GWM Malaysia mempertontonkan sebuah lagi model baharu di acara KLIMS 2026, iaitu Haval H7 Hi4 PHEV.
SUV off-road tenaga baharu ini menampilkan rekaan kotak ikonik yang menggandingkan karakter SUV lasak dengan daya tarikan gaya hidup moden.
Spesifikasi
Berbanding Hi2 yang lebih ringkas, sistem Hi4 merujuk kepada tetapan hibrid pacuan semua roda yang lebih sesuai untuk pemanduan yang lebih lasak.
Pada Haval H7 Hi4 PHEV ini, ia menampilkan enjin 1.5 liter turbo dengan dua motor elektrik dan transmisi DHT dua-kelajuan.
Kuasa keseluruhan mencecah 370 PS dan 750 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 6.2 saat.
Dalam mod sifar emisi, SUV ini boleh bergerak sejauh 150 km (CLTC) dengan jarak pandu keseluruhan boleh melebihi 1,000 km.
Casis & Dimensi
Haval H7 membawakan ukuran dimensi panjang 4,800 mm, lebar 1,950 mm , tinggi 1,843 mm dan jarak antara roda 2,738 mm.
Tidak seperti barisan model Tank dengan binaan body-on-frame, Haval H7 mengguna pakai casis monocoque.
Namun, ia masih lagi mampu menawarkan keupayaan pemanduan off-road dengan sudut pendekatan 25 darjah, sudut pelepasan 32 darjah dan sudut breakover 20.1 darjah.
H7 juga mampu meredah air sedalam 580 mm dan dilengkapi dengan kekunci pembeza belakang kawalan elektronik.
Luaran
Tema kotak menguasai keseluruhan reka bentuk Haval H7.
Di bahagian depan ia menampilkan jeriji berbentuk segi empat yang diinspirasikan daripada kubu pertahanan, diikuti lampu utama segi empat yang diinspirasikan daripada struktur tanggam dan pasak.
Lampu belakang pula menampilkan rekaan potongan kristal.
Kesemua elemen ini menggabungkan karakter lasak dengan sentuhan premium, sekali gus mewujudkan identiti SUV off-road urban yang tersendiri.
Kabin
Tema lasak tersebut diteruskan pada ruang kabin, menampilkan struktur papan pemuka yang menegak.
Terdapat kelengkapan seperti stereng dua jejari, skrin kluster digital 12.3 inci, serta skrin infohibur 15.6 inci di bahagian tengah.
Penawaran GWM Ora Good Cat EV di pasaran Malaysia bakal dilengkapkan dengan kehadiran model Ora 5 HEV yang dipacu oleh sistem hibrid Hi2.
Model tersebut dipertontonkan buat kali pertama oleh GWM Malaysia bertempat di acara KLIMS 2026.
Apa itu Hi2?
Hi2 merujuk kepada:
H – Hybrid
i – Intelligent
2 – keupayaan yang menawarkan dua manfaat utama iaitu kecekapan bahan api dan prestasi mantap
Spesifikasi
Sistem hibrid Hi2 pada Ora 5 HEV ini terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi DHT 2-kelajuan.
Kuasa keseluruhan mencecah 223 PS dan 476 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.7 saat.
Digandingkan dengan bateri 1.09 kWh, Ora 5 HEV ini boleh mencapai jarak pandu melebihi 1,100 km dengan kadar penggunaan bahan api 4.4 liter/100 km.
Dimensi
Crossover ini membawakan ukuran sepanjang 4,471 mm, lebar 1,833 mm, tinggi 1,641 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.
Berbanding Ora Good Cat, Ora 5 HEV ini mempunyai kelebihan 236 mm panjang, 58 mm lebih lebar, 45 mm lebih tinggi dan jarak antara roda 70 mm lebih panjang.
Pencapaian di luar negara
Ora 5 menerima anugerah berprestij “Design of The Year” di London Design Awards pada tahun 2025.
Selain itu, model ini turut meraih pengiktirafan Guinness World Recordss untuk kategori penggunaan bahan api terendah oleh SUV hibrid.
Dalam pemanduan merentasi pelbagai perbandaran di China sejauh 3,004 km, Ora 5 HEV mencatatkan kadar penggunaan bahan api serendah 3.74 liter per 100 km.
GWM Malaysia memperluas barisan SUV lasak mereka dengan melancarkan model baharu Tank 300 HEV 2026.
Varian hibrid tunggal GWM Tank 300 HEV itu ditawarkan pada harga RM259,800 atas jalan tanpa insurans, dan hadir dengan pakej jaminan berikut:
Jaminan seumur hidup bagi enjin dan transmisi (eksklusif untuk pemilik persendirian pertama)
Jaminan bateri kuasa 8-tahun/180,000 km
Jaminan kenderaan & HEV 6-tahun tanpa had perbatuan
Pelanggan juga boleh menikmati manfaat pemilikan seperti:
Pakej penyelenggaraan percuma 5-tahun (termasuk kos buruh dan alat ganti)
Pakej perkhidmatan telematik Tahap 2 selama 5-tahun percuma
Pemilik GWM sedia ada layak mendapat rebat eksklusif RM3,000.
Spesifikasi
Tank 300 HEV dipacu enjin 2.0 liter turbo yang mampu menjana 245 PS dan 380 Nm, dibantu motor elektrik 106 PS dan 268 Nm.
Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa setinggi 346 PS dan 648 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik hibrid 9-kelajuan (9HAT).
Tank 300 HEV turut mengekalkan keupayaan pemanduan off-road merangkumi:
sistem pacuan empat roda on-demand
gear julat rendah 4L
mod pemanduan Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand dan 4L
Tank Turn Assist untuk radius putaran lebih kecil
Crawl Control (CCO)
Kelengkapan luaran dan kabin
SUV off-road hibrid ini hadir dengan pilihan warna Crystal Black, Pearl White, serta warna eksklusif Sand Beige untuk varian HEV sahaja.
Dari segi luaran, ia masih kekal dengan penawaran terdahulu, sementara ruang kabin didatangkan dengan ciri seperti:
kemasan kulit Nappa
skrin kluster digital 12.3 inci
skrin infohibur 12.3 inci
sistem audio premium Infinity dengan 9-pembesar suara
kelengkapan ADAS Tahap 2
kamera 360 darjah
Khusus untuk varian HEV ini, terdapat ciri pintar seperti sambungan aplikasi pintar untuk pemantauan status jarak jauh, serta bantuan parkir automatik.
