Arkib Tag: konvoi

Konvoi EV Hyundai Ioniq 5 tamatkan jelajah ASEAN – 3,197km dalam 11 hari

SELEPAS 11 hari dan 3,197km, konvoi Hyundai Ioniq 5 akhirnya berjaya menamatkan jelajah sifar emisi mereka di rantau ASEAN.

Mereka memulakan perjalanan di Singapura, kemudian melalui Malaysia, Thailand, Kemboja, dan tamat di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 30 November 2023.

Ekspedisi ini menjadi jelajah kereta elektrik (EV) dengan paling banyak negara dilalui dalam ASEAN. Malah jarak keseluruhan 3,197km itu juga adalah tambahan 446km dari perkiraan asal.

Jelajah ini bertujuan mempamerkan kebolehan Ioniq 5 untuk perjalanan jarak jauh dan sifat mesra alamnya, terutamanya di rantau EV yang masih ragu-ragu dengan kemampuan EV.

Sebagai tambahan, Hyundai Ioniq 5 juga menunjukkan penjimatan kos, dengan hanya USD116 (RM537.60) setiap untuk keseluruhan perjalanan. Ini secara purata adalah dua kali lebih jimat berbanding perbelanjaan petrol kereta ICE biasa.

Youngtack Lee, Presiden Hyundai Motor ASEAN berkata: “Dedikasi kami dalam menjadikan EV lebih mudah diakses sebagai solusi kenderaan bersih telah berjaya membuat anjakan ke hadapan.

“Dengan kejayaan jelajah Ioniq 5 ini, kami teruja untuk menggiatkan lagi inovasi kami dalam mengembangkan infrastruktur dan ekosistem EV di rantau ini.

“Jelajah ini mungkin telah berakhir, tetapi keterujaan elektrifikasi baru sahaja bermula,” tambahnya.

Konvoi Hyundai Ioniq 5 ini terdiri dari lima kereta, dua daripadanya dikeluarkan di Indonesia dan tiga lagi di Singapura.

Lebih 600 pemilik Isuzu D-Max berkumpul rai semangat Merdeka di 29 lokasi berbeza

KIRA-KIRA 600 pemilik Isuzu D-Max dan kenderaan mereka di seluruh negara telah berhimpun bagi menyambut Hari Merdeka menerusi acara Konvoi Merdeka 66.

Menariknya, program anjuran Isuzu Malaysia ini menyaksikan himpunan pemilik di 29 lokasi berbeza secara serentak pada jam 9:15 pagi, 31 Ogos lepas.

Konvoi Merdeka 66 menjadi perhimpunan terbesar di negara ini yang berlangsung pada masa yang sama melibatkan Isuzu D-Max, bagi meraikan sambutan Hari Merdeka ke-66 Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo yang merasmikan acara ini di cawangan Isuzu Jinjang di Kuala Lumpur berkata, acara Konvoi Merdeka 66 telah memberi peluang kepada pengedar untuk berinteraksi dengan pemilik D-Max dan meraikan kesepakatan serta keharmonian yang telah dikecapi atas semangat perpaduan di negara ini.

“Dengan matlamat kami untuk menjadikan sambutan Hari Merdeka kali ini lebih bermakna bersama pengedar dan pemilik D-Max, kami juga ingin meraikan semangat perpaduan dan sehati sejiwa yang unik, yang sudah terjalin antara rakyat Malaysia melalui sebuah acara yang melangkau sempadan seperti ini,” ujar Sogo.

Peserta acara Konvoi Merdeka 66 menikmati aktiviti bersama dengan pemilik Isuzu D-Max yang lain di seluruh negara dan dihidangkan dengan beberapa program istimewa yang telah dianjurkan oleh pengedar masing-masing.

Kenderaan peserta juga dihiasi dengan pelekat peringatan dan bendera, serta setiap peserta turut diberikan kemeja-T eksklusif.

Bagi kami, himpunan sebesar ini sangat baik malah bijak dilakukan di lokasi berbeza. Pertama, ia mengurangkan kesesakan trafik disebabkan konvoi. Keduanya, lebih ramai orang awam di lokasi berbeza dapat melihat dengan lebih dekat. Syabas geng-geng Isuzu D-Max semua!

Antara aktiviti berasingan yang dianjurkan oleh pengedar yang terlibat ialah lawatan ke ladang durian, kursus off-road ringkas, sepetang di pantai, destinasi resort terpencil dan kunjungan ke pusat beli-belah.

Maklum balas daripada pemilik sangat positif dengan ramai daripada mereka menyatakan keinginan untuk menyertai aktiviti berkumpulan bersama pemilik D-Max lain lagi pada masa akan datang untuk menjalin hubungan mesra dan membina rangkaian persahabatan.

Konvoi BMW dari Singapura terima 16 saman halang lalu lintas di jambatan kedua Pulau Pinang

POLIS telah mengeluarkan sebanyak 16 saman terhadap sekumpulan pemandu kereta yang berkonvoi sehingga menghalang lalu lintas di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) pada 9 Jun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, bertindak atas maklumat pihaknya telah mengesan kesemua pemandu berkenaan menginap di sebuah hotel di Batu Ferringhi.

“Pegawai penyiasat telah ke hotel berkenaan semalam kira-kira jam 2.12 petang sebelum meminta kesemua pemandu yang terlibat tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan untuk tindakan lanjut.

“Susulan itu, seramai 12 pemandu telah hadir hari ini dan kita mengeluarkan 16 saman terhadap kesemua mereka.

“12 saman dikeluarkan atas kesalahan halang lalu lintas manakala empat lagi atas kesalahan nombor pendaftaran fancy,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Difahamkan, mereka yang disaman terdiri daripada warga tempatan dan Singapura.

Tindakan sekumpulan pemandu itu tular menerusi satu rakaman video TikTok berdurasi 2 minit 50 saat. Video itu memaparkan lebih daripada 10 buah kenderaan mewah dipandu secara beriringan dalam tiga barisan.

Untuk pengetahuan pembaca, JSAHMS atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua hanya mempunyai dua lorong, bermakna peserta konvoi tersebut bukan sahaja telah menghalang laluan malah turut menggunakan lorong kecemasan.

Konvoi motosikal perlu buat laporan, hantar senarai peserta terlebih dahulu – KP JPJ

PENGANJUR konvoi motosikal melibatkan lebih dari seorang penunggang perlu menghantar senarai peserta dan motosikal yang terlibat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim ketika ditemubual pada acara Kempen Keselamatan Jalan Raya 2023 di Seremban pagi tadi.

Memetik laporan rakan media kami di Careta dan Moto Malaya, Zailani berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha JPJ bersama-sama pihak pihak polis terutamanya dalam menangani kes tunggang motosikal berkuasa tinggi tanpa lesen (B Full).

“Saya telah bercakap dengan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasana Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim dimana setiap konvoi melibatkan lebih daripada satu motosikal bukan sahaja perlu memaklumkan pihak polis malah JPJ,” jelasnya.

Tambah Zailani lagi, langkah itu bertujuan membolehkan pihak JPJ melakukan semakan yang lebih terperinci termasuk cukai jalan dan lesen yang betul.

“Senarai tersebut akan digunakan oleh pihak JPJ untuk memeriksa butiran setiap peserta seperti tempoh sah insurans dan lesen memandu, serta keadaan kenderaan yang terlibat dalam konvoi,” tambahnya.

“Pihak Polis dan JPJ akan turut serta berada di lokasi yang ditetapkan untuk memantau keadaan bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.”

Elak kemalangan punca polis arah ambulans beri laluan konvoi PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertahankan tindakan anggotanya menghentikan pacuan empat roda dan ambulans bagi memberi laluan kepada konvoi Perdana Menteri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor berkata, tindakan anggota terbabit adalah betul memandangkan konvoi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di jalan utama.

Jelas Supt Azman Shari’at, kemalangan mungkin berlaku jika anggota trafik memberi keutamaan jalan kepada pacuan empat roda dan ambulans.

“Konvoi yang berada di jalan utama telah diberi keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilaian awal yang sudah dilaksanakan oleh anggota trafik berkenaan.

“Anggota bertugas di persimpangan itu telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan berkenaan untuk tempoh yang singkat,” katanya.

Sebelum ini, tular video kenderaan pacuan empat roda dan ambulans berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada sebuah konvoi.

Kejadian 26 Disember itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi semasa rombongan Perdana Menteri dalam perjalanan memantau kerja pembersihan akibat banjir.

Orang ramai turut melahirkan pelbagai komen terhadap insiden berkenaan di media sosial.

