Arkib Tag: Kei-Car

KG Motors, Eneos jalin kerjasama bangunkan EV ultra kompak Minimum Mobility, sasar jual 2025

Jepun sangat terkenal dengan barisan kei car yang mempunyai rekaan yang comel, dimensi yang kompak, dan praktikal dalam masa yang sama.

Namun dalam tempoh setahun dari sekarang, pasaran kereta kecil Jepun akan dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu, KG Motors.

 

 

Menerusi kerjasama yang terjalin dengan syarikat Eneos, KG Motors akan merealisasikan visi mobiliti mampan menerusi pengenalan model kenderaan elektrik (EV) Minimum Mobility.

Berdasarkan info daripada laman web rasmi KG Motors, Minimum Mobility merupakan sebuah EV satu tempat duduk yang memiliki dimensi sepanjang 2,450 mm, lebar 1,090 mm dan tinggi 1,500 mm – lebih kecil berbanding Smart ForTwo.

Dengan motor elektrik yang mempunyai kuasa puncak 6.7 hp dan pek bateri yang tidak diketahui kapasitinya, Minimum Mobility ini mampu bergerak sejauh 100 km untuk sekali cas penuh.

 

 

Pengecasan AC 100V pula membolehkan pek bateri tersebut dicas penuh dalam masa lima jam sahaja.

Rekaan luaran Minimum Mobility ini mengambil inspirasi daripada kamera polaroid tahun 1980-an.

Dengan hasrat untuk menjadikan masyarakat bebas karbon satu realiti, KG Motors menyasarkan untuk memulakan produksi massa dan jualan EV ultra kompak ini pada tahun 2025 sementara Eneos pula akan menggunakan kepakaran mereka untuk menawarkan perkhidmatan berkaitan mobiliti dan gaya hidup.

 

Industri automotif tempatan terjejas jika import kereta CBU cc rendah dibenarkan

ANDA mungkin tertanya-tanya kenapa kerajaan tidak membenarkan kemasukan kereta diimport sepenuhnya (CBU) dengan enjin berkapasiti kecil ke negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, perkara itu akan mendorong kepada lambakan dalam pasaran serta menjejaskan matlamat kerajaan bagi membangunkan industri automotif tempatan.

Tambah beliau lagi, kemasukan kereta CBU dengan enjin berkapasiti kecil akan turut menjejaskan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 sekiranya syarikat-syarikat Pengilang Peralatan Tulen (OEM) beralih daripada aktiviti pengeluaran kereta tempatan kepada pengimportan CBU.

“Pada masa sama, ia akan menjejaskan perancangan pelaburan jangka masa panjang pengeluaran tempatan oleh syarikat-syarikat OEM dan kedua-dua syarikat pengeluar kereta nasional.

“Malah, ini seterusnya akan menjejaskan usaha ke arah pembangunan vendor tempatan, termasuk kehilangan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan pada masa depan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Seruandi Saad mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan permit import bagi kemasukan kenderaan berkuasa kuda (cc) rendah seperti 660 cc.

Mengulas selanjutnya, Liew berkata, tumpuan hala tuju industri automotif tempatan adalah menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan oleh syarikat pengeluar kereta nasional dan syarikat-syarikat OEM tanpa mengira jenama serta kapasiti enjin kenderaan.

“Kapasiti enjin yang kecil tidak semestinya memberi gambaran bahawa sesuatu kenderaan tersebut dijual pada harga rendah kerana import masih tertakluk kepada cukai import, cukai eksais dan cukai jualan,” katanya.

Nissan Dayz 2024 tampil lebih moden, harga dari RM45k

NAMPAKNYA kei car terus mengekalkan popularitinya di Jepun walaupun cabaran sengit daripada kenderaan jenis crossover dan SUV.

Bagi memanfaatkan peluang ini, Nissan telah memberikan kemas kini kepada salah satu model kei car keluarannya iaitu Dayz.

Untuk model tahun 2024, Dayz mendapat wajah yang lebih moden dengan elemen V-motion yang diterapkan pada bahagian gril serta lampu yang direka semula.

Varian Highway Star tampil lebih menonjol dengan gril yang lebih besar, kemasan krom melintang pada gril, kemasan melintang pada bampar belakang dan rim aluminium berukuran 14 inci.

Di dalam, aspek keselesaan dan kemudahan Dayz diberi penambahbaikan menerusi penggunaan material seakan kulit dengan akses mengikut warna casis.

Bukan itu sahaja, Nissan turut memberikan perhatian terhadap storan dan praktikaliti dengan menambah talam yang lebih dalam pada papan pemuka sebelah penumpang.

Turut disertakan adalah pemegang kad baharu, pemegang cawan baharu yang boleh menghalang cawan daripada terbalik dan fungsi pemanas stereng.

Seperti sebelum ini, Dayz dikuasakan oleh enjin 660 cc, tiga silinder naturally aspirated yang menawarkan 48 hp untuk varian asas dan 64 hp untuk varian lebih berkuasa.

Kedua-duanya dipadankan dengan CVT, dan boleh didapati dalam konfigurasi pacuan roda hadapan (FWD) atau pacuan semua roda (AWD).

Harga jualan bermula 1,437,700 yen (RM45,306) untuk varian asas S dan 2,080,100 yen (RM65,550) untuk varian tertinggi iaitu Highway Star G Turbo Pro Pilot Edition.

Mitsubishi Delica Mini masuk pasaran Jepun mulai Mei ini

SEJARAH Mitsubishi Delica bermula pada 1968 apabila model itu diperkenalkan dalam bentuk trak. Setahun kemudian, barulah versi van dan koc dilancarkan. Kini, Delica bakal membuka lembaran baru menerusi pengenalan versi kei-car yang dikenali sebagai Delica Mini.

Bakal memasuki pasaran Jepun bermula Mei ini, Delica Mini sekilas pandang tampak seperti Delica D:5 dengan bentuk badannya yang bersegi serta penampilan rugged namun seperti namanya, model ini tampil dalam saiz yang lebih comel.

Ia mempunyai ukuran panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,830 mm serta jarak antara roda sepanjang 2,495 mm. Berat keseluruhan kenderaan ini adalah antara 970 kg hingga 1,060 kg.

Delica Mini akan ditawarkan dalam 12 warna, di mana enam daripadanya adalah pilihan dua tona. Varian pacuan roda hadapan didatangkan dengan rim 14 inci yang dibalut tayar 155/65, manakala versi 4WD pula mendapat rim 15 inci bersama tayar 165/55. Versi ini juga diberikan talaan khas pada sistem suspensi.

Di dalam, model ini mempunyai empat tempat duduk yang dibalut upholsteri fabrik yang tahan kotoran dan kalis air. Tempat duduk belakang boleh dilaras sejauh 320 mm dan setiap kerusi juga boleh dilipat, sekaligus memberikan pelbagai pilihan susunan tempat duduk bergantung kepada jumlah penumpang dan bagasi.

Untuk memudahkan penumpang keluar dan masuk, Delica Mini mempunyai pintu belakang jenis gelongsor yang menawarkan bukaan sehingga 650 mm serta lantai yang rata. Turut disertakan adalah sensor kaki yang membolehkan penumpang membuka pintu secara automatik tanpa menggunakan tangan.

Delica Mini akan ditawarkan enjin 660 cc tiga silinder dalam versi NA atau turbo, kedua-duanya digandingkan dengan sistem hibrid, sama ada dengan pacuan roda hadapan atau 4WD. Sayangnya hanya ada satu jenis transmisi sahaja iaitu CVT.

Walaupun bersaiz kecil, Delica Mini sarat dengan pelbagai teknologi. Ini termasuklah lampu LED adaptif, Grip Control, Hill Descent Control serta sistem bantuan pemandu Mi-Pilot yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision Mitigation, Emergency Assist for Pedal Misapplication, Auto High Beam, Traffic Sign Recogintion, Leading Car Departure Notification, Lane Departure Warning dan pelbagai lagi.