GWM Malaysia mengumumkan perancangan untuk melancarkan sehingga enam model baharu untuk pasaran Malaysia.
Perkara tersebut diumumkan semasa acara Malam Penghargaan Tahunan Bersama Media yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Prestasi GWM Malaysia tahun 2025
Sepanjang tahun lepas, GWM merekodkan jualan hampir 5,900 unit kenderaan.
Ia mewakili kadar pertumbuhan sebanyak 177 peratus dari tahun ke tahun, menunjukkan tahap penerimaan yang padu terhadap rangkaian produknya dan pendekatan yang diterima dalam pasaran Malaysia.
Sasaran tahunan 60,000 unit menjelang 2028
Enam model baharu yang bakal tiba di pasaran Malaysia ialah:
Tank 300 HEV
Dua SUV segmen B
Dua SUV segmen C
SUV mewah segmen C
Menuju tahun 2028, GWM menyasarkan 6 peratus pegangan pasaran dengan jualan tahunan 60,000 unit.
Jenama itu juga menyasarkan kedudukan 10 teratas untuk jenama automotif di Malaysia dan tangga 3 teratas untuk jenama dari China.
Teknologi jadi fokus utama GWM
Teknologi akan menjadi fokus utama GWM yang dipacu oleh sistem hibrid pintar Hi4 yang mula diperkenalkan pada model Wey G9 Hi4 PHEV.
Selain sistem Hi4 itu tadi, GWM akan menggunakan pendekatan rangkaian kuasa pelbagai dengan menawarkan pilihan kenderaan ICE, HEV, dan BEV dalam senarai portfolionya yang terdiri daripada Haval, Tank, Ora, dan Wey.
Imej korporat (CI) baharu bermula 2026
Selain pembangunan produk, GWM berusaha untuk memajukan dan menaik taraf rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualannya.
Bersama 60 buah pengedar di seluruh negara, GWM akan memperkenalkan imej korporat (CI) yang dipertingkatkan untuk menetapkan standard jelas dalam usaha menawarkan pengalaman jualan yang lebih konsisten dan premium di seluruh rangkaiannya.
Perkhidmatan selepas jualan tetap menjadi kunci utama untuk memperolehi kepercayaan pelanggan.
Ia disokong oleh program latihan teknikal yang intensif, 95 peratus ketersediaan pemasangan alat ganti di seluruh negara serta sistem GWM Care untuk memperkasakan kepuasan para pelanggan sepanjang tempoh pemilikan.
Malaysia sebagai hab penting ASEAN
GWM mengekalkan komitmen terhadap pemasangan tempatan dan operasi CKD, dengan aspirasi menjadikan Malaysia hab eksport penting di ASEAN.
Strategi ini menyokong pembangunan kenderaan tenaga baharu (NEV) menerusi pemindahan teknologi serta memperluas eksport kenderaan bernilai tinggi.
Ia juga mengukuhkan keupayaan tenaga tempatan menerusi penyetempatan yang lebih menyeluruh, kepakaran teknikal yang lebih canggih serta permbangunan bakat yang berterusan.
Fokus bina jenama yang mampu bertahan lama
Encik Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia menjelaskan fokus mereka adalah untuk membina jenama automotif yang mampu bertahan lama di pasaran.
“Kami bersaing menggunakan kepakaran jurutera, platform pintar, teknologi keselamatan yang dipertingkatkan, dan produk yang kukuh dalam usaha memberi nilai jangka panjang.
“Pertumbuhan yang kami capai pada tahun 2025 menunjukkan bahawa kami sedang membangunkan sesuatu yang bermakna dan kami berada di landasan yang betul.
“Ia memberi gambaran terdapat peningkatan dalam keyakinan terhadap produk kami, tenaga kerja, dan kecekapan para pengedar kami, serta perkhidmatan selepas jualan yang cekap dan ekosistem.
“Di masa hadapan, fokus kami menjurus kepada meneruskan momentum ini untuk memberi nilai jangka panjang dengan meletakkan asas yang tepat, sesuai pada tempatnya, supaya pertumbuhan kami bukan sahaja mampan malah jenama ini terus berdiri kukuh untuk tahun-tahun yang mendatang,” tambah beliau lagi.
Di tengah lambakan model hibrid dan elektrik yang memasuki pasaran Malaysia, GWM Haval H6 HEV telah berjaya membuktikan kehebatannya.
Ia bukan sekadar sebagai pendatang baharu, tetapi sebagai pilihan utama yang dipercayai oleh 6,000 pemilik sejak pelancarannya pada Oktober 2024.
Kejayaan ini meletakkannya sebagai hibrid kedua paling laris di negara ini dan mencerminkan keyakinan pengguna terhadap teknologi yang dibawa.
Berada pada titik harga RM139,380, Haval H6 HEV menawarkan keseimbangan antara kemewahan, teknologi pintar dan nilai jangka panjang yang sukar ditandingi dalam kelasnya.
Rekod 6,000 Unit!
Angka 6,000 unit bukan sekadar statistik jualan, malah ia merupakan satu bentuk penerimaan pasaran yang menunjukkan bahawa pengguna Malaysia kini mencari pilihan yang sudah teruji.
Di saat pasaran semakin sesak dengan pelbagai tawaran Hybrid Electric Vehicle (HEV) dan Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) baharu, Haval H6 HEV telah beralih daripada status pendatang baharu kepada pilihan hibrid yang sudah mapan.
Keyakinan ini berakar umbi daripada prestasi dunia nyata dan bukan sekadar janji pemasaran, memberikan jaminan kepada pembeli bahawa mereka memilih sebuah SUV yang telah diterima baik oleh ribuan keluarga lain di seluruh negara.
Kebebasan Perjalanan Tanpa Gangguan Gaya Hidup
Apa yang membezakan Haval H6 HEV adalah kemampuannya untuk menyesuaikan diri dengan realiti pemanduan di Malaysia tanpa memerlukan perubahan tabiat harian.
Sebagai model hibrid self-charging, pemilik tidak perlu bimbang tentang jadual pengecasan atau mencari stesen pengecasan kerana ia menawarkan kemudahan harian yang mutlak.
Teknologi 2-speed Dedicated Hybrid Transmission (DHT) memastikan peralihan kuasa antara enjin petrol dan motor elektrik berlaku dengan sangat lancar dan responsif.
Kecekapan ini terbukti apabila ia mampu menempuh jarak sehingga 1,000km dengan satu tangki penuh.
Malah SUV ini mencatatkan rekod ASEAN dengan jarak luar biasa sejauh 1,242km, menjadikannya teman setia untuk perjalanan jauh seperti rutin balik kampung tanpa kekerapan mengisi minyak.
Dalam masa yang sama, Haval H6 HEV kekal menawarkan prestasi meyakinkan dengan kuasa maksimum 243 PS dan daya kilas 530 Nm, memberikan pengalaman pemanduan yang mantap, lancar dan responsif walaupun ketika membawa muatan penuh.
Reka Bentuk dan Keselesaan Premium Keluarga
Haval H6 HEV direka sebagai next-gen intelligent family SUV yang menggabungkan estetika ikonik dengan fungsi praktikal.
Luarannya tampil menyerlah dengan bentuk yang sasa, lampu depan LED Signature Waterfall Intelligent serta rim aloi 19 inci yang memberikan gaya yang meyakinkan.
Di dalam kabin, panoramic sunroof memberikan suasana luas, manakala kerusi depan dengan pengudaraan dan sistem negative ion air purifier memastikan keselesaan serta kesihatan penumpang sentiasa terjaga.
Untuk keperluan logistik keluarga, Haval H6 HEV menawarkan ruang but yang luas iaitu 560 liter, cukup untuk barangan harian dan beg perjalanan.
Apabila kerusi belakang dilipat, kapasiti ini boleh berkembang sehingga 1,485 liter, memberikan fleksibiliti maksimum untuk pelbagai keperluan keluaga, daripada membeli belah harian sehinggalah perjalanan jauh balik kampung.
Teknologi Pintar dan Keselamatan Menyeluruh
Haval H6 HEV ini tidak hanya menawarkan keselesaan, malah ia dilengkapi dengan teknologi pemanduan yang memudahkan urusan seharian.
Pemandu dibantu dengan meter digital 10.25 inci, paparan Head-Up Display (HUD), serta sistem maklumat hibur dengan skrin 12.3 inci dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Dari sudut keselamatan, Haval H6 HEV hadir dengan system bantuan pemandu ADAS Tahap 2, memberikan keyakinan tambahan kepada pemandu dan menjadikan setiap perjalanan lebih selamat untuk seisi keluarga.
Antara ciri yang ditawarkan termasuklah Adaptive Cruise Control (ACC) dengan brek automatik, Lane Keep Assist (LKA) dan Blind Spot Detection (BSD) bertindak sebagai mata tambahan ketika memandu.
Tambahan pula, kamera 360° dengan paparan Transparent Chassis serta bantuan parkir automatik memastikan SUV ini mudah dikendalikan walaupun dalam ruang sempit atau kawasan bandar yang padat.
Nilai Jangka Panjang dan Ketenangan Minda
GWM sangat memahami bahawa bagi keluarga di Malaysia, ketenangan minda merupakan keutamaan yang paling tinggi dalam pelaburan sebuah kenderaan.
Sebagai isyarat keyakinan terhadap ketahanan teknologinya, Haval H6 HEV ditawarkan dengan jaminan menyeluruh selama 10 tahun untuk enjin dan bateri HEV, 8 tahun untuk system hybrid serta 5 tahun servis percuma.
Pakej jaminan yang menyeluruh ini, apabila digabungkan dengan jarak sehingga 1,000 km membuktikan bahawa ia bukan sekadar janji pemasaran.
Dengan komuniti yang kini mencecah 6,000 pemilik, Haval H6 HEV berdiri teguh sebagai pilihan yang rendah stres, terbukti dan dipercayai untuk realiti pemanduan di Malaysia.
GWM Malaysia secara rasmi menyerahkan MPV plug-in hybrid GWM Wey G9 Hi4 kepada pemilik pertama, iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Dalam majlis serahan di GWM USJ, penyanyi popular tanah air itu turut diumumkan sebagai duta rasmi jenama Wey G9.
Menurut Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, “Kami amat berbesar hati untuk menyerahkan Wey G9 Hi4 PHEV kepada Siti Nurhaliza.
“Dengan ciri keselamatan, keselesaan, rekaan dan teknologi pintar, Wey G9 dicipta untuk pemandu yang pakar dalam menilai prestasi, menitikberatkan kecanggihan reka bentuk dan keyakinan dalam setiap perjalanan.
GWM Wey G9 pelengkap hidup Dato’ Siti
Siti Nurhaliza turut berkongsi kegembiraan beliau semasa menerima WEY G9 yang disifatkan sebagai detik yang begitu bermakna dan bernilai dalam kehidupannya.
“WEY G9 Hi4 PHEV terasa begitu sempurna dalam melengkapkan kehidupan harian saya.
“Keselesaan, ruangnya yang luas, dan reka bentuk dalamannya menjadikan setiap perjalanan lebih tenang dan menyeronokkan.
“Sama ada untuk keluar bekerja, menghadiri mesyuarat, atau meluangkan masa bersama keluarga tersayang, setiap perjalanan dirasakan lancar, damai, dan meyakinkan.
“Inilah maksud sebenar keseimbangan dan kemudahan yang amat saya hargai.”
800 tempahan diterima sejak pelancaran
Sejak dilancarkan, WEY G9 Hi4 PHEV telah menerima lebih 800 tempahan dalam minggu pertama.
Ini disumbangkan dengan harga jualan yang cukup kompetitif, iaitu sekitar RM269,800.
GWM Malaysia mengumumkan model MPV Wey G9 mencatatkan tempahan lebih 800 buah dalam tempoh seminggu selepas dilancarkan.
Pencapaian ini menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap MPV tenaga baharu mewah pertama yang dipasang secara tempatan (CKD).
Bukti keupayaan ekosistem tempatan
Menurut Encik Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia berkata, “Pencapaian ini turut menggambarkan keupayaan ekosistem pemasangan tempatan di Malaysia.
“Dengan kelebihan tenaga kerja mahir dan rangkaian vendor sedia ada, kami membuktikan bahawa Malaysia menepati standard global di samping menjana nilai jangka panjang untuk industri tempatan.
Jarak pandu Wey G9 lebih 1,000 km
GWM Wey G9 dikuasakan oleh sistem hibrid pintar Hi4 PHEV yang mampu menjanjikan jarak pemanduan sifar emisi sejauh 170 km.