Modenas Dominar D400 lepasi cabaran 1,600 kilometer, terbukti lasak

KETAHANAN Modenas Dominar D400 tidak dapat disangkal apabila jentera itu berjaya menempuh cabaran konvoi sepanjang 1,600 kilometer.

Konvoi dianjurkan pada bulan lalu itu mengambil masa hanya dalam tempoh 24 jam dengan penyertaan 10 peserta termasuk para wartawan.

Modenas berkata, cabaran ini bukan sahaja menguji ketahanan jentera Dominar D400 tetapi turut memberi ruang syarikat itu terus bekerjasama dengan pihak media.

Foto ihsan Facebook/Modenas

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan turut berharap program seumpama itu diteruskan di masa depan.

“Saya percaya ia kali pertama bagi mana-mana pengeluar motorsikal menganjurkan acara seperti ini secara rasmi.

“Modenas mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyahut cabaran…kami berharap dapat menganjurkan lagi acara seperti ini dengan model motosikal Modenas lain,” katanya.

Pada 18 November lalu, Modenas menerusi kerjasama syarikat Petron Malaysia menganjurkan program Cabaran 1,600 KM Modenas Dominar D400.

Cabaran pada masa sama menguji ketahanan mental dan fizikal peserta selain melihat keupayaan Modenas Dominar D400.

Foto ihsan Facebook/Modenas

Secara keseluruhan, konvoi menempuh perjalanan sejauh 1,619 kilometer hanya dalam tempoh masa 23 jam 8 minit.

Konvoi bermula dari Petron Subang Jaya menuju ke kilang Modenas dekat Gurun, Kedah dengan jarak perjalanan lebih 399 kilometer.

Perjalanan kemudian diteruskan ke Jerteh melalui Banjaran Titiwangsa dan kawasan hutan simpan Royal Belum dengan jarak 315 kilometer.

Selepas berehat di Jerteh, konvoi diteruskan ke Kijal, Terengganu yang memakan jarak perjalanan lebih 234 kilometer.

Selepas tiba di Terengganu, peserta meneruskan lagi konvoi ke Mersing sebelum tiba di Simpang Renggam, Johor dengan jarak perjalanan 533 kilometer.

Walaupun kepenatan, kesemua peserta meneruskan lagi perjalanan ke Melaka dan terus menuju ke Kuala Lumpur bagi menamatkan cabaran.

Kami di Engear mengucapkan tahniah dan syabas buat penganjur kerana berjaya menganjurkan program seperti ini dan diharap ia diteruskan lagi pada masa depan.

Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk memiliki sebuah Modenas Dominar D400?

Berlagak marshal dan tahan trafik, kini diburu polis

BEBERAPA individu yang bertindak seperti marshal dengan menahan kenderaan awam di persimpang lampu isyarat bagi memberi laluan kepada konvoi motosikal berkuasa tinggi kini diburu pihak polis.

Satu video berdurasi 1 minit 10 saat tular di media sosial menunjukkan beberapa individu ‘berlagak’ marshal dan insiden dikatakan berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, “Pergerakan motorsikal berkuasa besar ini dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke bulatan Sunggala, Telok Kemang.”

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marshal berkenaan.

“Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sesiapa yang memiliki maklumat berkaitan kejadian diminta beri kerjasama kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik atau menghubungi talian terus di talian 06-6472222,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau juga menasihati kumpulan konvoi yang bergerak supaya tidak membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal, melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran mana-mana pegawai polis.

“Tindakan ini boleh membahayakan kepada diri sendiri pengguna dan menyekat kebebasan bergerak di jalan awam,” katanya.

Rentas negeri: Tangguh dulu konvoi, beri peluang orang balik kampung

KEBENARAN rentas negeri diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini disambut baik majoriti rakyat.

Apa tidaknya, ramai kalangan kita sudah menunggu sekian lama bagi mendengar khabar gembira itu.

Golongan paling teruja sudah pasti mereka yang tinggal berjauhan dengan ibu bapa dan sanak saudara.

Namun, terdapat satu lagi golongan yang turut tidak kurang gembira dengan pengumuman kebenaran rentas negeri ini. Siapakah mereka?

Mereka ini adalah golongan yang sudah tidak sabar untuk mengikuti konvoi sama ada berkereta atau bermotosikal.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto fail ihsan Malay Mail

Konvoi rentas negeri

Pemerhatian penulis di media sosial mendapati sudah ada beberapa group telah melakukan aktiviti konvoi merentasi negeri.

