Arkib Tag: Hyundai N

Hyundai Ioniq 5 N NPX1 tampil lebih garang dengan komponen karbon

ACARA Tokyo Auto Salon 2024 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan Hyundai membawa sebuah kereta konsep yang dikenali sebagai Ioniq 5 N NPX1.

Model ini menggunakan Ioniq 5 N yang diperkenalkan pada tahun lalu sebagai asas namun apa yang lebih menarik, ia juga tampil dengan pelbagai kelengkapan daripada katalog N Performance Parts.

Ini kerana seperti model-model ICE seperti Elantra N, 130 N dan i20 N, divisyen Hyundai N merancang untuk menawarkan komponen talaan khas untuk model-model elektrik N seperti Ioniq 5 N.

Menurut Hyundai, komponen-komponen N ini akan ditawarkan kepada pasaran dalam masa terdekat. Ia termasuk komponen-komponen aerodinamik seperti splitter hadapan, skirt sisi, diffuser belakang dan spoiler yang diperbuat daripada karbon.

Bukan itu sahaja, Ioniq 5 N NPX1 turut menggayakan rim karbon hibrid ringan, pad brek berprestasi tinggi dengan angkup berwarna biru muda dan juga set gegelung yang lebih rendah.

Gambar ruang kabin tidak didedahkan namun menurut syarikat itu, ia telah dipertingkatkan menerusi penggunaan material Alcantara dan kerusi bucket.

Tidak pasti sama ada model konsep NPX1 ini telah diberikan naik taraf prestasi namun berkemungkinan besar ia kekal dengan trenkuasa standard iaitu sepasang motor elektrik yang menjana 609 PS dan 740 Nm.

Dengan fungsi N Grin Boost, yang meningkatkan kuasa kepada 650 PS dan 770 Nm selama 10 saat, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.4 saat. Tanpa NGB, masa pecutan tersebut bertambah sebanyak 0.1 saat.

Hyundai Elantra N 2024 nampak lebih garang tapi…

SEDAN berprestasi tinggi dari Korea iaitu Hyundai Elantra N telah dikemas kini untuk model tahun 2024.

Menurut Hyundai, penambahbaikan ini adalah hasil dari penglibatan mereka dalam sukan permotoran bagi menjadikan model itu lebih mantap di litar lumba.

Rekaan berinspirasikan ‘motorsport’

Elantra N kini tampil dengan lampu projektor LED yang lebih langsing dan rekaan gril depan baharu dengan jalur merah dan lubang air intake yang lebih besar.

Logo ‘H’ pada bahagian atas bampar kini berwarna hitam, manakala rim aloi tempaan baharu berukuran 19 inci menyumbang kepada pengurangan berat sebanyak 14.9 kg.

Pengendalian ditala semula

Untuk casis, Hyundai menggunakan membran tapak enjin yang diperkuatkan untuk mengurangkan gegaran, G-bushing baharu untuk kawalan stereng yang lebih tepat dan penebat S/ABS baharu pada suspensi belakang untuk redaman yang lebih baik.

Selain itu, suspensi kawalan elektrok (ECS) mendapat kemas kini perisian khusus untuk penambahbaikan ini. Stereng pula dikatakan dapat memberikan maklum balas yang lebih tepat.

Apa yang menarik, Hyundai turut menaikkan tekanan tayar hadapan dan belakang untuk menampung beban yang lebih tinggi pada gandar hadapan sambil mengekalkan keseimbangan pengendalian.

Lebih banyak udara untuk penyejukan

Elantra N menerima sistem penyejukan yang lebih baik tanpa menjejaskan kecekapan aerodinamik. Untuk penyejukan maksimum, terdapat air guard yang akan mengalirkan udara secara lebih efisien ke radiator dan air guide pada bampar hadapan yang ditugaskan untuk menyejukkan brek.

Bukan itu sahaja, sistem brek juga diktambah baik dengan perisian Electronic Stability Control (ESC) baharu dan elemen perlindungan termal pada jalur brek hadapan.

Ruang dalaman yang familiar

Kabin Elantra N mengekalkan elemen-elemen N seperti yang dilihat sebelum ini iaitu jahitan kontras biru pada gear, stereng dan tempat duduk, butang-butang Mode N berwarna biru pada stereng dan kerusi sport.

Selain itu, terdapat juga paparan skrin berkembar (masing-masing berukuran 10.3 inci) yang mempunyai paparan yang spesifik kepada model-model N.

Tiada kuasa tambahan untuk enjin

Elantra N baharu masih dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 276 hp dan 392 Nm. Pelanggan boleh memilih untuk mendapat transmisi manual enam kelajuan atau klac berkembar (DCT) lapan kelajuan.

Melihat kepada angka prestasi untuk model terdahulu, Elantra N dengan transmisi DCT mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.3 saat.

Hyundai N Vision 74 – kereta konsep sel bahan api hidrogen dengan 680 PS, 900 Nm

SEJAK diperkenalkan beberapa tahun yang lalu, Hyundai N telah memperkenalkan beberapa model produksi dan konsep yang amat mengujakan. Apa yang anda lihat ini adalah tambahan terbaharu kepada koleksi kereta konsep divisyen tersebut yang dikenali sebagai N Vision 74.

Diperkenalkan pada acara N Day 2022 pada Julai lalu, rekaannya diinspirasikan oleh kereta konsep Pony Coupe yang direka oleh Giorgetto Giugiaro pada 1974.

Kereta konsep rekaan pereka bertaraf lagenda itu tidak pernah menjadi realiti namun ia terus ‘hidup’ menerusi beberapa elemen reka bentuknya yang dibawa ke N Vision 74 seperti profil sisi dan tiang B. Rekaan lampu Parametric Pixel pula memberikan suntikan retro futuristik seperti IONIQ 5 dan IONIQ 6.

Kereta konsep ini mempunyai ukuran dimensi 4,952 mm panjang, 1995 mm lebar dan 1,331 mm tinggi, manakala ukuran tapak rodanya pula adalah 2,905 mm.

Seperti kereta konsep Hyundai N 2025 Vision Gran Turismo yang diperkenalkan pada 2015, N Vision 74 menampilkan trenkuasa hidrogen hibrid yang menggabungkan sistem pacuan bateri-elektrik dan sel bahan api hidrogen.

Menurut Hyundai, penggunaan trenkuasa ini membolehkan kereta ini memanfaatkan sistem penyejukan yang efisien, serta menggunakan dua sumber kuasa berbeza (sel bahan api hidrogen dan elektrik), bergantung kepada keadaan.

Dengan tangki hidrogen berkapasiti 4.2 kg yang boleh diisi semula dalam hanya lima minit dan pek bateri 62.4 kWj yang menyokong pengecasan pantas 800 V, N Vision 74 dikatakan boleh dipandu sejauh 600 km. Untuk angka prestasi pula, gabungan ini menjana 680 PS dan 900 Nm yang membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Kemungkinan untuk N Vision 74 memasuki fasa produksi adalah sangat rendah, namun seperti kereta-kereta konsep “rolling labs” sebelum ini seperti RM14, RM15, RM16, RM19 serta RM20e yang diperkenalkan dua tahun lalu, Hyundai mungkin akan menggunakan teknologi yang ada untuk kereta produksinya pada masa depan.