Arkib Tag: Harrier

Jualan Toyota terus positif untuk September, Harrier 2022 kini dengan ciri baharu

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memasuki ambang suku keempat 2022 dengan jualan 9,098 unit kenderaan Toyota pada September, diikuti Lexus dengan 135 unit. Angka ini merupakan sedikit peningkatan berbanding 9,091 untuk bulan sebelumnya.

Jualan terkumpul setakat ini untuk 2022 pula adalah 70,872 unit. Sementara itu, jualan 9,233 unit untuk September (Toyota dan Lexus) adalah sekitar 15 peratus lebih tinggi berbanding bulan sama pada 2021 (8,033 unit).

Toyota Harrier 2022

Dalam pada itu, UMWT juga mengumumkan kehadiran Toyota Harrier 2022 yang dikemaskini dari model sebelum ini yang diperkenalkan pada Februari 2021.

 

Kemaskini 2022 yang utama termasuklah Panoramic View Monitor dan pakej Toyota Safety Sense yang kini merangkumi Pre-Collision Brake, Lane Departure Alert, dan Dynamic Radar Cruise Control.

Sebagai tambahan, satu varian baharu kini hadir iaitu 2.0L Special Edition yang mendapat warna Red Metallic baharu dengan kombinasi warna kabin Brown.

Tiada perubahan dari aspek lain. Enjin 2.0-liter 4-silinder Dynamic Force dikekalkan, dimana ia menjana 173hp pada 6,600rpm dan 203Nm tork dari 4,400 hingga 4,900rpm.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear Direct Shift CVT, menghantar kuasa ke roda depan. Ia memberikan pecutan 0 ke 100km/j dalam 9.7 saat dan kelajuan maksima 190km/j.

Ciri lain yang dikekalkan juga termasuklah lampu depan bi-LED, lampu kabus depan dan belakang LED, pintu but berkuasa, moonroof panoramik, skrin infotainmen 8-inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, cermin pandang belakang digital, dan perakam video digital (dashcam).

Toyota Harrier 2022 dijual pada harga RM274,000 dan boleh dipilih dengan lima pilihan warna – Slate Grey Metallic, Precious Black, Steel Blonde Metallic, Dark Blue Metallic dan Platinum White Pearl.

Toyota Harrier yang terlebih muda, terlebih berani – Pandu uji

JIKA anda membesar sebagai remaja pada awal 2000-an, anda pasti perasan kelibat Toyota Harrier yang biasa dipandu pegawai tinggi kerajaan, guru besar, golongan pencen, dan kontraktor.

Cukup mewah, ibarat Toyota Vellfire atau Mercedes C-Class untuk hari ini. Memang sesuai dengan imej pemilik-pemiliknya pada masa itu.

Tetapi kini, cuba anda lihat rupa Toyota Harrier terbaharu ini, sangat berbeza, bukan? Ya, mirip rupa SUV mewah Eropah.

Selain disebabkan ianya lebih baharu, Harrier ini juga terkena ‘tempias’ Toyota Gazoo Racing iaitu falsafah atau semangat yang menjadikan kenderaan-kenderaan Toyota kini lebih mengujakan untuk dipandu.

Mari kita lihatkan beberapa perkara penting yang penulis pelajari atau alami dengan pandu uji Toyota Harrier ini.

1. Harga premium

Sesuai dengan statusnya, Toyota Harrier ini berharga sedikit sahaja di bawah RM250k, iaitu lebih tepat lagi RM249,707. Ini boleh dikatakan harga paling tinggi untuk SUV Toyota di Malaysia sebelum melangkah ke Lexus.

Cuma untuk sebuah Toyota, mungkin ada yang mempertikai harga ini sedikit ‘keras’, lebih-lebih lagi bila anda sudah boleh mendapat sebuah BMW 3-Series G20 320i atau 330e.

Untuk SUV pula, pada harga ini juga anda boleh melihat kepada Mercedes-Benz GLA atau Volvo XC40, juga pilihan menarik.

Jadi, mengapa kita akan pilih Toyota Harrier? Ini yang kita akan rungkaikan dalam hujah-hujah seterusnya.

2. Gaya berani

Susah untuk menafikan bahawa Toyota Harrier generasi ini nampak begitu berani dan berbeza berbanding kebiasaan.

Malah jika anda pertama kali terlihat Harrier ini tanpa mengetahuinya, pasti anda akan menyangka ia sebuah Porsche atau Jaguar.

Terdapat garisan-garisan dramatik ditarik dari lampu depan, melalui tingkap sisi hingga tiang-C, dan diakhiri di lampu belakang dengan nyalaan memanjang yang berhubung dari kiri hingga ke kanan. Sememangnya memberikan aura berlainan untuk Harrier ini.

Penulis juga sukakan rekaan gril depan bertutup yang mengemaskan lagi gaya luaran Harrier ini.

3. Ciri dan kelengkapan setanding jenama premium Jerman

Toyota Harrier ini dilengkapi dengan pelbagai ciri terkini dan premium sepadan dengan harganya.

Terdapat lampu depan bi-LED matriks yang nipis tetapi berkuasa, tempat duduk kulit cukup mewah dan empuk, bumbung panoramik yang besar, ruang dalaman lapang, dan permukaan yang terasa berkualiti.

Unit infotainmen di tengah papan pemuka ialah skrin melintang bersaiz 8-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, memberikan segala macam fungsi yang anda perlukan dalam sesebuah kenderaan.

Skrin infotainmen ini terletak di atas ruang konsol bersar berbentuk berlian yang menjadi sempadan kedua-dua tempat duduk depan. Rekaan ini cukup kemas dan mewah.

Boleh dikatakan keseluruhan ruang kabin terasa hampir seperti sebuah Lexus. Eh, tapi memang dari segi harga, ia hampir kepada Lexus.

Harrier merupakan SUV Toyota dengan harga paling tinggi, tambah sedikit sahaja dan anda akan terus memasuki ‘wilayah’ Lexus.

Tidak dilupakan, penulis cukup sukakan pendingin hawa Harrier ini yang turut dilengkapi sistem Nanoe X yang akan menapis udara luar, memberikan hanya udara bersih dan nyaman untuk memasuki ruang kabin. Penting untuk situasi pandemik hari ini.

4. Faktor ‘wow’

Dah cukup mewah? Nanti dulu, ada lagi…

Toyota Harrier hadir dengan beberapa ‘party trick’ yang boleh membuatkan rakan anda yang menumpang berkata, “Pergh, boleh tahan…”.

Pertama, terdapat bumbung panoramik kaca yang boleh dimalapkan. Dengan hanya menekan satu butang, cermin elektrokromik ini boleh bertukar daripada cerah jernih kepada kesan ‘tinted’ untuk menapis sinaran matahari.

Ini merupakan ciri yang biasanya ada pada kereta ultra-mewah seperti Rolls-Royce yang berharga jutaan ringgit. Cuma penulis terdetik di dalam hati kos untuk membaiki atau menggantikan cermin ini suatu hari nanti, pasti agak ‘keras’.

Satu lagi ciri ialah cermin pandang belakang digital. Dari cermin biasa, anda boleh tukarkannya menjadi paparan digital yang memaparkan rakaman secara langsung dari kamera di cermin belakang luar kenderaan.

Bila benda ini berguna? Semasa bawa penuh penumpang atau barangan di ruang kargo dan pandangan cermin terhalang, anda boleh guna mod digital ini untuk paparan tanpa gangguan. Ianya tidak terlalu janggal dan agak ‘natural’.

Dan walaupun kadang-kadang ada party trick pada kereta-kereta lain yang lebih kepada gimik, dua teknologi pada Harrier ini nampaknya lebih praktikal dan tidak membosankan untuk digunakan.

