Arkib Tag: kenderaan

Pendaftaran Perodua separuh pertama 2022 melonjak 30 peratus, sasaran kekal 247,800 unit tahun ini

PERODUA menjual 127,343 kenderaan untuk enam bulan pertama 2022 dengan lonjakan 30 peratus daripada 97,290 unit yang dijual untuk tempoh sama pada 2021.

Ini berikutan permintaan kukuh untuk kenderaan pada separuh pertama 2022 disebabkan oleh tarikh akhir pengecualian cukai jualan.

Daripada 127,343 unit yang didaftarkan, Perodua Myvi masih menjadi model paling laris dengan 38,039 unit didaftarkan diikuti dengan Perodua Axia sebanyak 29,183 unit dan Perodua Bezza sebanyak 28,719 unit.

Walaupun begitu, Perodua Bezza semakin popular kerana ia merupakan model yang paling dicari pada masa ini.

“Tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama sekali apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Bercakap tentang pengecualian cukai jualan; pada hari terakhir inisiatif itu, Perodua menyaksikan tempahan harian tertinggi pada 30 Jun 2022 dengan 25,100 tempahan kenderaan telah diambil,” katanya.

Dato’ Zainal berkata, peningkatan pendaftaran pada Jun 2022 juga disebabkan bekalan alat ganti yang lebih baik berbanding bulan Mei.

Walaubagaimanapun, beliau juga menyatakan bahawa isu-isu seperti tenaga kerja mahir dan kekurangan alat ganti masih wujud dan memohon agar para pelanggan dapat memahami keadaan ini.

“Kami ingin memohon maaf kerana para pelanggan kami terpaksa menunggu lama untuk menerima kenderaan mereka dan kami sedang melakukan sebaiknya untuk meningkatkan lagi pengeluaran kami,” katanya.

Dato’ Zainal berkata langkah ini termasuk bekerjasama dengan para pembekal kami, dan dalam beberapa kes tertentu, Perodua turut menyediakan kakitangannya untuk bekerja di premis mereka bagi memastikan bekalan alat ganti terus mengalir.

“Kami berharap isu tenaga kerja ini dapat diselesaikan dengan segera kerana impaknya kepada industri dan kepada negara secara amnya,” katanya.

Mengenai kekurangan alat ganti, komunikasi dengan para pembekal dan rakan kongsinya masih lagi berterusan untuk mencari komponen alternatif, katanya.

Beliau berkata, di sebalik isu ini, Perodua masih mengekalkan sasaran jualan keseluruhan tahun ini sebanyak 247,800 unit.

Vios kekal model Toyota paling laris, UMW jual 63,106 kenderaan keseluruhan November

TOYOTA dan Lexus mencatatkan 63,105 unit jualan untuk November 2021, iaitu 26 peratus lebih berbanding tempoh sama tahun lepas (50,074 unit).

Menurut UMW Toyota, permintaan untuk kedua-dua jenama ini kekal kukuh dengan jualan pada Oktober dan November masing-masing sebanyak 8,500 dan 8,486 unit (6,620 untuk kenderaan penumpang dan 1,866 untuk kenderaan komersial termasuk trak pikap).

Untuk model kereta penumpang, Vios kekal menjadi model Toyota paling laris dengan menyumbang kepada 33 peratus daripada jumlah jualan, sementara Hilux kekal sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005.

“Pertumbuhan pasaran yang berterusan adalah tanda yang kami kian melangkah ke arah pemulihan,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Pelanggan boleh berkunjung ke pusat pameran atau menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang sah dengan rasa lega bahawa kesihatan mereka akan terjamin.

“Untuk bulan terakhir tahun ini, kami memberikan tawaran hebat dan menerusi promosi Now Is The Time, penjimatan diberi sehingga RM5,500 untuk model terpilih,” katanya.

Ke arah pelancaran hibrid

Persediaan juga sedang dimuktamadkan untuk acara utama — pelancaran kereta hibrid elektrik pertama yang dipasang dalam negara — dalam masa terderkat.

Model Toyota Corolla Cross Hibrid yang baru kini dalam peringkat pra-produksi di ASSB, kilang pemasangan UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Selangor.

“Sejak kami membuka tempahan untuk Corolla Cross Hybrid, maklum balas yang diterima adalah baik dan kami gembira melihat ramai rakyat Malaysia berhasrat untuk beralih ke Teknologi Kenderaan Hibrid Elektrik (HEV),” menurut Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

“Kami sedar ramai pelanggan teruja untuk menerima Corolla Cross Hybrid mereka dan kami meminta anda semua bersabar.

“Ada banyak proses kualiti yang perlu dilaksanakan ASSB bagi menjamin kereta yang diserahkan memiliki piawaian tertinggi dalam semua aspek.

“Saya juga ingin katakan yang sebaik saja kereta diserahkan, pemiliknya yang baru pasti akan mendapat pengalaman pemilikan dengan piawaian tertinggi,” tambah Takeyama.

Harga Corolla Cross Hybrid baru dijangka bermula dari RM137,000 (tidak termasuk insurans) dan dengan waranti kilang 5 tahun/tanpa had perjalanan.

Selain itu, untuk memberi kelegaan, ada lagi jaminan 8 tahun/tanpa had perjalanan untuk bateri, pemabalik (converter) dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa.

Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti selama dua tahun lagi, seterusnya menjadikan tempoh waranti selama 10 tahun.

Ini merupakan kali pertama waranti sebegini disediakan dalam industri tempatan. Tempahan boleh dibuat melalui mana-mana pengedar sah Toyota atau pusat pameran UMW Toyota Motor di seluruh negara.

Bilangan kenderaan di lebuhraya meningkat, 3.8 juta sejak Rabu lalu

STATISTIK pasukan Polis Diraja Malaysia mendapati terdapat peningkatan bilangan kenderaan di beberapa lebuhraya utama negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, lebih 3.8 juta kenderaan telah dicatatkan sejak Rabu.

Peningkatan itu dipercayai ada kaitan dengan kebenaran rentas negeri berkuatkuasa pada 11 Oktober lalu.

Katanya, pihak polis akan terus memantau aliran trafik dan bersedia melakukan tindakan penguatkuasaan lebih ketat.

“JSPT bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya. Tindakan advokasi dan penguatkuasaan akan dilaksanakan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Untuk rekod, Lebuh raya Utara Selatan mencatatkan kehadiran 1,075,408 kenderaan, Lebuh raya KL-Karak (97,758) serta Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (34,041).

Plaza Tol Gombak menunjukkan peningkatan kenderaan paling mendadak iaitu sebanyak 108 peratus atau bersamaan 57,719 berbanding 27,204 pada Rabu minggu lalu.

Berikut adalah jumlah kenderaan dicatatkan di beberapa plaza tol lebuhraya utama seluruh negara yang lain:

  • Plaza Tol Jalan Duta – 54,733 kenderaan

  • Plaza Tol Sungai Besi – 35,881 kenderaan

  • Plaza Tol Skudai – 18,336 kenderaan

  • Plaza Tol Juru – 39,068 kenderaan

  • Plaza Tol Bentong – 40,039 kenderaan

  • Plaza Tol Karak – 9,561 kenderaan

Honda perluas bidang perniagaan, sasar lancar satelit pada 2030

TIDAK cukup menghasilkan kenderaan, syarikat Honda Motor Co. tampil dengan idea baharu iaitu melancarkan satelit sendiri pula.

Memetik kenyataan dikeluarkan syarikat itu, proses pembangunan dan penyelidikan serta pelancaran satelit akan dilakukan menjelang tahun 2030.

Honda Motor Co. mempunyai alasan tersendiri di sebalik pelancaran satelit itu dan segalanya berkaitan dengan teknologi pembangunan kenderaan.

Satelit terbabit dikatakan bertujuan menjadi platform menghubungkan kenderaan dengan jaringan internet.

Selain itu, Honda Motor Co. juga sedang meneliti mengembangkan perniagaan dengan pemasangan satelit yang dibangunkan oleh syarikat lain.

Setakat ini, Honda telah menceburi bukan sahaja perniagaan automotif malah meliputi pembangunan robotik selain bidang aeroangkasa iaitu HondaJet.

Terbaharu, Honda turut bercadang membangunkan teknologi eVTOL di Amerika Syarikat sebelum memperluaskannya di Jepun dan negara Asia lain.

Wajib tahu lima perkara sebelum kibar Jalur Gemilang pada kenderaan

PEMASANGAN bendera Jalur Gemilang pada kenderaan adalah salah satu cara bagi menonjolkan semangat cintakan negara.

Bagaimanapun, terdapat beberapa ‘pantang larang’ yang perlu dipatuhi jika ingin mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan.

Apakah ‘pantang larang’ yang dimaksudkan ini?

Kedudukan Jalur Gemilang

Perkara paling utama jika anda ingin mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan adalah dengan memastikan ia dipasang dengan keadaan betul.

Pastikan kendudukan Jalur Gemilang tidak berada dalam keadaan songsang atau terbalik.

Jangan kerana niat untuk buktikan rasa cinta pada negara akhirnya berubah menjadi penghinaan kepada bendera kebangsaan pula.

Pastikan selamat

Pemilik kenderaan boleh bersikap kreatif dalam mengibarkan bendera pada kenderaaan.

Bagaimanapun, aspek keselamatan jangan dilupakan.

Ini kerana terdapat beberapa kes terjadi kerana bendera yang dipasang telah menghalang pemanduan sehingga mengundang kemalangan.

Maka, cara terbaik adalah pastikan bendera dipasang dengan rapi agar ia tidak berterbangan sehingga berlaku kecelakaan jalan raya.

Periksa sebelum pasang

Semak dan pastikan bendera Jalu Gemilang yang dipasang tidak mempunyai kecacatan tertentu.

Terdapat kes di mana bendera dipasang kurang lengkap sifatnya seperti tidak mempunyai jumlah jalur atau bucu bintang mencukupi.

Justeru, pastikan anda periksa rapi Jalur Gemilang yang dibeli sebelum mengibarkannya pada kenderaan.

Foto fail ihsan Japen

Tukar jika rosak

Tukar Jalur Gemilang yang sudah rosak atau usang.

Selain ‘menyakitkan’ mata memandang, bendera yang sudah usang lebih mudah berterbangan sekaligus mengundang risiko tinggi kemalangan.

Lekatkan bendera dengan kuat

Pastikan anda gunakan gam yang kuat ketika melekatkan bendera Jalur Gemilang pada kenderaan.

Hal ini kerana penulis sering menemui bendera Jalur Gemilang bersepah di jalan raya akibat melayang dari kenderaan.

Ia bukan sahaja menyumbang kepada masalah pencemaran alam malah, satu penghinaan jika Jalur Gemilang dipijak individu atau digilis kenderaan lain.

Demikian lima ‘pantang larang’ pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan. Jika anda punya tips atau idea lain boleh kongsikan bersama kami.

Akhir kata, selamat menyambut hari kemerdekaan dan terus sayangi Malaysia yang tercinta!

Merdeka!!!

Moratorium lesen memandu dan kenderaan tidak disambung, perlu perbaharui mulai Oktober 2021

MORATORIUM bagi pelanjutan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) tidak akan disambung selepas 30 September ini.

Ini bermakna orang ramai perlu mula perbaharui lesen memandu dan kenderaan mereka mulai Oktober depan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, aktiviti pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan oleh badan penguatkuasa jabatan tersebut dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilaksanakan di lapangan mulai 1 Oktober.

“Orang ramai diingatkan agar memperbaharui lesen masing-masing yang telah tamat tempoh sebelum tarikh tersebut.

“Pemilik kenderaan yang LKM telah tamat tempoh hendaklah memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insurans sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan insurans jika diminta pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

JPJ berkata, orang ramai disaran membuat urusniaga secara dalam talian iaitu melalui portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my/public/login.zul) mahupun rakan strategik JPJ iaitu myEG.

Tambahnya, “Sebarang urus niaga yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian boleh dibuat di kaunter JPJ secara janji temu (online appointment/call-in).”

Sementara itu, JPJ berkata bahawa pejabat Pos Malaysia dijangka akan memulakan urus niaga JPJ di lebih 650 cawangan seluruh Malaysia mulai 9 Ogos ini.

“JPJ juga akan memastikan bekalan dan stok dokumen keselamatan LKM dan LMM adalah mencukupi bagi tujuan urus niaga pembaharuan LKM dan LMM oleh orang ramai.”

Suspek kes curi rempuh kenderaan, sekatan pihak polis

TAKUT kena cekup pihak polis, dua lelaki bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Papar, Sabah.

Insiden pada semalam itu berlaku selepas suspek disyaki terlibat dengan beberapa kes curi kabel.

Memetik laporan Bernama, suspek berusia 36 dan 21 tahun dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya 10 kes kecurian kabel telekomunikasi bernilai RM100,000.

Ketua Polis Daerah Papar DSP Batholomew Umpit berkata, suspek turut bertindak ganas dengan merempuh kenderaan pihak berkuasa.

“Kedua-dua suspek bertindak agresif menyerang polis dengan merempuh kenderaan pihak berkuasa sebelum melarikan diri,” katanya.

Terdahulu, polis telah mengenal pasti lokasi suspek sebelum bertindak melakukan kepungan untuk menahan mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan 379 kerana mencuri .

Siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan curi.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek diminta segera menghubungi pihak polis.

Langgar SOP naik kenderaan, 12 warga asing dikompaun RM1,500 di Gemas

Gagal mematuhi peraturan had penumpang kenderaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 12 pekerja warga asing dikompaun RM1,500.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata, kesemua yang dikompaun terdiri daripada warga Bangladesh dan India, lapor Bernama.

Jelas Chang Hook, warga asing berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan ketika ditahan polis.

Pada masa sama, polis menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan.

Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak dikenakan kompaun kerana hanya mengikut arahan majikan.

Pihak polis difahamkan akan memanggil majikan kesemua pekerja berkenaan bagi membantu siasatan.

Pada 10 Mei lalu, kerajaan mengehadkan hanya tiga individu dibenar berada dalam sebuah kenderaan.

Jumlah itu termasuk termasuk individu yang memandu kenderaan.

Arahan berkuatkuasa bersempena PKP yang dilaksanakan bermula 12 sehingga 7 Jun depan.

Teknik periksa, tukar minyak hitam kenderaan

UMUM mengetahui minyak hitam merupakan antara aspek paling penting bagi sesebuah kenderaan.

Turut dikenali sebagai minyak enjin, ia memastikan kelancaran sistem enjin kenderaan agar sentiasa berada dalam keadaan lancar.

Terdapat pelbagai jenis dan jenama minyak hitam di pasaran antaranya Shell, Petronas, Repsol, Castrol dan banyak lagi.

Namun, sekadar tahu jenama minyak hitam sahaja tidak mencukupi kalau anda kurang pengetahuan mengenai kaedah penukaran bahan itu.

Bila sesuai untuk menukar minyak hitam?

Secara asas mana-mana kenderaan perlu menukar minyak hitam pada setiap 5,000 hingga 10,000 jarak perbatuan.

Bagaimanapun, jika kenderaan tidak mencecah jarak perbatuan seperti dimaklumkan, sebolehnya minyak hitam ditukar setiap enam bulan sekali.

Selain itu, terdapat tanda-tanda lain menunjukkan anda perlu menukar minyak hitam iaitu:

Enjin mula ‘semput’ / bising

Minyak hitam yang kian cair akan kepekatannya boleh menyebabkan komponen logam di bahagian enjin bergesel antara satu sama lain.

Secara tidak langsung, ia akan menghasilkan bunyi bising sekaligus menyumbang kepada overheating kepada enjin.

Kereta bau terbakar

Bau terbakar boleh dihasilkan jika terdapat kebocoran minyak dalam enjin.

Enjin kereta terlalu panas sehingga menyebabkan minyak terbakar pada sistem ekzos juga antara punca utama.

Justeru, jika anda mengalami situasi ini sebaiknya segera menukar minyak hitam ya!

Minyak hitam berkilat

Minyak akan menjadi lebih gelap dan hitam pekat susulan kotoran dihasilkan bendasing.

Ia jelas sekali berbeza berbanding minyak hitam baharu yang lebih jernih.

Bagaimana melakukan pemeriksaan minyak hitam?

Pertama, keluarkan dipstick terletak di bahagian bonet hadapan kenderaan.

Kedua, bersihkan dipstick dan masukkan semula ke dalam corong minyak enjin kenderaan.

Ketiga, keluarkan semula dipstick dan periksa takat minyak.

Keempat, keluarkan keseluruhan minyak hitam jika melebihi high level agar tidak menjejaskan kelancaran enjin.

Kelima, tambah minyak hitam jika berada di bawah low level bagi mengelak kerosakan komponen enjin.

Keenam, periksa semula tahap minyak hitam dan kepekatannya pada dipstick.

Demikian antara tips penjagaan minyak hitam dapat kami kongsikan kepada anda.

Semoga ia bermanfaat sekaligus menyelamatkan enjin kenderaan anda daripada mengalami kerosakan.

#EnjinBaikPoketSelamat

P/S: Minyak hitam juga dikenali sebagai minyak enjin. Jangan confuse ya!

Senarai rakyat Malaysia pemurah, sedia khidmat kenderaan percuma

SIKAP saling membantu sesama insan tidak dinafikan merupakan amalan murni dan amat dituntut dalam kehidupan bermasyarakat.

Amat bertuah, Malaysia tidak ketandusan memiliki insan mulia yang sanggup berkorban demi membantu individu dalam kesusahan.

Baru-baru ini misalnya, tular di media sosial usaha seorang individu di Sabah menyediakan perkhidmatan kereta percuma untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan di hospital.

Perkhidmatan percuma itu bukan sahaja mendapat pujian masyarakat, malah turut memberi inspirasi kepada ramai insan lain.

Sebagai penghormatan, artikel kali ini EnGear senaraikan beberapa usaha orang ramai yang memberi perkhidmatan kenderaan percuma kepada insan memerlukan.

Perkhidmatan van jenazah percuma disediakan oleh Noorkhiriah dan suami.

Perkhidmatan van jenazah percuma

Pelakon Noorkhiriah dan suami menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma kepada umat Islam yang memerlukan.

Mengakui ia sebagai sebahagian ‘bekalan’ akhirat, Noorkhiriah dan suami berharap usaha itu dapat membantu mereka dalam kesusahan.

Mewakafkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai tahun lalu, pelakon itu tekad untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Uncle Kentang terkenal dengan sifatnya suka mebantu insan kesusahan.

Perkhidmatan ambulans percuma

Siapa tidak kenal aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang?

Tahun lalu, Uncle Kentang dan pasukannya berjaya mengumpul dana RM150,000 bagi membeli sebuah van yang dijadikan sebagai ambulans.

Ambulans berkenaan digunakan bagi menghantar pesakit ke hospital secara percuma di sekitar Lembah Klang.

Perkhidmatan kereta ke hospital

Pada 2017, seorang pemuda bernama Wan Muhiddin Asyrafi Wan Baharunddin tampil menawarkan perkhidmatan kereta percuma bagi golongan rentan untuk ke hospital.

Perkhidmatan kereta percuma itu beroperasi merangkumi kawasan Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pasir Mas.

Paling menakjubkan, ia adalah kerja amal pertama di Kelantan yang menawarkan perkhidmatan penghantaran ulang alik ke hospital secara percuma!

Kesimpulannya, ada ramai rakyat Malaysia yang berbaik hati untuk melakukan kerja amal.

Namun, ia tidak bererti kita harus berpeluk tubuh dan membiarkan golongan memerlukan terus dihimpit kesusahan.

Maka, mulai saat ini ayuh kita sama-sama tampil melakukan kerja amal demi kesejahteraan bersama!

Selamat beramal!!!