Arkib Tag: honda hr-v

Honda HR-V 2025 facelift rasmi dilancarkan – dari RM116 ribu

Honda Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV segmen B terlaris mereka yang telah dikemas kini, iaitu Honda HR-V 2025.

Versi facelift ini membawakan pembaharuan dari segi kosmetik bagi menjadikannya lebih menyerlah berbanding model pesaing seperti Proton X50 dan Chery Tiggo Cross.

Berikut merupakan perincian ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Rupa luaran

Apa yang berubah pada HR-V facelift ini ialah jeriji yang lebih besar dan lebar, lampu hadapan kini dengan fungsi bantuan membelok aktif, serta rim aloi 18 inci.

Untuk bahagian belakang, unit lampu utama kini dengan grafik yang lebih kemas, diikuti dengan bar LED melintang penuh.

 

2. Perubahan pada ruang kabin

Susun atur papan pemuka tidak banyak yang berubah, melainkan kehadiran ruang simpanan baru pada bahagian bawah tombol kawalan pendingin hawa.

Perubahan ini menjadikan papan pemuka HR-V facelift ini tampak lebih seimbang.

Selain itu, skrin paparan tengah lapan inci kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta slot pengecasan tanpa wayar Qi.

 

3. Pilihan enjin

Sama seperti penawaran terdahulu, Honda HR-V facelift masih lagi ditawarkan dengan tiga pilihan enjin.

Versi asas S didatangkan dengan enjin aspirasi semula jadi 1.5 liter berkuasa 121 PS dan 145 Nm, sementara varian E dan V pula dikuasakan oleh enjin turbo VTEC 1.5 liter berkuasa 181 PS dan 240 Nm.

Varian hibrid pula mendapat enjin 1.5 liter kitaran Atkinson (107 PS/131 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik 131 PS/253 Nm, dipadankan dengan transmisi e-CVT.

 

4. Keselamatan

Secara standard, semua varian Honda HR-V kini mendapat kelengkapan keselamatan Honda Sensing, merangkumi fungsi berikut:
Amaran Penukaran Lorong (LDW)
Pengelakan Keluar Lorong (RDM)
Sistem Pengekalan Lorong (LKA)
Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
Sistem Brek Pengelakan Pelanggaran (CMBS)
Bantuan Suluhan Tinggi
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Bantuan Mengikut Kelajuan Rendah (LSF)
Sistem Peringatan Pergerakan Kenderaan Hadapan

Ciri lain termasuklah Honda LaneWatch, kamera undur dengan pelbagai tetapan sudut, peringatan tali pinggang keledar dan cagak ISOFIX.

 

5. Pakej aksesori

Terdapat pakej aksesori Modulo yang ditawarkan untuk Honda HR-V, merangkumi spoiler depan, kemasan sisi, spoiler bawah belakang, serta emblem hitam.

Pembeli juga boleh mendapatkan Urban RS Package, Smart Urban Package, Utility Package dan juga Protection Package.

 

6. Harga

Harga jualan Honda HR-V adalah seperti berikut:

HR-V S – RM115,900
HR-V E – RM130,900
HR-V V – RM137,900
HR-V e:HEV RS – RM143,900

Chery Omoda E5 mula mendarat di Malaysia, pra-tonton tidak lama lagi

CHERY Malaysia mengumumkan kumpulan pertama Omoda E5 telah mula tiba di Pelabuhan Klang dan sesi pra-tonton media akan diadakan tidak lama lagi, sebelum pelancaran rasmi.

Bagi yang belum tahu, Omoda E5 ialah versi elektrik (EV) bagi Omoda 5 yang diperkenalkan sebelum ini. Kami juga telah memandu uji SUV pesaing Toyota Corolla Cross, Proton X50, dan Honda HR-V ini, anda boleh tonton video penuh di sini.

Dalam laporan sebelum ini, kami melaporkan Omoda E5 akan dilancarkan di Malaysia pada April 2024 nanti.

Omoda E5 dibekalkan dengan bateri 61kWh yang mampu menghasilkan 221hp (165kW). Ia mampu memecut ke 100 dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa SUV ini mempunyai kecekapan 15kWh per 100km.

Jarak pemanduan maksima ialah sehingga 450km, dan jika dicas menggunakan DC, 80 peratus boleh dicapai dalam masa 35 minit.

Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.

Chery Malaysia mengumumkan model ini akan ditawarkan dengan tujuh pilihan warna badan dengan tiga warna dalaman.

Omoda E5 di Malaysia akan dilengkapi dengan sistem ADAS yang merangkumi 16 fungsi, antaranya Blind Spot Monitoring, Autonomous Emergency Braking, dan Rear Cross Traffic Alert.

Chery Omoda 5 sebelum ini dilancarkan pada harga bermula RM108,000 hingga RM118,000. Pada firasat anda, berapa agaknya harga bagi model EV ini? Boleh lebih murah dari Hyundai Kona Electric?

Honda e:Ny1 ialah EV dengan rupa seperti HR-V, jarak pemanduan 412km

HONDA baru melancarkan kenderaan elektrik (EV) kedua mereka di Eropah dengan satu nama yang agak sukar disebut, e:Ny1.

Lebih baik Honda panggil sahaja HR-V EV kerana memang nampak seperti crossover itu, tetapi mereka berkata ianya kereta yang berlainan sama sekali. Jika anda peka dengan pasaran EV China, anda perasan bahawa e:Ny1 mirip dengan e:NS1 dan e:NP1 yang dijual di sana.

Selain bab nama, e:Ny1 menjadi alternatif kepada Honda e yang merupakan kereta EV bandar. e:Ny1 juga bakal mempunyai sasaran pelanggan lebih besar memandangkan ia berada dalam segmen yang kompetitif.

EV ini dibina pada pelantar e:N Architecture F dengan pacuan motor di depan. Ia dibekalkan dengan pek bateri lithium-ion 68.8kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 412km (menurut kitaran WLTP).

Honda berkata dengan menggunakan pengecas pantas DC, e:Ny1 mampu dicas dari 10 ke 80 peratus dalam hanya 45 minit.

Bateri ini dihubungkan kepada unit pacuan berintegrasi, motor elektrik, dan kotak gear yang memberikan 201hp dan 310Nm tork.

Honda juga berkata e:Ny1 dibangunkan dari casis baharu khas untuk kenderaan EV yang mempunyai tahap ketegaran yang tinggi. Digabungkan dengan pelantar dan janaan kuasa baharu ini, casis ini dikatakan mampu memberi pemanduan dinamik yang menjadi identiti Honda; responsif dan selesa.

Tidak banyak yang dapat dikatakan untuk aspek penggayaan. e:Ny1 nampak sangat mirip dengan HR-V yang berkuasa petrol. Sedikit perbezaan termasuklah lencana H putih di beberapa bahagian kenderaan, dan tulisan “HONDA” di pintu but belakang.

Perkara utama di bahagian dalam adalah konsol tengah baharu dengan butang fizikal, beberapa pilihan ruang simpanan, pengecas tanpa-wayar, dan skrin sesentuh besar bersaiz 15.1-inci.

Honda e:Ny1 akan tiba di Eropah dalam masa terdekat, harga dikatakan bermula sekitar GBP30,000 (RM166,685) di UK. Ini meletakkan Honda e:Ny1 dalam persaingan bersama Peugeot e-2008, Jeep Avenger, Hyundai Kona Electric, dan Kia Niro EV.