Harga jualan bermula dari 1,804,000 yen (~RM60,300) hingga 2,238,500 yen (~RM74,823).

Honda N-Van bertukar menjadi Land Rover Defender?!

HONDA N-Van merupakan kenderaan komersial ringan berbentuk kei-car yang diperkenalkan pada 2018 sebagai sebahagian daripada siri N jenama itu.

Di samping ukuran dimensi yang kompak, N-Van, seperti kebanyakan kei-car yang lain, tampil dengan reka bentuk yang comel dan menawan hati.

Bagaimanapun, bagi mereka yang inginkan penampilan yang lebih rugged, syarikat talaan terkenal dari Jepun iaitu ESB Style kini menawarkan kit badan yang boleh mentransformasikan N-Van menjadi jentera off-road terkemuka iaitu Land Rover Defender.

Sudah tentu, ia tidak akan mengubah bentuk asal N-Van menjadi sebuah SUV, namun sekurang-kurangnya kit tersebut memberikan van cilik itu iras wajah yang tidak ubah seperti Defender dengan bampar, gril dan lampu baharu.

Malah, jika diperhatikan dengan lebih teliti, N-Van ini juga didatangkan dengan tulisan ‘DAFUNDER’ pada penutup bonet.

Apa yang menarik, kit daripada ESB Style ini tidak sekadar memfokuskan kepada aspek kosmetik semata-mata. Ia turut merangkumi kit lift sistem suspensi yang menjadikan N-Van “Dafunder” ini seinci lebih tinggi, serta rim 14 inci yang dibalut tayar off-road.

Turut disertakan adalah skid plate pada bampar belakang serta grafik baharu pada lampu belakang.

Cuma sayangnya, jentera unik ini masih lagi dikuasakan oleh enjin turbo 660 cc tiga silinder yang menghasilkan 63 hp dan 104 Nm dalam versi standard. Ia boleh didapati dalam versi FWD atau AWD, dengan CVT sebagai satu-satunya pilihan transmisi yang ada.

Harga kit Dafunder bermula dari 70,000 yen (RM2,313) untuk bampar hadapan, 30,000 yen (RM991) untuk bampar belakang, 38,000 yen (RM1,256) untuk sistem suspensi dan 56,000 yen (RM1,851) untuk rim.

Honda N-Van EV akan masuk ke pasaran bermula 2024

DILANCARKAN pada 2018, Honda N-Van secara asasnya adalah kenderaan komersial yang didatangkan dalam bentuk kei-car.

Dengan ukuran panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm dan tinggi 1,950 mm, dan tapak roda 2,520 mm, N-Van adalah antara kenderaan komersial paling kompak yang ada di pasaran.

Namun menurut Honda, ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai kenderaan keluarga memandangkan ia mempunyai bentuk berkotak dengan bumbung yang agak tinggi, serta boleh memuatkan sehingga empat penumpang.

Ruang dalaman Honda N-Van.

Semasa pelancaran, N-Van boleh didapati dengan enjin NA dan turbo tiga silinder, dengan kuasa sehingga 64 hp dan 107 Nm. Untuk transmisi pula, terdapat pilihan manual dan CVT, serta versi pacuan roda depan dan pacuan semua roda (AWD).

Kini, Honda mengesahkan bahawa mereka akan menawarkan varian elektrik yang dikenali sebagai N-Van EV. Menurut syarikat itu, ia akan memasuki pasaran Jepun bermula awal 2024.

Perincian teknikal mengenai N-Van EV masih belum diketahui namun Honda mendedahkan model itu mampu menawarkan jarak gerak sejauh 200 km. Ini menjadikannya cukup praktikal untuk kegunaan komersial atau urusan peribadi.

Apa yang menarik, Honda akan memasarkan model ini dengan harga jualan bermula dari hanya 1 juta yen atau kira-kira RM32,000 (berdasarkan kadar pertukaran mata wang asing semasa). Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha Honda untuk menggalakkan penggunaan EV ke arah mencapai status karbon neutral.