fbpx

Vios kekal model Toyota paling laris, UMW jual 63,106 kenderaan keseluruhan November

Toyota Vios mempunyai peminat tegarnya tersendiri. - Foto ihsan Toyota
Toyota Vios mempunyai peminat tegarnya tersendiri. - Foto ihsan Toyota

TOYOTA dan Lexus mencatatkan 63,105 unit jualan untuk November 2021, iaitu 26 peratus lebih berbanding tempoh sama tahun lepas (50,074 unit).

Menurut UMW Toyota, permintaan untuk kedua-dua jenama ini kekal kukuh dengan jualan pada Oktober dan November masing-masing sebanyak 8,500 dan 8,486 unit (6,620 untuk kenderaan penumpang dan 1,866 untuk kenderaan komersial termasuk trak pikap).

Untuk model kereta penumpang, Vios kekal menjadi model Toyota paling laris dengan menyumbang kepada 33 peratus daripada jumlah jualan, sementara Hilux kekal sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005.

“Pertumbuhan pasaran yang berterusan adalah tanda yang kami kian melangkah ke arah pemulihan,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Pelanggan boleh berkunjung ke pusat pameran atau menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang sah dengan rasa lega bahawa kesihatan mereka akan terjamin.

“Untuk bulan terakhir tahun ini, kami memberikan tawaran hebat dan menerusi promosi Now Is The Time, penjimatan diberi sehingga RM5,500 untuk model terpilih,” katanya.

Ke arah pelancaran hibrid

Persediaan juga sedang dimuktamadkan untuk acara utama — pelancaran kereta hibrid elektrik pertama yang dipasang dalam negara — dalam masa terderkat.

Model Toyota Corolla Cross Hibrid yang baru kini dalam peringkat pra-produksi di ASSB, kilang pemasangan UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Selangor.

“Sejak kami membuka tempahan untuk Corolla Cross Hybrid, maklum balas yang diterima adalah baik dan kami gembira melihat ramai rakyat Malaysia berhasrat untuk beralih ke Teknologi Kenderaan Hibrid Elektrik (HEV),” menurut Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

“Kami sedar ramai pelanggan teruja untuk menerima Corolla Cross Hybrid mereka dan kami meminta anda semua bersabar.

“Ada banyak proses kualiti yang perlu dilaksanakan ASSB bagi menjamin kereta yang diserahkan memiliki piawaian tertinggi dalam semua aspek.

“Saya juga ingin katakan yang sebaik saja kereta diserahkan, pemiliknya yang baru pasti akan mendapat pengalaman pemilikan dengan piawaian tertinggi,” tambah Takeyama.

Harga Corolla Cross Hybrid baru dijangka bermula dari RM137,000 (tidak termasuk insurans) dan dengan waranti kilang 5 tahun/tanpa had perjalanan.

Selain itu, untuk memberi kelegaan, ada lagi jaminan 8 tahun/tanpa had perjalanan untuk bateri, pemabalik (converter) dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa.

Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti selama dua tahun lagi, seterusnya menjadikan tempoh waranti selama 10 tahun.

Ini merupakan kali pertama waranti sebegini disediakan dalam industri tempatan. Tempahan boleh dibuat melalui mana-mana pengedar sah Toyota atau pusat pameran UMW Toyota Motor di seluruh negara.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved