Arkib Tag: HEV

KLIMS2026: Proton pamer enjin hibrid 1.5 liter, kuasa 110 hp/136 Nm

Bertempat di acara KLIMS 2026, Proton turut mengambil kesempatan mempamerkan teknologi HEV yang bakal muncul pada masa akan datang.

Sistem hibrid ini menggabungkan kecekapan enjin hibrid (DHE) dengan keupayaan responsif transmisi hibrid (DHT) untuk pemanduan bandar yang lebih senyap dan lancar.

Nadi 1.5 liter cekap tenaga

Sistem ini dipacu oleh enjin 1.5 liter kitaran Atkinson yang mampu mencapai piawaian China 6b/Euro 6d, dengan kadar kecekapan terma puncak sehingga 46.5 peratus.

Enjin ini mampu menjana kuasa 110 hp dan daya kilas 136 Nm.

Ia serasi dengan bahan api RON95, selain turut hadir dengan teknologi sejukan cecair EGR, serta pam penyejukan elektrik pintar untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan emisi.

Sistem transmisi DHT pula dilengkapi dengan dua motor elektrik:

  • P1 – menyokong proses menghidupkan enjin dan penjanaan kuasa
  • P3 – motor pacuan utama dan membantu pemulihan tenaga semasa nyahpecutan

Digabungkan dengan Modul Kawalan Kuasa (PCM), sistem ini direka untuk memberikan pengurusan kuasa yang responsif, cekap dan pintar untuk keperluan pemanduan harian.

Sistem HEV ini turut menawarkan mod pemanduan sifar emisi (EV Mode) membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik.

Selain EV Mode, sistem ini menawarkan pilihan seperti:

  • Series Mode
  • Parallel Mode
  • Direct Drive (ICE Mode)

Ke arah mobiliti pintar

Dato’ Ir. Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton menjelaskan teknologi ini mewakili satu langkah penting dalam perjalanan jenama tersebut ke arah mobiliti pintar.

“Di KLIMS 2026, kami mahu pengunjung merasai sendiri bagaimana teknologi kami bukan sahaja maju, tapi dibangunkan berdasarkan keadaan pemanduan sebenar rakyat Malaysia.

Melengkapi pameran teknologi HEV ialah pameran zon mobiliti yang merangkumi:

  • sistem bantuan pemandu termaju (ADAS)
  • enjin i-GT
  • senibina elektrik & elektronik (EEA)
  • konsep kokpit kenderaan modular
  • kokpit pintar IHU
  • barisan model lengkap termasuk Saga, S70, X50, X70 dan X90

Auto China 2026: Jaecoo J5 dengan sistem hibrid SHS-H, bakal masuk Malaysia?

Turut mencuri tumpuan kami ketika di Beijing Auto Show 2026 ialah SUV segmen B Jaecoo J5 dalam versi SHS-H.

Untuk info, SHS-H ini merujuk kepada Super Hybrid System yang tidak memerlukan pengecasan seperti versi plug-in hybrid (PHEV).

Unit rangkaian kuasa

Sistem SHS-H ini terdiri daripada enjin 1.5 liter yang dipadankan dengan motor elektrik dan bateri 1.83 kWh.

Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa 221 hp dan 295 Nm dengan jarak pandu mencecah sehingga 950 km.

Kelengkapan luar dan dalam

Dari segi penampilan, tidak banyak beza antara model J5 SHS-H ini jika dibandingkan dengan J5 biasa.

Ia masih lagi mengekalkan penampilan gaya Range Rover, dipadankan dengan rim 18 inci aerodinamik.

Kelengkapan kabin juga dilihat sama dengan apa yang ditawarkan pada model J5 ICE, seperti skrin LCD dan skrin infohibur menegak.

Masuk Malaysia?

Kami difahamkan pihak Omoda | Jaecoo Malaysia merancang untuk membawa masuk model ini sebagai pelengkap kepada penawaran J5 sedia ada.

Lebih banyak info bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung tahun ini.

Auto China 2026: Omoda C4 sah bakal masuk Malaysia

Bertempat di Beijing Auto Show 2026, Omoda | Jaecoo memperlihatkan model SUV segmen B baharu Omoda 04 versi produksi sebenar.

Ia dijangka akan memasuki pasaran Malaysia sebagai Omoda C4 dan diposisikan di bawah model C9.

Pilihan rangkaian kuasa

Terdapat sehingga tiga varian rangkaian kuasa yang ditawarkan untuk model Omoda C4.

Versi asas dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter turbo yang sama wujud pada model Tiggo Cross, menghasilkan kuasa 156 PS dan 210 Nm.

Terdapat juga Omoda C4 versi hibrid SHS-H, merujuk kepada sistem hibrid pengecasan kendiri.

Pada model Chery Tiggo Cross Hybrid, tetapan ini terdiri daripada:

  • enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson 102 PS/125 Nm
  • dua motor elektrik 204 PS/310 Nm
  • transmisi Direct Hybrid (DHT)
  • pek bateri LFP 1.8 kWh

Akhir sekali, varian elektrik (BEV) yang dipamerkan dalam satu majlis yang diadakan berasingan.

Tidak banyak info diketahui tentang model ini, besar kemungkinan ia akan menggunakan tetapan sama seperti Omoda E5.

Ciri luaran

SUV Omoda C4 ini membawakan penampilan yang cukup agresif, dan sememangnya direka untuk golongan muda.

Antara ciri luaran termasuklah:

  • lampu utama jenis terpisah
  • lampu DRL gaya kuku binatang
  • plastik pelindung bersegi pada gerbang roda
  • lampu belakang dengan grafik kilat

Omoda C4 versi standard hadir dengan rim sporti saiz 18 inci.

Sementara C4 versi HEV dan EV pula dibekalkan dengan rim 18 inci yang lebih aerodinamik.

Kelengkapan kabin

Elemen sporti turut diterapkan pada ruang kabin untuk menjadikannya lebih sesuai dengan jiwa muda.

Antara kelengkapan yang boleh dilihat termasuklah:

  • roda stereng tiga jejari
  • skrin infohibur menegak
  • skrin kluster digital berwarna penuh
  • konsol tengah yang tinggi lengkap dengan tempat meletak cawan
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • butang suis mula gaya Lamborghini

Ciri butang suis tersebut walau bagaimanapun tidak ditawarkan pada model C4 EV.

Omoda C4

Omoda C4 SHS-H

Omoda C4 EV

Lexus LBX adalah sepasang ‘kasut’ kasual yang sesuai dipakai hujung minggu – Pandu Uji

Siapa sangka, crossover cilik lincah berlencanakan Lexus ini datangnya daripada permintaan orang kuat Toyota itu sendiri, iaitu Akio Toyoda.

Ketika awal pembangunan, Akio atau lebih dikenali dengan nama Morizo meminta pasukan R&D untuk menghasilkan sebuah kereta kasual yang boleh dipandu pada hujung minggu persis kasut kegemaran.

Hasilnya, sebuah crossover saiz kompak mewah dengan penampilan menarik dan seronok untuk dipandu – Lexus Breakthrough Cross(X)- over atau LBX.

Lexus LBX merupakan kereta produksi yang paling kecil pernah dihasilkan oleh Lexus dan diposisikan di bawah Lexus UX.

Walaupun dibina berdasarkan platform GA-B yang menjadi tunjang untuk model Yaris Cross pasaran Eropah, LBX bukanlah sekadar sebuah produk kejuruteraan tukar lencana semata-mata.

 

Rekaan

Berbanding Yaris Cross spesifikasi Eropah, LBX mempunyai penampilan yang lebih gagah.

Ia disumbangkan oleh rekaan gerbang roda yang lebih bulat, fender yang lebih lebar dan menonjol, serta saiz tayar yang lebih besar.

Malah, garis bahu LBX lebih rendah jika dibandingkan dengan Yaris Cross, mewujudkan penampilan seakan orang salji dua-bebola dari sudut pandang depan, sisi dan belakang.

Masahiro Sasaki, seorang pelumba yang turut merangkap pemandu uji Toyota menjelaskan rekaan sebegini menampakkan LBX lebih seimbang dan mempunyai titik graviti yang lebih rendah.

Disebabkan itu, penampilan LBX nampak gagah walaupun hanya duduk diam di tempat parkir, apatah lagi apabila dipandu di atas jalan raya.

 

Ruang kabin

Bagi penulis, Lexus LBX lebih sesuai disifatkan sebagai sebuah kereta kasual untuk dipandu pada hujung minggu tanpa mengorbankan aspek praktikaliti.

Ya, ruang penumpang belakang mungkin nampak kecil, dan ianya lebih sesuai digunakan oleh kanak-kanak atau orang dewasa bersaiz kerdil.

Ruang kargo? Adalah dalam 315 liter untuk memuatkan barangan dapur. Atau lipat sahaja kerusi baris kedua, dan anda akan dapat ruang barangan sebesar 992 liter.

Fokus Lexus nampaknya lebih tertumpu kepada konsep Tazuna terutama untuk bahagian kokpit pemandu.

Tidak banyak butang fungsi fizikal disediakan, hanya fungsi-fungsi penting sahaja dikekalkan.

Tujuannya? Untuk memastikan tumpuan pemandu kekal fokus di atas jalan raya.

Butang kawalan pada stereng pula nampak macam kosong tanpa sebarang fungsi, tapi sebenarnya anda boleh tetapkan butang fungsi pintas untuk beberapa operasi dengan mudah.

Cuma, anda kena perhati pada skrin paparan head-up untuk melihat operasi apa yang akan diaktif atau nyahaktif seperti naik atau turunkan kelajuan tiupan angin, atau menukar alunan muzik yang sedang dimainkan.

Untuk permulaan, mungkin agak sukar untuk membiasakan diri, namun lama kelamaan penulis lebih suka cara ini yang dapat meminimumkan pergerakan mata semasa sedang memandu.

Selain itu, Lexus LBX menawarkan tempat duduk yang cukup empuk, selesa dan memegang erat pemandu – ciri yang sukar didapati pada mana-mana kereta dalam segmen serupa.

Skrin tengah 9.8 inci itu memaparkan menu yang mudah untuk diakses, selain menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Skrin kluster digital 12.3 inci itu juga amat menyenangkan mata pemandu, paling penting masih lagi wujud tema meter analog!

Butang pandu mula juga diposisikan agak tinggi bersebelahan dengan meter kluster yang amat mudah dilihat dan dicapai oleh pemandu.

Secara jujurnya, inilah apa yang penulis harapkan daripada sebuah Lexus, sebuah kereta mewah yang masih mengutamakan keperluan seseorang pemandu.

 

Ciri moden yang memudahkan

Dalam ruang kabin LBX, terdapat sehingga empat port pengecasan USB Type C, dan tidak ketinggalan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar Qi yang turut disediakan.

Sistem audio Mark Levinson dengan 13 pembesar suara sedia untuk menemani anda sepanjang pemanduan bersemangat di hujung minggu.

Urusan bukaan pintu dimudahkan dengan operasi e-Latch, hanya tekan tuil pada panel pintu (dan pemegang pintu di luar) dengan hanya satu jari dan pintu akan terus terbuka.

Meskipun konsol tengah nampak agak sempit untuk memuatkan dua lengan pada satu-satu masa, ia masih lagi dilengkapi dengan butang operasi yang diperlukan oleh pemandu.

 

Enjin hibrid, tapi perangai macam EV

Salah satu perkara yang membuatkan penulis teruja ya amat bila dapat pandu Lexus LBX ialah prestasi enjin hibrid yang cukup bertenaga.

Tidak seperti tipikal kereta hibrid China yang menggunakan enjin turbo, LBX hanya tampil dengan tetapan enjin hibrid aspirasi semula jadi (NA) 1.5 liter kod M15A-FXE.

Nadi berkuasa 90 hp/120 Nm itu dipadankan dengan motor elektrik 93 hp/185 Nm, menghasilkan output keseluruhan sekitar 136 hp.

Sistem transmisi eCVT yang cekap itu memastikan setiap pecutan lincah LBX dapat dinikmati sepenuhnya oleh pemandu, terutama sewaktu ‘berlepas’ dari persimpangan lampu isyarat atau plaza tol.

Setelah puas melayan selekoh, penulis kembali bertenang membawa LBX melalui jalan sekitar ibu kota, dan kebanyakan masa ia akan mengutamakan mod pemanduan EV, menjadikan suasana yang lebih senyap dan selesa.

Malah, ada ketikanya penulis mencatatkan nisbah pemanduan sifar emisi sebanyak 50 peratus untuk perjalanan sejauh 78 km.

Jimat minyak? Itu sudah pasti!

 

Pengendalian dan keselesaan, seimbang!

Secara standard, Lexus LBX dilengkapi dengan tetapan topang MacPherson di depan diikuti sistem torsion beam yang lebih ringkas di belakang.

Atas kertas, memang nampak biasa. Sama macam SUV segmen B yang ada di pasaran pada ketika ini.

Namun, apa yang pasti talaan pengendalian yang diberikan oleh Lexus mampu membezakan prestasi LBX dengan SUV lain.

Sukar untuk penulis merungut negatif sepanjang memandu uji LBX ini, ia rasa stabil dan melekat di setiap selekoh, dan bekerja dengan baik untuk menyerap segala ketidakrataan jalan yang muncul.

Pendek kata, ia memberikan keseimbangan antara kestabilan pengendalian serta keselesaan pemanduan, ditambah pula dengan fungsi Vehicle Braking Posture Control untuk mengurangkan kesan pitch & roll.

Selain itu, respons stereng juga cukup rasa dan input, patuh pada setiap arahan pemandu tanpa rasa ringan yang melampau.

Gandingan harmoni antara casis dengan jarak antara roda yang pendek, enjin bertenaga, transmisi dan sistem gantungan yang cekap itu membuatkan Lexus LBX ini sebuah produk yang istimewa dalam segmennya.

Sukar untuk digambarkan perasaan ini dengan kata-kata, anda perlu masuk dan rasa sendiri pengalaman pemanduan LBX ini jika diberikan peluang.

Deruman enjin tiga silinder tersebut juga kurang kedengaran, hanya sayup-sayup di telinga terutama ketika pedal pendikit ditekan rapat. Namun kebanyakan masa suasana dalam kabin kekal senyap dan selesa.

 

Keselamatan

Secara standard, LBX hadir dengan kelengkapan keselamatan termasuklah lapan beg udara, serta Lexus Safety System+ yang merangkumi fungsi seperti:
• brek kecemasan autonomi
• kawalan jelajah adaptif dengan fungsi berhenti dan pergi
• bantuan kekal korong
• bantuan membelok aktif
• sistem pengecaman papan tanda trafik
• sistem pemantauan titik buta
• amaran bukaan pintu
• bantuan suluhan tinggi automatik

 

Kesimpulan

Dengan tanda harga RM268,888, penulis terpaksa akui LBX bukanlah sebuah kereta mewah yang direka untuk semua orang, dan tidak juga sesuai dijadikan sebagai calon kereta pertama.

Ia mempunyai kelemahan yang mungkin sukar untuk dikompromi, namun hadir dengan pakej yang mampu membuatkan pemandu tersenyum gembira di hujung minggu setelah lima hari bekerja memandu SUV atau MPV.

Ibarat kasut kegemaran, ia amat sesuai dipakai bila mana anda memerlukannya.

 

Spesifikasi Lexus LBX (RM268,888)

Enjin: tiga silinder sebaris, 1.5 liter NA (kod M15A-FXE)
Kuasa: 90 hp/120 Nm
Motor elektrik: 93 hp/185 Nm
Kuasa keseluruhan: 136 hp
Transmisi: eCVT
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/torsion beam

Toyota Land Cruiser 2026 hadir dengan pakej hibrid lebih berkuasa – 457 hp, 790 Nm

Toyota terus memperkukuhkan kedudukannya di dalam segmen hibrid menerusi pengenalan model Land Cruiser HEV 2026.

Dilancarkan untuk pasaran Timur Tengah, Land Cruiser 300 Series itu dikuasakan oleh sistem hibrid pengecasan kendiri, terdiri daripada enjin bentangan V6 3.5 liter turbo berkembar dan motor elektrik tunggal.

Secara keseluruhan, Land Cruiser HEV mampu menghasilkan 457 hp dan daya kilas sehingga 790 Nm, menjadikannya varian Land Cruiser yang paling berkuasa pada ketika ini.

Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan empat roda menerusi transmisi automatik 10-kelajuan.

Dari segi penampilan, tidak banyak yang berubah melainkan rekaan bampar hadapan yang telah dikemas kini spesifik untuk varian tersebut.

Bahagian belakang pula membawakan emblem “457 TT” dan “HEV” yang menandakan ia sebuah SUV hibrid.

Ruang kabin juga tidak banyak berubah, kecuali skrin kluster yang kini mempunyai grafik spesifik berserta skrin infohibur sebesar 12.3 inci.

Perbezaan ketara dengan model Land Cruiser standard ialah kapasiti tangki bahan api yang lebih kecil, sekitar 68 liter berbanding 80 liter pada model biasa.

Akhir sekali, terdapat outlet kuasa yang disediakan pada ruang kargo belakang.

Di UAE, Toyota Land Cruiser HEV ini dijual pada harga bermula dari AED389,900 (RM450 ribu) untuk trim VXR, dan AED 409,900 (RM473 ribu) untuk trim GR Sport.

GWM Tank 500 HEV Ultra, pencabar baharu segmen SUV off-road sudah tiba – Pandu Uji Ringkas

Siapa sangka, segmen off-road yang sebelum ini dikuasai oleh jenama Jepun kini sudah mula ditembusi oleh model terbaharu daripada pengeluar China.

Namun, tidak seperti kelaziman SUV off-road yang hadir dengan bantuan enjin diesel, pengeluar dari Tanah Besar menumpukan perhatian kepada enjin hibrid serta plug-in hybrid.

Kelebihannya? Enjin bersesaran kecil yang menyumbang kepada kos cukai jalan yang lebih rendah, dan keupayaan yang jauh lebih berkuasa dan bertenaga untuk kegunaan di laluan yang sukar.

Salah satu pengeluar yang tampil dengan penyelesaian off-road moden ialah GWM, menerusi produk SUV saiz penuh Tank 500 HEV.

Jadinya, jika anda sudah mula bosan dengan model buatan Jepun, tidak salah untuk cuba sendiri SUV off-road Tank 500 yang sudah rasmi berada di Malaysia.

Baru-baru ini kami dijemput sendiri oleh GWM Malaysia untuk memandu SUV hibrid mewah ini dari Bandar Elmina menuju ke Pulau Pinang, dan ini merupakan pendapat awal kami berkenaan Tank 500 HEV:

 

Dimensi yang gagah perkasa

Atas jalan, Tank 500 HEV nampak macam sekumpulan delegasi luar negara yang sedang melawat Malaysia, terutama apabila ia dipandu dalam kelompok konvoi.

Tidak seperti Tank 300 yang nampak seperti SUV retro, Tank 500 pula membawakan imej SUV yang lebih moden dan bersih dengan rekaan badan tanpa garis bercelaru.

Jika dibandingkan dengan pesaingnya (apa lagi kalau bukan Land Cruiser), Tank 500 memiliki dimensi yang sedikit kecil.

Namun Tank 500 mempunyai ukuran panjang melebihi lima meter, terima kasih kepada ruang simpanan tayar saiz penuh di bahagian belakang.

Bukaan pintu belakang juga tidak seperti tipikal SUV yang ada di pasaran, ia mempunyai engsel di bahagian sisi lengkap dengan fungsi tutup lembut.

Penulis tiada masalah untuk membiasakan diri dengan rupa paras SUV ini, cuma lebih enak di pandangan mata jika kebanyakan elemen krom itu dikusamkan.

 

Ruang kabin ada elemen olskool

Penulis tidak begitu menggemari susun atur papan pemuka yang mementingkan segala fungsi disumbatkan ke dalam skrin paparan.

Jadi, bila masuk ke dalam kabin Tank 500, penulis mampu melepaskan nafas lega kerana kebanyakan fungsi masih boleh dioperasikan dengan hanya menekan butang fizikal.

Selain butang kawalan sistem pendingin hawa, terdapat juga butang fungsi penting yang diletakkan pada konsol tengah, lengkap dengan tombol gear saiz besar.

Di depan pemandu disediakan skrin paparan sebesar 12.3 inci dan skrin paparan head-up, manakala skrin tengah pula sebesar 14.6 inci lengkap dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Tempat duduk hadapan balutan kulit Nappa disediakan bermacam fungsi keselesaan (ventilasi, urut, larasan elektronik).

Untuk peneman sepanjang perjalanan, Tank 500 dipadankan dengan sistem audio Infinity dengan 12 pembesar suara untuk alunan muzik yang kena dengan jiwa.

Untuk keluar dari kabin dengan selesa, terdapat tempat pemijak sisi yang akan muncul secara automatik saat pintu dibuka.

Keselesaan penumpang dibantu dengan sistem pendingin hawa automatik tiga-zon. Penumpang belakang diberikan panel kawalan berasingan, serta empat corong udara untuk memastikan udara sejuk sampai ke tempat sepatutnya.

Perkara yang paling digemari penulis? Jam analog di bawah skrin infohibur itu tadi. Satu sentuhan kecil yang boleh buatkan suasana dalam kabin rasa macam kereta yang lebih mahal.

Kemasan kayu pada beberapa sudut turut menyumbang kepada pengalaman yang lebih mewah untuk sebuah SUV berharga bawah RM400 ribu.

 

Pengalaman duduk sebagai penumpang

Satu perkara yang membuatkan perjalanan yang lebih selesa dalam Tank 500 ini ialah tahap NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) yang cukup baik untuk sebuah SUV binaan ladder-frame.

Pada kelajuan meluncur yang sederhana tinggi, kami dapat rasakan suasana dalam kabin agak senyap.

Bunyi bising angin luar sukar untuk menerjah masuk, dan kurang bunyi bising yang datang dari arah gerbang tayar.

Sebagai penumpang, penulis mendapati Tank 500 menawarkan ruang kepala dan kaki yang cukup luas tanpa membuatkan rasa terkepit.

Bagaimana dengan tempat duduk baris ketiga? Penulis berpendapat ia lebih sesuai jika anda membawa kanak-kanak, atau lipat sahaja untuk ruang kargo 795 liter, atau sehingga 1,498 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat sekali.

 

Pemanduan lancar dan bertenaga, cuma…

Saat penulis memegang stereng, terdapat beberapa perkara yang berjaya memadamkan tanggapan awal.

Satu: Tank 500 HEV memang cukup stabil dan selesa walaupun dipandu pada kelajuan melebihi had kebangsaan di lebuh raya.

Dua: Kawalan badan yang mudah untuk dijangka, walaupun tidak dilengkapi dengan suspensi yang canggih.

Tiga: SUV ini memang berat, tapi ia tidaklah malas untuk bergerak.

Secara standard, Tank 500 dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo hibrid (HEV).

Atas kertas, Tank 500 menghasilkan 346 PS dan daya kilas 648 Nm, di mana kuasa itu disalurkan kepada sitem pacuan empat roda (4WD) menerusi transmisi automatik hibrid sembilan-kelajuan (9HAT).

Namun, ada satu perkara yang harus anda tahu.

Tidak seperti sistem HEV pada Haval H6 yang direka untuk penjimatan, sistem hibrid pada Tank 500 ini lebih bertindak sebagai penambah kuasa untuk memastikan badan seberat 2.5 tan ini bergerak dengan lancar.

Tiada masalah untuk bergerak dari pegun, namun Tank 500 dirasakan tidak cukup bertenaga bila penulis mahukan tujahan ekstra untuk memotong kenderaan berat di hadapan.

Anehnya, tujahan ekstra tersebut hadir pada masa yang salah – ketika SUV sedang meluncur dengan tenang pada kelajuan melebihi had laju kebangsaan.

Bukan penulis seorang sahaja yang perasan, perkara itu turut dikongsikan oleh beberapa rakan media yang lain.

Ia bukanlah satu masalah, cuma penulis lebih gemar jika bantuan kuasa tambahan tersebut hadir pada masa yang tepat.

Secara purata, dengan pola pemanduan yang bercampur-campur di atas lebuh raya kami berjaya mencatatkan kadar penggunaan bahan api sekitar 11.5 liter untuk setiap 100 km.

Dari segi aspek kawalan pula, ada beberapa perkara yang boleh ditambah baik.

Satu daripadanya ialah respons stereng, dan yang kedua ialah sistem brek yang kosong di mana ada kalanya sukar untuk penulis tentukan titik gigit brek yang diperlukan.

Tank 500 HEV secara standard hadir dengan tetapan suspensi double wishbone di depan dan tetapan multi-link di belakang tanpa sebarang larasan elektronik yang lebih canggih.

Biarpun dengan tetapan konvensional, sistem suspensi tersebut telah ditala dengan baik untuk keselesaan dan keyakinan di atas pelbagai jenis permukaan jalan.

Cuma ada ketikanya karakteristik SUV ladder-frame masih lagi dapat dirasakan terutama ketika kelajuan rendah. Ia sesuatu yang sukar utuk dielak, terutama untuk SUV dengan binaan badan sebegini.

 

SUV hibrid sedia untuk pemanduan off-road

Biarpun dengan pelbagai ciri mewah, GWM masih tidak lokek untuk melengkapkan SUV ini dengan bermacam ciri dan fungsi yang sangat berguna untuk laluan off-road.

Antaranya ialah kotak gear low-range, tiga kekunci pembeza (diff-lock) di bahagian depan, tengah dan belakang, fungsi tank-turn dan juga kawalan jelajah off-road.

Ia juga mampu meredah air sedalam 800 mm. Mungkin satu hari nanti kami akan kongsikan pengalaman pemanduan off-road di dalam Tank 500.

 

Ciri keselamatan

Selain itu, Tank 500 juga hadir dengan pelbagai ciri keselamatan termaju, seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik, sistem pemantauan titik buta, serta sistem parkir automatik.

Selain itu, terdapat enam beg udara serta dua cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak disediakan.

Ciri yang paling berguna untuk SUV saiz besar ini sudah pasti sistem kamera keliling 360 darjah yang lengkap dengan fungsi pandang telus bonet.

 

Kesimpulan

GWM Tank 500 boleh jadi satu alternatif untuk mereka yang mahu tampil berbeza daripada pilihan yang wujud di pasaran.

Berdasarkan pemanduan ringkas sepanjang tempoh dua hari sukar untuk kami meneroka potensi SUV ini dengan lebih mendalam.

Namun yang pasti, dengan spesifikasi serta jaminan menyeluruh daripada pengeluar, serta harga jualan bawah RM350 ribu, GWM Tank 500 mampu menawarkan pengalaman yang tidak anda jangkakan daripada pengeluar China sebelum ini.

Ia bukan produk cap ayam yang boleh anda perlekehkan. Ia sebuah GWM Tank 500.

 

Spesifikasi GWM Tank 500 HEV (RM328,000 OTR)

Enjin: empat silinder sebaris, 2.0 liter turbo (244 PS/380 Nm)
Motor elektrik: 106 PS/268 Nm
Kuasa keseluruhan: 346 PS/648 Nm
Transmisi: Automatik sembilan-kelajuan
Sistem pacuan: empat roda
Pek bateri: Lithium-ion, 1.67 kWh
Dimensi: 5,078 mm x 1,934 mm x 1,905 mm
Jarak antara roda: 2,850 mm
Jarak kelegaan tanah: 224 mm
Suspensi: Double-wishbone depan/multi-link belakang

Toyota RAV4 2026 tampil dengan rupa paras yang lebih berani, pilihan HEV atau PHEV

Inilah dia generasi keenam SUV kompak Toyota RAV4 yang baru sahaja dilancarkan di peringkat global.

Dibina berdasarkan pelantar terkini daripada senibina Toyota New Global Architecture (TNGA), RAV4 membawakan penggayaan yang lebih mirip dengan barisan model sedia ada seperti bZ, Camry dan juga Prius.

Apa yang anda perlu tahu pasal RAV4 2026 ini?

 

1. Varian

Terdapat tiga varian utama yang ditawarkan oleh Toyota, iaitu:
• Core – penggayaan urban
• Adventure – penampilan lebih ranggi dan mesra off-road
• GR Sport – pemanduan yang lebih menyeronokkan

 

2. Dimensi

Berbanding generasi terdahulu, RAV4 baharu ini jauh lebih panjang (4,600 mm), namun mengekalkan ukuran lebar 1,855 mm serta jarak antara roda 2,690 mm.

Varian Adventure dan GR Sport membawakan ukuran yang lebih lebar, iaitu 1,880 mm.

 

3. Pilihan rangkaian kuasa HEV dan PHEV

Generasi baharu RAV4 hanya boleh didapati dalam versi hibrid (HEV) serta plug-in hybrid (PHEV).

RAV4 HEV dikuasakan oleh enjin 2.5 liter dengan pilihan pacuan roda depan (FWD) 226 hp, atau pacuan semua roda (AWD) 236 hp.