Jarak pandu keseluruhan pula mampu melebihi 1,000 km, di samping menawarkan pengalaman pemanduan yang cekap dan senyap.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.7 saat dan kelajuan maksimum 190 km/j.
Sistem Hi4 membenarkan Wey G9 bergerak dalam mod sifar emisi sejauh 170 km, dan jarak keseluruhan mencecah sehingga 1,000 km (data NEDC).
Kadar penggunaan bahan api pula adalah serendah 1.2 liter/100 km.
Terdapat lima mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, AWD dan Snow.
Casis & Kelengkapan Luaran
Secara standard, Wey G9 didatangkan dengan ciri peredam FRD (Frequency Response Damper), sistem brek cakera, rim 18 inci, serta tayar Michelin e-Primacy (saiz 245/50 R18).
Ciri lain termasuklah sistem lampu LED keliling termasuklah lampu utama automatik dan fungsi suluhan tinggi automatik (AHB), bumbung kaca panorama depan dan belakang, serta pintu tailgate elektronik.
Dalaman
Kabin Wey G9 menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk, lengkap dengan balutan kulit Nappa Premium dan leatherette untuk baris ketiga.
Kerusi pemandu didatangkan dengan larasan lapan tahap, fungsi memori, sokongan tulang belakang, urut 10-poin dan juga fungsi pengudaraan, sementara kerusi penumpang hadapan pula mempunyai larasan elektrik enam-tahap, suis Bos, serta fungsi memori dan pengudaraan.
Penumpang baris kedua pula boleh menikmati tempat duduk Graviti Sifar, lengkap dengan fungsi pengudaraan, urut, larasan enam-tahap, serta skrin kecil untuk kawalan penting.
Ciri lain yang dimuatkan termasuklah sistem pencahayaan ambien 64-warna, skrin digital 12.3 inci, skrin tengah sebesar 14.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio 21 pembesar suara, sistem pembatalan hingar aktif HALOSonic, peti sejuk 12.5 liter, serta port pengecasan USB.
Keselamatan
Wey G9 hadir dengan ciri keselamatan seperti enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Cengkaman (TCS), cagak ISOFIX serta sistem kamera keliling 360 darjah dengan fungsi Transparent Chassis.
GWM Malaysia mencapai satu lagi kejayaan penting dengan penghantaran model pemasangan pertama (CKD) GWM WEY G9 ke Thailand baru-baru ini.
Langkah ini menunjukkan komitmen GWM untuk bekerjasama lebih rapat di peringkat serantau, mengukuhkan keupayaan kenderaan tenaga baharu (NEV), dan membangunkan industri merentas sempadan.
Penghantaran ini dibuat selepas kejayaan pengeluaran pertama WEY G9 pemasangan tempatan di Malaysia, dan menjadi fasa seterusnya dalam rancangan GWM untuk membina rantaian bekalan serta ekosistem pembuatan yang kukuh di ASEAN.
Eksport CKD ke Thailand ini turut membuktikan keyakinan GWM terhadap kemampuan Malaysia dalam kerja pemasangan automotif bernilai tinggi, pemindahan teknologi dan potensi eksport pada masa depan.
Usaha ini dijangka meningkatkan daya saing industri tempatan, membangunkan vendor, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam strategi serantau GWM.
Menurut En. Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, penghantaran CKD ini membuktikan asas kukuh yang sedang dibina GWM di ASEAN.
“Malaysia kini berperanan sebagai hab pemasangan strategik yang menyokong pasaran jiran dengan produk tenaga baharu yang lebih maju, sambil mengukuhkan integrasi rantaian bekalan serantau.
Mr. Cui Anqi selaku Pengarah Urusan GWM Malaysia pula menambah, “WEY G9 menggabungkan kejuruteraan bertaraf dunia dengan mutu kerja tempatan.
“Penghantaran ke Thailand ini menunjukkan kemampuan Malaysia menyokong pengembangan GWM di rantau ini dan menjadi permulaan kepada pelan jangka panjang GWM dalam teknologi tenaga baharu.
GWM Wey G9 bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada bulan ini.
GWM Malaysia mengumumkan penawaran Tank 500 edisi hitam (Black Edition) untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM336,800.
Sesuai dengan nama yang diberikan, Tank 500 Black Edition ini mendapat kemasan berwarna hitam berkilat pada beberapa bahagian seperti jeriji, emblem Tank, rim 20 inci, pemegang pintu serta perumah tayar simpanan.
Tank 500 juga turut mendapat unit lampu LED dengan efek asap.
Spesifikasi asas Tank 500 Black Edition masih lagi kekal tidak berubah, di mana ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter hibrid menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan 648 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik 9-kelajuan.
Berbeza dengan Tank 500 Black Edition, Tank 500 edisi standard dijual pada harga RM328,800.
Great Wall Motor Malaysia (GWM Malaysia) hari ini mengumumkan ketibaan model kenderaan elektrik (EV) dengan spesifikasi yang lebih sporti, iaitu Ora Good Cat GT.
Harga jualan bermula dari RM119,800.
Terdapat beberapa perbezaan antara Ora Good Cat GT dengan varian Ultra yang turut ditawarkan.
Berikut merupakan beberapa perincian ringkas berkenaan Ora Good Cat GT:
1. Dimensi
Berbanding Ora Good Cat Ultra, Ora Good Cat GT membawakan dimensi sepanjang 4,254 mm (+19 mm) dan lebar 1,848 mm (+23 mm).
Ukuran tinggi dan jarak antara roda masih kekal, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 135 mm.
2. Prestasi
Ora Good Cat GT dikuasakan oleh motor elektrik yang mampu menjana 171 PS dan daya kilas 250 Nm, atau 28 PS dan 40 Nm lebih bertenaga berbanding varian Ultra.
Namun begitu, kelajuan tertinggi dihadkan kepada 150 km/j sahaja.
Varian GT menawarkan mod pemanduan seperti Normal, Sport, ECO, ECO+, Auto dan Individual.
Sama seperti varian Ultra, Ora Good Cat GT dibekalkan dengan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) 57.7 kWh yang mampu membenarkan jarak pandu sejauh 460 km.
Secara standard, Ora Good Cat GT menyokong pengecasan AC 6.6 kW (pengecasan penuh 9 jam), serta pengecasan pantas DC 60 kW di mana pengecasan 30-80 peratus dalam masa 38 minit sahaja.
Ora Good Cat juga hadir dengan sokongan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3 kW.
