Arkib Tag: kanak-kanak

Lagi kanak-kanak maut akibat ditinggalkan di dalam kereta

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya yang diparkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan hospital berkenaan, pada 8.01 malam.

Hasil siasatan mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam Perodua Axia selepas mangsa diambil dari sebuah taska yang berdekatan, kira-kira 2 petang.

“Semasa ditinggalkan, mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu kanak-kanak itu yang berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital hanya menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi suaminya, pada 6 petang.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bedah siasat sudah dijalankan pada jam 2 petang semalam (31 Januari) dengan keputusan ‘pending laboratory investigations’.

Hasil pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman pada kanak-kanak itu.

Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah atau TASKA, terutama yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid melalui talian 013-6544996,” katanya.

Insiden menyanyat hati seperti ini terlalu kerap berlaku dan sebagai seorang bapa, penulis sangat terkesan. Sebagai peringatan bersama, ini beberapa langkah yang boleh diambil untuk elakkan daripada tertinggal anak di dalam kereta:

  • Letakkan barang anak (beg pakaian, mainan dan sebagainya) di kerusi penumpang hadapan
  • Letakkan barang anda (telefon, beg atau dompet) di kerusi belakang
  • Jadikan memeriksa kerusi belakang sebelum meninggalkan kereta sebagai tabiat
  • Tinggalkan nota atau sticky note pada papan pemuka sebagai peringatan
  • Pesan kepada pasangan atau ahli keluarga untuk ingatkan anda

Polis Kelantan cari ibu bapa kanak-kanak jatuh dari kereta semasa buat pusingan U

SEMALAM tular sebuah video yang menunjukkan seorang kanak-kanak terjatuh dari pintu belakang sebuah kereta yang sedang membuat pusingan U.

Menurut laporan, kejadian tersebut berlaku di lampu isyarat Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bahru kira-kira jam 5.42 petang. Berikut kejadian itu, polis kini dalam usaha mengesan ibu bapak kanak-kanak berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian itu dipercayai berlaku akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki kanak-kanak tersebut untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup dengan kemas.

Tambah beliau lagi, pemandu kereta itu juga dipercayai tidak memastikan kanak-kanak itu memakai tali pinggang keledar.

“Sehubungan itu, usaha mengesan kenderaan terlibat dan kanak-kanak tersebut masih dijalankan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat kejadian itu, pemandu kereta terlibat dan perakam video diminta untuk tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor Khairul Anuar Abdul Aziz di talian 09-775 2355.

Video berdurasi 61 saat itu menunjukkan sebuah Honda City berwarna kelabu sedang membuat pusingan U apabila pintu belakang sebelah kiri kereta itu tiba-tiba terbuka sebelum seorang kanak-kanak terjatuh.

Sebuah lagi Honda City berjaya mengelak kanak-kanak tersebut namun sebuah Perodua Ativa kemudiannya merempuh kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan dia jatuh tergolek.

Si kecil itu bangun kembali sebelum berlari ke arah sebuah motosikal yang dinaiki sebuah keluarga yang kemudiannya membawanya ke tepi jalan.

Kanak-kanak itu difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anak-anak ditinggal kepanasan dalam Perodua Aruz, ibu bapa pergi beraya!

UMUM mengetahui Malaysia sedang melalui musim panas melampau sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Ramai yang lebih memilih untuk tidak melakukan aktiviti luar, lebih selesa tinggal dalam bilik dengan pendingin hawa bagi mengelakkan berlaku strok haba.

Malangnya, di sebalik musim cuaca panas yang melanda, masih terdapat ibu bapa yang mengambil mudah isu ini dengan meninggalkan anak-anak dalam kereta tanpa pendingin hawa. Enjin kereta ditinggalkan dalam keadaan tidak dihidupkan, hanya tingkap dibuka sedikit.

Perkara ini dikongsikan oleh pengguna Facebook, Nana Nandos, dimana beliau memaklumkan mendengar tangisan dua kanak-kanak yang didakwa kembar di dalam sebuah Perodua Aruz di Taman Kajang Impian.