Varian PHEV pula hanya didatangkan dengan sistem AWD, kuasa keseluruhan mencecah 320 hp dan jarak gerak sifar emisi mencecah 150 km.

Selain itu, RAV4 PHEV turut menyokong fungsi vehicle-to-home (V2H), pengecasan pantas DC (bateri dicas sehingga 80 peratus dalam 30 minit), serta pengalaman pemanduan off-road yang lebih baik.

 

4. Rekaan luar

Sama seperti kereta moden Toyota, RAV4 membawakan pendekatan rekaan muka depan gaya ikan jerung tukul.

Perumah lampu belakang pula direka dengan grafik LED yang lebih ringkas, diikuti dengan perkataan RAV4 pada bahagian tengah.

Bergantung kepada spesifikasi, terdapat pilihan rim bersaiz 17, 18 atau 20 inci.

 

5. Ruang kabin

Dengan struktur atas papan pemuka 40 mm lebih rendah, RAV4 menawarkan medan penglihatan keluar yang lebih luas.

Menggunakan pendekatan senibina pulau, struktur papan pemuka RAV4 direka supaya memudahkan urusan pemandu mencapai skrin dan butang fungsi penting, selain mengurangkan pergerakan mata semasa pemanduan.

Antara ciri unik pada ruang kabin RAV4 termasuklah penutup konsol tengah yang boleh dijadikan sebagai perehat tangan atau dulang untuk meletakkan barang.

Ruang kargo RAV4 kini mencecah kapasiti 749 liter, atau 16 liter lebih besar berbanding model terdahulu.

Akhir sekali, RAV4 merupakan model Toyota pertama yang menggunakan perisian Arene yang dibangunkan oleh Woven by Toyota, merangkumi operasi sistem infohibur serta kelengkapan keselamatan termaju Toyota Safety Sense 4.0 (TSS 4.0).

 

6. RAV4 Adventure

Berbanding model Core yang lebih ringkas, RAV4 Adventure membawakan ciri unik seperti:
dimensi lebih lebar
plastik pelindung badan lebih menonjol
rekaan rim yang lebih ringkas
bampar depan yang lebih berpetak
bukaan jeriji yang lebih besar dan menegak
struktur hidung yang lebih tinggi
padanan rel bumbung

 

7. RAV4 GR Sport

Tidak dilupakan, varian GR Sport khas untuk mereka yang mahu gandingan praktikaliti dan pemanduan yang lebih menyeronokkan dalam satu pakej.

Dari segi rupa, RAV4 GR Sport diberikan bampar yang agresif lengkap dengan spoiler hadapan dan juga spoiler belakang yang dapat menambah baik aspek aerodinamik dan kestabilan pengendalian.

RAV4 GR Sport turut mendapat trek yang lebih lebar (+20 mm), talaan suspensi dan stereng yang istimewa, serta set rim aluminium yang lebih ringan.

 

8. Sistem TSS 4.0

Toyota RAV4 juga merupakan model Toyota pertama yang mendapat kelengkapan keselamatan TSS 4.0.

Antara ciri baharu yang dimuatkan pada RAV4 termasuklah sistem penghalang pecutan tiba-tiba, serta sistem henti memandu kecemasan (EDSS) sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini kepada pemandu.

 

UMW Toyota jalin kerjasama strategik dengan MOT, serah lima kenderaan elektrifikasi untuk penilaian

UMW Toyota Motor (UMWT) menjalin kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam usaha untuk memacu inisiatif mobiliti hijau.

Sebagai tanda sokongan padu, UMWT telah menyerahkan lima kenderaan elektrifikasi terdiri daripada kenderaan hibrid elektrik (HEV) seperti Toyota Alphard, Camry dan Corolla Cross, serta dua kenderaan elektrik bateri (BEV) iaitu Toyota bZ4X dan Lexus RZ.

Menerusi inisiatif ini, MOT diberikan peluang untuk menilai keupayaan sebenar kenderaan tersebut dari segi kesesuaian, prestasi dan manfaat untuk penggunaan harian.

Selain daripada itu, UWMT juga menyediakan ruang pembelajaran langsung yang menyeluruh kepada pegawai MOT dari kesiapsiagaan infrastruktur, pengalaman pengguna hinggalah kepada kecekapan operasi merentasi pelbagai platform.

Menurut Datuk Ravindran K selaku Presiden UMW Toyota Motor berkata, “perjalanan Malaysia menuju pelepasan sifar bersih menjelang 2050 bukanlah sekadar visi kosong, tetapi satu misi bersama yang menuntut kerjasama erat dari segenap sektor.”

“Melalui pendekatan “Multipathway Toyota”, elektrifikasi tidak hanya dilihat dari sudut inovasi, tetapi turut disesuaikan secara inklusif dan pragmatik mengikut keperluan, kesediaan dan kemampuan pelbagai segmen masyarakat.

“Dengan pendekatan ini, setiap lapisan masyarakat diberi peluang untuk melangkah bersama menuju masa depan yang lebih hijau dan lestari – tiada yang ketinggalan, tiada yang terpinggir,” ujarnya lagi.

Meskipun elektrifikasi penuh kekal menjadi aspirasi jangka panjang negara, teknologi hibrid muncul sebagai penyelesaian yang berkesan untuk meminimumkan pelepasan karbon tanpa memerlukan perubahan drastik terhadap infrastruktur sedia ada mahupun tabiat pengguna.

Menurut Mohd Shamsor Mohd Zain selaku Pengarah Eksekutif UMW Toyota Motor, “teknologi hibrid terus menjadi nadi utama dalam pelan elektrifikasi Toyota, khususnya dalam konteks pasaran seperti Malaysia.

“Keupayaannya untuk mengurangkan pelepasan karbon serta merta tanpa memerlukan perubahan besar terhadap ekosistem sokongan menjadikannya pilihan paling ideal.

“Ia bukan sekadar menawarkan penyelesaian praktikal, malah membina keyakinan dalam kalangan pengguna arus perdana sambil membuka jalan yang lebih lancar dan progresif menuju masa depan mobiliti elektrik sepenuhnya.”

Jaecoo Malaysia jelaskan kelebihan PHEV berbanding HEV

Jaecoo Malaysia baru-baru ini mempertontonkan SUV off-road premium Jaecoo J7 Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV), dengan lebih daripada 3,000 pengunjung direkodkan dalam tempoh hanya lima hari.

Walaupun PHEV dan kenderaan elektrik hibrid (HEV) adalah perkara biasa, interaksi Jaecoo dengan pengunjung di acara pra-tonton itu menunjukkan masih terdapat peluang untuk meningkatkan pemahaman tentang PHEV bagi membantu pemandu membuat keputusan yang bijak.

Walaupun kedua-dua teknologi PHEV dan HEV menyumbang kepada mobiliti dengan pelepasan karbon yang lebih rendah, PHEV direka untuk memberikan fleksibiliti, kecekapan, dan pengalaman pemanduan yang lebih baik.

Jarak lebih jauh dengan kuasa elektrik

PHEV menawarkan perjalanan yang lebih panjang menggunakan tenaga elektrik sahaja berbanding HEV, yang bergantung pada kapasiti bateri yang jauh lebih kecil.

Sebagai contoh, dalam perjalanan harian atau pemanduan di bandar, PHEV boleh bergerak sehingga 40 hingga 50 km (bergantung kepada model) tanpa menggunakan satu titis petrol. Ini bermakna pemandu dapat mengalami pemanduan tanpa pelepasan yang lebih senyap dan lebih efisien untuk sebahagian besar perjalanan, menjadikannya ideal untuk persekitaran bandar. Jarak bateri J7 PHEV adalah 88 km berdasarkan piawaian WLTP.

