Arkib Tag: HARLEY DAVIDSON

Didi Resources kekal pengedar rasmi motosikal Harley-Davidson di Malaysia

Didi Resources terus diberi kepercayaan selaku pengedar rasmi jenama Harley-Davidson di Malaysia. 

“Kami berharap kerjasama ini akan terus mengukuhkan komuniti Harley-Davidson di Malaysia. Kami berbesar hati dapat meneruskan tanggungjawab ini di samping mengukuhkan lagi program pembangunan yang selaras dengan Harley-Davidson,” jelas Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo . 

Bukan setakat pengedar, Didi Resources juga dipertanggungjawabkan untuk menyediakan servis selepas jualan menerusi rangkaian pengedar seluruh negara. 

Sementara itu,  Didi Resources juga akan kekal sebagai pengedar bukan eksklusif bagi barangan dan aksesori Harley-Davidson di Malaysia. 

Harley-Davidson lancar CVO Pan America 1250 

Harley-Davidson dengan rasminya memperkenalkan CVO Pan America 1250 untuk pasaran global sekaligus menjadi motosikal ‘adventure’ pertama yang muncul dengan versi CVO. 

Pelancaran model ini bukanlah satu kejutan kerana khabar angin mengenai kemunculan versi CVO telah pun timbul beberapa bulan lalu. 

Dibangunkan daripada Pan America 1250 Special, versi CVO ini juga dilengkapi dengan  suspensi ‘semi-active’, panel meter TFT dengan fungsi ‘touchscreen’, serta od menunggang pelbagai. 

Tidak dilupakan enijn V-Twin 1250cc itu juga berupaya menjana 150hp dan 125Nm. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • top box dan panniers
  • quickshifter
  • rim tubeless
  • lampu LED

SWM Stormbreaker 1200 diperkenalkan – 61hp, 90Nm

Harley-Davidson Sportster 1200 adalah petanda aras bagi segmen ‘cruiser’ maka tidak hairanlah kebanyakan model dalam segmen ini hadir dengan reka bentuk yang diinspirasikan dari model keluaran Amerika Syarikat itu. 

Terbaru, jenama motosikal Itali, SWM, telah menjadikan Sportster 1200 sebagai rujukan utama bagi penghasilan model terbaru, SWM Stormbreaker. 

Secara keseluruhan, Stormbreaker ini nampak tak tumpah seperti Harley-Davidson Sportster 1200 termasuk bahagian enjin. Bagaimanapun, SWM mendakwa motosikal berkenaan telah direka sepenuhnya di Itali. 

Pada masa sama, Harley-Davidson telah pun menghentikan pengeluaran Sportster 1200 jadi secara teknikal, Strombreaker bukanlah sekadar ‘copy & paste’ model yang lebih terkemuka. 

Dalam pada itu, Strombreaker dikuasakan enjin V-Twin 1200cc dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menjana 61hp dan 90Nm. Menariknya, enjin ini mencapai standard Euro 5 dan mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 165km/j. 

Menariknya, berat, ukuran dimensi dan kerangka juga turut sama seperti Sportster 1200. 

Polis Sabah terima 8 unit Harley-Davidson Low Rider ST

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Sabah telah menerima sumbangan sebanyak lapan motosikal berkuasa tinggi jenis Harley-Davidson daripada kerajaan negeri.

Kesemua motosikal tersebut diserahkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor  kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Bin Dikun dalam satu majlis penyerahan di Lobi Utama Blok A, Menara Kinabalu pada 3 Oktober.

Menurut hantaran di laman Facebook Polis Sabah, sumbangan ini mampu mengatasi masalah kekurangan aset terutama motosikal dalam penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi Kontinjen Sabah.

Selain penugasan khas, motosikal ini juga akan digunakan untuk penugasan pengiring prestige di Sabah.

Motosikal jenis Harley-Davidson Low Rider ST itu dikuasakan oleh enjin V-Twin berkapasiti 1,923 cc yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 105 hp pada 5,020 rpm dan 168 Nm pada 3,500 rpm.

Secara keseluruhannya, sumbangan daripada kerajaan negeri Sabah ini adalah bernilai RM1.076 juta dan akan diagihkan dalam dua fasa.

Harley-Davidson lelong 2 unit Low Rider El Diablo untuk tujuan amal

HARLEY-Davidson Petaling Jaya baru-baru ini mengadakan majlis lelongan amal di mana dua unit Harley-Davidson Low Rider El Diablo telah berjaya dibida oleh dua pembida tertinggi.

Buat pengetahuan anda, Low Rider El Diablo merupakan model daripada program Icon Collections yang terhad kepada 1,500 unit sahaja untuk pasaran global. Dua unit berkenaan diperoleh oleh Harley-Davidson Petaling Jaya dan Harley-Davidson Penang melalui proses undian yang melibatkan semua wakil pengedar di Malaysia.

Dalam majlis tersebut, dua model edisi terhad tersebut berjaya dilelong masing-masing pada harga RM183,900 dan RM179,900 selepas bidaan dibuka pada harga RM172,900.

Daripada jumlah tersebut, H-D PJ dan H-D PG berjaya meraih kutipan sebanyak RM14,880 yang akan disalurkan kepada dua organsasi amal iaitu Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Hospital Lam Wah Ee.

“Terima kasih kepada semua pembida kerana menyokong lelongan amal Low Rider El Diablo dan tahniah kepada kedua-dua yang berjaya kerana mereka bukan sahaja menyumbang kepada kebajikan tetapi juga memperoleh motosikal edisi terhad yang akan meningkat nilainya,” kata Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Kumpulan Didi.

Berasaskan model Low Rider ST, versi El Diablo tampil dengan skema warna yang dihasilkan oleh Gunslinger Custom Paint. Ia dimulakan dengan warna El Diablo Bright Red untuk lapisan pertama dan Bright Red Sunglo untuk lapisan kedua.

Untuk efek yang lebih mendalam, warna El Diablo Dark Red dan Dark Red Pearl juga dikenakan pada sekeliling panel, sebelum disudahi dengan pinstripe Pale Gold yang dicat menggunakan tangan dan cat hitam pada enjin dan ekzos.

Harley-Davidson Low Rider S dan ST kini di Malaysia, dari RM115,900

HARLEY-Davidson Malaysia telah memperkenalkan Low Rider S dan ST untuk pasaran Malaysia, dengan harga bermula RM115,900.

Motosikal kruiser itu kini mendapat casis Softail yang dikenali dengan kelincahannya dan digabungkan dengan enjin ikonik Milwaukee-Eight 117.

Sudah tentu perhatian untuk Harley-Davidson Low Rider ini adalah enjinnya, malah boleh diibaratkan seperti seketul enjin dengan tempat duduk, hendal dan tayar.

Angka 117 pada Milwaukee-Eight ini bermakna kapasitinya 117 cubic-inch (ci), bersamaan 1,917cc. Ia mampu menjana 105hp dan 169Nm tork.

Enjin ini juga dilengkapi dengan penapis udara terdedah Heavy Breather yang menghala ke depan untuk tork di pertengahan julat pusingan enjin, selain memberikan rupa sebuah ‘hot-rod’.

Untuk lebih prestasi, anda boleh memilih komponen naik taraf Screamin’ Eagle Performance Parts dan aksesori-aksesori lain bagi menambah prestasi enjin.

Low Rider ST

Harley-Davidson Low Rider ST mendapat saddlebag yang biasa digunakan semasa tunggangan jarak jauh, tetapi boleh ditanggalkan untuk mehukar motosikal ini kepada mod ‘urban performance cruiser’.

Ia juga dilengkapi dengan lampu depan LED 5.75-inci, fairing baharu yang dipasang pada bingkai, cermin depan 6-inci dengan tint Dark Smoke, tangki minyak berkapasiti 18.9 liter, dan panel instrumen ringkas dengan paparan digital.

Suspensi depan terdiri dari fork terbalik 43mm dengan sudut 28-darjah, sementara di belakang menggunakan monoshock dengan pelarasan pre-load.

Low Rider ST hadir dengan sistem brek Brembo dengan cakera 300mm di depan, serta ABS. Tayar pula adalah Michelin Scorcher 31.

Harley-Davidson Low Rider ST boleh didapati dengan warna Vivid Black dan Gunship Grey.

Harley-Davidson Sportster S jentera kruiser terbaharu dengan 121hp dan 125Nm

DIPERKENALKAN buat kali pertama pada 1957, Sportster merupakan model yang paling lama dihasilkan oleh Harley-Davidson.

Namanya juga cukup sinonim dengan pengeluar motosikal yang berasal dari Milwaukee itu, terutamanya bagi mereka yang baru ingin berjinak dalam dunia motosikal kustom.

Kini, barisan Sportster telah mendapat model serba baharu yang dikenali sebagai Sportster S.

Tidak seperti model terdahulu yang dikuasakan oleh enjin V-berkembar ‘Evolution’, jentera ini tampil dengan enjin 1250 Revolution Max baharu seperti yang digunakan pada model Pan America.

Foto oleh Harley Davidson

Kuasa dan Enjin

Dilengkapi dengan teknologi penyejukan cecair dan Variable Valve Timing (VVT), enjin 1,250 cc berkenaan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 121 hp dan 125 Nm tork, dengan rev maksimum mencecah 9,500 rpm.

Ia digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac slipper.

Angka tersebut sedikit lebih rendah jika dibandingkan dengan Pan America namun enjin Sportster S didatangkan dengan beberapa penambahbaikan bagi mendapatkan hamburan tork yang lebih tinggi pada julat pertengahan.

Ini termasuk saiz injap dan port yang lebih kecil, bentuk kebuk pembakaran yang berbeza serta piston baharu.

Selain modifikasi berkenaan, enjin tersebut juga dipasang terus pada kerangka hadapan, tengah dan belakang, sekaligus menjadikan ia sebahagian daripada elemen struktur casis.

Cara ini bukan sahaja dapat mengurangkan berat keseluruhan motosikal, malah menjadikan casis lebih tegar dan pengendalian lebih mantap.

Kerangka tersebut dipadankan dengan sistem suspensi boleh laras yang terdiri daripada fork terbalik bersaiz 43 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak dengan tabung Showa Piggyback pada bahagian belakang.

Sementara itu, rim pula diperbuat daripada aluminium tuangan dan tayar yang digunakan adalah Dunlop GT503.

Bagi memastikan ia mempunyai kuasa membrek yang secukupnya, Harley-Davidson menggunakan angkup Brembo monobloc empat piston dan cakera 320 mm di hadapan, dan angkup Brembo dua piston dan cakera 260 mm di belakang.

Walaupun sebelum ini Sportster dilihat agak konvensional dari segi teknologi, kelengkapan elektronik yang ada pada model terbaharu ini boleh dikatakan cukup serba-serbi.

5 Mod Tunggangan

Antara yang disertakan adalah lima mod tunggangan (Sport, Road, Rain dan dua mod kustom), Traction Control, ABS, sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), paparan TFT berukuran empat inci dengan fungsi Bluetooth serta port USB-C untuk pengecasan telefon.

Di Amerika Syarikat, Sportster S dijual pada harga bermula dari $14,999 (kira-kira RM63,300).

Ia boleh didapati dalam tiga warna iaitu Vivid Black, Stoned Wash White Pearl dan Midnight Crimson.

Sudah tentu, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai aksesori rasmi Harley-Davidson seperti pelana solo, cermin penghadang angin kompak yang boleh dicabut, tail bag dan pelbagai lagi.

Kredit oleh Harley Davidson

Harley-Davidson tease model baharu, enjin 1250cc!

JENAMA Harley-Davidson bukan suatu yang asing dalam industri permotoran dunia.

Memiliki branding yang kukuh, Harley-Davidson tidak pernah berhenti daripada menghasilkan produk bermutu tinggi.

Terbaharu, syarikat asal negara ‘Uncle Sam’ itu mengeluarkan teaser model baharu di platform internet.

Tidak memperincikan lebih lanjut, Harley-Davidson sekadar memberi bayangan dengan mempamerkan perkataan “Revolution Max” pada bahagian enjin.

Ia sudah pasti merujuk kepada enjin v-twin iaitu sama seperti model Pan America 1250.

Berdasarkan ciri terdapat pada Pan America, ia didatangkan dengan enjin 1252cc dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa 150 kuasa kuda!

Namun, ramai juga menjangkakan model baharu cruiser ini mempunyai talaan yang sedikit berbeza.

Berikut antara ramalan ciri-ciri terdapat pada model baharu yang bakal diperkenalkan Harley-Davidson.

• Model baharu Harley-Davidson mempunyai bentuk rendah dan panjang
• Hanya memilki satu tempat duduk yang leper
• Dua ekzos yang terletak tinggi seperti motosikal tracker
• Brek cakera tunggal di hadapan
• Angkup Brembo di belakang
• Tayar tebal di hadapan
• Pemegang yang lebar

Pelancaran model baharu Harley-Davidson dijangka berlangsung pada Julai nanti.

Ketika ini, Harley-Davidson amat proaktif di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu mereka.

Jochen Zeitz dikatakan akan memperkuatkan barisan model sedia ada dan memberi fokus kepada penjualan cruiser serta touring v-twin berkapasiti tinggi.