3. Ciri luaran
Membezakan varian GT dengan varian Ultra ialah penampilan luaran yang lebih sporti.
Varian GT mendapat kelengkapan seperti:
bampar depan dan belakang lebih agresif
angkup brek berwarna kuning
rim aloi hitam dengan trim kuning saiz 18 inci
pintu belakang berkuasa bebas tangan
spoiler belakang GT
aksen kuning pada bampar
perumah cermin sisi berwarna kuning
4. Ruang kabin
Kedua-dua varian Ora Good Cat hadir dengan kemasan warna dua tona, namun varian GT diberikan gandingan warna hitam dan kuning yang lebih menyerlah.
Selain itu, varian GT turut mendapat ciri eksklusif seperti tempat duduk baris depan sporti dengan fungsi pengudaraan dan urut, serta kemasan kulit suede.
Ciri standard lain yang dibekalkan termasuklah:
skrin paparan digital tujuh inci
skrin infohibur 10.25 inci
sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W
sistem pendingin hawa automatik dengan penapis PM 2.5
sistem audio enam pembesar suara
bumbung kaca panorama
5. Keselamatan
Ciri keselamatan standard pada kedua-dua varian termasuklah:
enam beg udara
Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
Kawalan Cengkaman (TCS)
cagak ISOFIX
kamera 360 darjah
fungsi kamera tembus casis
sistem bantuan parkir pintar (IIP)
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
Amaran Keluar Lorong (LDW)
Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
Bantuan Pemusatan Tengah Lorong (LCK)
Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Bantuan Mula Mendaki (HSA)
6. Varian Ultra
Ora Good Cat varian Ultra turut ditawarkan secara rasmi dengan harga jualan bermula dari RM109,800 yang membawakan spesifikasi berikut:
motor elektrik tunggal
kuasa 143 PS, daya kilas 210 Nm
jarak gerak 480 km
mod pemanduan Normal, Sport, ECO, ECO+ dan Auto
rim aloi 18 inci
pilihan kemasan dalaman Green/Grey, Brown/Rice, atau Green/Rice (bergantung warna luaran)
GWM Malaysia mengumumkan kemas kini bagi model SUV hibrid Haval H6 HEV yang kini ditawarkan dengan warna Phantom Black untuk ruang kabin.
Untuk imej yang lebih premium dan sporti, bahagian itu juga turut menampilkan kemasan perak kusam dan penggunaan bahan sentuh lembut.
Menurut GWM Malaysia, perubahan ini adalah sejajar dengan respons pengguna terhadap model SUV hibrid tersebut.
Selain itu, pihak GWM Malaysia kini meningkatkan tempoh jaminan bateri Haval H6 HEV daripada lapan kepada sepuluh tahun, atau had perbatuan sehingga satu juta km (yang mana tiba dahulu).
Jaminan tersebut juga boleh dipindah milik kepada pemilik berikutnya, sekaligus menawarkan ketenangan minda buat para pemilik selain memastikan nilai jualan semula yang lebih baik.
Secara standard, Haval H6 HEV didatangkan dengan pakej jaminan berikut:
– jaminan pengeluar 7 tahun/200,000 km
– jaminan enjin 10 tahun/1,000,000 km
– jaminan bateri HEV 10 tahun/1,000,000 km
– jaminan sistem HEV 8 tahun/1,000,000 km
Sementara pemilik berikutnya boleh menikmati perlindungan seperti berikut:
– jaminan pengeluar yang tidak berubah
– jaminan enjin 7 tahun/200,000 km
– jaminan bateri kekal 10 tahun/1,000,000 km
– jaminan sistem HEV 8 tahun/200,000 km
Tiada perubahan dari segi spesifikasi, di mana Haval H6 HEV masih lagi dikuasakan oleh enjin hibrid 1.5 liter menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS dan 530 Nm.
Untuk pasaran Malaysia, Haval H6 HEV dijual pada harga bermula dari RM139,800.
GWM Malaysia mengumumkan pelantikan Roslan Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) yang baharu.
Dengan pengalaman lebih 30 tahun di dalam industri automotif Malaysia, Roslan memainkan peranan penting dalam mengubah dan memperkukuh kehadiran jenama di dalam pasaran, selain meraih kepercayaan pelanggan.
Pelantikan Roslan tiba pada masa yang tepat di mana GWM Malaysia sedang mempercepat usaha untuk membina ekosistem mobiliti yang menyokong peralihan negara ke arah pengangkutan yang lebih pintar dan hijau.
Menurut Roslan Abdullah, GWM kini mempunyai resepi yang tepat untuk membentuk masa depan mobiliti di Malaysia.
“Visi saya adalah untuk meletakkan GWM sebagai rakan mobiliti jangka panjang yang dipercayai menerusi jaringan pengedar dan servis yang kuat dan boleh dipercayai, portfolio produk yang mampu memenuhi keperluan rakyat Malaysia, serta komitmen kuat untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lancar.
Roslan sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Siapa sangka, segmen off-road yang sebelum ini dikuasai oleh jenama Jepun kini sudah mula ditembusi oleh model terbaharu daripada pengeluar China.
Namun, tidak seperti kelaziman SUV off-road yang hadir dengan bantuan enjin diesel, pengeluar dari Tanah Besar menumpukan perhatian kepada enjin hibrid serta plug-in hybrid.
Kelebihannya? Enjin bersesaran kecil yang menyumbang kepada kos cukai jalan yang lebih rendah, dan keupayaan yang jauh lebih berkuasa dan bertenaga untuk kegunaan di laluan yang sukar.
Salah satu pengeluar yang tampil dengan penyelesaian off-road moden ialah GWM, menerusi produk SUV saiz penuh Tank 500 HEV.
Jadinya, jika anda sudah mula bosan dengan model buatan Jepun, tidak salah untuk cuba sendiri SUV off-road Tank 500 yang sudah rasmi berada di Malaysia.
Baru-baru ini kami dijemput sendiri oleh GWM Malaysia untuk memandu SUV hibrid mewah ini dari Bandar Elmina menuju ke Pulau Pinang, dan ini merupakan pendapat awal kami berkenaan Tank 500 HEV:
Dimensi yang gagah perkasa
Atas jalan, Tank 500 HEV nampak macam sekumpulan delegasi luar negara yang sedang melawat Malaysia, terutama apabila ia dipandu dalam kelompok konvoi.
Tidak seperti Tank 300 yang nampak seperti SUV retro, Tank 500 pula membawakan imej SUV yang lebih moden dan bersih dengan rekaan badan tanpa garis bercelaru.
Jika dibandingkan dengan pesaingnya (apa lagi kalau bukan Land Cruiser), Tank 500 memiliki dimensi yang sedikit kecil.
Namun Tank 500 mempunyai ukuran panjang melebihi lima meter, terima kasih kepada ruang simpanan tayar saiz penuh di bahagian belakang.
Bukaan pintu belakang juga tidak seperti tipikal SUV yang ada di pasaran, ia mempunyai engsel di bahagian sisi lengkap dengan fungsi tutup lembut.
Penulis tiada masalah untuk membiasakan diri dengan rupa paras SUV ini, cuma lebih enak di pandangan mata jika kebanyakan elemen krom itu dikusamkan.
Ruang kabin ada elemen olskool
Penulis tidak begitu menggemari susun atur papan pemuka yang mementingkan segala fungsi disumbatkan ke dalam skrin paparan.
Jadi, bila masuk ke dalam kabin Tank 500, penulis mampu melepaskan nafas lega kerana kebanyakan fungsi masih boleh dioperasikan dengan hanya menekan butang fizikal.
Selain butang kawalan sistem pendingin hawa, terdapat juga butang fungsi penting yang diletakkan pada konsol tengah, lengkap dengan tombol gear saiz besar.
Di depan pemandu disediakan skrin paparan sebesar 12.3 inci dan skrin paparan head-up, manakala skrin tengah pula sebesar 14.6 inci lengkap dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.
Tempat duduk hadapan balutan kulit Nappa disediakan bermacam fungsi keselesaan (ventilasi, urut, larasan elektronik).
Untuk peneman sepanjang perjalanan, Tank 500 dipadankan dengan sistem audio Infinity dengan 12 pembesar suara untuk alunan muzik yang kena dengan jiwa.
Untuk keluar dari kabin dengan selesa, terdapat tempat pemijak sisi yang akan muncul secara automatik saat pintu dibuka.
Keselesaan penumpang dibantu dengan sistem pendingin hawa automatik tiga-zon. Penumpang belakang diberikan panel kawalan berasingan, serta empat corong udara untuk memastikan udara sejuk sampai ke tempat sepatutnya.
Perkara yang paling digemari penulis? Jam analog di bawah skrin infohibur itu tadi. Satu sentuhan kecil yang boleh buatkan suasana dalam kabin rasa macam kereta yang lebih mahal.
Kemasan kayu pada beberapa sudut turut menyumbang kepada pengalaman yang lebih mewah untuk sebuah SUV berharga bawah RM400 ribu.
Pengalaman duduk sebagai penumpang
Satu perkara yang membuatkan perjalanan yang lebih selesa dalam Tank 500 ini ialah tahap NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) yang cukup baik untuk sebuah SUV binaan ladder-frame.
Pada kelajuan meluncur yang sederhana tinggi, kami dapat rasakan suasana dalam kabin agak senyap.
Bunyi bising angin luar sukar untuk menerjah masuk, dan kurang bunyi bising yang datang dari arah gerbang tayar.
Sebagai penumpang, penulis mendapati Tank 500 menawarkan ruang kepala dan kaki yang cukup luas tanpa membuatkan rasa terkepit.
Bagaimana dengan tempat duduk baris ketiga? Penulis berpendapat ia lebih sesuai jika anda membawa kanak-kanak, atau lipat sahaja untuk ruang kargo 795 liter, atau sehingga 1,498 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat sekali.
Pemanduan lancar dan bertenaga, cuma…
Saat penulis memegang stereng, terdapat beberapa perkara yang berjaya memadamkan tanggapan awal.
Satu: Tank 500 HEV memang cukup stabil dan selesa walaupun dipandu pada kelajuan melebihi had kebangsaan di lebuh raya.
Dua: Kawalan badan yang mudah untuk dijangka, walaupun tidak dilengkapi dengan suspensi yang canggih.
Tiga: SUV ini memang berat, tapi ia tidaklah malas untuk bergerak.
Secara standard, Tank 500 dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo hibrid (HEV).
Atas kertas, Tank 500 menghasilkan 346 PS dan daya kilas 648 Nm, di mana kuasa itu disalurkan kepada sitem pacuan empat roda (4WD) menerusi transmisi automatik hibrid sembilan-kelajuan (9HAT).
Namun, ada satu perkara yang harus anda tahu.
Tidak seperti sistem HEV pada Haval H6 yang direka untuk penjimatan, sistem hibrid pada Tank 500 ini lebih bertindak sebagai penambah kuasa untuk memastikan badan seberat 2.5 tan ini bergerak dengan lancar.
Tiada masalah untuk bergerak dari pegun, namun Tank 500 dirasakan tidak cukup bertenaga bila penulis mahukan tujahan ekstra untuk memotong kenderaan berat di hadapan.
Anehnya, tujahan ekstra tersebut hadir pada masa yang salah – ketika SUV sedang meluncur dengan tenang pada kelajuan melebihi had laju kebangsaan.
Bukan penulis seorang sahaja yang perasan, perkara itu turut dikongsikan oleh beberapa rakan media yang lain.
Ia bukanlah satu masalah, cuma penulis lebih gemar jika bantuan kuasa tambahan tersebut hadir pada masa yang tepat.
Secara purata, dengan pola pemanduan yang bercampur-campur di atas lebuh raya kami berjaya mencatatkan kadar penggunaan bahan api sekitar 11.5 liter untuk setiap 100 km.
Dari segi aspek kawalan pula, ada beberapa perkara yang boleh ditambah baik.
Satu daripadanya ialah respons stereng, dan yang kedua ialah sistem brek yang kosong di mana ada kalanya sukar untuk penulis tentukan titik gigit brek yang diperlukan.
Tank 500 HEV secara standard hadir dengan tetapan suspensi double wishbone di depan dan tetapan multi-link di belakang tanpa sebarang larasan elektronik yang lebih canggih.
Biarpun dengan tetapan konvensional, sistem suspensi tersebut telah ditala dengan baik untuk keselesaan dan keyakinan di atas pelbagai jenis permukaan jalan.
Cuma ada ketikanya karakteristik SUV ladder-frame masih lagi dapat dirasakan terutama ketika kelajuan rendah. Ia sesuatu yang sukar utuk dielak, terutama untuk SUV dengan binaan badan sebegini.
SUV hibrid sedia untuk pemanduan off-road
Biarpun dengan pelbagai ciri mewah, GWM masih tidak lokek untuk melengkapkan SUV ini dengan bermacam ciri dan fungsi yang sangat berguna untuk laluan off-road.
Antaranya ialah kotak gear low-range, tiga kekunci pembeza (diff-lock) di bahagian depan, tengah dan belakang, fungsi tank-turn dan juga kawalan jelajah off-road.
Ia juga mampu meredah air sedalam 800 mm. Mungkin satu hari nanti kami akan kongsikan pengalaman pemanduan off-road di dalam Tank 500.
Ciri keselamatan
Selain itu, Tank 500 juga hadir dengan pelbagai ciri keselamatan termaju, seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik, sistem pemantauan titik buta, serta sistem parkir automatik.
Selain itu, terdapat enam beg udara serta dua cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak disediakan.
Ciri yang paling berguna untuk SUV saiz besar ini sudah pasti sistem kamera keliling 360 darjah yang lengkap dengan fungsi pandang telus bonet.
Kesimpulan
GWM Tank 500 boleh jadi satu alternatif untuk mereka yang mahu tampil berbeza daripada pilihan yang wujud di pasaran.
Berdasarkan pemanduan ringkas sepanjang tempoh dua hari sukar untuk kami meneroka potensi SUV ini dengan lebih mendalam.
Namun yang pasti, dengan spesifikasi serta jaminan menyeluruh daripada pengeluar, serta harga jualan bawah RM350 ribu, GWM Tank 500 mampu menawarkan pengalaman yang tidak anda jangkakan daripada pengeluar China sebelum ini.
Ia bukan produk cap ayam yang boleh anda perlekehkan. Ia sebuah GWM Tank 500.
Spesifikasi GWM Tank 500 HEV (RM328,000 OTR)
Enjin: empat silinder sebaris, 2.0 liter turbo (244 PS/380 Nm)
Motor elektrik: 106 PS/268 Nm
Kuasa keseluruhan: 346 PS/648 Nm
Transmisi: Automatik sembilan-kelajuan
Sistem pacuan: empat roda
Pek bateri: Lithium-ion, 1.67 kWh
Dimensi: 5,078 mm x 1,934 mm x 1,905 mm
Jarak antara roda: 2,850 mm
Jarak kelegaan tanah: 224 mm
Suspensi: Double-wishbone depan/multi-link belakang
GWM Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan SUV off-road mewah Tank 500 HEV di Malaysia Autoshow 2025.
Untuk pasaran tempatan, Tank 500 HEV dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo 224 PS/380 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 106 PS/268 Nm.
Kuasa keseluruhan mencecah 346 PS dan 648 Nm yang disalurkan kepada sistem pacuan empat roda menerusi transmisi automatik sembilan-kelajuan.
SUV tujuh tempat duduk ini membawakan ukuran dimensi 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm dan jarak antara roda 2,850 mm.
Tank 500 HEV menawarkan sistem pacuan roda pintar (dengan ciri M-Lock), sistem Intelligent All-Terrain dengan 11 mod pemanduan, fungsi Tank Turn, kawalan jelajah off-road serta fungsi casis pandang telus.
Ia juga mampu meredah air pada kedalaman maksimum 800 mm.
Untuk bahagian luaran, Tank 500 HEV menawarkan ciri seperti lampu LED projektor, jeriji besar dengan kemasan krom, lampu belakang LED, ruang tayar simpanan di belakang, rim 20 inci, serta tempat pemijak sisi boleh simpan automatik.
Sementara ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin kluster 12.3 inci, skrin infohibur 14.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, jam analog, slot pengecasan peranti nirwayar, butang kawalan iklim fizikal, serta sistem audio Infinity dengan 12 pembesar suara.
Ciri keselamatan termaju turut dimuatkan pada Tank 500 HEV termasuklah sistem brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal tengah lorong, sistem pengelakan pintar, sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, serta amaran bukaan pintu.
Ditawarkan dalam varian tunggal, GWM Tank 500 HEV dijual pada harga bermula dari RM328,800 atas jalan tanpa insurans.
GWM Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV off-road mewah Tank 500 HEV untuk pasaran tempatan.
Tank 500 HEV secara asasnya merupakan sebuah SUV tujuh tempat duduk, membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm dan jarak antara roda 2,850 mm.
Ia dijana dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo dipadankan dengan motor elektrik tunggal 105 hp/268 Nm dan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan.
Secara keseluruhan, Tank 500 HEV mampu menghasilkan kuasa setinggi 346 hp dan 648 Nm.
Selain daripada sistem pacuan empat roda pintar (dengan ciri M-Lock), GWM Tank 500 HEV menawarkan sistem Intelligent All-Terrain yang turut merangkumi 11 mod pemanduan, fungsi Tank Turn, Off-road Cruise Control, dan fungsi casis pandang telus.
Antara kelengkapan ruang kabin termasuklah tempat duduk balutan kulit Nappa, sistem bunyi Infinity, tempat pemijak sisi berkuasa elektrik, serta fungsi urut dan ventilasi untuk tempat duduk hadapan.
Tidak ketinggalan, ciri keselamatan seperti enam beg udara, casis badan berkekuatan tinggi dan sistem bantuan pemandu termaju L2+.
Sesi pra-tempahan untuk GWM Tank 500 HEV kini dibuka di semua 14 pusat pengedar sah GWM di seluruh negara, dengan harga jualan bermula bawah RM350,000.
GWM Malaysia mengumumkan ia telah menyerahkan Tank 300 yang ke-500 kepada pelanggannya.
Menurut syarikat itu, pencapaian ini membuktikan populariti Tank 300 yang semakin meningkat di negara ini, menjadikannya antara pilihan utama dalam kalangan peminat off-road.
“Kami amat berbangga melihat sambutan dan impak besar GWM Tank 300 di Malaysia sama seperti di China,” kata Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia.
“Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan dan keterujaan rakyat Malaysia terhadap jenama kami. Respons ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan momentum dengan barisan model Tank yang akan datang,” tambah beliau.
Bagi meraikan pencapaian ini, GWM Malaysia menawarkan waranti seumur hidup untuk enjin dan transmisi kepada semua pemilik pertama Tank 300.
Syarikat itu turut menawarkan empat promosi eksklusif kepada pemilik baharu dan sedia ada Tank 300:
Pandu Uji dan Menang: Pandu uji Tank 300 dan berpeluang memenangi baucar percutian bernilaiRM 888.
