Arkib Tag: kebakaran

Mercedes-Benz EQB hangus terbakar ketika sedang dicas

SEBUAH kereta elektrik jenis Mercedes-Benz EQB terbakar semasa sedang dicas di sebuah pusat pameran kereta di Jalan Skudai, Johor Bahru, pada Ahad.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran tersebut melalui talian MERS999 pada jam 2.45 petang.

Satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit RIM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dengan 10 anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) ke lokasi didapati sebuah kereta Mercedes EQB sedang terbakar dan kebakaran dipercayai berlaku ketika kenderaan tersebut sedang dicas.

“Kebakaran telah memusnahkan 90 peratus keseluruhan kenderaan dan lima peratus bangunan menempatkan ruang pameran (showroom).

“Kebakaran turut memusnahkan 20 peratus Electric Vehicle Charging Bay di hadapan kereta yang terbakar,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran dipadamkan menggunakan dua aliran salur bantu mula jentera, satu saliran salur bantu mula jentera RIM dan satu aliran salur bantu mula bangunan.

Ujarnya, punca kebakaran dan anggaran sebenar kerugian masih dalam siasatan. Operasi ditamatkan sekitar 3.10 petang, Ahad.

Mercedes-Benz EQB dilancarkan di Malaysia pada September 2022 dengan harga jualan bermula dari RM328,888. Ia dilengkapi dengan bateri berkapasiti 66.5 kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 423 km dengan satu cas penuh.

Rider didakwa bakar motosikal, skuter elektrik depan KLCC

AZRIL Kamarunzaman didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membakar 11 motosikal dan empat skuter elektrik di luar pusat beli-belah Suria KLCC minggu lepas.

Penghantar makanan berusia 34 tahun ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar kenderaan terbabit di parkir motosikal di hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang pada 3.30 petang, 13 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Azril, Muhamad Ridzuan Umar merayu supaya jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri serta ibu bapanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.

13 motosikal, 4 skuter elektrik hangus dijilat api depan KLCC

SEBANYAK 13 motosikal dan empat skuter elektrik hangus terbakar dalam kejadian di tempat parkir pusat belah-belah Suria KLCC di ibu negara, semalam (13 April 2023).

Menurut laporan, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.45 petang dan seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Sebanyak dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan jentera bantuan dari BBP Keramat dengan kekuatan 15 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Mohd. Iqbal Khan Malek Khan Khan berkata, setibanya pasukan di lokasi kejadian mereka mendapati terdapat kebakaran melibatkan 13 motosikal dan empat skuter elektrik.

“Pemeriksaan mendapati sembilan motosikal dan empat skuter hangus terbakar manakala empat lagi rosak teruk akibat kejadian itu.

“Operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive untuk memadam kebakaran daripada merebak telah dilakukan,” katanya sambil menambah kebakaran dapat dikawal pada pukul 4.04 petang.

“Punca dan kerugian kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Naza Ria terbakar di stesen minyak, pemandu wanita nyaris rentung

SEORANG wanita hampir maut selepas kenderaan jenis MPV yang dinaikinya terbakar di hadapan stesen petrol di Kajang hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata mangsa berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8 pagi itu. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah jurucakap itu lagi, sepasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8 pagi.

Sementara itu, komander operasi Sharel Mohamad memaklumkan bahawa kebakaran tersebut berlaku di stesen PetronasLebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) yang terletak berhampiran Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

“90 peratus kereta tersebut musnah dan pemandunya, yang berseorangan ketika kejadian, berjaya melarikan diri sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Lori tangki meletup ragut puluhan nyawa, punca insiden didedah

BANDAR pelabuhan Cap-Haitien, Haiti digegarkan dengan satu letupan kuat sekaligus menyebabkan lebih 60 mangsa meninggal dunia.

Insiden dipercayai berpunca daripada sebuah lori tangki bahan api yang meletup secara tiba-tiba, lapor CTV News.

Memetik kenyataan pihak berkuasa, puluhan mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Cap-Haitien dan tidak menolak jika berlaku peningkatan kematian.

Terdahulu, Timbalan Datuk Bandar Patrick Almonor menyifatkan letupan itu sebagai suatu yang amat “mengerikan.”

“Anggota bomba sedang membuat penilaian awal untuk menentukan jumlah rumah yang terbakar akibat letupan itu,” katanya.

Sementara itu, kerajaan mengumumkan akan membina hospital medan untuk merawat mangsa yang cedera.

Ia susulan keadaan hospital yang sesak dengan mangsa menerima rawatan.

Letupan pada pagi Selasa berlaku selepas lori tangki itu cuba mengelak sebuah motosikal dan terbalik.

Kemalangan menyebabkan beberapa bahan api melimpah keluar sehingga mencetuskan letupan kuat.

Haiti bergelut dengan kekurangan bahan api dan harga gas yang melambung tinggi, dicetuskan oleh tindakan kumpulan bersenjata.

Pada 25 Oktober lalu, anggota kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kesukaran menghantar bahan api di Haiti berkemungkinan akan mengorbankan nyawa.

Kenderaan dijilat api ketika diisi minyak, pemandu cemas padam kebakaran

KES kenderaan terbakar ketika sedang diisi minyak acap kali berlaku di negara ini.

Terbaharu, tular di media sosial sebuah kenderaan terbakar ketika sedang diisi bahan bakar itu di sebuah stesen minyak.

Insiden dipercayai berlaku di Sandakan, Sabah.

Menerusi video dimuatnaik pengendali akaun media sosial MyWatch di Twitter, kelihatan seorang lelaki sedang mengisi minyak sebelum secara tiba-tiba kenderaannya dijilat api.

Cemas dengan situasi itu, lelaki terbabit dilihat segera mendapatkan alat pemadam api sebelum dibantu seorang penunggang motosikal serta beberapa petugas stesen minyak berkenaan.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes kebakaran membabitkan kenderaan ketika sedang diisi minyak.

Antaranya termasuk sebuah insiden kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang terbakar ketika sedang diisi minyak di Bintulu, Sarawak pada tahun 2017.

Selain itu, seorang lelaki juga dilaporkan melecur anggota badan selepas disambar api ketika mengisi minyak di Seri Kembangan, Selangor pada Ogos tahun lalu.

Menerusi laporan berita tempatan, insiden bukan sahaja menyebabkan mangsa mengalami kecederaan malah, turut menyebabkan kenderaan miliknya musnah akibat dijilat api.