fbpx

41 kereta mewah, sembilan motosikal tiada AP dirampas kastam, nilai lebih RM11 juta

kereta mewah kastam ap 01

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, menyita 50 kenderaan bernilai RM11.37 juta yang tidak mempunyai permit import (AP).

Rampasan itu dibuat menerusi Ops Bearing 2022 dilaksanakan bermula 15 Ogos lalu di sekitar Pelabuhan Klang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad, berkata semua rampasan membabitkan 41 kereta mewah pelbagai jenis dan sembilan motosikal berkuasa tinggi bernilai RM11,369,036.50 termasuk jumlah duti dan cukai.

“Semua kenderaan ini disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1957 kerana mengimport barang larangan yang pengimportannya dibenarkan dengan syarat ia tertakluk Permit Import dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Anggaran nilai rampasan adalah RM4.25 juta manakala jumlah duti dan cukai terbabit dianggarkan RM7.12 juta,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah hari ini.

Mohammad Sabri berkata, sebanyak 45 kenderaan import dikesan dan dirampas di zon bebas Pelabuhan Klang, manakala lima lagi dirampas di sekitar daerah ini.

Katanya, kenderaan dan motosikal import yang disita itu dibawa dari pelbagai negara termasuk Jepun, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Sweden.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati ada kenderaan import ini dibawa masuk oleh pelajar antarabangsa yang baru mendaftar di institut pengajian tinggi di negara ini.

“Mereka tidak tahu ia menjadi kesalahan jika membawa kereta import tanpa permit import terdahulu. Namun, kita tidak akan berkompromi dengan alasan itu,” katanya.

Mohammad Sabri berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat.

Gambar oleh: Bernama

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved