fbpx

Toyota Harrier yang terlebih muda, terlebih berani – Pandu uji

toyota harrier thumb

JIKA anda membesar sebagai remaja pada awal 2000-an, anda pasti perasan kelibat Toyota Harrier yang biasa dipandu pegawai tinggi kerajaan, guru besar, golongan pencen, dan kontraktor.

Cukup mewah, ibarat Toyota Vellfire atau Mercedes C-Class untuk hari ini. Memang sesuai dengan imej pemilik-pemiliknya pada masa itu.

Tetapi kini, cuba anda lihat rupa Toyota Harrier terbaharu ini, sangat berbeza, bukan? Ya, mirip rupa SUV mewah Eropah.

Selain disebabkan ianya lebih baharu, Harrier ini juga terkena ‘tempias’ Toyota Gazoo Racing iaitu falsafah atau semangat yang menjadikan kenderaan-kenderaan Toyota kini lebih mengujakan untuk dipandu.

Mari kita lihatkan beberapa perkara penting yang penulis pelajari atau alami dengan pandu uji Toyota Harrier ini.

1. Harga premium

Sesuai dengan statusnya, Toyota Harrier ini berharga sedikit sahaja di bawah RM250k, iaitu lebih tepat lagi RM249,707. Ini boleh dikatakan harga paling tinggi untuk SUV Toyota di Malaysia sebelum melangkah ke Lexus.

Cuma untuk sebuah Toyota, mungkin ada yang mempertikai harga ini sedikit ‘keras’, lebih-lebih lagi bila anda sudah boleh mendapat sebuah BMW 3-Series G20 320i atau 330e.

Untuk SUV pula, pada harga ini juga anda boleh melihat kepada Mercedes-Benz GLA atau Volvo XC40, juga pilihan menarik.

Jadi, mengapa kita akan pilih Toyota Harrier? Ini yang kita akan rungkaikan dalam hujah-hujah seterusnya.

2. Gaya berani

Susah untuk menafikan bahawa Toyota Harrier generasi ini nampak begitu berani dan berbeza berbanding kebiasaan.

Malah jika anda pertama kali terlihat Harrier ini tanpa mengetahuinya, pasti anda akan menyangka ia sebuah Porsche atau Jaguar.

Terdapat garisan-garisan dramatik ditarik dari lampu depan, melalui tingkap sisi hingga tiang-C, dan diakhiri di lampu belakang dengan nyalaan memanjang yang berhubung dari kiri hingga ke kanan. Sememangnya memberikan aura berlainan untuk Harrier ini.

Penulis juga sukakan rekaan gril depan bertutup yang mengemaskan lagi gaya luaran Harrier ini.

3. Ciri dan kelengkapan setanding jenama premium Jerman

Toyota Harrier ini dilengkapi dengan pelbagai ciri terkini dan premium sepadan dengan harganya.

Terdapat lampu depan bi-LED matriks yang nipis tetapi berkuasa, tempat duduk kulit cukup mewah dan empuk, bumbung panoramik yang besar, ruang dalaman lapang, dan permukaan yang terasa berkualiti.

Unit infotainmen di tengah papan pemuka ialah skrin melintang bersaiz 8-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, memberikan segala macam fungsi yang anda perlukan dalam sesebuah kenderaan.

Skrin infotainmen ini terletak di atas ruang konsol bersar berbentuk berlian yang menjadi sempadan kedua-dua tempat duduk depan. Rekaan ini cukup kemas dan mewah.

Boleh dikatakan keseluruhan ruang kabin terasa hampir seperti sebuah Lexus. Eh, tapi memang dari segi harga, ia hampir kepada Lexus.

Harrier merupakan SUV Toyota dengan harga paling tinggi, tambah sedikit sahaja dan anda akan terus memasuki ‘wilayah’ Lexus.

Tidak dilupakan, penulis cukup sukakan pendingin hawa Harrier ini yang turut dilengkapi sistem Nanoe X yang akan menapis udara luar, memberikan hanya udara bersih dan nyaman untuk memasuki ruang kabin. Penting untuk situasi pandemik hari ini.

4. Faktor ‘wow’

Dah cukup mewah? Nanti dulu, ada lagi…

Toyota Harrier hadir dengan beberapa ‘party trick’ yang boleh membuatkan rakan anda yang menumpang berkata, “Pergh, boleh tahan…”.

Pertama, terdapat bumbung panoramik kaca yang boleh dimalapkan. Dengan hanya menekan satu butang, cermin elektrokromik ini boleh bertukar daripada cerah jernih kepada kesan ‘tinted’ untuk menapis sinaran matahari.

Ini merupakan ciri yang biasanya ada pada kereta ultra-mewah seperti Rolls-Royce yang berharga jutaan ringgit. Cuma penulis terdetik di dalam hati kos untuk membaiki atau menggantikan cermin ini suatu hari nanti, pasti agak ‘keras’.

Satu lagi ciri ialah cermin pandang belakang digital. Dari cermin biasa, anda boleh tukarkannya menjadi paparan digital yang memaparkan rakaman secara langsung dari kamera di cermin belakang luar kenderaan.

Bila benda ini berguna? Semasa bawa penuh penumpang atau barangan di ruang kargo dan pandangan cermin terhalang, anda boleh guna mod digital ini untuk paparan tanpa gangguan. Ianya tidak terlalu janggal dan agak ‘natural’.

Dan walaupun kadang-kadang ada party trick pada kereta-kereta lain yang lebih kepada gimik, dua teknologi pada Harrier ini nampaknya lebih praktikal dan tidak membosankan untuk digunakan.

5. Pemanduan nyaman selesa

Baik, Toyota Harrier dikuasakan oleh enjin 2.0-liter 4-silinder naturally-aspirated yang mampu menjana 173hp dan 203Nm tork. Tetapi unit M20A-FKS ini sebenarnya satu ‘downgrade’ dari segi kuasa kerana Harrier generasi sebelum ini mendapat enjin turbo dengan output 231hp/350Nm.

Agak banyak berbeza di situ. Tetapi adakah ini benar-benar suatu perkara kurang baik?

Jika angka semata-mata penting untuk anda, maka Toyota Harrier ini mungkin bukan untuk anda.

Tetapi kadang-kala sesuatu kereta – atau apa-apa produk – bukan berkisar mengenai angka semata-mata. Lebih dari itu.

Harus diketahui, Toyota Harrier generasi keempat ini dibina pada pelantar TNGA-K yang juga dikongsi dengan Camry, RAV4, serta Lexus ES dan NX.

Jadi ini memberikan suatu platform cukup teguh bagi memberikan Toyota Harrier ini pemanduan yang mantap dan memuaskan.

Pengalaman pemanduan Harrier ini sangat menyelesakan dengan kabin yang senyap dan mewah, tetapi pada masa yang sama, anda dapat rasakan yang casisnya sebenarnya ‘bersedia’ memberi kestabilan untuk dipandu laju sama ada di jalan lurus atau berselekoh.

Cuma hadnya di sini adalah dari segi ‘powertrain’ iaitu enjin dan kotak gear yang seakan tidak begitu selesa diasak secara agresif.  Enjin dan kotak gearnya seolah-olah lebih selesa apabila anda ‘melayannya’ dengan lembut.

Pandu secara bersahaja, ‘taking our time’ untuk ke tempat kerja atau minum-minum dengan kawan, dan anda akan rasa Toyota Harrier ini cukup sempurna. Di lebuhraya pun sebenarnya boleh dipandu laju, malah selesa meluncur pada 150-160 km/j, cuma kelajuan itu dicapai dengan penuh sabar dan tidak terburu-buru.

Hasilnya bukan sahaja semua orang selesa, malah penggunaan bahan api juga agak baik untuk kenderaan sebesar ini.

6. Ada keburukan?

Ya, ada sedikit. Tiada kereta yang sempurna, bukan?

Pertamanya, but Toyota Harrier ini – pada 396 liter – adalah terlalu kecil untuk SUV sebegini. Sebagai perbandingan, Perodua Bezza yang merupakan sedan segmen-A pun mempunyai but bersaiz 500 liter.

Apa pun, lantai but Harrier ini agak tinggi dan rata, jadi mudah untuk memasukkan atau mengeluarkan barangan berat.

Keduanya, enjin Harrier ini dengan 173hp boleh dikira agak ‘lemau’, tetapi kotak gear CVT Direct Shift ini sekurang-kurangnya menutup kelemahan enjin dengan memberikan output yang optimum setiap masa tanpa perlu enjin bekerja keras.

Lagipun, siapa yang membeli Toyota Harrier untuk dipandu laju, bukan? Jika mahu laju, lebih baik anda pergi ke BMW X3 atau lebih baik lagi, Porsche Macan.

Sebagai kesimpulan, penulis rasakan Toyota Harrier generasi keempat ini masih mempunyai resepi klasik sebuah Harrier yang kita kenali, dengan sedikit elemen sporti dan bergaya.

Spesifikasi Toyota Harrier 2.0 Luxury

Harga: RM249,707
Enjin: 2.0-liter 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: CVT Direct Shift
Kuasa: 173hp @ 6,600rpm
Tork: 203Nm @ 4,400rpm

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved