Arkib Tag: helikopter

Dron Kawasaki dengan enjin H2R supercharged jalani ujian bawa kargo

KAWASAKI telah menyumbat enjin supercharged 1,000cc dari hyperbike H2R ke dalam sebuah helikopter kawalan jauh untuk tujuan mengangkat kargo.

Mereka baru-baru ini membuat demonstrasi sistem robotic memuat naik dan menurunkan muatan kargo tanpa perlu merisikokan manusia kepada bilah kipas yang sedang berpusing.

Dinamakan K-Racer X1, ianyasebuah dron yang agak besar, bersaiz seperti sebuah kereta. Ia terbang menegak ke atas seperti helikopter, tetapi tidak mempunyai rotor di ekor untuk melawan tork. Sebaliknya, ia menggunakan sepasang rotor menghadap ke depan, di sayap kiri dan kanan.

Kawasaki tidak mendedahkan berapa laju ia boleh terbang, tetapi ia mungkin tidak begitu laju. Dengan rotor di atas yang tetap berpusing, kelajuan maksima akan dihadkan oleh stall dari retreating blade yang akan menyebabkan ketidak-samaan daya angkat (perkara sama yang mengehadkan kelajuan helikopter biasa).

Dalam satu video yang disiarkan awal bulan ini, Kawasaki menunjukkan prototaip K-Racer yang sedang terbang dan menguji robot penghantaran yang akan memasukkan dan menurunkan barang.

Ia tidaklah begitu besar dan boleh dimuatkan di dalam sangkar di bawah dron itu. Kawasaki sedang membangunkan modul yang lebih besar yang boleh diintegrasi dengan sistem sedia ada di kilang dan pusat-pusat penghantaran agak kesemua operasi ini dapat dijalankan secara automasi (tanpa manusia).

Automasi agak penting di Jepun dengan populasi kini secara umum lebih berumur dari mana-mana tempat di dunia ini.

Kira-kira 38 peratus penduduk negara itu berusia lebih 60 tahun (pada 2014) dan peratusan ini dijangka meningkat pada dekad akan datang.

Robot dikatakan perlu dalam banyak tugas-tugas logistik jarak dekat dan sederhana. Jadi, rekaan seperti K-Racer ini mempunyai masa depan yang cerah.

Helikopter tempur MD 530G Tentera Darat mula latihan tembakan di Texas

MD Helicopters mengadakan latihan tembakan baru-baru ini di sekitar kawasan El Paso, Texas, Amerika Syarikat (AS) yang bersempadan dengan Mexico.

Latihan tembakan itu diadakan oleh instruktor untuk melatih juruterbang-juruterbang tentera negara pelanggan MD Helicopters, termasuklah Tentera Darat Malaysia (TDM). Aktiviti itu melibatkan beberapa unit helikopter tempur ringan MD 530F dan MD 530G.

Malaysia memesan enam unit MD 530G Light Scout Attack dan dijangka menerimanya bulan ini.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain pada Februari lepas melaporkan bahawa MD 530G itu telah melalui proses ujian kelayakan udara, dan pihak ATM telah pergi ke AS untuk melihatnya di samping menjalani latihan.

MD 530G sepatutnya diterima dalam dua fasa, dengan dua pada Julai 2017 dan empat lagi sebelum Disember 2018.

Tetapi pandemik Covid-19 serta faktor spesifikasi khusus adalah antara punca enam helikopter yang dipesan untuk keperluan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalami kelewatan dibawa masuk ke negara ini.

Md 530G ialah sebuah helikopter tempur ringan generasi baharu yang mempunyai berat berlepas maksima 1,701kg, mampu membawa beban 816kg dan dioperasikan oleh dua krew. Ia mampu terbang dengan kelajuan cruise 240km/j dan mempunyai jarak operasi 426km.

Antara persenjataan pada MD 530G adalah mesin gan 7.62mm dan roket panduan laser Raytheon TALON.

Difahamkan TDM telah mewujudkan Rejimen 882 PUTD (Pasukan Udara Tentera Darat) di Kuantan bagi menempatkan skuadron helikopter tempur ini. Pembinaan telah berjalan sejak Februari 2018.

