Arkib Tag: Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang

Litar Sepang meriah dengan kehadiran lebih 100 kereta elektrik

Litar Sepang yang biasanya dipenuhi dengan deruman enjin dimeriahkan dengan kehadiran lebih 100 pemilik kenderaan elektrik (EV) dari Malaysia dan Singapura.

Dalam acara Dongfeng Track Day yang berlangsung baru-baru ini, para peserta diberikan peluang merasai sendiri pengalaman memandu di dalam litar ikonik itu.

Sambutan luar biasa

Sambutan yang diterima tahun ini cukup memberangsangkan berbanding hanya sekitar 30 peserta dicatatkan pada tahun lalu.

Amin Ashaari, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif SoyaCincau berkata, sambutan luar biasa ini membuktikan minat terhadap EV yang semakin berkembang.

“Acara ini bukan tentang berlumba, tapi memberi peluang kepada pemilik EV merasai litar dan menguji kemampuan kereta masing-masing. Kami mahu buktikan EV tiada batasan.

Acara tersebut dimulakan dengan sesi parade lap supaya para peserta membiasakan diri dengan litar tersebut, sebelum diteruskan dengan empat sesi pemanduan, setiap satu berdurasi satu jam.

Antara jenama EV yang turut mengambil bahagian termasuklah BMW, BYD, Dongfeng, Proton, Porsche dan Tesla.

Dongfeng pamer kereta baharu

Soh Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Volt Auto Singapura dan Malaysia menyifatkan penyertaan mereka sebagai pengalaman pertama yang sangat berharga.

“Ia peluang terbaik untuk kami menguji kereta di litar dan mengumpul data untuk penambahbaikan,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk menganjurkan lebih banyak acara litar pada masa depan, selari dengan penglibatan jenama itu dalam sukan seperti bola sepak dan pickleball di Singapura.

Dongfeng turut mempamerkan tiga model, iaitu 007, Vigo dan Box E2 selain menawarkan pengalaman taxi ride dalam model 007 yang dipandu oleh pemandu profesional.

Peserta lahir rasa teruja

Kim Chan, 39, yang pertama kali menyertai menyifatkan pengalaman itu sesuatu yang baharu.

“Seronok dan saya memang menikmatinya, Saya pernah datang menonton perlumbaan, tetapi ini pertama kali berada di atas litar. Rasa pelik juga sebab sunyi.”

Beliau menambah, peningkatan infrastruktur pengecasan membuatkannya mempertimbangkan EV sebagai kereta seterusnya.

Turut kembali untuk kali kedua ialah Ee Sheeden, pemilik Tesla Model 3 Performance yang mencatatkan masa 2:27.90 dalam sesi time attack.

Sebagai pengasas pusat modifikasi Tesla Exotic Mods, Ee mengakui beliau memang peminat tegar EV dan mengubah suai keretanya untuk kegunaan litar.

“Saya buang tempat duduk belakang dan tukar pintu belakang kepada pintu gentian kaca untuk kurangkan berat 60 kg.”

Antara pemenang lain bagi cabaran time attack ialah:

  • Firhat Mokhzani – Tesla Model 3 Performance (2:32.42)
  • Ryan Woon Tian Chong – Tesla Model 3 Performance (2:38.20)

 

EV Track Day kembali gegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang 6 Jun ini

Acara EV Track Day terbesar negara kembali menggegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 6 Jun 2026.

Ia bakal menghimpunkan komuniti pemilik dan peminat kenderaan elektrik dari seluruh Malaysia, bermula seawal 5.45 petang hingga tengah malam.

Dengan menggunakan layout penuh Sepang sejauh 5.543 km, ini memberi ruang kepada peserta menikmati pengalaman pemanduan EV dalam suasana litar sebenar.

Antara tarikan utama program kali ini:

  • Sesi open track – pemanduan EV di laluan penuh termasuk selekoh teknikal
  • Sesi parade lap – pemanduan yang lebih santai
  • Sesi Time Attack – mencari EV terpantas di litar
  • Sesi taxi ride – rasai sendiri prestasi EV berkuasa tinggi bersama pemandu profesional

Pemilik EV yang mahu meningkatkan skil pemanduan di litar pula boleh mendapatkan khidmat jurulatih profesional, tersedia mengikut permintaan.

Bagi memastikan kelancaran acara, pengecas DC disediakan di kawasan paddock melalui kerjasama beberapa penyedia pengecas tempatan membolehkan peserta memaksimumkan masa di litar tanpa risau soal bateri.

Pemeriksaan bateri 12V juga ditawarkan secara percuma, termasuk pilihan naik taraf kepada bateri sodium‑ion yang lebih tahan haba.

Edisi pertama sebelum ini mencuri perhatian apabila lebih 30 EV berjaya membuktikan kemampuan sebenar jentera elektrik di litar, termasuk model prestasi tinggi yang mampu memberi cabaran kepada kereta sport konvensional.

Volvo Car Malaysia anjur Selamat Driving Experience di Sepang 16-17 Mei ini

Volvo Car Malaysia bakal menganjurkan Selamat Driving Experience bertempat di Pusat Pengalaman Pemanduan, Litar Sepang pada 16 hingga 17 Mei ini.

Ia merupakan sebahagian daripada kempen Selamat yang dilancarkan oleh VCM pada Januari 2026 yang lalu.

Kempen ini bermatlamat untuk menjadikan keselamatan jalan raya sebagai satu budaya bersama, serta meletakkan aspek keselamatan sebagai kriteria utama dalam pemilihan kereta.

Menurut Patricia Yaw, Pengarah Jualan & Pemasaran VCM, “Selamat Driving Experience direka untuk mencetuskan kesedaran di kalangan peserta untuk menilai semula tabiat di jalan raya.”

Jelasnya lagi, menerusi simulasi pemanduan yang imersif peserta dapat memahami kesan buruk yang timbul akibat sikap sambil lewa.

Tempat terhad

Penyertaan adalah terhad kepada 192 orang peserta sahaja berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat.

Sepanjang dua hari, peserta dapat merasai pengalaman berdepan situasi cemas dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.

Mereka juga berpeluang menguji ciri keselamatan tercanggih Volvo termasuklah Safe Space Technology yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Yuran pendaftaran adalah seperti berikut:

  • Pemilik Volvo – RM150
  • Bukan pemilik Volvo – RM300
  • Tidak ambil bahagian dalam pemanduan – RM100

Setiap pemilik kereta Volvo dibenarkan untuk menggunakan nombor VIN yang didaftarkan sekali sahaja.

Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membawa kanak-kanak bawah umur 18 tahun atas faktor keselamatan.

Pendaftaran boleh dibuat melalui volvocarmalaysia.com/selamat-driving-experience

Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia ditangguhkan

GTA Co. Ltd bersama Haro Sports & Entertainment Sdn Bhd mengumumkan penangguhan acara Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia yang sepatutnya diadakan pada pertengahan tahun ini.

Keputusan tersebut dibuat setelah penilaian menyeluruh terhadap situasi global semasa terutama konflik di Timur Tengah.

Ia memberikan cabaran besar dari segi operasi dan logistik, memandangkan Malaysia merupakan satu-satunya lokasi penganjuran Super GT di luar Jepun.

Selain itu, peningkatan mendadak kos kargo antarabangsa dan tambang penerbangan menjejaskan kemampuan untuk menganjurkan perlumbaan pada standard yang dijangkakan oleh kejuaraan, rakan kongsi serta para peminat.

Autobacs Super GT akan kembali ke Malaysia

Fahrizal Hassan, Rakan Kongsi Pengurusan Haro Sports & Entertainment mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kefahaman mereka dalam situasi mencabar ini.

“Perlumbaan (Super GT) akan kembali ke Malaysia, dan kami komited untuk menjadikannya dua kali lebih hebat,” jelasnya lagi.

Masaaki Bandoh, Presiden dan CEO GTA menambah, “Keputusan ini memang sukar, namun kami menghargai kefahaman peminat Jepun, peserta, penaja dan media.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Haro Sports dan semua pihak di Malaysia agar peminat di sini dapat menikmati aksi Super GT sekali lagi,” ujarnya.

Kedua-dua pihak GTA dan Haro Sports menegaskan komitmen mereka untuk membawa semula Super GT ke Malaysia apabila keadaan kembali stabil dan selamat.

Maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa.

Tiket Autobacs Super GT 2026 sudah mula dijual – harga serendah RM80

Tiket kemasukan bagi acara Autobacs Super GT 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (19–21 Jun) kini sudah mula dijual.

Promosi awal menawarkan tiket grandstand K1 pada RM80 (harga biasa RM100) dan grandstand utama pada RM200 (harga biasa RM250).

Pas masuk Super GT 2026 yang lebih premium

Pilihan lebih premium turut disediakan seperti berikut:

  • GT Club Suite: RM450 seorang hingga RM30,000 (suite eksklusif 70 pax)
  • GT Paddock Club: RM2,000
  • Experience Package: RM5,000
  • Dream Package (2 pax): RM15,000
  • VVIP Package (2 pax): RM50,000

Pemegang pas GT Club Suite & GT Suite akan mendapat akses pitlane walk, manakala GT Paddock Club turut menikmati grid walk.

Experience Package menambah pengalaman Circuit Safari bersama kereta GT. Dream & VVIP Package pula merangkumi semua keistimewaan termasuk taxi ride dan pit tour eksklusif.

Selain perlumbaan rasmi, peminat akan turut disajikan dengan aksi Vios Challenge Toyota Gazoo Racing serta edisi sulung ASEAN GR86 Cup.

Tidak ketinggalan, festival Nihon Matsuri yang menyajikan pesta makanan serta kebudayaan Jepun serta acara larian ALEPS Ekiden Night Run pada 20 Jun.

Tiket kemasukan boleh dibeli menerusi:

Super GT 2025 tarik kunjungan 75,977 peminat

Menurut Fahrizal Hasan selaku Rakan Kongsi Pengurusan HARO Sports & Entertainment, Autobacs Super GT 2025 berjaya menarik kunjungan 75,977 peminat dan juga penonton perlumbaan sepanjang hujung minggu tersebut.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan acara ini lebih menarik pada tahun ini dan untuk tahun-tahun seterusnya.”

 

Vios Challenge: Pusingan ketiga hujung minggu ini akan jadi penentu

Pusingan ketiga Vios Challenge akan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) pada 8-10 Ogos ini.

Berlangsung serentak dengan Malaysian Touring Car Championship 2025, perlumbaan ini akan menjadi penentu keputusan akhir Vios Challenge merentas tiga kategori, iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie.

Setakat ini, kedudukan mata keseluruhan kekal rapat antara satu sama lain untuk tiga pelumba teratas di setiap kelas.

Kelas Super Sporting bakal menyaksikan persaingan sengit antara bekas juara 2023, Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan) di tangga pertama (83 mata) dengan Freddie Ang (Telagamas Toyota) dengan 81 mata dan Ady Rahimy (Laser Motor Racing) dengan 72 mata.

Dalam kategori Sporting, Jwan Hii (Hong Kuat X Armada KK Racing) berada di kedudukan selesa dengan 85 mata mendahului Elson Lew (BAE Racing) dengan jumlah mata 76 mata dan Varunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC) dengan 62 mata.

Kelas Rookie pula memperlihatkan persaingan sengit antara Aydan Khaliq dan Rahul Dev masing-masing berada di tangga teratas dengan kutipan 94 dan 93 mata.

Tempat ketiga disandang oleh Harkiesh Geeva dengan 72 mata, diikuti Ian James (71 mata) dan satu-satunya pelumba wanita dalam kategori tersebut, Genevieve Ooi dengan 66 mata.

Sama seperti pusingan kedua, ketiga-tiga kelas perlumbaan Vios Challenge akan disatukan dalam satu perlumbaan semi-endurans selama satu-jam mengelilingi litar penuh sepanjang 5.543 km.

Aksi lumba Vios Challenge meriahkan Super GT Malaysia 2025

Perlumbaan jenama tunggal Vios Challenge yang berlangsung kali ini amat unik kerana ia menampilkan format yang berbeza berbanding dua perlumbaan terdahulu.

Buat pertama kalinya, Vios Challenge membuat kemunculan di peringkat antarabangsa serentak dengan Autobacs Super GT pusingan Malaysia yang berlangsung pada 26-28 Jun yang lalu.

Selain itu, Vios Challenge musim 8 pusingan kedua ini menampilkan format perlumbaan selama satu jam menguasai jarak keseluruhan litar sepanjang 5.543 km berbanding perlumbaan pecut 10-lap yang menggunakan separuh litar Sepang.

Untuk menjadikan perlumbaan yang lebih menarik, kesemua 36 pelumba dari tiga kelas perlumbaan (Super Sporting, Sporting dan Rookie) dilepaskan serentak, menjadikannya jauh lebih mencabar dan memberikan peluang yang lebih adil kepada semua pelumba.

Keadaan ini dibuktikan menerusi keputusan akhir kedua-dua perlumbaan di mana kedudukan podium berubah untuk setiap kelas perlumbaan.

Berikut merupakan keputusan perlumbaan Vios Challenge mengikut kelas masing-masing:

 

Kelas Super Sporting

Perlumbaan 1
1. Freddie Ang (Telagamas Toyota)
2. Nabil Azlan (Wheelcorp)
3. William Ho (Toyotsu Toyota)
Perlumbaan 2
1. Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan)
2. Ady Rahimy (Laser Motor Racing)
3. Freddie Ang (Telagamas Toyota)

Kelas Sporting

Perlumbaan 1
1. Jwan Hii (Hong Huat x Armada KK Racing)
2. Dato Dr Ken Foo (Kulim Top Wheels)
3. Warunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC 52)
Perlumbaan 2
1. Justin Toh (BAE Racing by ES Yang)
2. Elson Lew (BAE Racing by ES Yang)
3. Warunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC 52)

Kelas Rookie

Perlumbaan 1
1. Aydan Khaliq
2. Justin Rahul Dev
3. Harkiesh Geeva
Perlumbaan 2
1. Justin Rahul Dev
2. Genevieve Ooi
3. Aydan Khaliq

Vios Challenge masih lagi berbaki dua pusingan, di mana pusingan ketiga akan berlangsung serentak dengan Malaysia Championship Series (MCS) pada 8-10 Ogos ini.

Sementara pusingan keempat dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober 2025 di Johor, di mana lokasi dan tarikh akan diumumkan kelak.

Pusingan 3 Super GT Malaysia 2025 menyaksikan Deloitte TOM’s GR Supra dan UPGARAGE AMG GT3 masing-masing mengungguli kelas GT500 dan GT300 dalam keadaan suhu litar mencecah 42℃.

Berikut merupakan keputusan akhir perlumbaan pusingan 3 Super GT Malaysia 2025:

Kelas GT500
1. Deloitte TOM’s GR Supra #37
2. Arta Mugen Civic Type-R GT #8
3. TRS Impul with SDG Z #12

Kelas GT300
1. Upgarage AMG GT3 #18
2. Green Brave GR Supra GT #52
3. Goodsmile Hatsune Miku AMG #4

Setelah tamat pusingan Malaysia, Super GT akan kembali ke Jepun di mana pusingan keempat akan berlangsung di Fuji Speedway pada 2-3 Ogos ini.

Malaysia kekal menjadi satu-satunya lokasi penganjuran perlumbaan Super GT di luar Jepun, dan tahun ini merupakan tahun pertama perlumbaan berprestij itu kembali ke Litar Sepang sejak kali terakhir penganjuran pada tahun 2013.

UMWT, Toyota Gazoo Racing Malaysia diumum sebagai penaja utama Super GT Malaysia 2025

UMW Toyota Motor dan Toyota Gazoo Racing Malaysia bakal menjadi penaja utama bagi acara Festival Super GT Malaysia 2025 tahun ini.

Perkara tersebut diumumkan secara rasmi oleh Haro Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan pempromosi bagi Autobacs Super GT pusingan Malaysia, baru-baru ini.

Selain daripada perlumbaan utama melibatkan kelas GT300 dan GT500, Litar Sepang bakal digegarkan dengan acara perlumbaan jenama tunggal GR86 Cup serta pusingan kedua Vios Challenge 2025 musim kelapan.

Festival Super GT Malaysia 2025 turut mengalu-alukan Bridgestone sebagai Jenama Pembekal Tayar Rasmi bagi pusingan pembukaan GR86 Cup Malaysia Series.

Bukan itu sahaja, pengunjung Festival Super GT Malaysia juga berpeluang untuk menyertai acara kebudayaan dan makanan Jepun, iaitu Nihon Matsuri, serta menyaksikan konsert pasca perlumbaan GT Live! yang membariskan pelbagai artis ternama.

Antaranya ialah trio Tenxi, Naykilla & Jemsii (TNJ), KLP48, Fareed K-Clique, Sabhi Saddi, dan Kaka Azraff.

Menurut Rakan Pengurusan Haro Sports & Enterntainment, Fahrizal Hasan berkata, “Festival Super GT Malaysia bukanlah sekadar perlumbaan. Ia sebuah acara untuk menghiburkan semua orang, baik dari pameran automotif sehinggalah kepada pameran kebudayaan Jepun, perhimpunan kereta JDM hinggalah kepada konsert GT Live!”

Tiket masuk sudah boleh dibeli menerusi laman web www.supergtmalaysia.com, perinciannya seperti berikut:
K1 Grandstand – RM100 (promosi awal RM80)
Main Grandstand – RM250 (promosi awal RM200)
GT Suite – RM350
GT Live! Rock Zone – RM500
GT Club Paddock – RM2,000

Perlumbaan jenama tunggal GR86 Cup bakal gegarkan Sepang Jun ini

Bulan Jun ini bakal menyaksikan kemunculan perlumbaan jenama tunggal GR86 Cup Malaysia Series yang menampilkan kereta sports Toyota GR86.

Dianjurkan oleh Haro Sports and Entertainment Sdn Bhd, GR86 Cup Malaysia Series akan membuat penampilan sulung sebagai  perlumbaan sokongan semasa pusingan ketiga Super GT 2025 yang akan berlangsung pada 26-28 Jun ini.


Sebanyak 30 buah jentera Toyota GR86 Cup akan bersaing dalam tiga pusingan perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.

Pusingan kedua GR86 Cup akan dianjurkan serentak dengan perlumbaan endurans 300 km Malaysia Championship Series, diikuti pusingan akhir berupa perlumbaan sebanyak 86 pusingan. Ketiga-tiga pusingan perlumbaan GR86 Cup akan diadakan di Litar Sepang.

Hanya 30 unit sahaja GR86 Cup yang akan diimport masuk dari Jepun (berdasarkan siapa cepat dia dapat), di mana kesemua unit dibina mematuhi peraturan kategori SP1 Malaysia Championship Series 2025.


Setiap satu berharga RM208,315 termasuk cukai jualan dan AP sukan permotoran.

Berikut merupakan spesifikasi jentera lumba Toyota GR86 Cup yang bakal digunakan dalam perlumbaan tersebut:

– enjin boxer 2.4 liter
– kuasa 228 hp @ 7,000 rpm, daya kilas 250 Nm @ 3,700 Nm
– transmisi manual enam-kelajuan


– sistem ekzos penuh Fujitsubo
– unit pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen
– klac plat tunggal Cusco
– sistem penyejuk transmisi


– angkup brek aluminium Advics empat omboh depan, angkup dua omboh belakang
– rotor brek two piece 345 x 30 mm depan, rotor 330 x 26 mm belakang
– penyerap hentak perlumbaan KW Racing
– sesendal suspensi TRD
– tayar Bridgestone Potenza RE-71RS 225/45R17
– rim aloi tempa Raxer RP10X 17 inci


– sangkar keselamatan rekaan khas, patuh piawaian “Speed B” dan “Speed SA” JAF
– tempat duduk bucket Bride ZETA
– tali pinggang keselamatan enam mata serasi dengan kelengkapan HANS
– sistem pemadam kebakaran

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi talian berikut:

Fahrizal Hasan (fahrizal@haro.my) – 012-905 9619
Raja Zaini (raja@haro.my) – 019-367 5667
Yamin Shafie (yamin@haro.my) – 012-615 1650

 

MSF umum kategori baharu Myvi Cup, khas untuk ‘King of the Road!’

Selain menjadi raja jalanan (king of the road), pemilik Perodua Myvi juga kini boleh berazam untuk memburu gelaran raja litar lumba menerusi pengenalan kategori Myvi Cup dalam Malaysia Speed Festival (MSF).

Kategori perlumbaan terbaharu itu akan membuat kemunculan rasmi di Pusingan 6 MSF Superturismo di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 10 November ini.

Myvi Cup merupakan inisiatif yang diperkenalkan sendiri oleh MSF dan terbuka kepada semua jenis Perodua Myvi yang terjual di pasaran Malaysia.

Terdapat dua sub-kategori yang dipertandingkan iaitu Pro dan Casual yang akan dibezakan berdasarkan tahap kemahiran pemandu oleh penganjur perlumbaan.

Sama seperti Saga Cup, setiap jentera yang bertanding perlulah mempunyai komponen perlumbaan dan keselamatan yang dibenarkan, dan dalam masa yang sama mengekalkan komponen asal kereta.

Seperti contoh, brek hadapan perlulah mengekalkan dimensi asal spesifikasi kilang, diikuti dengan penggunaan brek dram di belakang.

Namun, pelumba boleh menggunakan komponen aftermarket seperti rotor berliang, pelapik brek serta hos brek yang boleh dipadankan terus tanpa memerlukan ubahsuai.

Selain itu, pelumba juga perlu menggunakan blok enjin, throttle body dan manifold kemasukan yang asal (boleh diubahsuai namun bahagian luaran perlu nampak standard), diikuti dengan ECU original (boleh ditala semula/reflash), dan kotak gear Myvi yang asal (nisbah akhir yang boleh diubahsuai).

Penggunaan kotak komputer jenis stand alone adalah dilarang sama sekali, diikuti dengan penggunaan kotak gear jenis dog-box dan penukaran sekuential.

Kesemua kereta juga perlulah mengekalkan pacuan roda hadapan dan tidak dibenarkan untuk menggunakan komponen LSD.

Menurut prinsipal MSF Superturismo, Adian Yein Khalid berkata, “falsafah MSF adalah untuk menjadikan perlumbaan yang lebih mudah diakses dan lebih mampu milik kepada orang ramai.

“Saga Cup telah terbukti berjaya dengan penyertaan lebih 75 buah kereta dan hampir 200 orang pelumba mengambil bahagian pada setiap pusingan.

“Pengenalan Myvi Cup merupakan satu langkah ke arah lebih banyak kepelbagaian ke dalam sukan permotoran. Bertentangan dengan kepercayaan, Myvi telah membuktikan ia mampu menjadi pantas dan kompetitif di dalam litar.”

Pasukan F1 teruja untuk beraksi semula di Litar Sepang – Presiden MAM

Kali terakhir Litar Antarabangsa Sepang menjadi lokasi penganjuran sukan berprestij Formula Satu adalah pada tahun 2017 sejak sukan tersebut diperkenalkan di tanah air pada tahun 1999.

Walaupun sudah sekian lama tidak digegarkan dengan deruman enjin jentera F1, litar tersebut masih lagi menjadi kegemaran buat sesetengah pelumba, selain menjadi sebutan ramai di media sosial setiap kali nama Litar Antarabangsa Sepang dipetik.

Laman Berita Harian melaporkan Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir mendedahkan sukan tersebut boleh dianjurkan kembali di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, namun menegaskan sesuatu yang lebih segar perlu diperkenalkan.

Antara perubahan yang boleh dibuat adalah menganjurkan perlumbaan di sebelah malam.

Beliau turut mendedahkan beberapa pasukan F1 yang berentap pada ketika ini teruja sekiranya perlumbaan tersebut dapat dikembalikan ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.

“Mungkin jika kita berpeluang untuk menjadi penganjur sekali lagi, kita harus melakukan perbezaan. F1 bukan lagi mengenai menonton 20 jentera berlumba di litar, ia lebih daripada itu ketika ini.

“Kita memerlukan acara sampingan yang melengkapkan perlumbaan Grand Prix kedua-duanya di litar dan ibu kota ketika minggu perlumbaan. Persidangan dan konsert kini menjadi sebahagian daripada minggu perlumbaan F1.

“Kita juga boleh menganjurkan perlumbaan di sebelah malam menggunakan sinaran lampu dan ia lebih sejuk. Bahrain sudah melakukannya daripada perlumbaan siang ke malam dan ia membuktikan bukan mustahil untuk melakukannya.”

Namun begitu, Mokhzani menegaskan penganjuran kembali sukan F1 di Malaysia bukan tugas yang mudah memandangkan ia memerlukan kos yang amat tinggi.

Perlumbaan Super GT kembali gegarkan Litar Sepang tahun 2025

Mungkin tidak ramai yang tahu, Malaysia sebenarnya pernah menjadi lokasi rasmi perlumbaan Super GT bermula dari tahun 2000 dan berakhir pada tahun 2013.

Setelah 11 tahun menyepi, perlumbaan Super GT bakal kembali menggegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang untuk tiga musim, bermula tahun 2025 hingga tahun 2027.

Sehubungan dengan itu, satu majlis tandatangan perjanjian telah berlangsung siang tadi antara HARO Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan promosi untuk Super GT pusingan Malaysia serta GT Association (GTA) selaku pemegang hak untuk Super GT.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Fahrizal Hasan (HARO Sports & Entertainment) dan Masaaki Bandoh (Presiden & CEO GTA) yang turut disaksikan oleh YB Khairul Firdaus Akbar Khan selaku Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Turut hadir dalam acara tandatangan tersebut ialah CEO Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Azhan Shafriman Hanif serta Setiausaha Agung Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), S. N. Nanthan.

Malaysia kekal menjadi satu-satunya lokasi perlumbaan di luar Jepun untuk musim perlumbaan 2025 selepas kali terakhir Super GT dianjurkan di negara Thailand pada tahun 2019.

Berikut merupakan lokasi perlumbaan Autobacs Super GT 2025:

Pusingan Pembukaan (12-13 April) – Okayama International Circuit
Pusingan Kedua (3-4 Mei) – Fuji Speedway
Pusingan Ketiga (27-28 Jun) – Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang
Pusingan Keempat (2-3 Ogos) – Fuji Speedway
Pusingan Kelima (23-24 Ogos) – Suzuka Circuit
Pusingan Keenam (20-21 September) – Sportsland Sugo
Pusingan Ketujuh (18-19 Oktober) – Autopolis International Racing Course
Pusingan Kelapan (1-2 November) – Mobility Resort Motegi


Dua kelas utama Super GT, iaitu GT500 yang menampilkan pengeluar seperti Toyota, Honda dan Nissan sementara peserta kelas GT300 terdiri daripada Subaru dan Lexus.

Perlumbaan berprestij ini sepatutnya membuat kemunculan kembali pada tahun 2020, namun ia terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19 yang melanda global pada ketika itu.

Menariknya, rata-rata pasukan dan pelumba Super GT menyifatkan pusingan Malaysia sebagai satu pengalaman yang unik dan agak mencabar dalam perlumbaan litar disebabkan oleh panas ekstrem dan hujan lebat yang sukar untuk diduga, tidak seperti kebiasaan yang dialami di Jepun.

Super GT 2025 akan membawakan pelbagai jenis daya tarikan seperti Race Ambassadors, sesi pit terbuka, pit walk, grid walk, serta Circuit Safari di mana peminat berpeluang untuk merasai aksi dalam litar dengan lebih dekat.

 

Naquib Azlan, Amer Harris raih tempat kedua perlumbaan debut kelas GT4 Thailand Super Series

Pelumba muda Naquib Azlan dan Amer Harris yang mewakili pasukan Wing Hin Motorsports telah berjaya meraih kedudukan kedua dalam perlumbaan Thailand Super Series kelas GT4, biarpun membuat kemunculan kali pertama dalam siri tersebut.

Jentera Toyota GR Supra GT4 yang digunakan oleh dua pelumba itu merupakan antara yang terpantas di kalangan empat GR Supra GT4 dalam kelas tersebut.

Pasangan pelumba Naquib dan Amer berjaya menghabiskan perlumbaan satu jam dengan perbezaan 4.5 saat di belakang juara Mercedes-AMG GT dan mengalahkan dua jentera Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport.

Menurut Naquib, “mendapat tempat kedua masih lagi merupakan keputusan yang kuat buat kami berdua serta pasukan. Masih banyak lagi potensi yang perlu diteroka pada jentera baru ini, namun kami gembira dapat mencari garis dasar yang baik untuk bermula, dan berjaya mendapat kedudukan podium di tanah air, Malaysia.

“Matlamat kami adalah untuk mencapai kedudukan teratas, dan kami berhasrat untuk ke arah itu secara beransur-ansur.

Daripada dua perlumbaan pusingan 3 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, satu daripadanya terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca basah yang ekstrem.

Pusingan 4 Thailand Super Series akan kembali dianjurkan di Malaysia pada 6-8 September ini dengan tiga perlumbaan dijadualkan pada hujung minggu tersebut.

Menurut Prinsipal Pasukan Wing Hin Motorsports, William Loh berkata, “ini merupakan perlumbaan pertama yang kami sertai, dan masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan, serta data yang boleh dikumpul dan dinilai.

“Kedua-dua pelumba kami percaya mereka mampu berikan yang lebih baik. Kami berharap agar dapat kembali lebih kuat dalam tiga perlumbaan seterusnya.

Wing Hin Motorsports yang sebelum ini pernah memenangi Sepang 1000KM Endurance Race turut bertanding dalam kelas Super Compact Thailand Super Series.

Peralihan kepada kelas perlumbaan GT4 bukan sahaja selari dengan matlamat untuk bersaing pada tahap yang lebih tinggi, malah ia juga mampu membantu membangun dan menyediakan peluang kepada pelumba muda Malaysia untuk bersinar di peringkat antarabangsa.