Kemudahan mengecas di rumah

PHEV menawarkan fleksibiliti untuk mengecas kenderaan di rumah atau di stesen pengecasan awam. HEV, sebaliknya, hanya boleh mengecas bateri mereka melalui brek janaan semula atau kuasa enjin, sekaligus menghadkan potensi pemanduan elektrik mereka.

Dengan PHEV, pemilik boleh bangun setiap pagi dengan bateri yang sudah penuh, membolehkan mereka melakukan urusan harian hanya dengan menggunakan elektrik. Ini dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan dengan ketara.

Prestasi ditingkatkan dengan kuasa berganda

PHEV membolehkan pertukaran lancar antara kuasa elektrik dan petrol apabila perlu, menawarkan pecutan dan prestasi yang lebih baik berbanding HEV. Dalam situasi di mana tork segera diperlukan, seperti memotong atau mendaki bukit, motor elektrik PHEV boleh memberikan kuasa tambahan dengan segera, menjadikannya pilihan yang lebih versatil untuk pemanduan bandar dan perjalanan jarak jauh.

Tidak perlu bergantung pada bahan api untuk perjalanan jarak pendek

Berlainan dengan HEV, yang perlu menggunakan petrol selepas pemanduan elektrik yang singkat, PHEV boleh beroperasi dengan kuasa elektrik untuk kebanyakan perjalanan harian yang lebih pendek, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api secara signifikan. Ini memberikan kebebasan kepada pemandu untuk memilih elektrik untuk perjalanan jarak pendek dan petrol untuk perjalanan jarak jauh, tanpa mengorbankan prestasi.

Impak alam sekitar

Oleh kerana PHEV boleh beroperasi untuk tempoh yang panjang tanpa bergantung pada enjin pembakaran dalaman, ia menyumbang kepada pengurangan pelepasan. HEV, walaupun cekap bahan api, masih memerlukan penglibatan enjin yang berterusan, menjadikan PHEV pilihan yang lebih bersih dalam banyak senario pemanduan.

J7 PHEV bakal dilancarkan pada tahun ini, dengan harga anggaran RM170,000 bagi varian pacuan dua roda dan RM180,000 bagi pacuan semua roda.

Beyond Zero bawakan solusi Toyota untuk neutraliti karbon – bZ4x, Hilux, Granace, Prius 24hr Le Mans, Alphard, Vellfire BEV, HEV, FCEV

JIKA anda mengikuti perkembangan industri automotif, anda akan perasan bahawa Toyota tidak berpendapat bahawa kenderaan elektrik bateri (BEV) atau EV merupakan satu-satunya penyelesaian untuk karbon sifar.

Sebaliknya, mereka yakin terdapat beberapa cara lain untuk itu. Jadi, Toyota membawakan Beyond Zero, satu inisiatif jenama itu ke arah Neutraliti Karbon menjelang 2050.

Acara itu, yang bermula pada 20 hingga 28 Februari dan diadakan di Taman Teknologi Malaysia, mempersembahkan inisiatif transformasi yang mempamerkan komitmen jenama itu terhadap amalan mampan dan mesra alam.

Acara Beyond Zero dilancarkan secara simbolik bagi mempamerkan pendekatan yang pelbagai dengan berbagai-bagai teknologi elektrifikasi, termasuk Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV), Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api (FCEV).

Antara model BEV yang dibawakan termasuklah bZ4X, Hilux BEV REVO-e, dan C+pod. Bagi FCEV pula, model-model yang terdapat di sini termasuklah Mirai, GranAce FCEV, dan Hilux FCEV.

Acara Beyond Zero dibuka kepada pelbagai tetamu untuk mempelajari tentang inisiatif kemampanan dan teknologi baharu, dan memandu uji kenderaan tertentu dari 20 hingga 28 Februari 2024.

Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang merasmikan acara itu memuji UMW Toyota (UMWT) atas komitmen yang ditunjukkan oleh syarikat itu terhadap amalan mampan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Menyedari kepentingan untuk peralihan Malaysia kepada tenaga mampan, kita didorong oleh komitmen global dan potensi untuk kepelbagaian ekonomi dan keterjaminan tenaga,” katanya.

“Malaysia, yang diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia, berada di atas landasan yang betul untuk menjadi pemimpin serantau dalam peralihan tenaga.

“Usaha inovatif Toyota dalam tenaga bersih, menerusi pendekatannya yang pelbagai, sememangnya selari dengan matlamat negara kita.”

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K. Berkata: “Kami mengakui wujudnya pelbagai cabaran dan peluang di seluruh negara dalam usaha kami memperjuangkan pendekatan berbilang laluan (multi-pathway) dan melaksanakan tindakan kitar hayat yang sesuai agar selari dengan setiap kepentingan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.

“Menyedari keunikan landskap industri automotif Malaysia, serta kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, adalah penting untuk kami meletakkan diri kami di kedudukan yang sewajarnya dalam perjalanan ini.”

Toyota elektrik hibrid (HEV) cekap dan sporti, sesuai untuk anda?

SEDAR atau tidak, Toyota sebenarnya telah mempelopori teknologi hibrid hampir suku abad lamanya. Teknologi ini terus diberikan inovasi dan penambahbaikan, dan ia kini semakin cekap seperti yang anda boleh dapati dalam model-model seperti Corolla Cross Hybrid Electric dan Innova Zenix Hybrid Electric.

Teknologi hibrid Toyota direka untuk memberikan pengalaman memandu unik, menggunakan dua sumber kuasa lalu menghantar kuasa yang lancar dan cekap.

Kebanyakan pemanduan anda dalam bandar boleh dibuat menggunakan motor elektrik sahaja, bermakna tiada langsung pelepasan asap dari ekzos. Dengan kurangnya pelepasan ekzos, maka kurang juga penggunaan petrol.

Ini menjadikan elektrik hibrid antara kenderaan paling cekap tenaga atas jalan raya, terutamanya di Malaysia.

Bagaimana elektrik hibrid berfungsi

Kenderaan elektrik hibrid menggunakan dua sumber kuasa berbeza – sebuah enjin petrol dan satu motor elektrik, maka lahirlah nama hibrid.

Kenderaan sebegini lebih menjimatkan berbanding kereta biasa, tetapi ia tidak memerlukan anda mengecas kerana enjin akan mengecas bateri secara automatik.

Ini membuatkan kenderaan hibrid praktikal kerana anda hanya perlu isi minyak untuk menikmati dua jenis sumber kuasa. Enjin dan motor dalam kenderaan hibrid Toyota mampu beroperasi berasingan – atau bersama – bergantung kepada keadaan.

Anda juga tidak akan ada masalah kerisauan jarak perjalanan (range anxiety) seperti kenderaan elektrik sepenuhnya kerana enjin petrol masih ada jika motor elektrik kehabisan bateri.

Mengapa pilih elektrik hibrid Toyota?

1. Bateri tahan lama

Bateri hibrid Toyota direka supaya selamat dan tahan lama, dan ia dibina dengan teknik serta kualiti yang anda boleh jangkakan dari jenama seperti Toyota.

Bateri-bateri hibrid ini hadir dengan jaminan 8 + 2 untuk ketenangan minda anda. Maklumat lanjut berkenaan jaminan bateri boleh didapati di sini.

2. Kos penyelenggaraan rendah

Secara keseluruhan, kos pemilikan elektrik hibrid adalah rendah, dari segi pengisian petrol dan penyelenggaraan.

Mengapa? Kos penyelenggaraan hibrid ini lebih rendah kerana tidak terdapat banyak komponen serta ketahanan komponen bateri dan elektrik. Sebagai contoh, penggunaan regenerative braking bermakna kurangnya kelusuhan pada pad brek.

3. Kecekapan bahan api lebih baik

Dengan dua sumber kuasa, hibrid boleh dipandu sepenuhnya dengan kuasa elektrik pada kelajuan rendah dan bila enjin melahu atau mula bergerak. Enjin hanya berfungsi pada kelajuan tinggi, bermakna kecekapan bahan api keseluruhan juga lebih baik.

Ini semua menyumbang kepada kecekapan bahan api dan penjimatan minyak tanpa mengorbankan prestasi.

4. Seronok dipandu

Hibrid hari ini tidak seperti dulu, ia kini sangat responsif dan sporti disebabkan tork segera yang boleh dibekalkan oleh motor elektrik dan kelajuan lebih tinggi yang boleh diberikan oleh enjin.

Dua sumber kuasa ini bekerjasama dengan harmoni untuk memberikan anda kuasa dan prestasi pada bila-bila masa.

Perubahan bermula dengan anda

Anda boleh mulakan perubahan demi masa depan lebih cerah dengan barisan model elektrik hibrid Toyota.

Apa kata anda cuba pandu uji Corolla Cross Hybrid atau Innova Zenix Hybrid hari ini.

Toyota AE86 versi hidrogen dan elektrik muncul di Tokyo Auto Salon

ACARA Tokyo Auto Salon 2023 yang membuka tirainya hari ini (13 Januari 2023) menyaksikan kemunculan dua Toyota AE86 yang telah diubah suai menjadi kenderaan elektrik.

Seperti yang boleh dilihat, kedua-dua jentera konsep berkenaan tampil dengan livery hitam putih dari siri animasi Initial D yang bertanggungjawab melonjakkan nama AE86.

Bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai sumber kuasa yang berbeza. Corolla Levin dengan lampu depan tetap merupakan versi elektrik bateri (BEV) manakala Sprinter Trueno dengan lampu pop-up dikuasakan oleh enjin hidrogen (H2).

Untuk pembangunan AE86 BEV, Toyota menggunakan motor elektrik daripada Tundra HEV dan bateri Prius PHEV, serta mengekalkan sebanyak mungkin elemen asal AE86, termasuk transmisi manual. Toyota mendakwa gabungan ini menjadikan ia lebih seronok dipandu berbanding versi original.

Sementara itu, AE86 H2 pula masih mempunyai 1.6-liter empat silinder dan transmisi manualnya namun ia telah digandingkan dua tangki penyimpanan hidrogen yang diambil daripada Mirai. Modifikasi turut dilakukan pada penyuntik bahan api, paip bahan api dan palam pencucuh namun secara minimum.

Selaras dengan sasaran neutraliti karbonnya, Toyota menggunakan kerusi terpakai yang diperbaharui, serta tali pinggang keledar yang diperbuat daripada bahan kitar semula pada kedua-dua hachiroku ini.

Menurut Toyota, model konsep ini merupakan sebahagian daripada usahanya untuk mempromosikan neutralisasi karbon bukan sahaja pada kenderaan baharu malah untuk kenderaan yang masih digunakan oleh pelanggan.

Tidak diketahui sama ada conversion kepada EV ini akan ditawarkan kepada pelanggan atau tidak, namun ia sekurang-kurangya menunjukkan bahawa pengeluar itu mempunyai teknologi dan kepakaran untuk melakukannya.

Toyota GR Yaris H2 – Hot hatch prestasi tinggi dengan kuasa hidrogen!

TOYOTA merupakan antara peneraju kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) hidrogen menerusi model Mirai yang dijual di pasaran-pasaran utama dunia seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

Namun, syarikat itu percaya bahawa selain itu motor elektrik, hidrogen juga mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan bakar utama dalam enjin pembakaran dalaman.

Bagi membuktikannya, Toyota baru-baru ini memperkenalkan sebuah GR Yaris konsep yang dikuasakan oleh enjin pembakaran hidrogen.

Dikenali secara rasmi sebagai GR Yaris H2, hot hatch itu mempunyai enjin G16E-GTS 1.6-liter turbo tiga silinder yang sama dengan GR Yaris standard, namun dengan sistem bekalan bahan api dan suntikan yang telah diubahsuai supaya sesuai dengan hidrogen.

Walapun GR Yaris H2 dan Mirai kedua-duanya menggunakan hidrogen, Mirai bergantung pada tindak balas kimia antara hidrogen dengan oksigen untuk menjana tenaga bagi memacu motor elektriknya, manakala GR Yaris H2 ini, seperti yang diperkatakan, dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman dengan hidrogen sebagai bahan apinya.

Toyota mendakwa bahawa hidrogen terbakar pada kadar yang lebih cepat jika dibandingkan dengan petrol.

Ini secara tidak langsung menjadikan enjin itu lebih responsif dan lebih mesra alam. Pada masa yang sama, ia juga mengekalkan bunyi bagi terus menjadikan pemanduan lebih mengujakan – sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh Mirai.

Tambah syarikat itu lagi, enjin tersebut tidak 100 peratus bebas emisi kerana ia masih melepaskan sedikit gas CO2 dan NOX yang terhasil semasa operasi, namun tahap pencemaran yang dihasilkan berkali ganda lebih rendah jika dibandingkan berbanding enjin petrol.

Perincian teknikal mengenai enjin tersebut seperti kuasa dan tork, serta angka prestasinya tidak didedahkan, namun memandangkan ia pernah digunakan pada sebuah kereta lumba, ia pastinya cukup berkuasa.

Ya, enjin hidrogen yang sama sebenarnya pernah digunakan pada sebuah Corolla Sport yang telah bertanding dalam siri perlumbaan endurance Super Taikyu di Jepun sejak Mei lalu. Apa yang menarik, ia pernah dikemudi sendiri oleh Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda.

Walaupun potensinya sudah terbukti di arena sukan permotoran, Toyota berkata bahawa teknologi enjin pembakaran hidrogen ini masih lagi dalam fasa pembangunan konsep dan eksperimentasi dan masih belum sedia untuk dikomersilkan.

Jualan automotif kumpulan UMW meningkat, percepat hantar kenderaan

PENJUALAN automotif Kumpulan UMW meningkat kepada 22,193 unit pada September berbanding 9,512 unit ketika bulan Ogos.

Senario itu dipercayai berikutan pembukaan semula operasi secara beransur-ansur serta pelonggaran terhadap sekatan Perintah Kawalan Pergerakan.

Susulan itu, UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, Perodua terus meningkatkan jumlah pengeluaran untuk mempercepat penghantaran pesanan.

Jualan UMWT meningkat tiga kali ganda kepada 8,033 unit pada bulan September daripada 2,524 unit yang didaftarkan pada Ogos lalu.

Ini menjadikan jumlah penjualan daripada Januari sehingga bulan September 2021 kepada 46,118 unit.

Jumlah itu 23.5% lebih tinggi berbanding 37,339 unit dicatatkan pada tempoh sama tahun 2020.