5. Pemanduan nyaman selesa

Baik, Toyota Harrier dikuasakan oleh enjin 2.0-liter 4-silinder naturally-aspirated yang mampu menjana 173hp dan 203Nm tork. Tetapi unit M20A-FKS ini sebenarnya satu ‘downgrade’ dari segi kuasa kerana Harrier generasi sebelum ini mendapat enjin turbo dengan output 231hp/350Nm.

Agak banyak berbeza di situ. Tetapi adakah ini benar-benar suatu perkara kurang baik?

Jika angka semata-mata penting untuk anda, maka Toyota Harrier ini mungkin bukan untuk anda.

Tetapi kadang-kala sesuatu kereta – atau apa-apa produk – bukan berkisar mengenai angka semata-mata. Lebih dari itu.

Harus diketahui, Toyota Harrier generasi keempat ini dibina pada pelantar TNGA-K yang juga dikongsi dengan Camry, RAV4, serta Lexus ES dan NX.

Jadi ini memberikan suatu platform cukup teguh bagi memberikan Toyota Harrier ini pemanduan yang mantap dan memuaskan.

Pengalaman pemanduan Harrier ini sangat menyelesakan dengan kabin yang senyap dan mewah, tetapi pada masa yang sama, anda dapat rasakan yang casisnya sebenarnya ‘bersedia’ memberi kestabilan untuk dipandu laju sama ada di jalan lurus atau berselekoh.

Cuma hadnya di sini adalah dari segi ‘powertrain’ iaitu enjin dan kotak gear yang seakan tidak begitu selesa diasak secara agresif.  Enjin dan kotak gearnya seolah-olah lebih selesa apabila anda ‘melayannya’ dengan lembut.

Pandu secara bersahaja, ‘taking our time’ untuk ke tempat kerja atau minum-minum dengan kawan, dan anda akan rasa Toyota Harrier ini cukup sempurna. Di lebuhraya pun sebenarnya boleh dipandu laju, malah selesa meluncur pada 150-160 km/j, cuma kelajuan itu dicapai dengan penuh sabar dan tidak terburu-buru.

Hasilnya bukan sahaja semua orang selesa, malah penggunaan bahan api juga agak baik untuk kenderaan sebesar ini.

6. Ada keburukan?

Ya, ada sedikit. Tiada kereta yang sempurna, bukan?

Pertamanya, but Toyota Harrier ini – pada 396 liter – adalah terlalu kecil untuk SUV sebegini. Sebagai perbandingan, Perodua Bezza yang merupakan sedan segmen-A pun mempunyai but bersaiz 500 liter.

Apa pun, lantai but Harrier ini agak tinggi dan rata, jadi mudah untuk memasukkan atau mengeluarkan barangan berat.

Keduanya, enjin Harrier ini dengan 173hp boleh dikira agak ‘lemau’, tetapi kotak gear CVT Direct Shift ini sekurang-kurangnya menutup kelemahan enjin dengan memberikan output yang optimum setiap masa tanpa perlu enjin bekerja keras.

Lagipun, siapa yang membeli Toyota Harrier untuk dipandu laju, bukan? Jika mahu laju, lebih baik anda pergi ke BMW X3 atau lebih baik lagi, Porsche Macan.

Sebagai kesimpulan, penulis rasakan Toyota Harrier generasi keempat ini masih mempunyai resepi klasik sebuah Harrier yang kita kenali, dengan sedikit elemen sporti dan bergaya.

Spesifikasi Toyota Harrier 2.0 Luxury

Harga: RM249,707
Enjin: 2.0-liter 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: CVT Direct Shift
Kuasa: 173hp @ 6,600rpm
Tork: 203Nm @ 4,400rpm

5 pandu uji pilihan Engear sepanjang 2021

JIKA semalam kami ada tulis senarai pelancaran pilihan sepanjang tahun, kali ini Amirul mahu berkongsi lima pandu uji paling bermakna untuk 2021.

Ayat romantik? Bukanlah… Paling bermakna di sini mungkin bermaksud pandu uji itu sangat unik dan istimewa yang mungkin akan diingati untuk satu tempoh yang lama.

Tidak semestinya kereta itu berharga RM1.1 juta atau berkuasa 650hp, pandu kereta biasa pergi adventure bersama kawan pun boleh jadi bermakna.

Tanpa berlengah lagi, jom tengok kereta pertama!

1. Perodua Ativa

Ini bukan sahaja penting untuk Perodua, tetapi Ativa akan diingati kerana ia membawakan satu pakej yang jauh maju ke depan dari model-model lain pengeluar itu.

Dengan enjin turbo pertama, kotak gear D-CVT, padat dengan teknologi dan ciri keselamatan, serta rupa yang cukup moden dan bergaya membuatkan Amirul hampir menyambar satu. Harga pun boleh tahan.

Perodua Ativa juga mengubah persepsi mengenai kemampuan sebenar pengeluar nasional yang berpangkalan di Rawang itu, membuatkan kami tidak sabar menunggu produk mereka yang akan datang.

2. Suzuki Swift Sport

Suzuki Swift Sport ini ada yang menepati jangkaan, ada yang di luar jangkaan penulis. Yang menepati jangkaan ialah betapa luasnya kabin walaupun sebuah hatchback sporti dan betapa menjimatkan minyak jika dipandu secara biasa.

Tetapi yang di luar jangkaan ialah betapa selesa kereta ini walaupun mempunyai pengendalian mantap, serta betapa lazatnya stereng Swift Sport ini. Sterengnya cukup tepat dan responsif lalu menyumbang kepada keseluruhan kepuasan pemanduan.

Bukan kuasa dan pecutan semata-mata, tetapi maklumbalas dan feel stereng juga penting untuk kereta sebegini. Suzuki Swift Sport membuktikan anda tidak semestinya perlu kuasa 300-400hp untuk berseronok.

3. Porsche Taycan

Kereta ketiga ini sedikit istimewa, kerana ianya elektrik sepenuhnya (EV) iaitu Porsche Taycan. Lebih istimewa lagi, kami dapat memandunya di Litar Antarabangsa Sepang, tempat paling sesuai untuk meneroka kebolehan sebenar kereta ini.

Semua varian telah kami uji di Sepang, dari Taycan 4S, Taycan Turbo hingga yang paling berkuasa, Taycan Turbo S. Dengan dua motor elektrik berkuasa tinggi di gandar depan dan belakang, Porsche Taycan menjanjikan pecutan 0 ke 100km/j dengan kepantasan sebuah supercar, kira-kira 3 hingga 4 saat sahaja.

Pemanduannya juga cukup solid seperti sebuah Porsche biasa 911 atau Cayman, dapat menakluki selekoh-selekoh di litar Sepang dengan cukup meyakinkan dan selamba. Kira tak segan lah kalau parkir Porsche Taycan ini di acara track day bersebelahan dengan Mitsubishi Evo, Ferrari 458 atau Mercedes-AMG C63.

Dalam acara sama pemanduan Taycan, Amirul juga diberi peluang memandu 911 GT3 terbaharu. Nikmat enjin NA (naturally-aspirated) tekan hingga 9,000rpm itu lain macam…

4. Land Rover Defender

Amirul tidak pernah memandu Land Rover atau Range Rover terkini sebelum ini. Tetapi pernah memandu Land Rover Defender klasik beberapa tahun lepas.

Jadi, pengalaman pemanduan Land Rover Defender 2021 dikira sangat unik walaupun hanya untuk tempoh masa yang singkat.

Ada yang berkata dengan harga permulaan sekitar RM800,000 dan padat dengan teknologi, ‘sayang’ untuk memandunya di laluan off-road mencabar. Tetapi harus diingat, semua Land Rover direka untuk mampu mengharungi laluan lasak.

Jadi jika diberi peluang, pasukan Engear akan cuba pandu Defender ini masuk jalan kebun!

5. Toyota Harrier

Amirul jarang sukakan SUV tetapi Toyota Harrier dirasakan wajar tersenarai dalam kompilasi ini. Ya, ia tidak lagi mendapat enjin turbo seperti Harrier generasi sebelum ini, tetapi enjin 2.0-liter NA itu dibantu oleh kotak gear Direct Shift CVT yang menjadikan pemanduannya cukup lancar.

Ditambah pula dengan kabin yang begitu senyap dan mewah, penumpang anda pasti gembira balik kampung dengan Harrier 2021 ini.

Oh ya, rupa luarannya pun kini semakin berani dengan lampu belakang dramatik serta beberapa ciri canggih seperti bumbung suria elektrokromik yang boleh dimalapkan. Menarik.

Penghargaan khas

Izinkan Amirul tambah satu lagi kereta, dikira sebagai penghargaan khas dalam artikel ini. Ya, Toyota GR Yaris! Mana boleh lupa kereta paling istimewa yang dipandu sepanjang tahun 2021.

Silap-silap GR Yaris ini boleh jadi kereta paling istimewa dipandu sepanjang masa.

Kenapa? Terlalu banyak sebab. Antaranya, ia direka hasil dari homologasi khas untuk menyertai kejuaraan rali WRC (World Rally Championship), ia mendapat enjin 3-silinder paling berkuasa di dunia, dan banyak komponen unik padanya tidak dikongsi dengan model-model Toyota lain.

GR Yaris juga satu-satunya kereta pandu uji dengan transmisi manual yang dipandu sepanjang 2021. Dan paling Amirul suka, mod pemanduan Normal, Sport dan Track yang bukan melaras respon enjin, sebaliknya mengawal agihan kuasa pada gandar depan dan belakang.

Sekian sahaja beberapa artikel kompilasi hujung tahun, anda boleh baca artikel lain di sini.

Selamat Tahun Baharu 2022 dan jumpa lagi!

UMWT jual 9,280 unit kenderaan pada April, Corolla Cross dan Harrier terlaris

UMW Toyota Motor (UMWT) meneruskan momentum positif selepas berjaya memasarkan lebih 9,280 unit bagi Toyota dan Lexus pada April.

Perkembangan itu dipercayai susulan daripada lanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan berakhir pada 30 Jun depan.

Menerusi data UMWT, model Corolla Cross dan Harrier antara mendapat permintaan tinggi pengguna.

Ia menyaksikan model import sepenuhnya (CBU) bagi Corolla Cross dan Harrier telah habis terjual.

Sementara itu, UMWT mengakui sistem pembelian secara digital turut memudahkan urusan pengguna menempah kenderaan.

“Kami (UMWT) lihat terdapat kecenderungan daripada pelanggan menggunakan platform digital bagi menempah kenderaan mereka sukai.

“Kami akan meneruskan usaha jitu dalam memantapkan platform digital untuk berurusan dengan para pelanggan di masa depan,” kata presidennya, Ravindran K.

Pelanggan berminat mendapatkan kenderaan keluaran UMWT boleh segera membuat tempahan.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, para pelanggan bakal menikmati ganjaran berganda jika mendapatkan mana-mana kenderaan keluaran syarikat itu.

Pada masa sama, pelanggan juga boleh menikmati skim pembiayaan EZ Beli yang menawarkan ansuran bulanan rendah.

Nash kemalangan, Toyota Harrier langgar penghadang jalan

PENYANYI veteran Datuk Jamaluddin Elias atau Nash cedera ringan selepas terbabit dalam satu kemalangan di KM250.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara berhampiran Senawang.

Insiden berlaku petang semalam ketika penyanyi itu dan pemandunya dalam perjalanan pulang ke ibu negara dari Johor.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku selepas kenderaan jenis Toyota Harrier dinaiki melanggar lopak air sebelum menghentam tembok penghadang jalan.

Akibat kemalangan, Nash mengalami luka pada muka dan sakit dada manakala pemandunya mengalami luka-luka ringan.

Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.