Arkib Tag: kereta sports

Toyota GR86: Perihal analog, kamera filem, dan kereta latihan – Pandu uji

KADANG-kadang kelakar juga bila penulis baca komen-komen seperti, “Sekarang zaman moden, mana ada orang bawa kereta manual dah,” atau “Nak sangat pandu kereta manual, tunggu lah bila ‘jem’ nanti.”

Pertama: Walaupun automatik (CVT, torque converter, dwi-klac) lebih baharu, terdapat juga transmisi manual moden. Secara mekanikal masih manual tiga pedal, tetapi dengan fungsi-fungsi canggih seperti anti-stall dan rev-matching.

 

Apa salahnya kalau tahun 2030 pun ada kereta manual? Permintaan kereta manual meningkat semula di benua Eropah dan Amerika Utara beberapa tahun kebelakangan ini.

Kedua: Tiada siapa suruh anda pandu manual dalam ‘jem’ atau kesesakan trafik. Eh tetapi kereta-kereta manual terkini sangat mudah digunakan dalam semua keadaan.

Yang memberi penat waktu ‘jem’ bukanlah sebab sedang pandu manual, sebenarnya orang potong queue, tukar lorong tanpa signal, ‘wartawan jalanan’ sibuk perlahankan kenderaan untuk tengok kemalangan, ini semua yang bikin penat sebenarnya.

Panjang pula mukadimah ya. Tetapi hari ini kami ingin ceritakan mengenai Toyota GR86.

 

Seronok pula memandu uji sebuah kereta sports ‘basic’ yang ringkas; manual, tetapi moden dan terkini. Dalam lambakan SUV mewah dan kereta elektrik (EV) zaman sekarang, terasa macam ‘bercuti’ sebentar bersama GR86.

Alkisah kamera filem dan kereta latihan

Jika dulu orang membeli kereta dengan transmisi manual untuk lebih laju. ‘Dulu’ merujuk kepada zaman 1990-an, kerana pada masa itu automatik masih baharu, memang manual kekal versi yang lebih laju. Automatik hanya untuk lebih mudah dipandu.

Tetapi tidak untuk zaman sekarang. Transmisi automatik sudah betul-betul ‘terer’, sama ada torque-converter atau dwi-klac. Dipadankan dengan TCU (transmission control unit) yang menjadi ‘otak’-nya, banyak model automatik zaman sekarang yang sama atau lebih laju dari model manual.

Sebagai contoh Porsche 911 (992) GT3 versi PDK mampu mencatatkan masa lebih pantas di litar berbanding versi manual. Jadi, kenapa ada orang masih mahu manual?

Semata-mata untuk keseronokan dan kepuasan. Ya, bukan untuk lebih laju. Kita ambil contoh kamera analog yang menggunakan filem. Kenapa masih ada permintaan sedangkan kamera digital lebih mudah digunakan? Hanya halakan sahaja, tekan, tangkap, tadaa dapat foto bertaraf profesional.

Tetapi mereka yang menggunakan kamera analog filem (atau mod manual dalam kamera digital) mahukan lebih kepuasan. Mereka mengambil masa meneliti pencahayaan, subjek, memilih mod dan tetapan, kemudian barulah petik butang tangkap gambar. Maka foto itu menjadi seni, bukan sekadar foto.

Bila menggunakan mod lebih susah dan anda dapat hasil tiptop, di sinilah lahirnya kepuasan. Begitu juga dengan Toyota GR86 manual ini. Ia akan memaksa anda melatih kemahiran memandu. Anda akan ‘bekerja’ dan ‘bersatu’ dengan kereta ini untuk mencapai prestasinya yang maksima.

Jika kereta bertindak balas cemerlang, ia sebab anda. Jika kereta kedengaran tersalah tukar gear, juga sebab anda. Amacam, ada bran?

 

Dalam erti kata lain, Toyota GR86 akan menjadi satu platform sangat sesuai untuk anda melatih kemahiran memandu sebelum beralih kepada jentera lebih berkuasa. Sebagai contoh sebelum ini anda memandu Proton Satria Neo atau Suzuki Swift Sport, anda akan selesa ‘upgrade’ kepada GR86 sebelum pergi kepada kereta seperti Porsche Cayman, BMW Z4 atau mungkin Ford Mustang dan Nissan R35.

Tetapi ini tidak bermakna GR86 sebuah jentera ‘pertengahan’. Pemandu dengan kemahiran memandu tahap tinggi juga akan dapat menikmati Toyota GR86 sepenuhnya. Tak percaya, tanya Tengku Djan.

Praktikal dipandu harian?

Salah satu sebab orang keberatan membeli kereta sports adalah kekangan praktikaliti. Untuk Toyota GR86, penulis rasakan ia cukup okey untuk digunakan seharian, tidaklah melampau sukar.

Ruang pandangan sekeliling cukup bagus, mudah untuk diparkir dan dikemudi di ruangan sempit. Kemudian pandangan depan sempurna untuk GR86 dipandu laju, anda boleh ‘meletakkannya’ tepat di selekoh sama ada mahu ‘gigit’ apex secara semula jadi atau sedikit lambat di selekoh tajam 180-darjah.

Klac juga ringan sahaja. Penulis langsung tiada masalah memandunya dalam kesesakan trafik, mungkin juga kerana kereta harian penulis juga bertransmisi manual. Tetapi hakikatnya, klac dan gear Toyota GR86 ini mudah dikendalikan, tidak memerlukan banyak masa untuk membiasakan diri. Paling penting, pedal klac jenis besi atau ‘stainless steel’ ini sedap dipijak, malah buat kita rasa ‘special’.

Oh ya, keluar masuk dengan kerap mungkin memenatkan kerana posisi memandunya yang rendah. Tetapi ini fizik! Nak selesa dan tinggi, ambil SUV sahajalah.

Beli sementara ada!

Toyota GR86 merupakan antara kereta sports jenis ini yang terakhir, kerana dunia dilihat beralih ke arah elektrifikasi. Mungkin pengganti GR86 selepas ini mendapat bantuan sistem hibrid atau hidrogen. Jadi ia akan menjadi generasi dengan janaan petrol sepenuhnya yang terakhir.

Jika anda mempunyai kemampuan, belilah sementara ada. Juga ia menghargai hasil produk Akio Toyoda yang mengasaskan Gazoo Racing dan menjadikan Toyota satu jenama lebih bersukan atau ‘motorsport’ seperti hari ini.

Bagi penulis juga, Toyota GR86 menepati ciri kereta sports sejati yang klasik. Ia mempunyai prestasi pecutan yang cukup mengujakan, ditemani dengan bunyi sporti (walaupun ada janaan pembesar suara), dan paling penting, mempunyai respon dan maklum balas yang memberikan anda keyakinan dan kepuasan semasa memandu.

Kelemahan? Mestilah ada. Selain dari harganya yang masih di luar kemampuan penulis (ini hanya peribadi), kecekapan bahan apinya bagi penulis masih agak rendah. Dalam erti kata lain, bacaan penggunaan petrolnya tidak begitu menjimatkan walaupun dalam pemanduan biasa.

Ditambah pula enjin ini sangat digalakkan disuap dengan RON97, jadi bajet petrol anda perlu ditambah jika mahu memiliki GR86. Inilah pengorbanan untuk kereta sports!

Jika hendak beli, baik auto atau manual? Bila orang bertanya soalan ini untuk GR86 (dan GT86 sebelum ini), penulis terus terang katakana ambil manual untuk pengalaman maksima. Ya, GR86 dengan automatik cukup laju dan mengujakan juga, transmisi itu pun mantap dan ‘bijak’.

Tetapi dengan automatik, pengalaman GR86 anda seolah-olah terbantut 50 atau 60 peratus sahaja. Ambil manual untuk ‘unlock’ pengalaman maksima. Ia seperti Satria Neo atau Swift Sport automatik, lebih baik ambil Myvi sahaja jika anda mahu mudah dipandu.

You are missing the point, bak kata omputih.

Spesifikasi Toyota GR86

Harga: RM295,000 (RM305,000 automatik)
Enjin: 2.4-liter naturally-aspirated, 4-silinder, bentangan boxer
Kotak gear: Manual 6-kelajuan (atau automatik 6-kelajuan)
Kuasa: 234hp @ 7,000rpm
Tork: 250Nm @ 3,700rpm

Proton Ultimate, kereta sports tempat yang tidak kesampaian – Imbas Engear

RAMAI yang sering meminta model prestasi mampu milik dari jenama tempatan Proton atau Perodua, kerana merasakan kebanyakan model dijual hari ini tidak cukup “umph”.

Proton sekitar 2000 hingga 2013 banyak menghasilkan model-model R3 yang seronok dipandu, malah masih menjadi buruan di pasaran terpakai hari ini.

Tetapi mungkin ramai tidak mengetahui 20 tahun dahulu, Proton pernah hampir mengeluarkan kereta sports mid-engined mampu milik untuk rakyat Malaysia. Bahkan satu unit prototaip dilaporkan telah dibina.

Kisahnya bermula apabila Proton mahu meningkatkan imej mereka dan menjadi lebih menonjol dari jenama-jenama kos rendah (terutamanya dari Asia timur), dengan membina model berteknologi tinggi dalam bentu jentera sports mid-engined (enjin tengah) 2.0-liter.

Memandangkan Proton pada masa itu masih memiliki Lotus Engineering, maka pastinya mereka mempunyai tenaga kepakaran dan kejuruteraan untuk dimanfaatkan.

Kereta sports itu sepatutnya dilancarkan pada 2003, kira-kira tiga tahun selepas projek itu didedahkan, dengan designasi Proton Ultimate (PU). Tempoh ini dianggap singkat – kebanyakan R&D mengambil masa kira-kira empat tahun – tetapi ianya dikatakan munasabah kerana dua sebab.

Pertama, ia direka untuk menjadi model jumlah pengeluaran rendah dengan parameter khas spesifik, tidak seperti model pengeluaran besar-besaran seperti kereta Proton lain.

Keduanya, kebanyakan proses kejuruteraan adalah berlainan dari kebiasaan dan akan menggunakan bahan-bahan komposit ringan.

Program dengan nama dalaman ‘Project Sepang’ ini dipercayai bermula pada Februari 2000, dengan konsep casis yang telah ditetapkan. Casis yang bakal digunakan ialah ‘Monaco’ dari Lotus yang pernah dipertontonkan di Frankfurt Auto Show.

Tetapi ia bukanlah sebuah kereta Lotus versi Proton, atau sebaliknya. Lotus sendiri mahu kedua-dua kenderaan ini berbeza. Pengeluar UK itu kemudiannya merealisasikan model mereka iaitu Europa pada 2006.

Dalam hal Proton, objektifnya ialah untuk menawarkan kereta sports dengan teknologi tinggi tetapi mampu milik, khasnya untuk rakyat Malaysia. Harga sasaran pada masa itu ialah RM150,000 (kira-kira RM249,000 hari ini jika ambil kira faktor inflasi).

Nampak mahal RM240,000 untuk sebuah Proton? Harus diingat, ini sebuah kereta sports dua tempat duduk mid-engined. Sedangkan SUV Proton pun sudah lebih RM120,000, ini pun perkara yang kita tida pernah fikir 10 tahun lepas.

Untuk enjin pula, beberapa pilihan untuk Ultimate telah diambil kira seperti Petronas E01 dengan 204hp dan Proton V6 yang mampu menjana sehingga 200hp.

Dikatakan Proton mahu menggunakan enjin Petronas kerana mereka kurang gembira membayar terlalu tinggi kepada Mitsubishi untuk mendapatkan enjin.

Menurut CEO Proton pada masa itu, kereta sports ini akan menggunakan banyak teknologi dan bahan ringan, tetapi masih ‘suku dari kos untuk membangunkan sedan biasa’. Ini boleh dicapai dengan menggunakan banyak komponen Proton sendiri, sebagai contoh brek dari Wira.

Pengeluaran untuk PU dikhabarkan sekitar 10,000 hingga 15,000 unit dalam tempoh kira-kira lima tahun.

Semasa kereta sports ini sepatutnya dikeluarkan, Proton juga telah melabur untuk barisan pemasangan baharu mereka di kilang Shah Alam, untuk membolehkan proses pengeluaran berbeza dari model konvensional.

Sekurang-kurangnya satu unit prototaip dikatakan telah siap dengan ‘enjin Amerika’. Tidak diketahui sama ada prototaip ini masih ada atau telah dilupuskan selepas Geely masuk ke dalam Proton.

Sayang sekali program PU ini tidak dapat direalisasikan sepemnuhnya. Beberapa pembangunan lain dalam syarikat ini juga mungkin mengalih fokus mereka, selain perubahan kempimpinan yang membuatkan keutamaan bertukar.

Apa pendapat anda mengenai projek Proton Utimate ini? Jika ia diteruskan dengan generasi baharu hari ini, boleh jual dengan harga RM230,000 hingga RM250,000?

Sebagai perbandingan, harga kereta sports seperti Alfa Romeo 4C, Lotus Elise, dan Toyota GR86 adalah sekitar RM220,000 hingga RM400,000, merangkumi kereta baharu dan recond.

Artikel asal, maklumat, dan gambar dikongsi oleh rakan media kami, Chips Yap di MotaAuto.

Toyota sedang bekerjasama dengan Suzuki untuk kereta sports kecil pengganti MR2?

PADA pertengahan Disember 2021, Toyota membuat kejutan dengan mempertontonkan Sports EV, iaitu kereta sports konsep dengan powertrain elektrik sepenuhnya.

Dengan lencana Gazoo Racing, jentera ‘mid-ship run-about two-seater’ terus dianggap peminat sebagai pengganti kepada MR2. Seperti dapat dilihat pada imej-imej rasmi ini, ia mempunyai ruang kemasukan udara besar, overhang pendek, banyak gentian karbon, dan seperti mempunyai bumbung targa.

Toyota tidak banyak bercakap mengenai Sports EV ni tetapi ada laporan terbaharu dari Jepun mendakwa syarikat ini masuk berminat menghasilkan model seperti MR2.

Majalah Best Car melaporkan kereta sports kecil itu dibangunkan bersama dengan Suzuki dan Daihatsu, dan projek ini sedang berjalan.

Majalah Jepun itu mendakwa tiga syarikat tempatan itu sedang bekerjasama membangunkan Toyota enjin tengah mampu milik dengan enjin 1.0-liter turbo. Enjin 3-silinder itu dikatakan akan menjana hampir 120hp dan 200Nm serta bakal mendapat sistem mild hybrid untuk memberikan boost.

Mungkin outputnya tidak begitu mengujakan, tetapi jentera sports yang disebut majalah Best Car itu akan mempunyai berat 1,000kg sahaja. Ini menjadikannya sama berat dengan Mazda MX-5 1.5, yang mempunyai output 129hp dan 150Nm.

Ia juga akan mempunyai saiz sekitar 4,200mm panjang, 1,720mm lebar, 1,220mm tinggi, dan jarak roda 2,550mm.

Suzuki dikatakan akan membangunkan enjin manakala suspensi depan akan diambil dari Yaris generasi sekarang. Penggayaan pula mengambil inspirasi dari Daihatsu Copen walaupun lakaran menunjukkan kereta sports ini mempunyai rupa lebih serius.

Kereta ini akan menjadi model khas dua tempat duduk, dan dijangka berharga sekitar 2.2 hingga 2.8 juta yen (RM72,323 hingga RM92,048) dengan kadar tukaran sekarang.

Apa pun, perkembangan ini masih dikira sebagai ura-ura, tetapi segalanya nampak sangat logik dan realistik. Jika model ini masuk Malaysia di bawah nama Toyota GR dengan harga kurang RM100k, adakah anda akan membelinya?