Toyota Vios terus menjadi model terlaris di pasaran bagi September 2021. Model kedua terlaris adalah Hilux dan diikuti Yaris.

Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan 14,160 unit pada bulan September iaitu peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 6,988 unit bagi Ogos 2021.

Perodua akan meneruskan usaha meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Sembilan bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jualan 119,093 unit, 17.9% lebih rendah daripada 145,012 unit pada tempoh sama tahun 2020.

Perodua turut memaklumkan berjaya mendapatkan cip semikonduktor mencukupi untuk memastikan tiada gangguan sepanjang proses pengeluaran kenderaan tahun ini.

Lagi ‘teaser’ SUV elektrik baharu Smart, adakah harga masih ‘kayangan’?

RAMAI kalangan peminat kenderaan elektrik semakin teruja dengan model terbaharu Smart apabila syarikat itu sekali lagi mengeluarkan ‘teaser’ terbaharu di alam maya.

Ini adalah kali kedua Smart mengeluarkan teaser sedemikian selepas terakhir pada Mei lalu.

Setakat ini, Smart dipercayai bakal mendedahkan model utiliti sukan (SUV) elektrik terbaharu itu pada Munich Motor Show pada September nanti.

SUV elektrik terbaharu Smart lebih memukau

Berdasarkan teaser dikeluarkan, Smart hanya mendedahkan bahagian bumbung kaca dengan corak berbintik di atasnya.

Apa yang menampakkan ia lebih eksklusif, penyambung antara bumbung dan badan digabungkan dengan warna warna emas.

Bumbung yang kelihatan lebih sporty. – Foto ihsan Smart

Sebelum ini, Smart mendedahkan model SUV elektrik terbaharu ini adalah hasil produk pertama kerjasama bersama Daimler dan Geely.

Geely mengendalikan pembangunan model masa hadapan dan Mercedes-Benz bertanggungjawab pada bahagian reka bentuk.

Sementara itu, model terbaharu ini dijangka mempunyai ruang lebih luas dan menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely.

Justeru, tidak hairan jika ada yang menganggap ia bakal bersaing sengit dengan model lain seperti Mini Countryman.

Jom sama-sama kita nantikan bagaimana rupa paras SUV elektrik terbaharu keluaran Smart pada September nanti.

Apa paling penting, berapakah agak-agak harganya nanti ya?

Warna keemasan yang menyerlahkan lagi kekemasan buatan produk dihasilkan Smart. – Foto ihsan Smart

HEV canggih keluaran Turki, mampu cecah jarak 500 kilometer!

ENTAH kenapa kebelakangan ini nama Turki sering disebut-sebut rakyat Malaysia.

Walau apa jua sebabnya, tidak dinafikan Turki merupakan sebuah negara mempunyai keunikan tersendiri.

Selain ‘kaya’ dengan kerencaman budaya, Turki juga merupakan negara mempunyai ekonomi pesat terutama membabitkan industri automotif.

Hal ini terbukti dengan kewujudan syarikat pengeluar kenderaan Turkey’s Automobile Joint Venture Group Incorporated atau TOGG.

TOGG ditubuhkan pada tahun 2018 dengan permulaan modal 22 bilion lira atau bersamaan $AS 3.1 bilion.

Pemilikan saham syarikat ini dimiliki oleh Anadolu Group, BMC Turkey, Kök Group, Turkcell dan Zorlu Holdingare.

Walaupun dunia berdepan ancaman pandemik Covid-19, namun syarikat ini tetap meneruskan projek pengeluaran kenderaan elektrik (HEV) hasil sokongan pihak kerajaan.

Kenderaan elektrik (HEV) pertama keluaran Turki diperkenalkan pada 2019. – Foto ihsan TOGG

HEV pertama Turki

Turki menjadi antara negara terbesar dunia dalam industri automotif dengan anggaran pengeluaran kenderaan sebanyak 1.3 juta unit, tahun lalu.

Kini, Turki bersedia menghasilkan HEV pertama keluaran TOGG yang dijangka dimulakan bila-bila masa selepas pembinaan sebuah kilang di Bursa selesai.

Menerusi pendedahan TOGG pada 2019, HEV pertama syarikat itu dihasilkan menerusi dua varian iaitu sedan dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

Selain mempunyai rekaan menarik, HEV ini didatangkan dengan pelbagai teknologi canggih termasuk penggunaan bateri yang sangat efisyen.

Pengguna hanya perlu mengambil masa selama 30 minit pengecasan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 80 peratus jangka ketahanan bateri.

HEV ini juga mampu bergerak sejauh 500 kilometer dengan sekali pengecasan penuh bateri kenderaan.

Ruang dalaman yang sangat luas dan dilengkapi teknologi canggih. – Foto ihsan TOGG

Berikut antara keistimewaan lain terdapat pada HEV konsep keluaran TOGG:

• Mempunyai 200 kuasa kuda (versi RWD) dan 400 kuasa kuda (versi AWD)
• Pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 7.6 saat (RWD)
• Pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 4,8 saat (AWD)
• Terdapat tujuh beg keselamatan udara
• Menerina penarafan lima bintang Euro NCAP

Setakat ini, tidak dapat dipastikan berapakah harga bagi model HEV keluaran TOGG.

Bagaimanapun, ia dijangka mampu mencatatkan permintaan tinggi apabila dipasarkan kelak terutama di peringkat antarabangsa.

https://www.youtube.com/watch?v=RgBXFec7kx4

Serius hasilkan HEV, UMWT tambah pelaburan RM270 juta di Malaysia

SYARIKAT UMW Toyota Motor (UMWT) berada dalam landasan tepat bagi menghasilkan kenderaan hibrid secara meluas di negara ini.

Usaha ini membuktikan kesediaan UMWT ke arah mewujudkan persekitaran bersih dan selamat.

Justeru, bagi merealisasikan usaha ini, Toyota Motor Corp menetapkan sasaran penghasilan kenderaan neutraliti karbon menjelang tahun 2050.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Akio Takeyama berkata, Malaysia dilihat sebagai prospek sesuai bagi penggunaan kenderaan mesra alam.

“Arah tuju global Toyota adalah untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050.

“Ini juga selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara progresif yang mempromosi lebih banyak teknologi hijau dan alam sekitar yang mapan.

“Ini merupakan waktu yang menarik bagi industri automotif Malaysia dan UMW Toyota Motor bersedia untuk menjadi pelopor kepada impian ini.

“Untuk mencapainya dengan penyelesaian paling realistik, praktikal dan segera adalah melalui teknologi dan kenderaan hibrid elektrik Toyota,” katanya.

Antara matlamat Toyota adalah mengurangkan emisi karbon dan menangani kesan pembebasan CO2.

Ia meliputi proses kitaran hayat pengilangan, pengangkutan, operasi, bahan api atau pengecasan serta kitar semula pelupusan kenderaan.

HEV kenderaan generasi baharu

UMWT kini sedang giat menghasilkan kenderaan hibrid elektrik (HEV) generasi baharu.

Untuk itu, syarikat berkenaan akan menambah pelaburan lebih RM270 juta meliputi operasi pengeluaran dan fasiliti sedia ada.

Sebelum ini, UMWT telah membuat pelaburan bernilai RM2 bilion untuk pembinaan kilangnya di Bukit Raja, Selangor.

Pembinaan kilang ini menjadikan usaha UMWT berada pada landasan terbaik dalam penghasilan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ketika ini, sebanyak 17 juta HEV telah terjual seluruh dunia.