Arkib Tag: kereta mewah

Nombor plat hijau punya pasal, jualan kereta mewah merosot di Korea

JUALAN kenderaan berjenama mewah seperti Bentley, Porsche dan Rolls-Royce dilaporkan jatuh merudum di Korea Selatan.

Ini bukan disebabkan rakyat di sana sudah tidak mampu tetapi peraturan penggunaan nombor plat berwarna hijau untuk kereta syarikat membuatkan ramai tidak senang duduk.

Menurut laporan Korea Times, peraturan itu dikuatkuasakan awal tahun ini oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan bagi menghalang pemilik perniagaan daripada membeli supercar sebagai kenderaan syarikat untuk mengelak daripada membayar cukai.

Di bawah peraturan itu, semua kereta syarikat berharga lebih 80 juta won (RM276,850) dikehendaki menggunakan plat nombor pendaftaran berwarna hijau untuk membezakannya dengan kenderaan persendirian.

Laporan itu berkata, pembeli nampaknya tidak senang duduk kerana orang akan mengetahui kereta mewah yang mereka pandu itu sebenarnya bukan milik mereka. Bukan itu sahaja, plat hijau itu juga akan menarik perhatian pegawai cukai.

Kesan peraturan plat hijau ke atas jualan kereta mewah dan eksotik sangat ketara. Sebagai contoh, pendaftaran kenderaan Bentley di Korea merosot 77% untuk tiga bulan pertama 2024 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jualan Rolls-Royce dan Porsche masing-masing jatuh 35% dan 23%, manakala jualan Lamborghini turun 22 peratus dari Januari hingga Mac.

Menurut Korea Times lagi, tahun lalu kereta syarikat menyumbang 40% kepada jumlah keseluruhan pendaftaran tahun lalu namun tahun ini, angka tersebut turun kepada 28%.

Namun ada pengeluar yang mengatakan kemerosotan jualan itu berpunca daripada faktor ekonomi.

“Memandangkan ekonomi tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan segera, permintaan untuk kenderaan mahal merosot,” kata seorang eksekutif yang tidak dinamakan.

 

41 kereta mewah, sembilan motosikal tiada AP dirampas kastam, nilai lebih RM11 juta

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, menyita 50 kenderaan bernilai RM11.37 juta yang tidak mempunyai permit import (AP).

Rampasan itu dibuat menerusi Ops Bearing 2022 dilaksanakan bermula 15 Ogos lalu di sekitar Pelabuhan Klang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad, berkata semua rampasan membabitkan 41 kereta mewah pelbagai jenis dan sembilan motosikal berkuasa tinggi bernilai RM11,369,036.50 termasuk jumlah duti dan cukai.

“Semua kenderaan ini disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1957 kerana mengimport barang larangan yang pengimportannya dibenarkan dengan syarat ia tertakluk Permit Import dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Anggaran nilai rampasan adalah RM4.25 juta manakala jumlah duti dan cukai terbabit dianggarkan RM7.12 juta,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah hari ini.

Mohammad Sabri berkata, sebanyak 45 kenderaan import dikesan dan dirampas di zon bebas Pelabuhan Klang, manakala lima lagi dirampas di sekitar daerah ini.

Katanya, kenderaan dan motosikal import yang disita itu dibawa dari pelbagai negara termasuk Jepun, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Sweden.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati ada kenderaan import ini dibawa masuk oleh pelajar antarabangsa yang baru mendaftar di institut pengajian tinggi di negara ini.

“Mereka tidak tahu ia menjadi kesalahan jika membawa kereta import tanpa permit import terdahulu. Namun, kita tidak akan berkompromi dengan alasan itu,” katanya.

Mohammad Sabri berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat.

Gambar oleh: Bernama

Kenapa Rolls-Royce Cullinan Klassen ini berharga lebih RM4 juta?

TIDAK semua mampu untuk memiliki kenderaan mewah berjenama Rolls-Royce.

Bagi berkemampuan dan telah pun memilikinya pula, sudah pasti kenderaan mewah itu akan dijaga bak ‘menatang minyak yang penuh’.

Sedar akan hakikat ini syarikat automotif Klassen tampil menawarkan solusi khas buat individu yang ingin memiliki sebuah Rolls-Royce Cullinan yang sangat premium.

Foto ihsan Klassen

Klassen menawarkan pakej perlindungan paling mantap dengan pemasangan perisai pada Rolls-Royce Cullinan yang menepati piawaian CEN 1063 Level BR6.

Berdasarkan pakej disenaraikan Klassen, pemasangan perisai meliputi bahagian siling dan lantai.

Uji kaji dilakukan mendapati perisai tersebut mampu menahan dua serangan bom jenis DM51 yang meledak secara serentak.

Berikut antara ciri keselamatan lain yang ditawarkan Klassen:

Penggunaan cermin kaca kalis peluru berlapis

Perisai melindungi komponen elektronik

Tayar jenis run-flat

Sebuah Rolls-Royce Cullinan Klassen boleh dibeli pada harga 833,000 euro atau bersamaan lebih RM4,000,000.

Foto ihsan Klassen

Rolls-Royce Spectre, kenderaan elektrik sulung Rolls-Royce

ENGGAN ketinggalan dalam ‘perlumbaan’ penghasilan kenderaan elektrik (EV), Rolls-Royce Motor Cars tampil memperkenalkan model dikenali sebagai Rolls-Royce Spectre.

EV sulung syarikat kenderaan mewah itu bagaimanapun masih dalam fasa pengujian.

Ketua Pegawai Operasi (CEO) Rolls-Royce Motor Cars berkata, projek terbaharu ini merupakan detik bersejarah bagi syarikat itu.

Jelas Torsten Müller-Ötvös, pihaknya bukan sahaja ingin menyumbang kepada teknologi cekap tenaga malah, menghasilkan kenderaan bermutu tinggi.

“Sejak penubuhan syarikat ini pada 1904, ini merupakan hari bersejarah di mana kami bakal memulakan program pengujian di atas jalan raya.

“Semoga yang diusahakan ini mampu meninggikan lagi revolusi kenderaan elektrik global dan selain mewujudkan kenderaan mewah dalam kelas tersendiri,” katanya.

Rolls-Royce Spectre

Foto ihsan Rolls-Royce

Rolls-Royce Spectre merupakan sebuah EV coupe dua pintu.

Kenderaan ini menggunakan asas Architecture of Luxury iaitu sama seperti terdapat pada model Ghost dan Phantom terkini.

Bagaimanapun, setakat ini tiada maklumat lanjut didedahkan Rolls-Royce terutama membabitkan bahagian enjin.

Menjelang tahun 2030, Rolls-Royce menjangkakan tidak lagi menghasilkan kenderaan menggunakan enjin pembakaran dalaman.

Ini bermaksud, semua kenderaan dihasilkan akan menggunakan trenkuasa elektrik sepenuhnya.

Foto ihsan Rolls-Royce

Kenapa model Rolls-Royce Ghost Mansory memang ‘berhantu’?

JENAMA Rolls-Royce bukan suatu yang asing dalam industri automotif.

Merupakan jenama mewah terkenal dunia, tidak dinafikan ramai menganggap ia hanya mampu dimiliki individu kaya yang mencecah usia lebih setengah abad.

Namun, sejak tahun 2020 Rolls-Royce mula tampil memberi sedikit kelainan dengan menyasarkan pembeli dalam golongan lebih muda.

Justeru, apakah kelainan itu?

Rolls-Royce Ghost Mansory

Sedar akan saingan automotif semakin kompetitif, Rolls-Royce telah menghasilkan conversion kit yang direka khas bagi model Ghost Mansory generasi kedua.

Sesuai dengan namanya “Ghost”, model baharu ini memiliki ciri-ciri cukup ‘berhantu’ bagi setiap anak muda yang menatapnya.

Ini kerana semua komponen luaran diperbuat daripada gentian karbon meliputi bonnet, lip hadapan, skirting dan lubang udara sisi, spoiler bumbung, spoiler penutup bonet belakang serta diffuser.

Apa yang menjadikan Ghost Mansory lebih menonjol adalah lampu nyalaan siang (DRL) LED pada bahagian bawah bampar hadapan termasuk gril dengan sistem pencahayaan pelbagai warna.

Rim tuangan bersaiz 22 inci dipadankan dengan tayar berukuran 265/35 hadapan dan 295/30 di belakang melengkapkan imej luaran produk terbaharu Ghost Mansory ini.

Ruangan dalaman Ghost Mansory

Pada bahagian dalaman, Ghost Mansory dihiasi upholstery kulit mewah berwarna putih dengan perincian oren mandarin.

Selain itu, stereng juga diberikan balutan kulit termasuk trim gentian karbon pada papan pemuka dan konsol tengah.

Ghost Mansory turut dipasangkan sistem pencahayaan LED pada tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka bagi mendapatkan suasana kabin lebih mempersona.

Sebuah beg sejuk atau cool bag diperbuat daripada kulit dengan kapasiti 14 liter ditawarkan sebagai opsyen.

Kuasa enjin Ghost Mansory

Enjin 6.75-liter twin-turbo V12 membuktikan bahawa kereta ini cukup berkuasa.

Pada masa sama, ia menerima beberapa modifikasi melibatkan unit kawalan enjin (ECU), pengecas turbo baharu dan sistem ekzos sport dengan penukar pemangkin berprestasi tinggi.

Model ini mempunyai 720 PS dan 1,020 Nm yang mana hanya mengambil masa 4.4 saat bagi kelajuan 0-100 km/j.

Untuk perbandingan, Ghost Mansory standard hanya mempunyai 571 PS dan 850 Nm. Justeru, ia memerlukan 4.8 saat untuk mencapai kelajuan 0-100 km/j.

Kenapa berbaloi beli Volkswagen Arteon R-Line 4MOTION baharu?

VOLKSWAGEN (VW) memperkenalkan satu lagi varian terbaharu iaitu Arteon R-Line 4MOTION baru-baru ini.

Mula diperkenalkan di Malaysia tahun lalu, varian pertama berjaya memikat ramai peminat kereta yang gemarkan gaya pemanduan sebenar dengan keselesaan ruang dalaman eksklusif.

Tahun ini, VW sekali lagi ‘melahirkan’ sebuah model Arteon R-Line baharu yang didatangkan dengan pelbagai ciri menarik.

Antara pembaharuan yang dilakukan melibatkan kemas kini bahagian dalaman dan luaran, selain teknologi serta enjin baharu.

Arteon R-Line 4MOTION bukan sahaja power tetapi juga sangat menawan! – Foto oleh VW

Jom kenali Arteon R-Line 4MOTION baharu

Arteon R-Line 4MOTION baharu memiliki karakter lebih sporty.

Pada bahagian luaran, ia dilengkapi gril dan bampar hadapan dengan rekaan baharu lebih mantap bersama lampu utama diod pemancar cahaya (LED) penuh.

Selain itu, bahagian belakang model ini juga dilengkapi LED 3D dengan lampu isyarat membelok berturutan menyerlahkan karekter reka bentuk Arteon.

Bagaimana pula dengan bahagian enjin?

Arteon R-Line 4MOTION sememangnya merupakan kenderaan berprestasi tinggi dengan kuasa enjin turbo 2.0L TSI.

Ia dipadankan bersama kotak gear direct shift klac basah 7-kelajuan DSG dan mampu menghasilkan kuasa 280PS dan tork sebanyak 350Nm di antara 5,100 hingga 6,500rpm.

Jangan terkejut kerana Arteon R-Line 4MOTION hanya memerlukan masa 5.6 saat untuk memecut dari 0-100kmj!

Tidak dinafikan pemandu akan merasai keselesaan sebenar pemanduan dengan Arteon baharu ini. – Foto oleh VW

Sementara itu, ruang kokpit Arteon R-Line 4MOTION baharu tampil menawan dengan perubahan ketara termasuk stereng baharu bersama kawalan sentuhan haptic.