Melihat kejadian itu, beliau memaklumkan sempat memberikan air kotak untuk menenangkan dua kanak-kanak ini.

Lebih mengejutkan, beliau terpaksa menanti kira-kira 30 minit untuk ibu bapa mereka kembali semula ke kereta selepas beraya ke rumah terbuka berdekatan. Rupanya datuk dan neneknya juga turut bersama!

Dimaklumkan penjaga kepada dua kanak-kanak ini sekadar mengangkat tangan dan senyum kepada wanita ini kerana membantu. Lebih memburukkan keadaan ialah reaksi daripada ibu kanak-kanak ini yang didakwa seolah tidak mengendahkan perkara yang berlaku.

Perkongsian yang dibuat wanita ini telah mendapat perhatian para netizen di mana rata-ratanya menyelar tindakan penjaga dua kanak-kanak ini.

Malah, terdapat netizen yang mencadangkan agar wanita ini membuat laporan isu pengabaian kanak-kanak pada pihak yang bertanggungjawab.

Wanita ini memaklumkan beliau memilih untuk tidak membuat laporan polis. Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan perkara ini seharusnya diambil serius.

Beliau akui agak terkejut bagaimana ibu bapa serta penjaga mampu ambil mudah dalam isu menjaga anak-anak ini.

Kanak-kanak enam tahun kemalangan pandu Toyota Vios, mahu ke kedai beli mainan

SEORANG kanak-kanak berusia enam tahun telah terbabit kemalangan selepas memandu kereta Toyota Vios milik keluarganya di Jalan Bukit Tangga malam tadi.

Kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5km dari rumah bersama adiknya berusia tiga tahun untuk ke kedai, membeli mainan.

Video kemalangan terbabit tular tengah malam tadi, orang ramai terkejut apabila mengetahui kenderaan terbabit dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Toyota Vios yang dipandu. Sumber: Facebook

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, mengesahkan kejadian dalam video tular itu berlaku di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, berhampiran Kampung Titi Chanwang jam 11:15 malam.

Beliau berkata, dalam kejadian itu kereta terbabit dilaporkan dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun manakala adik lelakinya berusia tiga tahun menjadi penumpang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Kampung Ulu Melaka menghala ke Kampung Nyiur Chabang telah terbabas dan melanggar tiang lampu berhampiran Kampung Titi Chanwang.

“Susulan itu, pemandu kereta luka di dahi manakala penumpang tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Shariman berkata, kereta terbabit dipercayai dipandu kanak-kanak terbabit dari kediaman mereka di Kampung Padang Mengkuang, Mukim Ulu Melaka sejauh 2.5km tanpa pengetahuan ibu bapa.

”Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Denda RM50,000 atau penjara jika tinggal anak bersendirian dalam kenderaan

POLIS memberi amaran kepada ibu bapa atau penjaga untuk tidak meninggalkan anak secara bersendirian dalam kenderaan.

Memetik kenyataan polis menerusi Facebook, ibu bapa serta penjaga yang cuai boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun.

Ibu bapa atau penjaga dinasihati tidak cuai dengan meninggalkan anak-anak dalam kenderaan secara bersendirian. – Foto ihsan Unsplash/Farzanah Rosli

Jelas kenyataan itu lagi, pihak polis tidak akan berkompromi dalam hal ini malah, akan mengambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang.

“Tiada alasan. Tiada kompromi. Kealpaan anda membawa padah.

“Kecuaian individu meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes kanak-kanak maut akibat ditinggalkan dalam kenderaan.

Pada 12 Oktober lalu, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun maut selepas ditinggalkan lebih tiga jam dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun turut menerima nasib sama pada 16 Mac lalu akibat mengalami strok haba setelah empat jam ditinggalkan dalam kereta dipandu pengetua tadika di Taman Ria, Sungai Petani.

Menyelamat atau membunuh? Kenali sistem airbag kenderaan anda!

TEKNOLOGI beg udara keselamatan atau airbag bukan suatu yang baharu dalam industri automotif.

Mula diperkenalkan di Amerika Syarikat pada 1919, kini boleh dikatakan hampir semua kereta baharu dihasilkan mempunyai ciri keselamatan ini.

Hal ini membuktikan betapa airbag memainkan peranan sangat penting bagi pemandu dan penumpang jika berdepan kemalangan jalan raya.

Justeru, bagi anda yang masih belum mengetahui bagaimana airbag berfungsi, jom sama-sama kita mengenali lebih dekat mengenai sistem keselamatan ini.

Apa itu airbag

Airbag juga dikenali sebagai Sistem Pengekangan Tambahan (SRS).

Mempunyai fungsi sama seperti tali keledar keselamatan, airbag dapat mengurangkan kesan hentaman terhadap pemandu dan penumpang jika berdepan kemalangan.

Kebanyakan kereta tidak lagi hanya memiliki airbag di bahagian dashboard (papan pemuka) malah, turut dipasang di sisi pintu kenderaan.

Menerusi kajian dijalankan, sesebuah kenderaan berdepan kemalangan dengan kelajuan 40km/j sudah cukup untuk memberi impak serius kepada pemandu dan penumpang.

Data diperoleh juga membuktikan bahawa airbag berjaya menjadi ‘penyelamat’ dalam lebih 68 peratus kemalangan jalan raya dicatatkan seluruh dunia.

Ini bermakna jika semua kereta di dunia dilengkapi airbag maka, maka jumlah kecederaan serius dapat dikurangkan lebih dari 50,000!

Airbag berfungsi apabila hentaman dikesan berlaku terhadap sesebuah kenderaan.

Ada apa dengan airbag?

Terdapat beberapa komponen utama bagi sesebuah airbag.

Ia termasuk beg udara pemandu dan penumpang, lampu amaran, suis tempat duduk penumpang, penyebaran piroteknik, pencucuh, sensor kemalangan serta unit kawalan elektronik.

Berikut merupakan fungsi komponen yang dinyatakan sebelum ini:

Lampu amaran sistem airbag

Lampu sekiranya berlaku kerosakan pada sistem airbag.

Modul airbag

‘Menghembus’ airbag ketika arus mengalir bagi menyatukan penyala.

Penyambungan spring clock

Memastikan sambungan tanpa gangguan ke modul kantung udara sambil membenarkan putaran stereng.

Sensor kemalangan

D-sensor diaktifkan ketika berlaku rempuhan atau kemalangan sementara, S-sensor melengkapkan litar ke inflator.

Modul diagnostik

Memantau komponen dan kabel pendawaian dalam sistem airbag.

Menunjukkan kerosakan jika ‘terdengar’ loceng amaran. Pada masa sama, elak daripada berlaku penggunaan airbag secara tidak sengaja.

Penggunaan airbag dikhuatiri membahayakan nyawa kanak-kanak akibat impak 'letupan'.

Kesan penggunaan airbag

Pada 1990, satu ujian dijalankan bagi menguji tahap ketahanan dan fungsi airbag.

Sistem ini menggunakan modul beg udara 17 liter yang dipasang di setiap panel pintu dan tiub kembung tambahan sepanjang rel bumbung.

Namun, timbul beberapa persoalan adakah airbag mampu menyelamatkan setiap nyawa pemandu dan penumpang?

Berdasarkan data National Highway Traffic Safety Administration, terdapat lebih 296 kematian terjadi akibat airbag.

Apa yang lebih menyedihkan 191 daripada korban merupakan kanak-kanak.

Walau begitu, airbag juga tidak dinafikan amat efektif bagi menyelamatkan manusia daripada maut akibat kemalangan jalan raya. Ia dapat disandarkan kepada data yang mana 25.782 nyawa terselamat akibat airbag sejak 1987 hingga 2008.

Walau apa jua pandangan anda, penulis beranggapan bahawa cara terbaik menyelamatkan nyawa adalah dengan berhati-hati di jalan raya.

Memang benar airbag mampu menyelamatkan manusia namun, adalah lebih baik mencegah daripada mengubat. Apa pun, mampukah kita mengelak terus insiden kemalangan jalan raya?

Jawapannya, tepuk dada tanya selera!

#HatiHatiDiJalanRaya

Lelaki positif dadah direman curi kenderaan, culik budak

TINDAKAN seorang lelaki melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak membawa padah apabila dia ditahan reman sehingga Isnin depan.

Suspek bukan sahaja berdepan kesalahan menculik malah turut didapati positif dadah, lapor Bernama.

Kejadian pada 11.30 pagi semalam, suspek dikatakan cuba melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak perempuan di Seri Manjung, Perak.

Menurut laporan media, kanak-kanak itu duduk berseorangan dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza sambil menunggu ibunya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini, kes kenderaan dilarikan individu tidak bertanggungjawab bukan satu kejadian baharu di Malaysia.

Pada September tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki nyaris menjadi mangsa culik apabila kereta dinaiki cuba dilarikan seorang tidak dikenali di Taman Kota Masai.

Peristiwa ngeri itu berlaku apabila kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu menumpang kereta jirannya untuk menunaikan solat Jumaat.

Justeru, orang ramai dinasihati untuk terus berhati-hati dan tidak mengabaikan keselamatan.

Antara kebanyakan kes cubaan curi kenderaan adalah disebabkan kecuaian termasuk enjin tidak dimatikan.

Apakah yang perlu dilakukan jika berdepan situasi ini?

Jika anda terlihat cubaan curi kenderaan perlu bersikap tenang dan tidak melulu.

Berikut langkah yang boleh diambil:

1. Hubungi polis dengan kadar segera dan cuba salurkan maklumat sebanyak mungkin termasuk lokasi kejadian, nombor pendaftaran kenderaan dan lain-lain.

2. Jangan mengejar suspek yang memiliki senjata berbahaya. Tindakan melulu dikhuatiri menyebabkan berlaku perkara tidak diingini.

3. Elak memukul suspek. Tindakan memukul suspek boleh menyebabkan anda dikenakan tindakan undang-undang. Serahkan kepada pihak berkuasa.

4. Gunakan kuasa viral. Sebarkan maklumat kenderaan curi agar orang ramai dapat membantu memberi maklumat.

5. Jika berjaya menangkap suspek, pastikan dia ditahan sebaik mungkin sebelum diserahkan kepada polis. Suspek yang tidak ‘melawan’ jangan diapa-apakan.

Walau apa pun pandangan anda mengenai kes kecurian kenderaan, perlu diingat sentiasalah mematuhi undang-undang.

Sikap melulu bukan sahaja memberi implikasi buruk kepada anda malah, memberi tempias kepada kaum keluarga.

Nasihat kami kepada si pencuri kenderaan, bawa berubah perangai keji itu. Jangan jadi seperti kambing menanduk bukit.

Oh ya! Pemilik kenderaan pun perlu beringat. Manusia rambut sama hitam, hati lain-lain.

#DoneNasihat

Wanita cemas anak tidur dalam kereta, orang awam selamatkan keadaan

GOLONGAN ibu bapa atau penjaga dinasihati tidak meninggalkan anak kecil bersendirian dalam kenderaan tanpa pengawasan orang dewasa.

Ini kerana terdapat pelbagai kes berlaku melibatkan kanak-kanak terperangkap dalam kenderaan berseorangan.

Baru-baru ini di media sosial, tular kejadian seorang kanak-kanak perempuan tertidur dalam kenderaan yang terkunci.

Menerusi sebuah video dimuatkan akaun MyWatch di Twitter, seorang wanita dipercayai ibunya kelihatan cemas selepas gagal membuka pintu kenderaan.

Orang awam yang sedar dengan situasi itu cuba membantu mengejutkan kanak-kanak terbabit dengan menggoncang kenderaan berkenaan.

Nasib menyebelahi mereka apabila kanak-kanak terbabit terjaga daripada tidur selepas beberapa ketika.

Insiden kanak-kanak terperangkap dalam kenderaan bukan suatu yang asing di negara ini.

Terdapat beberapa kes berlaku sebelum ini dan lebih malang ada yang meragut nyawa.

Jadi, kepada anda yang ada anak kecil jangan sesekali biarkan mereka bersendirian dalam kenderaan kerana benar kata orang, “malang tidak berbau.”