Arkib Tag: lca

Perolehan 18 pesawat LCA diteruskan walau dengan kerajaan baharu

PEROLEHAN 18 buah pesawat tempur ringan (Light Combat Aircraft – LCA) yang telah diluluskan secara dasarnya akan diteruskan oleh kerajaan baharu.

Malah, ia akan dilaksanakan “secepat mungkin” jikalau boleh, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Mat” mahukan jemaah menteri kerajaan perpaduan yang memerintah negara ketika ini dapat mengabsahkan keputusan perolehan 18 buah pesawat LCA yang dibuat oleh jemaah Menteri kerajaan sebelum ini.

“Perolehan pesawat tempur ringan (LCA) masih kekal 18 dan kalau boleh secepat mungkin, tapi ia perlu melalui proses-proses tertentu,” katanya selepas melawat Pangkalan Udara Subang beberapa hari lepas.

Kementerian Pertahanan menurut beliau, juga akan melihat keutamaan dan cadangan untuk menambah aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ia membabitkan peruntukan yang besar.

“Kita hendak melengkapkan apa yang sepatutnya kita ada dan apa yang perlu dinaiktarafkan (pesawat),” katanya.

Tender bagi perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA itu telah diiklankan pada 22 Jun 2021 dan ditutup pada 6 Oktober 2021.

Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan pada 17 Mac 2022 juga telah memutuskan petender yang disenarai pendek.

Pesawat pejuang Hawk milik TUDM. – Foto ihsan Wikipedia

Perolehan 18 buah LCA itu adalah untuk menggantikan pesawat MiG-29N, Hawk 100 dan Hawk 200 serta Aermacchi MB-339 yang digunakan oleh TUDM.

Defence Security Asia melaporkan sebelum ini bahawa pasukan teknikal daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah pun selesai menjalankan penilaian fizikal terhadap pesawat pejuang ringan FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI).

Gambar oleh: Malaysia Military Review

Penilaian fizikal serta ujian penerbangan pesawat itu telah berlangsung dengan lancar di Korea Selatan pada Oktober tahun lepas.

Menurut sumber yang memaklumkan kepada Defence Security Asia, bahawa kumpulan pegawai penilai TUDM itu tiba di Korea Selatan pada 17 Oktober dan telah dibawa ke kemudahan KAI untuk memulakan penilaian fizikal mereka terhadap pesawat pejuang ringan itu.

Pegawai TUDM yang terlibat dalam penilaian penerbangan pesawat FA-50 di Korea Selatan. Gambar oleh: Defence Security Asia

“Mereka turut meninjau kemampuan pesawat FA-50 itu menerusi sesi penilaian penerbangan,” kata sumber itu dan menambah bahawa pesawat FA-50 itu adalah milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF).

Selain pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI), pencabar-pencabar terdekat bagi perolehan itu termasuklah Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) Tejas dan Turkish Aerospace Industries (TAI) Hurjet.

Wakil Malaysia di kilang KAI, TUDM bakal peroleh FA-50?

Baru-baru ini beberapa laman pertahanan negara menyiarkan gambar wakil delegasi Malaysia yang dikatakan berada di kilang KAI (Korean Aerospace Industries) di Korea Selatan.

KAI FA-50 Block 20

Ini disusuli dengan dakwaan TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) akan memperolehi pesawat FA-50 buatan firma KAI itu sebagai Fighter-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

TUDM pada Jun 2021 telah membuka tender FLIT-LCA berkenaan iaitu pesawat pejuang ringan bagi menggantikan barisan BAE Hawk 108, Hawk 208 dan Aermacchi MB-339CM yang semakin berusia.

Gamabr oleh: Malaysia Military Review

Awal bulan lalu, The Korean Economic Daily Global melaporkan bahawa wakil dari Malaysia akan melawat kilang KAI “untuk perjanjian pesawat pejuang”.

Laporan itu walaubagaimanapun menulis bahawa wakil kerajaan Malaysia akan membuat penilaian fizikal pesawat FA-50 di fasiliti KAI pada November.

Menurut laporan itu lagi, Malaysia hanya akan membuat penilaian sahaja untuk FA-50, dimana Poland pada September telah menandatangani perjanjian mengimport pesawat itu.

KAI pula menafikan laporan itu, dengan berkata bahawa “belum ada sebarang keputusan akhir”, memandangkan firma itu masih dalam perbincangan dengan kerajaan.

Sekiranya perjanjian dimeterai dengan KAI, Malaysia dijangka membuat perolehan 36 unit FA-50 Block 20, iaitu model terkini pesawat pejuang ringan itu.

Ia akan dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) yang mampu mengesan musuh sejauh 150km sambil mengesan beberapa sasaran.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan dari pihak TUDM atau Kementerian Pertahanan, tetapi apa pendapat anda? Adakah FA-50 satu pilihan yang tepat sebagai FLIT-LCA?

Indonesia beli jet pejuang Dassault Rafale, enam unit tiba pada 2026

KEMENTERIAN Pertahanan Indonesia memaklumkan kontrak pembelian enam jet pejuang Dassault Rafale bagi memperkuatkan sistem utama persenjataan negara itu. Kesemua jet pejuang itu akan tiba pada 2026.

Menurut CNN Indonesia, Jurucakap Menteri Pertahanan, Dahnil Anzar Simanjuntak berkata, kontrak pembelian itu masih berkuatkuasa sejak 9 September lalu.

Dassault Rafale. Gambar oleh: Blog Before Flight

“Pesawat pertama akan tiba di Indonesia pada hujung 2026 selepas kontrak termeterai. Pihak kementerian juga sudah merancang sumber manusia untuk mengendali dan menyelenggara pesawat industri buatan Perancis,” katanya.

Sebelum ini, kementerian itu sudah menandatangani kontrak kerjasama pembelian enam pesawat tempur generasi ke-4 dan ke-5 Dassault Rafale buatan Perancis.

Kontrak tersebut ditandatangani oleh Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto ketika menerima kunjungan Menteri Angkatan Bersenjata Perancis, Florence Parly di Jakarta, 10 Februari lalu.

Gambar oleh: Defense Brief

Menurut Prabowo, pihaknya merancang untuk membeli 42 pesawat Rafale dan kontrak pertama itu hanya melibatkan pembelian enam pesawat terlebih dahulu.

Di samping negara-negara jiran kita memperkukuhkan pertahanan mereka, bagaimana pula dengan Malaysia?

Pesawat pejuang utama negara, F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30 MKM masing-masing akan terus berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masing-masing sehingga 2035 dan 2040.

Pada masa yang sama, pesawat-pesawat ini akan dinaiktaraf bagi memastikan ianya kekal relevan dan sentiasa mempunyai sistem terkini.

Pesawat pejuang Hawk milik TUDM. – Foto ihsan Wikipedia

Dalam perkembangan lain, tender untuk pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) telah ditutup dan TUDM dijangka mengumumkan pemenangnya kelak. Tender ini adalah bagi menggantikan armada pesawat Hawk 108/208.

Turki rancang bekal pesawat pejuang ringan Hurjet untuk TUDM, hasilkan pesawat di Malaysia?

TURKI merancang mengeluarkan jet pejuang ringan Hurjet dengan Malaysia jika proses tender berjaya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof Temel Kotil.

Menurutnya, ini usaha untuk mengukuhkan industri penerbangan global di rantau masing-masing.

Kotil berkata perkara itu masih dalam proses tender oleh Malaysia dan jika tender berjaya, sebanyak 15 jet akan dihasilkan di Malaysia dan tiga lagi di Turki.

Pesawat TAI Hurjet. Sumber: Defence Security Asia

“Kami mahu menyumbang kepada pembangunan kapasiti Malaysia untuk menghasilkan pesawat seperti itu kerana Malaysia dilihat antara negara terbaik untuk bekerjasama secara strategik di Asia Pasifik,” katanya dalam sidang media semalam.

Syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI) melahirkan keyakinannya bahawa Malaysia bakal menjadi pasaran eskport pertama bagi pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) yang dibangunkannya sendiri dikenali dengan nama Hurjet.

Sementara itu, portal Defence Security Asia melaporkan bahawa Kotil berkata pesawat Hurjet itu semakin hampir untuk dieksport ke Malaysia.

“TAI mempunyai peluang yang baik di dalam persaingan tender Malaysia. Kita (TAI) berharap akan dapat menjual sejumlah 18 buah pesawat Hurjet kepada Malaysia,” katanya ketika ditanya oleh wartawan CNN Turk baru-baru ini.

Tahun lepas, Kotil dilaporkan berkata bahawa TAI telah mempelawa Malaysia untuk terlibat sama dalam pembangunan pesawat FLIT/LCA Hurjet itu, dengan Kuala Lumpur membina beberapa komponen pesawat latihan itu.

“Kita (TAI) perlu mencari rakan kerjasama antarabangsa. Ia adalah projek (pembangunan Hurjet) yang besar dan ia bukan sekadar untuk Turki. Pelawaaan itu menarik minat Malaysia dan kita menjangkakan reaksi yang positif daripada Malaysia,” kata beliau.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Kazakhstan adalah penting kepada TAI.

Menurut Kotil, Turki dan Malaysia telah memeterai perjanjian kerjasama dalam pengeluaran komposit.

Malaysia mempunyai kemudahan pengeluaran komposit yang baik namun tidak dalam bidang penerbangan, ujarnya.

Hurjet ialah pesawat Advanced Jet Trainer dan Light Attack Aircraft, pesawat pertama dijangka siap pada suku akhir 2022.

Antara kelengkapan pesawat itu itu adalah fly-by-wire, pengisian minyak di udara, head-up display serta integrated helmet mounted display system.

Diantara pesawat-pesawat pejuang lain yang memasuki tender Kementerian Pertahanan untuk 18 buah pesawat FLIT/LCA TUDM, termasuklah Korea Aerospace Industries (KAI) FA-50, JF-17 daripada Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group, Hongdu L-15B, HAL Tejas, Yakovlev Yak-130, Leonardo M346, Saab Gripen dan Boeing T-7 Red Hawk.