Pemandu dan penumpang juga boleh berasa selesa dengan tempat duduk sports dibaluti kulit Nappa Carbon bersama logo R baharu.

Berikut antara ciri-ciri lain Arteon R-Line 4MOTION baharu:

  • Sistem audio 12 unit pembesar suara premium berkuasa 700-watt daripada Harman Kardon
  • Sistem infohibur Discover Pro dengan skrin bersaiz 9.2” didatangkan bersama ciri kawalan gestur dan suara
  • Sistem Digital Cockpit beresolusi tinggi boleh diubah suai dengan sentuhan jari.
  • Lane Assist, Side Assist dan Driver Alert

Terdapat lima pilihan warna bagi Arteon R-Line 4MOTION baharu iaitu Lapiz Blue, Manganese Grey dan Pyrite Silver.

Pelanggan yang meminati warna dengan efek mutiara pula boleh dapatkan pilihan Deep Black atau Oryx White.

Harga bagi Arteon R-Line 4MOTION baharu bermula RM245,000 hingga RM255,000.

BMW 630i GT M Sport serendah RM418,000! Bikin ramai tak keruan!

KEUNIKAN dan kemewahan jentera keluaran BMW makin terserlah menerusi model 630i GT M Sport baharu.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, 630i GT M Sport baharu ini didatangkan dengan spesifikasi terbaik yang mampu memenuhi setiap keperluan dan kehendak pelanggan.

Kenderaan ‘grand tourer’ ini memilki keupayaan dan keselesaan jarak jauh selain mampu ‘beraksi’ lasak.

Bagaimanapun, ciri-ciri mewah masih dikekalkan disulami beberapa fungsi teknologi terkini.

Menarik mengenai 630i GT M Sport

Ciri-ciri menarik terdapat pada 639i GT M Sport ini adalah reka bentuk yang sangat memukau.

Bahagian hadapan model ini dilengkapi gril ‘kidney’ dengan lampu hadapan pemancar cahaya diod atau LED.

Bagi menjamin tahap penglihatan maksimum, model ini turut didatangkan teknologi pencahayaan laser dinamik pada sistem lampu hadapan LED Matrix.

Jarak capaian lampu laser ini mampu mencecah sehingga 650 meter iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding kenderaan konvensional lain.

Bahagian belakang yang 'kemas' dan 'menonjol'.

BMW 630i GT M Sport juga didatangkan dengan set roda aloi ringan M 20 inci termasuk tayar bercampur dan ‘run-flat’.

Angkup brek M Sport berwarna biru  dengan  designasi “M” turut  menyerlahkan  lagi  kelasakan  jentera  Gran Turismo  baharu  ini.

Bentuk bampar baharu dan sisipan yang didatangkan dengan pakej M Sport amat menarik sekali.

Spoiler  belakang berciri aktif  disediakan  sebagai  standard,  lantas meningkatkan daya turun (downforce) pada paras kelajuan tinggi.

Spoiler belakang akan dinaikkan secara automatik pada kelajuan 120 km/j dan diturunkan semula apabila jentera diperlahankan pada 80 km/j.

Sejauh mana kuasa 630i GT M Sport?

BMW 630i GT M Sport disertai Comfort Access System dan BMW Display Key.

Jentera ini mampu menjana output maksimum serta kelajuan tertinggi mencecah 250km/j.

Penggunaan bahan api direkodkan pada paras 7.3 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 kilometer dengan emisi CO2 berkadar 166g/km.

Ruang dalaman yang memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang

Berikut antara fungsi lain terdapat pada BMW 630i GT M Sport baharu:

  • Paparan instrumen digital
  • Paparan Kawalan (Control Display)
  • Tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang hadapan
  • Stereng berkulit M dan papar pandu  (head-up display)
  • Penyaman udara automatik dengan empat zon kawalan
  • Bumbung kaca panoramik dwi-bahagian
  • Sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara
  • Driving Assistant dan Parking Assistant Plus
  • Active Cruise Control dengan fungsi Stop&Go
  • BMW Intelligent Personal Assistant

Pengguna yang berminat dengan BMW 630i GT M Sport baharu boleh membuat tempahan dengan bayaran RM 3,000 melalui platform BMW Shop Online.