Pada penulis, janganlah terlalu awal melakukan aktiviti konvoi sama ada bermotosikal atau berkereta.

Ini kerana matlamat utama kebenaran rentas negeri bertujuan merancakkan semula sektor ekonomi selain memberi peluang kepada individu yang ingin bertemu ahli keluarga.

Bagaimanapun, pasti ada yang tertanya-tanya mengapa pula aktiviti konvoi perlu ditangguhkan dahulu? Tidakkah itu hak masing-masing?

Benar, itu adalah hak masing-masing. Bagaimanapun, perlu diingat kebanyakan jalan raya utama kini sesak dengan pertambahan bilangan kenderaan.

Maka, adalah tidak sesuai untuk aktiviti konvoi dilakukan selain amat berisiko tinggi berdepan kemalangan jalan raya.

Bayangkan berkonvoi dalam keadaan sesak sebegini? – Foto ihsan Malay Mail

Tips konvoi

Justeru, di sini penulis ingin berkongsi pandangan mengenai do and don’ts dalam menganjurkan aktiviti berkonvoi di waktu terdekat ini.

Pertama, elak penganjuran konvoi di hujung minggu. Ini kerana bilangan kenderaan di jalan raya pada hujung adalah tinggi. Jadi, jangan kita menambah lagi kesesakan lalu lintas ya.

Kedua, pastikan jumlah kenderaan menyertai konvoi tidak terlalu banyak. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan pertambahan kenderaan malah, lebih mudah untuk koordinasi.

Ketiga, jangan berlumba di jalan raya. Penulis dapati menjadi trend mereka yang menyertai konvoi berlumba sesama sendiri. Anda bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut melibatkan pemandu lain!

Sentiasa peka di jalan raya bagi mengelak berdepan kecelakaan. – Foto ihsan JPAM Rembau

Keempat, jangan lupa perbaharui cukai jalan dan lesen memandu. Anda bukan sahaja berisiko berdepan saman tetapi lebih parah jika berlaku kemalangan. Sendiri mau ingat beb!

Kelima, sebaik-baiknya hold dulu rancangan konvoi rentas negeri anda. Percayalah, tidak lari gunung dikejar. Jika tak sabar sangat, lakukan konvoi ke tempat berdekatan sahaja.

Akhir kata, semuanya terpulang kepada anda sama ingin menyertai konvoi rentas negeri dalam waktu terdekat ini atau sebaliknya.

Walau apa jua keputusan, sentiasa letakkan tahap keselamatan sebagai aspek paling penting ketika berkonvoi.

Semoga urusan kita semua dipermudahkan dan jumpa lagi!

Ambang merdeka: Polis beri amaran jangan sertai konvoi, kekal patuh SOP

AKTIVITI berkonvoi masih tidak dibenarkan ketika ini.

Demikian amaran polis yang meminta semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan sebagai usaha membendung penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, larangan termasuk sesi perjumpaan di lokasi tumpuan ramai.

Jelas Azisman, pihaknya juga melakukan persiapan bagi memantau sebarang aktiviti konvoi menjelang sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

“Bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini, pihak JSPT sudah bersedia dengan perancangan mengatur penugasan Op Khas Ambang Merdeka 2021.

“Penguatkuasaan menyeluruh melibatkan kontinjen dan daerah serta Sektor Kenderaan Peronda Lebuhraya (EMPV) Bukit Aman bermula 28 Ogos hingga 1 September,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial sekumpulan lelaki disaman polis kerana melakukan aktiviti konvoi bermotosikal di Shah Alam, Selangor.

Salah seorang individu disaman memuatnaik status di media sosial berhubung perkara itu sambil mengaku tidak mengetahui bahawa aktiviti konvoi masih tidak dibenarkan.

Terdahulu, Azisman memaklumkan polis telah mengadakan operasi secara bersepadu bersama lain-lain agensi penguatkuasaan.

Katanya, operasi secara besar-besaran dibuat bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan jalan raya dan berharap peraturan dikuatkuasakan terus dihormati.

“Memandangkan pandemik Covid-19 masih belum reda…tiada sebarang sambutan atau perarakan secara besar-besaran akan diadakan di peringkat kebangsaan dan negeri.”