Arkib Tag: Ioniq 5

Konvoi EV Hyundai Ioniq 5 tamatkan jelajah ASEAN – 3,197km dalam 11 hari

SELEPAS 11 hari dan 3,197km, konvoi Hyundai Ioniq 5 akhirnya berjaya menamatkan jelajah sifar emisi mereka di rantau ASEAN.

Mereka memulakan perjalanan di Singapura, kemudian melalui Malaysia, Thailand, Kemboja, dan tamat di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 30 November 2023.

Ekspedisi ini menjadi jelajah kereta elektrik (EV) dengan paling banyak negara dilalui dalam ASEAN. Malah jarak keseluruhan 3,197km itu juga adalah tambahan 446km dari perkiraan asal.

Jelajah ini bertujuan mempamerkan kebolehan Ioniq 5 untuk perjalanan jarak jauh dan sifat mesra alamnya, terutamanya di rantau EV yang masih ragu-ragu dengan kemampuan EV.

Sebagai tambahan, Hyundai Ioniq 5 juga menunjukkan penjimatan kos, dengan hanya USD116 (RM537.60) setiap untuk keseluruhan perjalanan. Ini secara purata adalah dua kali lebih jimat berbanding perbelanjaan petrol kereta ICE biasa.

Youngtack Lee, Presiden Hyundai Motor ASEAN berkata: “Dedikasi kami dalam menjadikan EV lebih mudah diakses sebagai solusi kenderaan bersih telah berjaya membuat anjakan ke hadapan.

“Dengan kejayaan jelajah Ioniq 5 ini, kami teruja untuk menggiatkan lagi inovasi kami dalam mengembangkan infrastruktur dan ekosistem EV di rantau ini.

“Jelajah ini mungkin telah berakhir, tetapi keterujaan elektrifikasi baru sahaja bermula,” tambahnya.

Konvoi Hyundai Ioniq 5 ini terdiri dari lima kereta, dua daripadanya dikeluarkan di Indonesia dan tiga lagi di Singapura.

Konvoi Hyundai Ioniq 5 mula jelajah ASEAN, perjalanan lebih 2,700km

KONVOI Hyundai Ioniq 5 telah memulakan jelajah ASEAN mereka, dan singgah di Hyundai Ara Damansara hari ini, sebelum meneruskan perjalanan mereka.

Jelajah itu bermula semalam (20 November 2023) dari Hyundai Motor Group Innovation Centre Singapore (HMGICS), sebelum singgah di Malaysia. Selepas sesi flag-off yang dibuat pagi tadi, konvoi itu akan meneruskan perjalanan tiga hari melalui Kuala Lumpur, Ipoh, dan Batu Ferringhi.

Selepas Malaysia, mereka akan memasuki Thailand selama empat hari, dengan hentian di Hat Yai, Chumphon, Wat Phra Boromthat, Klai Kangwon Palace, dan Bangkok.

Dari sana, mereka akan ke Kemboja selama tiga hari, melawati Angkor Wat, Bayon Temple, dan Banteay Srei, sebelum menjelahi Vietnam dan berakhir di bandar Ho Chi Minh pada 30 November.

Konvoi tiga kereta dari HMGICS itu turut disertai oleh dua unit dari Hyundai Motor Manufacturing Indonesia (HMMI). Kereta-kereta ini dipandu oleh 24 peserta mewakili Hyundai, ahli kelab, pempengaruh tempatan dari ASEAN, dan KOL dari Indonesia dan Thailand.

Jelajah sejauh 2,751km ini merupakan inisiatif dari “Go Far with Zero Worries” selain mempamerkan kebolehan perjalanan jauh untuk Ioniq 5 selain sifatnya yang mesra alam.

“Aspirasi kami dari penjelajahan ini bagi menunjukkan kebolehan Ioniq 5, dalam usaha mengurangkan rasa ragu-ragu pengguna dan kerisauan terhadap EV, terutamanya di rantau ini,” kata Youngtack Lee, Presiden Hyundai Motor ASEAN.

“Jelajah ini bukan sahaja menjadi sejarah antara ramai pihak pemegang saham, tetapi juga menzahirkan hubungan lancar dan kerjasama antara sempadan. Perjalanan ini menjadi pemangkin untuk perubahan positif dan inovasi teknologi,” tulis Hyundai dalam satu siaran media.

Hyundai Ioniq 5 N dengan mod Drift dan transmisi 8-kelajuan ‘palsu’

HYUNDAI Ioniq 5 N telah membuat kemunculan rasmi di Goodwood Festival of Speed semalam. Seperti yang anda lihat pada namanya, ini merupakan versi prestasi memandangkan terdapat huruf N.

Ini juga merupakan model N prestasi tinggi pertama yang menggunakan pacuan elektrik dan semestinya bukan yang terakhir. Kita boleh jangkakan lebih banyak model N elektrik menyusul selepas ini.

Baik, apa yang menarik mengenai Hyundai Ioniq 5 N? Ia menampilkan dua motor elektrik dengan output keseluruhan 448kW (600hp) dan 740Nm. Dengan fungsi N Grin Boost, output ditingkatkan kepada 641hp dan 770Nm selama 10 saat.

Pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam masa 3.5 saat (3.4 saat dalam N Grin Boost), dengan kelajuan maksima 260km/j. Ioniq 5 N ini menggunakan bateri berkapasiti 84kWh dengan teknologi 800 volt untuk pengecasan super pantas. 10 ke 80 peratus boleh dicapai dalam masa 18 minit sahaja.

Bateri juga boleh dioptimakan mengikut kegunaan, dimana terdapat mod-mod yang boleh dipilih seperti Drag, Track, N Race, Sprint, N Launch, dan Endurance.

Berbanding Ioniq 5 standard, Hyundai Ioniq 5 N dilengkapi dengan rim lebih besar, suspensi khas sepenuhnya, pakej aerodinamik, dan sistem brek regenerative yang ditala semula.

Bercakap mengenai brek, ia didatangkan dengan cakera 400mm di depan dengan 4-pot dan cakera 360mm bersama 1-pot di belakang. Dengan bahan komposit ringan, ini menjadikan brek pada Ioniq 5 N ini paling berkuasa yang pernah dikeluarkan oleh Hyundai.

Hyundai Ioniq 5 N lebih besar dari model standard, dan mendapat bampar lebih rendah, air curtain, skirt sisi, diffuser belakang, rim 21-inci, dan tayar Pirelli P Zero khas EV.

Satu ciri menarik ialah N Drift Optimizer, dimana ia akan mengawal beberapa sistem kereta untuk menghasilkan drift dan mengekalkan sudutnya. Jika pemandu mahu drift lebih, terdapat fungsi Torque Kick Drift yang meniru tendangan klac seperti biasa dipraktikkan pada kereta pacuan roda-belakang.

Untuk pengalaman pemanduan lebih mandalam, Hyundai memberikan N e-shift dan N Active Sound, dimana kedua-dua ini mensimulasikan kotak gear dwi-klac 8-kelajuan untuk Ioniq 5 N. Sensasi gear ‘palsu’ diberikan dengan sentakan yang dikawal oleh tork dari motor elektrik.

Ioniq 5 N boleh didapati dengan 10 pilihan warna iaitu Abyss Black Pearl, Cyber Gray Metallic, Ecotronic Gray Matte, Ecotronic Gray, Atlas White, Atlas White Matte, Gravity Gold Matte, Soultronic Orange Pearl, N Performance Blue Matte, dan N Performance Blue.

Menurut Hyundai, hot hatch elektrik ini akan mula dijual menjelang tahun depan.

Hyundai Ioniq 5 N bakal mendapat gear palsu, siap dengan bunyi rev limiter

HYUNDAI kini sedang membangunkan versi N untuk model elektrik pertama mereka. Kenderaan yang memenangi banyak anugerah kereta terbaik itu bakal mendapat ‘jajan’ menjadikannya lebih berprestasi tinggi. Ia dikatakan berkongsi komponen dengan Kia EV6 GT.

Disebabkan peminat tegar kereta belum bersedia untuk melupakan jentera sports dengan sensasi enjin sebenar, Hyundai akan menampilkan bunyi tiruan.

Dalam satu temuramah dengan CarExpert, Penasihat Teknikal Eksekutif Hyundai, Albert Biermann berkata idea ini adalah untuk memberikan “sentakan dan gegaran downshift yang sama seperti dalam kereta-kereta N ICE kami”.

Dia menambah, “Ianya akan sangat mirip dengan rasa dan bunyi hot hatch i30 N dengan DCT.”

Berkenaan itu, Ioniq 5 N akan dilengkapi dengan teknologi yang dipanggil Virtual Grin Shift (VGN) yang boleh diaktifkan dengan menekan butang di roda stereng. Pemandu mesti menarik kedua-dua paddle untuk menghidupkan “mod pertukaran gear maya” untuk ‘menukar gear’.

VGN disokong oleh N Sound Plus yang akan memberikan bunyi-bunyi yang biasa kita dengar pada kereta berenjin petrol. Kemaskini over-the-air akan datang pula bakal memasukkan bunyi-bunyi tambahan, malah pemilik juga boleh menambah bunyi mereka sendiri.

Hyundai dilaporkan sedang memperhalusi bunyi-bunyi ini, termasuklah bunyi bila meter rpm menendang redline.

Satu lagi teknologi yang bakal diperkenalkan ialah mod drift dengan penghantaran kuasa lebih ke roda belakang. Mereka juga merancang untuk fungsi brek lebih kuat bagi sistem regenerative braking.

Untuk spesifikasi, kita boleh menjangkakan setup dua motor, yang mana Albert mendedahkan bakal memberikan Ioniq 5 N sekitar 600hp. Tiada maklumat mengenai tork, tetapi EV6 GT mempunyai 740Nm.

Gambar oleh: Motor1

Hyundai Ioniq 5 rangkul anugerah World Car of the Year 2022

HYUNDAI Ioniq 5 menang besar dalam World Car Awards tahun ini. Hatchback elektrik (EV) itu menjadi juara keseluruhan World Car of the Year 2022, dan turut menang dua anugerah lain.

Ioniq 5 mengalahkan dua finalis lain iaitu Ford Mustang Mach-E dan Kia EV6, yang juga berkongsi platform dengan Hyundai itu.

Ioniq 5 turut memenangi anugerah World Electric Vehicle of the Year 2022. Dua lagi finalis lain dalam kategori ini adalah Audi E-Tron GT dan Mercedes-Benz EQS, kedua-duanya jauh lebih mahal dari Ioniq 5!

Satu lagi anugerah yang dimenangi crossover EV ini ialah World Car Design of the Year 2022.

Hyundai Ioniq 5 ditawarkan di Malaysia dalam tiga varian dengan harga seperti berikut:

Ioniq 5 Lite: RM199,888 (58.2kW)
Ioniq 5 Plus: RM229,888 (58.2kWh)
Ioniq Max: RM259,888 (72.6kWh)

Harga di atas adalah termasuk jaminan kenderaan 2-tahun atau 50,000km dan jaminan bateri EV untuk 8-tahun atau 160,000km (yang mana dahulu).

Bergantung kepada varian, Hyundai Ioniq 5 hadir dengan dua pilihan pakej bateri iaitu 58kWh (untuk Lite dan Plus) dan 72.6kWh (untuk Max).

Varian dengan 58kWh mendapat satu motor di gandar belakang berkuasa 170PS (125kW) dan 350Nm, menjadikannya sebuah kenderaan rear-wheel drive.

Powertrain ini cukup untuk membantu Ioniq 5 memecut dari pegun ke 100km/j dalam 8.5 saat dan memberikan jarak pemanduan 384km (mengikut kitaran WLTP).

Sementara itu, varian Max yang lebih berkuasa dibekalkan dengan pek bateri 72.6kWh yang menghasilkan 305PS (225kW) dan 605Nm, dan ia mampu mencapai 100km/j dalam hanya 5.2 saat.

Varian ini dilengkapi dua motor elektrik (satu di depan dan satu di belakang) menjadikannya all-wheel drive. Jarak pemanduan pula ialah sehingga 430km untuk setiap caj penuh.

Kelajuan maksima untuk kesemua varian adalah 185km/j.

Hyundai Ioniq 5 mendarat di Malaysia, crossover elektrik dengan kuasa hingga 305PS, harga dari RM199,888

SATU lagi kenderaan elektrik (EV) dilancarkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini, iaitu Ioniq 5.

Crossover yang telah memenangi banyak anugerah antarabangsa itu ditawarkan di Malaysia dalam tiga varian dengan harga seperti berikut:

Ioniq 5 Lite: RM199,888 (58.2kW)
Ioniq 5 Plus: RM229,888 (58.2kWh)
Ioniq Max: RM259,888 (72.6kWh)

Macam pernah dengar nama-nama varian ini? Ya, selain seperti iPhone, penamaan varian ini juga sama seperti Hyundai Kona EV yang dilancarkan beberapa bulan lepas.

Harga di atas adalah termasuk jaminan kenderaan 2-tahun atau 50,000km dan jaminan bateri EV untuk 8-tahun atau 160,000km (yang mana dahulu).

Bergantung kepada varian, Hyundai Ioniq 5 hadir dengan dua pilihan pakej bateri iaitu 58kWh (untuk Lite dan Plus) dan 72.6kWh (untuk Max).

Varian dengan 58kWh mendapat satu motor di gandar belakang berkuasa 170PS (125kW) dan 350Nm, menjadikannya sebuah kenderaan rear-wheel drive.

Powertrain ini cukup untuk membantu Ioniq 5 memecut dari pegun ke 100km/j dalam 8.5 saat dan memberikan jarak pemanduan 384km (mengikut kitaran WLTP).

Sementara itu, varian Max yang lebih berkuasa dibekalkan dengan pek bateri 72.6kWh yang menghasilkan 305PS (225kW) dan 605Nm, dan ia mampu mencapai 100km/j dalam hanya 5.2 saat.

Varian ini dilengkapi dua motor elektrik (satu di depan dan satu di belakang) menjadikannya all-wheel drive. Jarak pemanduan pula ialah sehingga 430km untuk setiap caj penuh.

Kelajuan maksima untuk kesemua varian adalah 185km/j.

Bercerita mengenai pengecasan, Hyundai Ioniq 5 boleh dicaj dengan pengecaj pantas DC 350kW yang mampu mencapai tahap bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 18 minit.

Untuk pengecaj AC biasa seperti di rumah pula, masa diambil adalah sekitar lima jam untuk 58kWh dan enam jam untuk 72.6kWh.

Hyundai Ioniq 5 dibina di atas platform E-GMP (Electric-Global Modular Platform) yang khas untuk kenderaan-kenderaan EV Hyundai.

Walaupun nampak seperti sebuah hatchback VW Golf dalam gambar, ia sebenarnya agak besar di depan mata.

Ioniq mempunyai panjang 4,635mm, lebar 1,890mm dan jarak roda 2,828mm iaitu 3mm lebih panjag dari jarak roda Toyota Camry.

SUV elektrik ini didatangkan dengan rim 20-inci untuk Max manakala 19-inci untuk Lite dan Plus.

Dari segi ruang kargo pula, Ioniq 5 mempunyai kapasiti sekitar 527 liter dan boleh diperbesarkan sehingga 1,587 liter. Ia juga mempunyai satu lagi ruang simpanan di depan bersaiz 54 liter.

Untuk kabin, menurut Hyundai, Ioniq 5 menggunakan bahan-bahan yang boleh diperolehi secara mapan, yang juga telah melalui proses-proses mesra alam.

Kelengkapan lain pada Ioniq 5 termasuklah pakej keselamatan Hyundai SmartSense, lampu LED, tempat duduk kulit berkuasa, dan sistem audio Bose dengan tujuh pembesar suara.

Apa pendapat anda dengan EV terbaharu Hyundai ini? Pemilikan kenderaan elektrik semakin realistik?

Hyundai Ioniq 5 laku keras di Australia, hanya dua jam habis terjual

KERETA elektrik pertama Hyundai, Ioniq 5 bak pisang goreng panas apabila kesemua stok dibawa masuk ke pasaran Australia habis terjual dalam tempoh dua jam sahaja.

Memetik laporan Car Expert, Hyundai bakal membawa masuk lebih 400 unit Ioniq 5 bagi tahun ini.

Namun, untuk tempoh permulaan hanya 240 unit dibawa masuk terlebih dahulu ke pasaran negara itu.

Terdapat dua jenis varian ditawarkan iaitu versi motor tunggal pacuan roda belakang 218 PS dan dua motor pacuan semua roda berkuasa 306 PS.

Kedua-dua varian ini didatangkan dengan pek bateri lithium ion berkapasiti 7.6 kWj.

Memetik kenyataan Hyundai, setakat ini lebih daripada 70 pelanggan telah membuat pembayaran deposit bagi mendaatkan Ioniq 5.

Pengguna hanya perlu mengecaj selama lima minit untuk mencapai jarak perbatuan 100 kilometer. – Foto ihsan Hyundai

Kelebihan Ioniq 5

Hyundai Ioniq 5 dapat menampung sekitar 400-volt dan 800-volt.

Secara tidak langsung, ia membolehkan baterinya dicaj semula dari 10 peratus sehingga 80% hanya dalam masa 18 minit!

Namun, untuk mencapai tahap pengecasan seperti itu, pengguna perlu menggunakan pengecasan pantas DC 350 kW.

Bagi model pacuan empat roda pula, ia mampu memucut dari 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat.

Versi pacuan roda belakang bersama bateri 72.6 kWj pula mampu bergerak antara 470 kilometer sehingga 480 kilometer hanya dengan sekali caj penuh.

Varian pacuan roda belakang dijual pada harga AUD$71,900 atau RM219,532 sementara varian semua roda ditawarkan pada harga AUD$75,900 (RM231,746).

Ruangan dalaman yang cukup selesa dan eksklusif. – Foto ihsan Hyundai

Masalah bekalan cip

Hyundai tidak menafikan syarikat itu turut terkesan dengan masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor.

Justeru, baki 160 unit Ioniq 5 dijangka hanya dapat dibawa masuk ke pasaran Australia selewat-lewatnta awal tahun depan.

Justeru, Hyundai memohon para pelanggan bersabar dan memahami masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor dihadapi kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan dunia.