Arkib Tag: kotak gear

Toyota bangunkan transmisi manual untuk EV, boleh sampai 14 gear!

TOYOTA akan membawakan kotak gear manual simulated (maya) untuk kenderaan elektriknya (EV). Tetapi nampaknya ia akan menjadi agak menyeronokkan, kerana ianya tidak akan terhad kepada enam atau tujuh kelajuan sahaja.

Dalam satu permohonan paten yang diterbitkan beberapa hari lepas, ia menunjukkan tiada had untuk berapa banyak ‘gear’ transmisi itu boleh punyai.

Imej-imej yang diterbitkan bersama dokumen teknikal menunjukkan ia boleh mempunyai sehingga 14 gear. Bagaimana pula cara ia berfungsi? Toyota juga ada berikan penerangan.

Paten itu menunjukkan banyak perincian berkenaan sistem ini. Senang kata, pemandu akan boleh memilih berapa banyak nisbah gear pun yang mereka mahu.

“Jumlah peringkat gear maya boleh menjadi enam atau lebih, atau kurang dari enam,” tulis dokumen itu. “Pemandu akan dapat memilih bentuk yang dimahukan mengikut kehendak mereka.”

Tetapi Toyota tidak menjelaskan apa-apa sistem elektro-mekanikal yang akan membentuk lorong gear fizikal.

Sebaliknya, akan ada jumlah tetap berapa gear, kemungkinan enam tetapi Toyota menggunakan empat sebagai contoh. Gear dimasukkan seperti manual biasa, walaubagaimanapun tombol gear akan kembali ke tempat asal selepas digunakan.

Kemudian, semasa pemandu menukar gear, bentuk laluan maya bertukar kepada set nisbah seterusnya. Jadi sekiranya ada corak enam gear dan gear keenam dipilih, suatu paparan akan menukar nisbah yang membolehkan pemandu menukar kepada gear tujuh dan seterusnya, atau turun ke gear lima dalam set yang sama.

Mengelirukan? Sebenarnya susunan ini lebih kurang gear manual lori treler, jadi geng Pilot Darat pasti mudah faham.

Apa pun, mesti ada sebab kenapa pengeluar kereta tidak menawarkan gear manual dengan nisbah gear terlalu banyak. Kotak gear 14-kelajuan tidak praktikal dengan enjin pembakaran dalaman.

Tetapi untuk EV, lain pula ceritanya. Toyota berpendapat apa salahnya memberikan lebih banyak pilihan kepada pembeli.

Toyota GR Yaris bakal dapat lebih kuasa, tapi auto!

TOYOTA dilaporkan sedang membangunkan versi lebih berprestasi untuk GR Yaris yang sudah cukup mantap. Menurut Motor1 yang memetik majalah Best Car, hatchback AWD itu akan diperkenalkan dengan versi baharu lebih berkuasa pada musim luruh ini, bermakna dalam masa terdekat.

Ia juga dikatakan bakal mendapat reka bentuk yang lebih ‘segar’ berbanding versi mula dilancarkan pada 2020. Menurut sumber tadi, enjin 1.6-liter 3-silinder turbo itu akan ditala supaya menjana 300hp dan 370Nm tork.

Tetapi pembaharuan yang paling mendapat perhatian ialah penawaran kotak gear baharu untuk GR Yaris 2024, iaitu automatik! Ya, Toyota akan memberikan kotak gear automatik 8-kelajuan baharu, malah prorotaipnya telahpun dipertontonkan pada Mac 2022 lalu.

Laporan mengatakan kotak gear itu bakal dilengkapi dengan paddle-shifter dan “lock-up system” baharu, bermakna ianya torque-converter dan bukan dwi-klac.

Pembaharuan lain termasuklah brek dan suspensi yang ditala semula, berserta ketegaran badan yang dipertingkatkan. GR Yaris ini juga akan mendapat bampar dan spoiler belakang lebih besar.

Di bahagian dalam pula, skrin tengah adalah dari GR Corolla, walaupun kita tidak memerlukannya dalam model sebegini.

Apa pendapat anda mengenai GR Yaris automatik? Adakah ianya menjadikan hatchback ini kurang ‘umph’ atau lebih baik kerana lebih ramai dapat menikmatinya?

Pendapat kami, model istimewa seperti Toyota GR Yaris patut dikekalkan dengan manual 6-kelajuan. Tetapi mungkin juga Toyota mahu melihat sejauh mana had GR Yaris ini dengan transmisi baharu.

Prototaip EV Lexus dengan transmisi manual tiruan, boleh ‘mati enjin’ jika silap ‘tukar gear’

TRANSMISI manual dikira hampir pupus. Malah jika anda tolak ke tepi kereta dengan kotak gear manual yang kini hanya berada kira-kira dua peratus dalam pasaran, anda harus terima bahawa EV akan mengambil alih kenderaan di atas jalan.

Tetapi Toyota nampaknya mahu mengubah hakikat ini, atau setidak-tidaknya melambatkan peralihan ke arah EV. Maka sebab itulah mereka kini sedang membangunkan prototaip EV dengan kotak gear manual tiruan.

Mereka baru-baru ini mempertontonkan kepada media di Eropah versi istimewa bagi Lexus UX300e. Crossover EV ini nampak biasa, tetapi ia dilengkapi dengan penukar gear dan klac tiruan untuk memberikan sensasi ‘hubungan’ kita dengan kereta secara old-school.

Pemandu akan dapat menukar gear berbeza apabila mereka sampai ke hujung redline tachometer tiruan. Malah, jika pemandu ‘tersilap menukar gear’ ia boleh menyebabkan EV itu terhenti.

Anda boleh tonton demonstrasi pemanduan EV dengan kotak gear manual ini oleh EVO:

Kenderaan elektrik (EV) jarang mempunyai lebih dari satu atau dua gear. Tetapi Lexus berkata mereka membangunkan konsep ini untuk pemanduan EV yang lebih menyeronokkan, dan mungkin menggunakannya pada model-model hibrid produksi jika mempunyai potensi.

Kami tidak pasti jika transmisi manual tiruan sebegini akan memberikan kepuasan seperti memandu manual sebenar, tetapi yang pasti kami mahu mencubanya!

Berang isu gear ‘tersengguk’ tak selesai, pemilik Proton X70 mahu hantar surat guaman

BERANG dengan isu kotak gear ‘tersengguk’ yang tidak selesai, seorang pemilik X70 didakwa akan menghantar surat guaman kepada pihak Proton.

Imej oleh: Facebook Summer Yippie Yap

“Fed up already with the jerking issue. Sending lawyer letter to Proton Cars”, tulis Summer Yippie Yap di group Facebook X70OCM (Proton X70 Owner Club).

Menurut rakan media kami di Mekanika dan Funtasticko, Summer yang juga merupakan seorang peguam pernah bertanya kepada ahli-ahli lain X70OCM berkenaan isu jerking atau ‘tersengguk’ pada X70 CBU.

Menurutnya, Proton X70 miliknya itu bergetar dan tersekat-sekat apabila kereta diperlahankan ke gear 4 tanpa menekan brek. Isu ini juga dikatakan semakin kerap berlaku.

Summer dan beberapa orang rakannya akan menggunakan khidmat firma guaman Tan, Tan & Tan Associates dan surat bertarikh 22 Disember 2021 itu dialamatkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar yang beribu pejabat di Centre of Excellence, Subang Jaya, Selangor.

Tajuk atau isi surat itu walaubagaimanapun tidak didedahkan.

Adakah anda di kalangan pemilik Proton X70 CBU yang mengalami masalah sama?