fbpx

BMW M3 Touring akhirnya direalisasikan – wagon dengan 510hp, 0-100 dalam 3.6 saat

bmw m3 touring 2022 22

BMW M nampaknya benar-benar sibuk dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-50. Selepas memperkenalkan M4 CSL pada bulan lalu, divisyen itu kini mempersembahkan pula model yang tidak kurang istimewanya iaitu M3 Touring.

Percaya atau tidak, ini merupakan kali pertama M3 ditawarkan dalam bentuk wagon, 36 tahun selepas kemunculan E30.

Selain mempunyai bentuk badan wagon yang konvesional serta bumbung yang lebih panjang, penampilan M3 Touring boleh dikatakan sama sahaja dengan versi sedan.

Ini bermakna bahagian luarannya diserlahkan dengan elemen-elemen yang spesifik kepada M seperti lubang udara sisi yang besar, gerbang roda lebar dan muncung ekzos quad yang ditempatkan di dalam diffuser.

Sama juga dengan bahagian dalaman, di mana jentera ini hadir dengan tempat duduk M Sport yang dibalut upholsteri kulit Merino, stereng M dengan butang mod M1 dan M2, dan paparan melengkung yang merangkumi panel instrumen 12.3-inci dan skrin sentuh 14.9-inci.

Pelanggan mempunyai pilihan untuk mendapatkan tempat duduk bucket M Carbon yang menggunakan material CFRP pada bahagian belakang. Menurut BMW, kerusi jenis ini 9.6kg lebih ringan berbanding kerusi M Sport standard.

Tempat duduk belakang M3 Touring boleh memuatkan tiga penumpang dan boleh dilipat rata dalam konfigurasi 40:20:40. Dengan cara ini, kapasiti ruang but akan meningkat dari 500 kepada 1,510 liter.

M3 Touring hanya boleh didapati dalam versi Competition, bermakna ia mempunyai 510PS dan 650Nm yang dibekalkan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris dengan dua pengecas turbo.

Dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan M xDrive, ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 3.6 saat dan 0 hingga 200km/j dalam 12.9 saat.

Jika dilengkapi dengan pakej M Driver’s, kelajuan maksimum boleh ditingkatkan dari 250km/j kepada 280km/j.

Memandangkan model ini mempunyai bentuk wagon yang lebih besar dan berat, sistem suspensi Adaptive M dan komponen-komponen berkaitan telah ditala semula.

Selain itu, ia didatangkan dengan rim dan sistem brek yang sama dengan M3 Competition sedan. Seperti model itu juga, brek karbon seramik ditawarkan sebagai opsyen.

BMW tidak memberitahu secara spesifik jika M3 Touring akan ditawarkan secara global namun menurut laporan, syarikat itu akan menumpukan kepada pasaran-pasaran seperti UK, Eropah, Korea Selatan, Jepun, New Zealand dan Australia.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved