Arkib Tag: lesen kenderaan motor

Cukai jalan digital: Boleh kongsi e-LKM kepada pemandu lain

KERAJAAN pada Februari 2023 mengumumkan bahawa pemandu tidak lagi wajib mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) pada kenderaan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan.

Walauapun perkara ini disambut baik rata-rata rakyat Malaysia, timbul pula isu bagaimana jika pemandu itu bukan pemilik kenderaan, sebagai contoh kereta sewa. Bagaimana mahu mempamerkan LKM jik diperlukan?

Nampaknya kini kita boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau fungsi baharu iaitu “Kongsi LKM” di aplikasi MyJPJ.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini. “Melalui fungsi baharu itu pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM kepada ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan,” katanya.

“Pemilik hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.

“Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM tersebut untuk mengaktifkan perkongsian.

“Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam,” tambah Anthony.

Selamat tinggal pelekat ‘road tax’! Tak perlu lagi pamer di kenderaan

SELAMAT tinggal pelekat lesen kenderaan bermotor (cukai jalan atau road tax). Bermula hari ini, ia tidak perlu lagi dipamerkan pada kenderaan milik persendirian rakyat Malaysia.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

Perkara itu diumumkan hari ini oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Katanya, peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan yang mewajibkan lesen kenderaan bermotor dipamerkan pada kenderaan, tidak akan lagi dikuatkasakan.

“Perubahan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal,” kata Anthony.

Pengumuman itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian

“Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital.

“Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat,” tambahnya.

Anthony Loke pada awal bulan lepas berkata bahawa beliau telah mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengatasi masalah kualiti pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti dan cepat rosak.