Arkib Tag: GM

Honda, GM bergabung produksi EV dengan harga lebih mampu milik

HONDA Motor dan General Motors (GM) berganding kepakaran bagi membangunkan kenderaan elektrik (EV), lapor Reuters.

Kerjasama itu secara tidak langsung memberi saingan kepada Tesla yang dilihat menguasai pasaran EV terutama di Amerika Syarikat (AS).

Hal ini kerana produk EV dihasilkan Honda dan GM diramal akan dipasarkan pada harga jauh lebih murah berbanding kenderaan keluaran Tesla.

Honda e antara kenderaan elektrik (EV) yang percha dihasilkan Honda. – Foto ihsan Wikipedia

Antara jenis atau segmen kenderaan bakal dihasilkan Honda dan GM termasuk jenis crossover bersaiz kompak.

Ia dikatakan bakal menggunakan teknologi bateri Ultium daripada GM menjelang tahun 2027.

Harga yang ditawarkan juga sangat mampu milik bagi sebuah EV iaitu bermula daripada AS$30,000 atau bersamaan RM127,000.

Sementara itu, Honda dan GM juga bakal menghasilkan dua model kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik pada 2024 yang dikenali sebagai Prologue dan Acura.

Toyota kini kereta paling laris di AS, rampas takhta GM sejak 1931!

BUAT pertama kalinya dalam tempoh hampir satu abad, sebuah pengeluar asing telah mengambil tempat pertama di Amerika Syarikat (AS).

General Motors (GM) telah menjadi pengeluar paling laris di negara Uncle Sam itu sejak 1931 tetapi selepas 90 tahun, takhtanya telah dirampas oleh Toyota.

Toyota hari ini mengumumkan mereka telah menjual lebih 2.3 juta kenderaan di AS pada 2021 sahaja, iaitu 10 peratus lebih tinggi dari 2020. Angka ini mengalahkan jualan GM iaitu 2.2 juta unit kenderaan pada 2021, penurunan sebanyak 13 peratus dari 2020.

Sementara itu, Ford belum mendedahkan laporan jualan penuh mereka untuk 2021 tetapi sehingga November, mereka menjual 1.7 juta kenderaan iaitu agak jauh di belakang Toyota.

Penganalisis ada yang berbahas mengenai prestasi Toyota itu tetapi antara faktor utama ialah pemberhentian operasi pengeluaran disebabkan pandemik Covid-19 dan isu logistik dalam industri automotif melibatkan cip semikonduktor.

Toyota berjaya mengekalkan kelancaran operasi pengeluaran mereka lebih baik dari GM dan Ford, lantas membantu syarikat itu menghasilkan dan menjual lebih kenderaan.

Model paling popular Toyota iaitu RAV4 mencatatkan penurunan jualan sebanyak 5 peratus, tetapi model-model utama lain seperti Camry, Corolla, Highlander dan Tacoma semua mencatatkan peningkatan.

Chevrolet Silverado dan GMC Sierra.

Bagi GM pula, jualan Chevrolet Silverado dan GMC Sierra masing-masing menurun manakala pesaing RAV4 iaitu Chevrolet Equinox mengalami penurunan 39 peratus.

Jurucakap Toyota berkata kepada Car and Driver, “Menjadi nombor satu tidak pernah menjadi fokus atau keutamaan.

“Fokus syarikat sentiasa – dan akan terus menjadi – salah satu jenama terbaik dari segi keselamatan dan kualiti untuk pelanggan.”

Model elektrik Honda bakal ke AS, Prologue nama diberi

HONDA buat julung kali mengumumkan nama bagi kenderaan elektrik pertamanya.

Model dikenali sebagai Prologue dijangka akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) pada awal tahun 2024.

Selain itu, Honda turut bercadang akan membawa masuk kenderaan elektrik pertamanya itu ke Amerika Utara di bawah jenama Acura.

Pembangunan kenderaan elektrik ini adalah hasil kerjasama strategic antara Honda dan General Motors (GM).

Setakat ini, Honda hanya mendedahkan nama model tersebut namun, masih belum memperkenalkan perincian lain terutama membabitkan bahagian enjin dan reka bentuk.

Model Prologue bakal menemui pengguna di Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi. – Foto ihsan Facebook/Oleole Live

Honda x GM

Kerjasama Honda dan GM meliputi dua komponen iaitu bahagian enjin dan interior dalaman.

Memetik laporan media, GM bertanggungjawab membangunkan platform EV modular dan akan menggunakan teknologi bateri ultium.

Bagaimanapun, rekaan luaran dan dalaman dibangunkan oleh Honda.

Menerusi satu kenyataan, Honda menjangkakan akan terus memperkukuh sistem hibrid dalam usaha menarik minat pelanggan untuk mendapatkan kenderaan elektrik keluaran mereka.

Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda memaklumkan syarikat itu merancang meningkatkan pengeluaran model AV.

Toshihiro Mibe yang berkata demikian pada April lalu turut memaklumkan Honda serius untuk meneroka lebih luas pasaran kenderaan elektrik di AS dan China menjelang 2030.

Jelasnya, menjelang tahun 2040, Honda berharap mampu mengeluarkan 100 peratus kenderaan jenis elektrik di seluruh dunia.