Arkib Tag: kesesakan

Peruntukan RM3 juta untuk lebarkan Persiaran Mokhtar Dahari

LALUAN Persiaran Mokhtar Dahari yang menghubungkan Puncak Alam dengan kawasan Kampung Melayu Subang mengalami kesesakan teruk selepas pembukaan Lebuh Raya DASH (Damansara-Shah Alam Elevated Expressway) pada Oktober lepas.

Kini, kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi projek pelebaran jalan bagi membendung masalah itu yang semakin kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata projek langkah jangka pendek itu membabitkan dua lorong sepanjang satu kilometer.

“Projek dijangka siap akhir tahun ini. Namun untuk langkah jangka panjang, kita akan tambah satu lagi lorong di kedua-dua hala memandangkan lokasi ini adalah jalan utama selain bertembung dengan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

“Projek akan dilaksanakan dua tahun lagi dengan anggaran RM20 juta termasuk kos utiliti. Bagaimanapun ia ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan syarikat Teguh Mantap yang memajukan kawasan berkenaan,” tambahnya.

Pada 26 Oktober tahun lalu, media melaporkan pihak berwajib dirayu segera melaksanakan pelebaran laluan sedia ada yang sering mengalami kesesakan teruk membabitkan anggaran lebih 100,000 pengguna, terutama pada waktu puncak.

Ia adalah laluan utama penduduk di beberapa kawasan penempatan sekitar, terutama dari Alam Budiman, Kampung Meru, Setia Alam, dan Puncak Alam, yang kini terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam berbanding perjalanan hanya lima minit sebelum ini.

Malah, kekurangan lorong untuk menampung peningkatan aliran trafik di laluan terbabit kerap menyaksikan kesesakan berlaku hingga sepanjang lebih tiga kilometer.

Pemandu KL rugi 75 jam setahun terperangkap dalam kesesakan trafik, boleh baca 31 buah buku!

ANDA pasti pernah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan berfikir masa yang terbuang boleh digunakan untuk melakukan aktiviti berfaedah seperti membaca buku, bukan? Atau mungkin anda rasa mahu terbang naik helikopter sahaja pulang ke rumah.

Menurut satu kajian oleh syarikat pemetaan digital TomTom, pemandu-pemandu di Kuala Lumpur (KL) secara purata kerugian 159 jam setahun memandu dalam kesesakan jalan raya di pusat bandar semasa waktu puncak. Masa itu boleh digunakan untuk membaca kira-kira 31 buah buku.

Dari 159 jam yang terbuang itu, hampir separuh atau 75 jam adalah disebabkan kesesakan lalu lintas.

Anda juga telah membelanjakan RM1,023 setahun untuk petrol semasa waktu puncak, dengan satu per lima darinya atau RM221 dibelanjakan semasa kesesakan lalu lintas.

Sebagai perbandingan, anda perlu menanam 83 pokok setahun untuk ‘menyerap’ 833kg karbon dioksida yang dilepaskan oleh ekzos kereta semasa waktu puncak. 180kg dari karbon dioksida itu adalah dari kesesakan lalu lintas sahaja.

Dalam erti kata lain, disebabkan kesesakan ini, pemandu KL menghabiskan tambahan sembilan minit untuk setiap 10km semasa waktu puncak pagi, dan 12 minit lagi untuk waktu petang.

Pengiraan TomTom adalah berdasarkang anggaran pemandu KL yang memandu sejauh 10km semasa waktu paling sibuk di sebelah pagi, dan jarak yang sama di waktu petang. Anggaran ini juga dibuat dengan 230 hari bekerja setahun.

Semasa hari minggu, waktu paling sibuk di sebelah pagi adalah dari 8 hingga 9 pagi (18 hingga 21 minit), dan pukul 6 hingga 7 untuk sebelah petang (22 hingga 25 minit).

Data kajian juga menunjukkan waktu puncak paling buruk di KL biasanya jatuh pada hari Khamis dari 6 hingga 7 petang, dimana ia mengambil masa 25 minit 20 saat untuk memandu sejauh 10km secara purata.

Jika anda bekerja dari rumah selama tiga hari (dari Selasa hingga Khamis), anda akan jimat 104 jam dan RM609 untuk petrol setahun.

Kajian yang dilakukan oleh TomTom adalah berdasarkan indeks dari 389 bandar dari 56 negara seluruh dunia. Mereka yang memandu 10km di waktu puncak di London menghabiskan masa sebanyak 325 jam setahun.

Sebagai perbandingan, pemandu di KL menghabiskan 159 jam tahun lepas, pemandu Singapura menghabiskan masa sedikit kurang, pada 150 jam.

Pemandu di Manila pula menghabiskan 241 jam, manakala Jakarta dan Bangkok masing-masing menghabiskan 214 jam dan 192 jam.

