

Dan ada pemenang! Ya, pemenang berpeluang memenangi barangan BMW M eksklusif dan kenderaan mereka akan dipamerkan oleh BMW Group Malaysia. Mereka yang bukan pemilik tetapi menghantar butiran yang betul juga akan memenangi hadiah.

Tarikh tutup penghantaran/penyertaan adalah pada 8 Jun 2022 ini.

Polis Australia guna BMW M3 Competition untuk penilaian, lebih kuasa 480hp

GRIL ‘kidney’ yang terlebih besar menyebabkan BMW M3 generasi G80 terjerumus dalam kontroversi sejak hari pertama ia diperkenalkan. Ada yang boleh menerima penampilan unik itu dan tidak kurang juga yang menganggap ia sebagai sesuatu yang jelik.

Namun, walau apa pun tanggapan anda terhadap sedan berprestasi tinggi itu, tidak dapat dinafikan yang ia kelihatan lebih garang dan menggerunkan dengan livery polis dan bar lampu merah dan biru.

Terbaru, pasukan polis Australia telah mengumumkan ketibaan sebuah M3 Competition sebagai ‘anggota’ terbaru pasukannya. Model itu menyertai BMW 530d, Mercedes-Benz E400d dan Volkswagen Passat R-Line dalam barisan kereta peronda lebuhraya polis daerah Victoria.

M3 Competition secara asasnya merupakan versi yang lebih berkuasa berbanding M3 ‘standard’. Ia dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang sama namun kuasanya telah dipertingkatkan dari 480PS dan 550Nm kepada 510PS dan 650Nm.

Dengan transmisi M Steptronic lapan-kelajuan, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.9saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j.

Di Australia, M3 Competition dijual pada harga AUD154,471 (kira-kira RM463,889) namun kehadirannya dalam skuad polis Australia langsung tidak membabitkan wang cukai rakyat kerana menurut laporan, kereta itu dipinjamkan sementara oleh BMW untuk proses penilaian.

Ini bukanlah kali pertama BMW meminjamkan kereta mereka kepada polis Australia. Dua tahun yang lalu, pasukan itu menerima sebuah BMW M5 Competition yang turut dijadikan sebagai kereta peronda lebuhraya untuk kontinjen Victoria.

Selain itu, antara kenderaan berkuasa tinggi yang pernah digunakan oleh polis Australia termasuklah Kia Stinger, Lexus RC-F, Honda Civic Type-R dan Holden Commodore SS.

BMW M3 tular dengan livery polis, kenderaan pengiring VIP terbaharu?

TULAR pagi ini di media sosial dan aplikasi sembang dengan gambar-gambar sebuah BMW M3 G80 yang ‘memakai’ livery atau pelekat seragam polis.

Unit kereta peronda ini dikatakan akan menjadi ahli baharu dalam Polis High Performance dan disokong oleh beberapa unit BMW X3 dan Volkswagen Tiguan.

Menurut rakan media kami di Funtasticko, ura-ura mengatakan kereta peronda Polis High Performance ini bakal menjadi kenderaan pengiring untuk orang-orang kenamaan (VVIP).

Sementara itu, rakan kami di Autobuzz pula berkongsi dua video yang memaparkan sedan sport M3 dan SUV X3 itu sedang dipandu di kawasan tertutup melakukan drifting dan pemanduan prestasi.

Kami syak anggota polis yang akan memandu jentera-jentera ini sedang menjalani latihan pemanduan lanjutan (advanced driving) bagi membolehkan mereka mengendalikan kenderaan sebaiknya.

 

Jika benar, BMW M3, X3 dan Tiguan ini akan menyertai armada kenderaan pengiring polis yang sebelum ini terdiri dari Mitsubishi Lancer Evo X (Skuad Helang PDRM) dan Honda Civic Type-R.

Pada 2019, Civic Type-R telah dihadiahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah oleh pihak Honda Malaysia sebagai meraikan hari keputeraannya.

BMW M3 generasi G80 dikuasakan oleh enjin 3.0-liter 6-silinder twin-turbo yang mampu menghamburkan 480hp dan 550Nm tork.

Output dihantar ke roda belakang dengan transmisi automatik Steptronic 8-kelajuan. Harga asas bagi model ini adalah sekitar RM664,800.

BMW M3 dan M4 Competition mendarat di Malaysia, 510hp, dari RM640k

SEDAN prestasi tinggi BMW kini telah tiba di Malaysia, bukan sebuah, tetapi sepasang iaitu M3 dan M4 Competition.

Harga adalah seperti berikut:

BMW M3 Competition

Harga: RM639,664 (RM664,800 sebelum pengecualian cukai SST)

Harga dengan jaminan lanjutan: RM691,040

BMW M4 Competition

Harga: RM659,357 (RM684,800 sebelum pengecualian cukai SST)

Harga dengan jaminan lanjutan: RM711,040

Jika dilihat pada harga, pengecualian cukai SST bermakna anda boleh mendapat penjimatan sehingga RM25,443. Jaminan lanjutan pula merangkumi pakej dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis 5-tahun.

Kedua-dua BMW G80 M3 Competition dan G82 M4 Coupe Competition adalah hampir serupa dari segi mekanikal. Perbezaan utama adalah dari segi gaya badan; M3 ialah sedan empat-pintu manakala M4 ialah coupe dua-pintu.

BMW M3 dan M4 Competition dikuasakan oleh enjin 3.0-liter turbo S58, 6-silinder sebaris yang menjana 510hp dan 650Nm tork. Dengan kotak gear M Steptronic 8-kelajuan, pecutan 0-100 dapat dicapai dalam 3.9 saat sahaja.

M3 G82 dan M4 G82 generasi terkini hadir dengan gaya lebih agresif, menampilkan gril kidney menegak kemasan hitam, dan warna sama juga didapati pada lip depan, pemijak tepi, penutup cermin sisi, spoiler, serta diffuser. Bumbung pula adalah gentian karbon berwarna hitam Shadow Line, sebahagian dari BMW Individual.

Kelengkapan luaran lain adalah lampu LED, ekzos krom hitam, rim 19-inci depan dan 20-inci belakang dengan rekaan 826 M bicolour, dan tayar 275/35 depan serta 285/30 belakang.

Selain itu, kelengkapan standard pada M3 dan M4 adalah suspensi Adaptive M, pembeda M Sport, M Drive Professional dengan 10 tahap Traction Control, pengira catatan masa, dan drift analyser.

Bahagian kabin M3 dan M4 pula dilengkapi kemasan kulit Merino hitam, tempat duduk M Sport, stereng M, pedal kaki M, pendingin hawa tiga-zon, Comfort Access, paparan instrumen digital 12.3-inci, dan unit infotainmen Navigation Professional 10.25-inci.

Untuk pasaran Malaysia, BMW M3 dan M4 boleh dipilih dengan tujuh warna; Sao Paulo Yellow, Isle of Man Green, Alpine White, Brooklyn Grey Metallic, Toronto Red, Portimao Blue dan Black Sapphire.

Galeri BMW M3 Competition

Galeri BMW M4 Competition