Beli dan Menang: Miliki Tank 300 dan berpeluang memenangi baucar percutian bernilai RM8,888.
Pakej Penyelenggaraan Percuma: Miliki Tank 300 dan nikmati pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
Menangi Kit Modifikasi Iron Cavalry GWM: Pelanggan yang membuat tempahan Tank 300 dari 1 Mac hingga 31 Mei 2025 akan berpeluang memenangi hadiah eksklusif kit modifikasi Iron Cavalry GWM. Untuk promosi ini, hanya satu pemenang bertuah akan dipilih.
Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah mengumumkan pemenang bagi kempen ‘GWM HAVAL H6 HEV Fuel Efficiency Challenge:Drive Further, Win Bigger’ yang berlangsung dari 20 Januari hingga 9 Februari 2025.
Dalam kempen ini, peserta menguji kemampuan kenderaan masing-masing untuk mencapai jarak pemanduan tertinggi dengan satu tangki penuh.
Gelaran juara telah dirangkul oleh Koh Hui Min dari Kelantan dengan catatan jarak tertinggi iaitu 1,204 km, sekali gus membuktikan kemampuan Haval H6 HEV dalam mencapai kecekapan bahan api maksimum untuk perjalanan jarak jauh.
Berikut adalah enam pemenang teratas dengan catatan jarak tertinggi:
Koh Hui Min (1,204 km)
Lee Keat Teng (1,127 km)
Hasif Radzi (1,120 km)
Teh Harn Jian (1,102 km)
Tan Cheng Yang (1,101 km)
Mohd Syarizal bin Mohd Noor (1,077 km)
“Pencapaian luar biasa ini membuktikan kemampuan SUV hibrid ini untuk mencapai kecekapan bahan api yang lebih efisien tanpa mengabaikan prestasi kenderaan,” kata Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia.
Dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Haval H6 HEV menampilkan gabungan enjin 1.5-liter empat silinder turbo dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 243 PS dan 530 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda menerusi kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua nisbah kelajuan.
GWM berkata Haval H6 HEV mempunyai tahap penggunaan bahan api 5.8 liter/100 km, bermakna ia boleh menempuh lebih daripada 1,000 km dengan satu tangki penuh.
Pusingan kedua cabaran ini kini sedang berlangsung dari 17 Februari hingga 9 Mac 2025. Enam pemenang teratas akan berpeluang untuk memenangi kad petrol bernilai RM1 untuk setiap 1 km jarak yang berjaya dicapai.
Great Wall Motor (GWM) Malaysia meraikan rekod jualan pada 2024 dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 331%.
Menurut syarikat itu, pencapaian hebat ini membuktikan keyakinan dan kepercayaan pengguna Malaysia terhadap kenderaan berinovatif dan berkualiti tinggi GWM.
Tambahnya lagi, jualan di Malaysia secara amnya telah memainkan peranan signifikan dalam kejayaan menyeluruh GWM di peringkat global.
Lonjakan dalam pertumbuhan jualan GWM Malaysia dipacu oleh peningkatan permintaan terhadap kenderaan berprestasi tinggi bersesuaian dengan kehendak pengguna tempatan.
Tahun lalu, GWM Malaysia telah melancarkan tiga model ke pasaran tempatan iaitu kereta elektrik coupe Ora 07, SUV off-road Tank 300, dan SUV hibrid bersaiz sederhana Haval H6 HEV yang menerima 1,500 tempahan dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan.
Di peringkat global, GWM merekodkan prestasi cemerlang dengan jumlah jualan keseluruhan mencecah 1.23 juta unit pada tahun lalu, menyumbang kepada rekod jualan kumulatif sebanyak 14.9 juta unit.
Untuk kenderaan tenaga baharu (NEV), syarikat itu menyerahkan sebanyak 321,795 unit, mewakili pertumbuhan tahun-ke-tahun sebanyak 22.82%, manakala jualan luar negara menyaksikan peningkatan sebanyak 43.93% kepada 453,141 unit.
Dengan momentum kukuh yang dibina daripada kejayaan 2024, GWM Malaysia bakal memperkenalkan model-model baharu pada 2025. Syarikat itu juga menyasarkan untuk membina hubungan yang lebih inklusif dengan pelanggannya serta memperkukuh kualiti perkhidmatan selepas jualan.
Sebagai pembuka tirai tahun baharu dan sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, GWM Malaysia melancarkan promosi “Drive Into Prosperity” yang menawarkan ganjaran eksklusif termasuk had perjalanan 10,000 km secara percuma dengan setiap pembelian Haval H6 HEV.
Great Wall Motors Malaysia (GWM) Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV hibrid Haval H6 HEV 2024.
Ia dikuasakan oleh unit rangkaian kuasa hibrid, terdiri daripada enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (150 PS/230 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (177 PS/300 Nm), menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS dan 530 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua nisbah kelajuan.
Hanya ada satu varian sahaja ditawarkan, iaitu H6 HEV Ultra dengan kelengkapan seperti struktur jeriji ‘Star Matrix’, unit lampu LED matriks, serta rim aloi 19 inci kemasan hitam berkilat.
Sementara ruang kabin pula mendapat ciri seperti skrin infohibur 12.3 inci, kawalan iklim dua zon, corong pendingin hawa baris kedua, tempat duduk balutan kulit, pintu tailgate berkuasa, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, bumbung kaca panorama, skrin paparan head-up serta sistem audio dengan lapan pembesar suara.
Ruang kargo adalah sebesar 560 liter dan mampu mencapai kapasiti sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Dari segi keselamatan, Haval H6 HEV datang dengan enam beg udara, sistem kamera keliling 360 darjah, brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang, bantuan penukaran lorong serta sistem bantuan parkir.
Harga jualan Haval H6 HEV 2024 bermula dari RM139,800, lengkap dengan jaminan penuh kenderaan selama tujuh tahun/200,000 km, jaminan enjin selama 10 tahun atau satu juta km had perbatuan, serta jaminan lapan tahun atau satu juta km had perbatuan untuk komponen HEV.
Selain daripada tawaran pakej servis percuma selama lima tahun dan rebat RM3,000 untuk tempahan selewat-lewatnya 20 Oktober 2024, pemilik kenderaan GWM sedia ada juga boleh menikmati rebat tambahan bernilai RM3,000.