Kesesakan di Plaza Tol Bentong – kita perlu buat sesuatu

BARU-baru ini seorang pembaca di Utusan Malaysia menyuarakan kegusarannya mengenai kesesakan di kawasan Plaza Tol Bentong arah barat semasa musim perayaan.

Menurutnya, kesesakan bermula dari susur keluar Plaza Tol Karak LPT1 arah barat sehingga simpang Bukit Tinggi Resort atau Hentian Sebelah Lentang.

Beliau mencadangkan agar pihak berwajib menambah dari dua ke empat atau enam lorong dari susur keluar CSR Mempaga ke Plaza Tol Bentong.

Untuk penyelesaian jangka masa panjang pula, beliau mencadangkan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempercepatkan pembinaan sambungan CSR dari Mempaga ke Pelangai menghala arah selatan berhampiran sempadan Negeri Sembilan.

Imej oleh: Sinar Harian

Berikut adalah penulisan penuh olehnya:

Saudara pengarang,

Setelah sebahagian jalan Central Spine Road (CSR) dibuka kepada lalu lintas pada November 2021, pengguna boleh menggunakan jalan ini untuk ke Kampung Lebu di Bentong, Pahang tanpa melalui bandar Bentong dan terus ke Raub, Lipis yang menghubungkan Gua Musang di Kelantan.

Tiada lagi kesesakan di bandar Bentong kerana laluan CSR ini adalah jalan pintas. Kenderaan dari Pahang Barat dan Kelantan boleh ke Lebuh Raya Karak (KLK) tanpa melalui bandar Bentong. Pakej yang disiapkan ini bermula dari Kampung Lebu terus keluar ke KLK berhampiran Plaza Tol Bentong arah barat.

Semasa cuti perayaan, kesesakan bermula dari susur keluar Plaza Tol Karak LPT1 arah barat sehingga simpang Bukit Tinggi Resort atau Hentian Sebelah Lentang.

Imej oleh: Bernama

Kenderaan semakin perlahan dan adakala tidak bergerak apabila menghampiri susur keluar CSR dari Felda Mempaga ke Plaza Tol Bentong yang jarak antara kedua-duanya tidak begitu jauh.

Ia lebih sesak jika dibandingkan ketika susur keluar CSR ini belum dibina dan belum dibuka. Kesesakan ini berlaku disebabkan jumlah kenderaan dari Pahang Timur dan Terengganu bertemu kenderaan dari susur CSR dari arah Mempaga.

Ia mewujudkan kesesakan kerana hanya terdapat dua lorong sepanjang 1.5 kilometer di KLK sebelum menghampiri Plaza Tol Bentong.

Justeru, dicadangkan agar pihak berwajib menambah dari dua ke empat atau enam lorong dari susur keluar CSR Mempaga ke Plaza Tol Bentong.

Sementara untuk langkah jangka panjang ialah pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempercepatkan pembinaan sambungan CSR dari Mempaga ke Pelangai menghala arah selatan berhampiran sempadan Negeri Sembilan.

Selain itu, dicadangkan juga LLM dan kerajaan merancang membina lebuh raya baharu dari CSR di Pelangai ke Kajang, Selangor merentasi bahagian selatan Banjaran Titiwangsa sebagai pilihan laluan ke Pantai Barat atau Pantai Timur.

TEROPONG DO RE MI, Setapak, Kuala Lumpur

Tiga lebuh raya baharu untuk atasi kesesakan di Lembah Klang – Menteri

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) sedang dalam proses meneliti dan meluluskan pembinaan lebuh raya baharu bagi menangani kesesakan yang berlaku di sekitar Lembah Klang.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembinaan lebuh raya baharu itu bakal mewujudkan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan akibat pertambahan bilangan kenderaan.

Gambar oleh: Malay Mail

Katanya, penelitian itu turut membabitkan cadangan dibuat oleh pihak swasta.

“Mengikut pelan pembangunan rangkaian lebuh raya yang dibangunkan dan dikaji setiap lima tahun, yang perlu ada kalau kita tengok rim basikal itu ialah jejarinya,” kata Fadillah.

“Jadi ini yang perlu kita hubungkan supaya kalau ada kesesakan trafik ini, ada alternatif (pengguna) pindah ke lebuh raya lain. Ini yang sedang dikaji dan keutamaan akan diberikan kepada perkara tersebut.”

Lebuh raya di sekitar Lembah Klang dilaporkan mengalami kesesakan yang teruk sejak dua minggu lalu ekoran pertambahan kenderaan yang semakin tinggi selepas penarikan balik sekatan pergerakan Covid-19.

Mengulas lanjut, Fadillah bagaimanapun berkata, pihak kerajaan tidak dapat memberi jaminan bahawa pembinaan lebuh raya baharu itu dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya disebabkan oleh kadar pertambahan kenderaan di Malaysia yang semakin meningkat.

“Walaupun jalan sudah ada, kalau kenderaan makin meningkat mungkin jalan sedia ada (lebuh raya baharu) tidak dapat menampung,” katanya.