Arkib Tag: jabatan pengangkutan jalan

Bentang tilam di dalam kereta menyalahi undang-undang

ANDA pasti pernah melihat pengguna kenderaan jenis MPV membentangkan tilam atau toto di belakang kenderaan demi keselesaan anak-anak bagi menempuh perjalanan pulang ke kampung.

Ya, ia memang nampak selesa namun tahukah anda tindakan itu menyalahi undang-undang? Bukan itu sahaja, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Rospiagos Taha berkata, perlakuan tersebut membahayakan pemandu dan penumpang terutama kanak-kanak.

“Semua pemandu dan penumpang dewasa hendaklah duduk di kerusi ketika kenderaan bergerak. Tambahan pula, bermula Januari 2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang telah dikuatkuasakan melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008),” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, bagi kanak-kanak dengan berat kurang daripada 36 kg atau ketinggian kurang daripada 136 cm atau berumur kurang 12 tahun dikehendaki memakai kerusi keselamatan kanak-kanak ketika kenderaan bergerak.

Peraturan-peraturan itu dikuatkuasakan bagi mengurangkan impak dan menjamin keselamatan penumpang sekiranya berlaku kemalangan.

JPJ akan buka permohonan servis pemeriksaan kenderaan, tiada lagi monopoli Puspakom?

BERMULA Jun depan, mereka yang mahu membuat servis pemeriksaan kenderaan boleh memohon lesennya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Katanya, ia adalah usaha memupuk persaingan dalam industri ini.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

“Dengan membuka industri ini, kita berharap dapat menarik minat pelabur, memacu pertumbuhan teknologi baharu dalam industri, dan mencipta persaingan sihat yang akan memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Loke kemudiannya berkongsi garis panduan dan keperluan terbaharu untuk VISP (Vehicle Inspection Service Provider). Antaranya adalah had lokasi VISP yang akan ditetapkan oleh kementerian, kata Loke.

“VISP ini pada awalnya akan dibuat di dua lokasi, satu di kawasan bandar dan satu lagi di luar bandar.

“VISP ini kemudiannya akan dikehendaki untuk membangunkan dan beroperasi di kedua-dua lokasi secara serentak.

“Dengan ini, matlamat utama adalah bagi memastikan setiap negeri, dan sebolehnya setiap kawasan, ada sekurang-kurangnya satu VISP,” tambahnya.

Loke berkata VISP akan memerlukan sekurang-kurangnya modal RM10 juta dan kos operasi RM5 juta bagi memastikan kelancaran perniagaan itu.

Beliau turut menambah bahawa VISP tidak akan dibenarkan untuk menawarkan khidmat baik pulih, modifikasi, jualan alat ganti, atau jualan kenderaan.

Mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran di sini: https://bit.ly/pemeriksaankenderaan.

JPJ kutip RM5.07 bilion pada 2023, tertinggi dalam sejarah

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperoleh hasil kutipan sebanyak RM5.07 bilion tahun lalu, jumlah kutipan tertinggi dalam sejarah jabatan itu.

Beliau berkata, jumlah kutipan itu menunjukkan peningkatan 3.53% berbanding RM4.9 bilion yang dikutip pada tahun 2022.

Dalam kategori bayaran tender nombor perdaftaran pula, kutipan hasil meningkat daripada RM 501.5 juta pada 2022 kepada RM569.6 juta pada 2023. Ia merupakan pertumbuhan sebanyak RM68.1 juta atau 13.6 peratus.

“Peningkatan hasil ini termasuk siri bidaan Nombor Pendaftaran FF, M_M yang dilancarkan pada Mei 2023 dan Ogos 2023.

“Bagi siri GOLD yang dilancarkan sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke – 50 pada 1 Febuari lalu, JPJ merekodkan lebih RM17.24 juta hasil kutipan.

“Ini termasuk GOLD 1 yang berjaya dibida oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan harga RM1.5 juta,” katanya baru-baru ini.

Taktik menyamar JPJ berhasil, 24 pemandu bas ekspres disaman

SERAMAI 24 pemandu bas ekspres dikenakan saman dalam Ops Penyamaran yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sempena sambutan Tahun Baru Cina dari 1 Februari lalu.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, sepanjang ops itu berlangsung, pihaknya mengesan pemandu bas ekspres itu melakukan 64 kesalahan.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan termasuk memandu di lorong kanan (12 saman) dan tiada pemandu kedua atau memandu secara berterusan bagi perjalanan melebihi 300 km atau perjalanan selama empat jam secara berterusan (tujuh saman).

“Selain itu, kesalahan pemandu yang merokok (dua saman), tidak selenggara buku log (sembilan saman), abai isyarat lalu lintas (tujuh sama) dan lain-lain kesalahan (27 saman),” katanya.

Tambah Hanif lagi, menerusi operasi setiap kali musim perayaan, anggota jabatan itu akan menyamar sebagai penumpang bas bagi perjalanan ke seluruh negara untuk mengambil tindakan terhadap pemandu bas eskpres yang meletakkan nyawa penumpang di hujung tanduk.

“Teknik penyamaran sebagai penumpang bas dilihat sangat efektif dalam mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu, selain menasihati mereka tidak mengabaikan keselamatan penumpang, namun masih ada yang berdegil.

“Setiap peraturan yang ditetapkan bertujuan untuk menjaga keselamatan penumpang dan pemandu itu sendiri termasuk penggun jalan raya lain. Pengabaian peraturan ini merisikokam nyawa penumpang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemandu dan pemilik bas yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

14,527 saman dikeluarkan kepada warga asing sepanjang Operasi Khas Motosikal

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 14,527 saman terhadap penunggang motosikal warga asing di seluruh negara atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal 2023 dari 1 hingga 20 September lepas, lapor Astro Awani.

Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ Datuk Lokman Jamaan, kesalahan utama yang dikesan adalah tiada lesen memandu dengan 6,268 saman, tiada perlindungan insurans (2,667), lesen kenderaan motor tamat tempoh (2,657) dan lain-lain kesalahan teknikal 1,948 saman.

“JPJ memandang serius isu ini terutamanya warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah kerana mereka jelas tidak mengetahui peraturan jalan raya dan boleh mendatangkan bahaya terhadap pengguna jalan raya yang lain.

“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan tindakan tegas akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya.

Dalam satu operasi bersepadu JPJ selama empat jam di Bangsar malam tadi, sebanyak 1,459 kenderaan diperiksa dengan 854 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya memandu tanpa lesen (327), lesen kenderaan motor tamat tempoh (143), insurans tamat tempoh (123) dan nombor pendaftaran (80).

Selain itu, 98 saman dikeluarkan bagi kesalahan cermin gelap, kesalahan teknikal (36), ekzos (18), penggunaan lampu HID (empat) dan lain-lain kesalahan (25).

Lokman berkata dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen itu, seramai 19 warga asing ditahan melibatkan 17 lelaki dan dua wanita atas pelbagai kesalahan imigresen.

14,514 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan JPJ dalam 8 hari

PROGRAM Advokasi dan Op Motosikal sempena Aidilfitri 2023 menyaksikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 14,514 notis pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dari 18 hingga 25 April.

Bukan itu sahaja, jabatan itu turut menyita 500 unit motosikal dalam tempoh yang sama.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, notis dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 51,039 motosikal manakala sitaan kerana kesalahan tiada perlindungan insurans, lesen memandu dan lain-lain membabitkan 291 lokasi Point of Duty (POD) di seluruh negara.

Enam kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu (4,583 notis), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,600 notis), tiada insurans (2,364 notis), lesen memandu tamat tempoh (168 notis), tidak memakai topi keledar (160 notis) dan tidak mematuhi lampu isyarat (120 notis).

Tambah Lokman, kajian menunjukkan penggunaan topi keledar yang betul dapat mengurangkan kecederaan sehingga 25 peratus kepada pengguna motosikal.

Sumber gambar: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

“Oleh itu, langkah-langkah advokasi dan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan JPJ dari semasa ke semasa bagi menurunkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal,” katanya.

Bagi Op Khas Motosikal Perak dari 18 hingga 25 April, Lokman berkata sebanyak 7,146 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,313 motosikal diambil tindakan di bawah Akta 333.

Sementara itu, Lokman berkata dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kemalangan maut pada musim perayaan ini, tindakan advokasi serta penguatkuasaan secara bersasar difokuskan kepada penunggang atau pembonceng motosikal di seluruh negara.

Katanya, ia berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010 hingga 2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain iaitu melebihi 60 peratus.

Justeru, katanya, melalui Op Bersepadu peringkat kebangsaan 2023, JPJ melaksanakan strategi penguatkuasaan dan advokasi khas kepada pengguna motosikal bagi membudayakan pematuhan undang-undang jalan raya serta penerapan rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan khususnya punca kemalangan maut serta membahayakan pengguna lain.

JPJ akan bantu pengeluar untuk pemanggilan semula kenderaan di Malaysia

Pengeluar-pengeluar kenderaan di Malaysia akan membuat pemanggilan semula produk (product recall) apabila mereka mendapati terdapat isu atau kecacatan pada kenderaan yang akan menjejaskan keselamatannya.

Di Malaysia, para pemilik akan diberitahu secara peribadi selain notis dikeluarkan melalui media atau pengumuman oleh pihak pengeluar sendiri.

Bagi memastikan product recall mencapai sasaran yang telah ditetapkan, pihak JPJ berbesar hati untuk membantu menjayakan aktiviti ini melalui hebahan di laman sosial dan juga portal rasmi JPJ.

Hebahan ini bertujuan bagi menarik perhatian umum terutamanya kepada pemilik-pemilik kenderaan yang terlibat agar segera menghubungi wakil pengedar yang sah.

Menurut Seksyen 66 (1)(pp) Akta Pengangkutan Jalan 1987, product recall yang dilaksanakan oleh pihak pengeluar kenderaan perlu di maklumkan secara bertulis kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai pihak berkuasa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, pihak JPJ akan merekodkan dan memantau perkembangan setiap aktiviti tersebut sehingga kesemua unit bagi model kenderaan yang terlibat dalam aktiviti product recall selesai diperbaiki.

“Sebarang aktiviti product recall di pihak prinsipal pengeluar kenderaan yang berpusat di luar negara yang juga melibatkan model kenderaan yang berada di Malaysia juga perlu dimaklumkan kepada JPJ melalui wakil pengeluar/pengedar kenderaan tersebut yang berpusat di Malaysia.

“Ini bagi memastikan model kenderaan tersebut melalui aktiviti yang sama (Product Recall) di dalam Negara,” tambah kenyataan itu.

Pemilik kenderaan terlibat yang telah mendapat notifikasi tersebut pula hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menghantar kenderaan mereka ke pusat-pusat servis bertauliah yang telah dilantik bagi mendapatkan khidmat dan alat ganti secara percuma.

Menurut JPJ, tindakan untuk mengabaikan notifikasi tersebut akan meningkatkan risiko keselamatan kerana komponen kenderaan yang sepatutnya diganti itu berkemungkinan tidak dapat berfungsi dengan baik, malah mungkin akan menyebabkan kerosakan kepada komponen lain pula.

Ini seterusnya boleh meningkatkan risiko seperti kenderaan hilang kawalan, kemalangan dan sebagainya.

Kempen product recall ini masih lagi berterusan dengan pihak pengeluar kenderaan masih aktif menghubungi pemilik kenderaan yang terlibat bagi tujuan penukaran alat ganti kenderaan secara percuma.