BMW 630i GT M Sport baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula serendah RM 4,778.00

Bagaimanapun, ia berdasarkan anggaran pinjaman 80 peratus bagi tempoh lima tahun sahaja.

Harga BMW 630i GT M Sport Baharu dianggarkan sekitar RM 430,800.00 termasuk SST dan RM 417,659.05 (tanpa SST).

Volvo S90 Recharge T8 tampil premium, harga bermula RM339,315

VOLVO Car Malaysia secara rasmi memperkenalkan model terbaharu Volvo S90 Recharge T8.

Model sedan premium empat pintu dengan lima tempat duduk ini dibangunkan melalui platform Scalable Product Architecture (SPA).

Ia dikuasakan oleh Volvo’s Drive-E powertrain dan dilengkapi dengan enjin berkembar T8 dan bateri boleh cas semula jenis lithium-ion.

Gabungan enjin empat-silinder dan motor elektrik berupaya memberikan prestasi pemanduan selain menghasilkan kadar emisi CO2 yang rendah.

Rekaan Memukau Volvo S90 Recharge T8

Rekaan Volvo S90 Recharge T8 dihasilkan dengan ciri minimalis namun, tidak mengenepikan imej premium.

Antara ciri terdapat pada model ini termasuk rekaan lampu diod pemancar cahaya (LED) gaya ‘Tukul Thor’.

Selain itu, lampu belakang Volvo S90 Recharge T8 juga dikemaskini dengan rekaan mirip kepada model Volvo S60 T8 R-Design.

Hiburan dan Keselamatan

Panel Sensus pada Volvo S90 Recharge T8 memastikan pemandu sentiasa ‘dekat’ dengan teknologi serba canggih.

Ia menampilkan dua socket USB di bahagian hadapan bagi sambungan kepada Apple Carplay dan Android Auto.

Manakala skrin sesentuh berbentuk potrait sembilan inci pula membolehkan akses mudah dan pantas pemandu.

Model S90 Recharge T8 turut memperkenalkan sistem bunyi Bowers & Wilkins yang dinaiktaraf sepenuhnya.

Terdapat 19 pembesar suara dengan kekuatan bunyi dihasilkan sebanyak 1,400W!

Antara ciri lain yang terdapat pada Volvo S90 Recharge T8 adalah:

• Volvo seperti Blind Spot Information Systems (BLIS)
• City Safety
• Cross Traffic Alert
• Front and Rear Warning and Mitigation Support
• Lane Keeping Aid
• Pilot Assist

Volvo S90 Recharge T8 dijual pada harga RM339,315 selepas pengecualian cukai jualan (tanpa insurans).

Bagi varian T5, ia boleh didapati pada harga RM328,888 (sebelum pengecualian cukai jualan).

Lima pilihan warna ditawarkan kepada pelanggan iaitu Bright Silver, Crystal White Pearl, Onyx Black, Platinum Grey and Thunder Grey.

[thb_image_slider thb_equal_height=”true” images=”472280,472279,472278″]

BMW 740Le G12…bukan sekadar seronok jadi penumpang!

NAMA Bayerische Motoren Werke atau BMW bukan suatu yang asing dalam dunia automotif.

Sejak diasaskan lebih 105 tahun lalu, jenama BMW terus melangkah gah dengan teknologi-teknologi terkini demi kepuasan pengguna.

Saya masih ingat akan kereta BMW model E38 750iL yang ditonjolkan dalam filem ‘Tomorrow Never Dies‘ di mana ia digunakan oleh ejen 007 James Bond lakonan Pierce Brosnan.

Walaupun kereta kegunaan Bond itu dilengkapi ciri-ciri futuristic bertujuan sebagai ‘penambah rasa’ filem berkenaan, ia berjaya mencuri perhatian saya.

Saya sangat sukakan BMW E38 sehingga hampir membelinya beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa dilupakan memandangkan waktu itu saya hanya memerlukan sebuah kenderaan lebih kecil untuk kegunaan harian.

