fbpx

Mitsubishi Delica Mini masuk pasaran Jepun mulai Mei ini

Mitsubishi Delica Mini 03

SEJARAH Mitsubishi Delica bermula pada 1968 apabila model itu diperkenalkan dalam bentuk trak. Setahun kemudian, barulah versi van dan koc dilancarkan. Kini, Delica bakal membuka lembaran baru menerusi pengenalan versi kei-car yang dikenali sebagai Delica Mini.

Bakal memasuki pasaran Jepun bermula Mei ini, Delica Mini sekilas pandang tampak seperti Delica D:5 dengan bentuk badannya yang bersegi serta penampilan rugged namun seperti namanya, model ini tampil dalam saiz yang lebih comel.

Ia mempunyai ukuran panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,830 mm serta jarak antara roda sepanjang 2,495 mm. Berat keseluruhan kenderaan ini adalah antara 970 kg hingga 1,060 kg.

Delica Mini akan ditawarkan dalam 12 warna, di mana enam daripadanya adalah pilihan dua tona. Varian pacuan roda hadapan didatangkan dengan rim 14 inci yang dibalut tayar 155/65, manakala versi 4WD pula mendapat rim 15 inci bersama tayar 165/55. Versi ini juga diberikan talaan khas pada sistem suspensi.

Di dalam, model ini mempunyai empat tempat duduk yang dibalut upholsteri fabrik yang tahan kotoran dan kalis air. Tempat duduk belakang boleh dilaras sejauh 320 mm dan setiap kerusi juga boleh dilipat, sekaligus memberikan pelbagai pilihan susunan tempat duduk bergantung kepada jumlah penumpang dan bagasi.

Untuk memudahkan penumpang keluar dan masuk, Delica Mini mempunyai pintu belakang jenis gelongsor yang menawarkan bukaan sehingga 650 mm serta lantai yang rata. Turut disertakan adalah sensor kaki yang membolehkan penumpang membuka pintu secara automatik tanpa menggunakan tangan.

Delica Mini akan ditawarkan enjin 660 cc tiga silinder dalam versi NA atau turbo, kedua-duanya digandingkan dengan sistem hibrid, sama ada dengan pacuan roda hadapan atau 4WD. Sayangnya hanya ada satu jenis transmisi sahaja iaitu CVT.

Walaupun bersaiz kecil, Delica Mini sarat dengan pelbagai teknologi. Ini termasuklah lampu LED adaptif, Grip Control, Hill Descent Control serta sistem bantuan pemandu Mi-Pilot yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision Mitigation, Emergency Assist for Pedal Misapplication, Auto High Beam, Traffic Sign Recogintion, Leading Car Departure Notification, Lane Departure Warning dan pelbagai lagi.

Harga jualan bermula dari 1,804,000 yen (~RM60,300) hingga 2,238,500 yen (~RM74,823).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved