Arkib Tag: Kedah

Jalan ‘glow in the dark’ 3 kilometer di Kedah, terpanjang di Malaysia

NAMPAKNYA Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mula menggunakan teknologi garisan jalan glow in the dark di seluruh negara.

Selepas Semenyih, teknologi itu kini dilaksanakan pula di Padang Sanai di Padang Terap, Alor Setar. Ia merupakan lokasi yang pertama bagi negeri Kedah.

Menurut Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, garisan jalan itu adalah sepanjang tiga kilometer, menjadikannya garisan jalan glow in the dark terpanjang di Malaysia.

“Alhamdulillah, siap dipasang di jalan Padang Sanai/ Durian Burung. Terima kasih Pegawai Kewangan Negeri yang meluluskan peruntukan ini.

“Terima kasih Jabatan Kerja Raya Padang Terap/Pokok Sena yang berusaha keras untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau memaklumkan, projek garisan jalan yang siap dibina pada Selasa lepas berkenaan memberikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Foto: Facebook Hj Munir Mohamad Yusoff

“Cahaya matahari dikumpulkan dan apabila waktu malam (maka) akan nampak satu garisan yang terang-benderang melalui kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000 oleh Pegawai Kewangan,” katanya.

Beliau menambah, Kedah adalah negeri yang mempunyai sumber cahaya matahari tertinggi sekali gus sesuai untuk pelabur mengusahakan ladang solar.

Apa yang menarik, Kedah juga memiliki kelebihan lain iaitu hanya memerlukan lebih empat jam untuk menyimpan tenaga solar berbanding negeri lain yang memerlukan enam jam.

Dalam perkembangan sama, JKR Padang Terap/ Pokok Sena dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook mereka memaklumkan jalan bercahaya kini sedang diuji di Jalan Padan Sanai/Durian Burung (K11), Kedah.

Terdahulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor dilaporkan akan menyenaraikan dan menilai jalan raya untuk dinaik taraf menggunakan teknologi berkenaan sebelum hujung tahun ini.

Kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf garisan jalan menggunakan teknologi pantulan cahaya itu.

Petronas teruskan kerja amal, salur peralatan perubatan am kepada Kedah

PETRONAS memberi sumbangan keperluan perubatan asas sebagai langkah berterusan menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Syarikat itu berharap ia dapat membantu PICK untuk terus berjalan lancar dan berkesan dalam memerangi Covid-19.

Penyampaian secara simbolik disampaikan Ketua Petronas Wilayah Tengah dan Utara Zukifli Othman kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, sumbangan itu amat berharga kepada rakyat negeri Kedah selain berharap imuniti kelompok dapat dicapai dalam kadar segera.

“Peralatan am yang disalurkan antaranya adalah katil pesakit, peralatan perubatan Oxymeter, komputer riba, tablet, pendingin udara, troli dan meja mudah alih.

“Kerajaan Negeri Kedah amat berterima kasih akan keprihatinan dari pihak Petronas dalam membantu kerajaan negeri Kedah dalam proses vaksinasi,” katanya.

Petronas sentiasa peka dengan situasi semasa dan akan terus memberi sokongan dalam memerangi Covid-19. – Foto ihsan Malay Mail

Majlis turut disertai Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr. Othman Warijo dan Pengurus Perhubungan Kerajaan Petronas Wilayah Utara dan Tengah Hazly Azrin Hamzah.

Terdahulu, Zukifli berkata Petronas amat prihatin dengan keadaan semasa khususnya di negeri Kedah.

Justeru, Petronas akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam membantu proses vaksinasi.

“Pihak Petronas menyokong segala usaha Kerajaan Negeri dalam membantu proses vaksinasi di negeri.

“Malah sentiasa mencari inisiatif yang terbaik dalam membantu negara mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera,” katanya.

Pasca banjir di kaki Gunung Jerai, foto pelbagai kenderaan rosak tular

TRAGEDI banjir besar melanda sebahagian daerah Yan di Kedah pada semalam mengejutkan ramai pihak.

Menerusi foto tular di media sosial kelihatan harta benda musnah akibat bencana alam itu termasuk beberapa kenderaan milik penduduk.

Salah satu foto tular menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda hampir terjunam ke dalam gaung dipercayai berlaku sekitar kawasan Gunung Jerai.

Foto sebuah kenderaan pacuan empat roda hampir terjatuh ke dalam gaung dekat Gunung Jerai. – Foto ihsan media sosial

Memetik laporan media, insiden berpunca daripada fenomena kepala air dari puncak gunung yang berlaku pada petang Rabu.

Penduduk turut berkongsi pengalaman ngeri berdepan kejadian banjir selain mengakui terpaksa bertindak cepat mengalihkan kenderaan masing-masing ke tempat selamat.

Salah seorang penduduk ditemui Bernama berkata, kejadian berlaku sangat pantas dan ketika kejadian dirinya berada di masjid bagi menunaikan solat.

“Pada mulanya air keruh biasa saja, saya pergi alihkan motosikal ke tempat lebih tinggi.

“Namun, tidak menyangka keadaan di luar masjid sudah semakin buruk,” kata Ahmad Sharihuddin Hassan, 43 tahun.

Keadaan kawasan sekitar daerah Yan, Kedah dinaiki air pada semalam. – Foto ihsan Bernama

Terdahulu, insiden banjir besar itu turut menyebabkan kemusnahan struktur jalan raya di beberapa kawasan termasuk laluan ke puncak Gunung Jerai.

Terdapat sisa lumpur dan hakisan tanah sehingga menghalang laluan daripada sebarang kenderaan untuk melaluinya.

Banjir menyebabkan struktur jalan musnah teruk. – Foto ihsan Malay Mail

Setakat ini, jumlah kerugian dan kerosakan harta benda penduduk masih lagi belum diketahui.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terutama Kerajaan Negeri Kedah berjanji akan memastikan kebajikan penduduk yang terlibat dalam bencana terbabit terus terbela.

‘Sumbat’ warga asing pakai gelang pink dalam lori, warga maya akui malu

DUA foto menunjukkan sekumpulan warga asing menaiki sebuah lori yang sesak tular di media sosial.

Hantaran salah seorang pengguna Twitter itu mendapat perhatian kebanyakan warga maya yang menganggap ia perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Berdasarkan foto terbabit, kesemua warga asing dipercayai dalam perjalanan ke pusat kuarantin Covid-19.

Hal ini kerana kelihatan beberapa individu dalam foto itu memakai ‘gelang’ merah jambu yang kebiasaan dipakai oleh mereka dikenakan kuarantin.

“Bayangkan kalau bangsa kita yang memburuh di negeri orang, legal mahupun illegal dilayan macam ini, apa respon kita?

“Malaysia, kita lebih baik daripada ini,” kata individu menggunakan nama Adam Adli di media sosial.

Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial kecewa dengan situasi berlaku dan berharap ia tidak berulang di masa depan.

Pada masa sama, terdapat juga pengguna media sosial yang menyalahkan majikan pekerja warga asing terbabit yang didakwa enggan menyewa bas sebagai langkah penjimatan.

“Pergi salahkan tokey (majikan) yang tak nak keluar modal sewa bas,” kata Shelah Eber.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian tersebut.

Bagaimanapun, ada pengguna media sosial mendakwa ia berlaku di Sungai Petani yang terletak di negeri Kedah.