Arkib Tag: HSDM

Hyundai Creta dilancarkan di Malaysia – RM149,888

PESAING terbaru dalam pasaran SUV segmen B iaitu Hyundai Creta telah pun dilancarkan di Malaysia oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) selaku pengedar rasmi jenama itu.

Untuk pasaran tempatan, Creta ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu Plus, dengan harga bermula dari RM149,888. Apa yang menarik, 150 pembeli pertama akan mendapat pakej waranti lanjutan selama 5 tahun/300,000 km dan pakej servis percuma selama 3 tahun/50,000 km.

Saiz Creta sedikit lebih besar jika dibandingkan dengan satu lagi SUV segmen B dalam barisan HSDM iaitu Kona. Ia mempunyai ukuran panjang 4,315 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,630 mm dan tapak roda 2,610 mm.

Model ini menampilkan ‘wajah’ Parametric Jewel seperti Tucson, di mana lampu nyalaan siang LED digabungkan dengan gril. Lampu projektor LED pula diletakkan pada bahagian kiri dan kanan bampar.

 

Varian Plus didatangkan dengan rim 17 inci, serta lima pilihan warna iaitu Dragon Red Pearl, Galaxy Blue Pearl, Titan Grey Metallic, Midnight Black Pearl dan Creamy White Pearl.

Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri fabrik serba hitam pada tempat duduk dan kemasan kulit pada stereng dan tombol gear.

Kelengkapan yang disertakan termasuklah kluster instrumen TFT LCD berukuran 10.25 inci, skrin sentuh sistem infohibur 8 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, ciri pengecaman suara, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, Keyless Entry dan brek parkir elektronik dengan Auto Hold.

Creta menampilkan ruang but sebesar 416 liter, atau 1,384 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

Untuk trenkuasa pula, ia hadir dengan enjin petrol Smartstream G 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 115 PS pada 6,300 rpm dan 144 Nm tork pada 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan Intelligent Variable Transmission (IVT) yang memacu roda hadapan.

Pemandu boleh memilih daripada empat mod pemanduan yang disediakan (Eco, Normal, Sport dan Smart) dengan menggunakan tombol pada konsol tengah.

Dari segi keselamatan, Creta mempunyai enam beg udara serta sistem Hyundai SmartSense yang merangkumi Forward and Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Leading Vehicle Departure Alert, Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist, Safe Exit Warning dan High Beam Assist.

Hyundai Staria 10 tempat duduk akan dilancarkan di Malaysia suku keempat 2022

HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan bahawa ia akan melancarkan Hyundai Staria versi 10 tempat duduk pada suku keempat tahun ini.

MPV dengan rekaan ala kapal angkasa lepas itu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max, dengan harga jualan yang dijangka bermula dari RM17X,XXX.

Ia kini sudah boleh ditempah di mana-mana bilik pameran Hyundai atau secara dalam talian menerusi platform Cl!ck to Buy dengan yuran tempahan sebanyak RM1,000.

Untuk perbandingan, varian tujuh tempat duduk boleh didapati dalam satu varian sahaja iaitu Premium dan dijual pada harga bermula dari RM358,888.

Menurut Low Yuan Lung, Pengarah Urusan HSDM, Staria 10 tempat duduk merupakan model MPV yang ditunggu-tunggu selepas pengenalan varian tujuh tempat duduk pada Oktober tahun lalu.

“Kami mendapat pertanyaan mengenai varian 10 tempat duduk kerana terdapat jangkaan bahawa ia akan menggantikan Starex. Seperti Starex, varian ini sesuai untuk keluarga besar, pengendali pelancongan dan perniagaan namun dengan lebih banyak peningkatan dan kefungsian dalam setiap aspek berbanding Starex,” kata beliau.

Secara umumnya, Staria 10 tempat duduk ini tidak ubah seperti varian tujuh tempat duduk cuma ia mempunyai empat barisan tempat duduk yang dibentangkan dalam konfigurasi 2-3-2-3.

Barisan belakang boleh dilipat rata sepenuhnya (full-flat), menjadikan model ini sesuai untuk aktiviti-aktiviti yang memerlukan banyak ruang dan fleksibiliti seperti perkhemahan, serta untuk mengangkut barangan.

Selain itu, ia juga dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.2-liter CRDi yang menghasilkan 177 PS dan 431 Nm. Kuasa disalurkan ke roda depan menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.