Gambar oleh: Vertical Mag

Helikopter Mil Mi-8 dengan 16 penumpang terhempas di timur Rusia

SEBUAH helikopter Mil Mi-8 dengan 16 penumpang terhempas di wilayah timur jauh Kamchatka, Rusia awal pagi ini. Menurut petugas kecemasan, sembilan dari mereka ditemui selamat manakala tujuh lagi masih hilang dan dikhuatiri maut.

Helikopter itu difahamkan milik syarikat Vityaz-Aero, terbang dengan tiga orang krew dan 13 penumpang yang merupakan pelancong.

Sebuah helikopter Mil Mi-8 milik Vityaz-Aero. Gambar oleh: Jetphotos.com

Ia dalam perjalanan dari Moscow ke St Petersburg sebelum terhempas di sebuah tasik di semenanjung Kamchatka. Agensi berita TASS melaporkan tujuh penumpang dan dua krew ditemui selamat di lokasi kejadian.

Semenanjung Kamchatka merupakan lokasi pelancongan popular dengan alam semulajadinya. Ia terletak lebih 6,000km di timur Moscow dan kira-kira 2,000km ke barat Alaska.

Standard keselamatan penerbangan Rusia semakin baik kebelakangan ini, tetapi kemalangan terutamanya yang melibatkan helikopter dan kapal terbang berusia bukanlah satu perkara yang asing.

Pada Julai lepas, 28 penumpang terkorban apabila pesawat turboprop enjin-kembar Antonov An-6 terhempas.

Helikopter mendarat di padang Ipoh untuk ‘tapau’ 36 bungkus nasi ganja

HELIKOPTER mendarat di padang pastinya mengundang perhatian masyarakat setempat, lebih-lebih lagi jika ia bukan aktiviti rutin oleh pihak polis atau tentera.

Sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh hari ini dan menariknya, ia berbuat demikian hanya untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi kandar popular yang dikenali sebagai Nasi Ganja.

Gambar: Facebook

Ketua polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid mengesahkan bahawa sebuah helikopter dilihat di padang tengah-tengah bandar Ipoh, kira-kira jam 9:55 hingga 10:15 pagi.

“Selepas memeriksa dengan Ipoh Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), kami mendapati helikopter itu hanya mendapat kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

“Tiada kebenaran diberikan untuk mendarat di Padang Ipoh,” katanya.

Pihak polis telah menyerakan maklumat terperinci kejadian itu kepada CAAM untuk siasatan lanjut.

Hasil kajian kami, helikopter Bell 505 Jet Ranger X dengan nombor pendaftaran 9M-RCI itu dimiliki oleh Systematic Aviation Services (SAS) iaitu sebuah syarikat swasta yang mengendalikan sewaan dan penyelenggaraan pesawat berpangkalan di Lapangan Terbang Subang, Selangor.

Sementara itu, seorang pekerja Nasi Ganja yang enggan dikenali berkata, mereka memang menerima pesanan 36 bungkus hidangan popular itu yang mengandungi nasi, daging dan telur masin.

Dia pada mulanya menyangka ianya satu gurauan bahawa pesanan itu akan diambil menggunakan helikopter.

“Saya mulanya rasa ragu-ragu kerana tidak pernah sebelum ini pelanggan ‘tapau’ guna helikopter.

“Ini kali pertama pesanan diambil oleh pelanggan dengan helikopter. Ini pesanan paling banyak saya pernah terima, tetapi harga masih kekal RM10 sebungkus,” katanya.

TLDM siasat insiden helikopter mendarat cemas

EMPAT anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berdepan situasi cemas selepas helikopter dinaiki mengalami masalah teknikal.

Situasi menyebabkan helikopter itu terpaksa membuat pendaratan cemas ketika menjalankan penerbangan operasi di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 12 tengah hari tadi.

Markas Pemerintahan Armada Barat mengesahkan kejadian selain memaklumkan pihak TLDM akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu.

“Insiden juga tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada orang awam dan kawasan insiden terkawal,” memetik kenyataan dikeluarkan.

Terdahulu, empat anggota TLDM berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan, terdapat empat anggota termasuk seorang juruterbang berada dalam helikopter jenis AS 555 SN Fennec.

Bagaimanapun, insiden tidak melibatkan sebarang kecederaan orang awam.

Pemerhatian di media sosial mendapati insiden tersebut turut sempat dirakam orang awam dan tular di media sosial.