Minat saya terhadap model E38 begitu mendalam sehingga merasakan ia satu-satunya jentera terbaik pernah dihasilkan syarikat pengeluar asal Jerman itu.

Saya mempunyai persepsi tersendiri terhadap lain-lain kenderaan buatan BMW apatah lagi membabitkan model 7 Series.

Pada saya, BMW 7 Series terlalu besar dan pastinya tidak sesuai untuk kegunaan harian.

BMW sentiasa mengutamakan kekemasan interior dalaman sekaligus menonjolkan kesan eksklusif. – Foto ihsan Trinity Quest Sdn Bhd

Ada apa dengan 7 Series?

Tahun lalu persepsi saya terhadap model 7 Series berubah sepenuhnya apabila BMW Malaysia telah melancarkan model baharunya iaitu BMW 740Le dengan kod nama G12.

Pertama kali melihat kereta ini pada gambaran saya ia terlalu besar dan kelihatan ‘ganas’.

Selepas empat kali dijemput memandu uji oleh BMW, saya akhirnya berkesempatan merasai pengalaman mengendalikan model itu baru-baru ini.

Pada mulanya, saya dapat bayangkan hujung minggu bersama BMW 740Le hanya akan memberi pengalaman ‘biasa-biasa’, sama seperti lain-lain jenama kereta mewah bertaraf antarabangsa.

Jangkaan saya 100 peratus meleset sebaik memandu kereta ini. Saya langsung tidak merasai bahawa kereta ini mempunyai size yang besar dan paling penting ia tidak mempunyai blind spot begitu ketara.

'Tegap' dan berkuasa tinggi. Tidak dinafikan enjin dihasilkan BMW antara yang terbaik di dunia.

Seterusnya, saya dapati enjin kereta ini sangat senyap. Menggunakan enjin B58B30 3.0 litre turbo charged straight-six dan dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan, saya dapat katakan ia sangat terbaik.

Enjin B58B30 3.0 litre turbo charged straight-six mampu menghasilkan 282hp hingga 394hp! Bayangkan kereta sebesar ini mampu ‘berlari’ dari 0-100km/j dalam masa 5.1 saat!

Mungkin anda tertanya-tanya dengan kuasa sebesar itu, pasti ia memerlukan penggunaan petrol yang tinggi bukan?

Sebenarnya jika dipandu dengan cermat, anda tidak perlu risau mengenai konsumsi bahan bakar.

Mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi itu realiti sebenar. Penggunaan gabungan enjin elektrik pastinya membantu kepada penjimatan bahan bakar.

Selain itu, kemasan dalaman kereta ini sememangnya tiada kekurangan. Saya merasakan kemasan dalaman BMW ini lebih praktikal terutama meter digital yang sangat jelas dan mudah digunakan.

Sistem bunyi pada kereta ini juga sangat bagus kerana ia dilengkapi dengan pembesar suara daripada Harmon Kardon. Selain itu, kerusi belakang model ini turut mempunyai fungsi kerusi urut yang pasti memberi keselesaan berganda buat penumpang.

Jika pemandu tidak tahu arah tuju dan mahu menggunakan sistem navigasi, penumpang belakang juga boleh menggunakan sistem tablet yang disediakan untuk mencari arah.Sangat canggih!

BMW 7 Series tetap selesa untuk dipandu di kawasan bandar walau mempunyai reka bentuk yang besar. – Foto oleh EnGear

Setakat ini semua tentang kereta ini sangat bagus, namun bagaimana pula dengan pemanduan kereta ini?

Saya merasakan kereta ini layak mendapat markah yang tinggi untuk pengendalian kerana walaupun ianya besar tetapi dapat dikawal dengan begitu mudah.

Sistem Xdrive pada kereta ini bermaksud keempat-empat tayar bergerak serentak memberikan cengkaman yang lebih baik di jalan raya.

Justeru, kepada anda yang berminat untuk memiliki sebuah BMW 7 series mungkin model ini boleh dipertimbangkan.