Arkib Tag: eqe

Barisan Mercedes-Benz EQE dapat tiga varian baharu, harga serendah RM380k

MERCEDES-BENZ Malaysia (MBM) memperluaskan lagi barisan model EQE dengan pelancaran tiga varian baharu iaitu EQE 350+ Electric Art Line, EQE 350+ SUV Electric Art Line dan EQE 350+ SUV AMG Line.

Bukan itu sahaja, EQE 350+ AMG Line, yang dilancarkan buat pertama kali pada Disember 2022, turut diberi kemas kini.

EQE 350+ Electric Art Line & AMG Line

Ditawarkan sebagai model entry level dalam keluarganya,  EQE 350+ Electric Art Line tampil dengan pakej luaran Electric Art Line, rim aloi twin spoke berukuran 19 inci dan lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.

Di dalam, pakej Electric Art Line dipadankan dengan upholsteri kulit Artico berwarna hitam dan kelabu. Turut disertakan adalah Advanved Sound System, corak bintang Mercedes-Benz pada papan pemuka, sistem pencahayaan ambien aktif, Keyless-Go dan Parking Package dengan kamera 360 darjah.

Seperti EQE 350+ AMG Line, model ini mempunyai motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang dengan 292 hp dan 565 Nm. Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 6.4 saat manakala kelajuan maksimum adalah 210 km/j.

Kapasiti baterinya juga sama iaitu 90.56 kWj, dengan jarak gerak antara 665 km hingga 682 km berdasarkan kitaran WLTP.

Model ini didatangkan dengan pengecasan AC 22 kW yang mengambil masa 4 jam 45 minit untuk pengecasan penuh. Pengecas pantas DC 170 kW pula hanya memerlukan 32 minit untuk mengecas dari 10% hingga 80%.

Sementara itu, EQE 350+ AMG Line kini mendapat beberapa ciri baharu seperti bumbung suria panoramik, gril radiator dengan corak Mercedes-Benz, kawalan stereng gandar belakang, sistem suspensi udara Airmatic, penutup soket pengecas elektrik serta pengecasan AC 22 kW.

Harga jualan bermula dari RM379,888 untuk varian Electric Art Line dan RM429,888 untuk AMG Line.

EQE 350+ SUV Electric Art Line & AMG Line

Dilancarkan lima bulan selepas EQE 500 SUV, kedua-dua varian EQE 350+ SUV mempunyai 292 hp dan 565 Nm yang dibekalkan oleh motor elektrik tunggal yang diposisikan pada gandar belakang.

Dari segi prestasi, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.

Dengan bateri berkapasiti 90.56 kWj, EQE 350+ SUV menawarkan jarak gerak antara 485 km hingga 596 km berdasarkan kitaran WLTP. Tahap penggunaan tenaga pula adalah sekitar 21.6 hingga 17.5 kWj bagi setiap 100 km.

Masa pengecasan sama seperti versi sedan, iaitu 4 jam 45 minit untuk pengecasan penuh menggunakan pengecas AC 22 kW dan 32 minit untuk pengecasan 10-80% menggunakan pengecas pantas DC 170 kW.

Perbezaan antara kedua-dua varian ini terletak pada kelengkapan. Varian Electric Art Line tampil dengan pakej Electric Art pada bahagian luaran dan dalaman, rim aloi 20 inci, upholsteri kulit Neotex/Artico, suspensi Comfort dan Advanced Sound System.

Ia juga dilengkapi dengan Digital Light, Adaptive High Beam Assist Plus, Driving Assistance Package Plus, Parking Package dengan kamera 360 darjah dan navigasi AR. Dalam erti kata lain, ia mempunyai spesifikasi yang sama dengan EQE 350+ Electric Art Line versi sedan.

Varian AMG Line diberikan kelengkapan yang sama dengan EQE 500 SUV. Ini termasuk bumbung suria panoramik, sistem suspensi udara Airmatic, kawalan stereng gandar belakang, sistem audio Burmester 3D dan kerusi sport. Satu ciri baharu untuk varian ini adalah rim AMG berukuran 20 inci.

Harga jualan bermula dari RM398,888 untuk varian Electric Art Line dan RM448,888 untuk AMG Line.

BMW i5 vs Mercedes-Benz EQE: Pertarungan sedan EV mewah Jerman

SEMALAM, BMW telah memperkenalkan 5 Series generasi kelapan yang dikenali dengan kod nama G60. Buat pertama kali dalam sejarahnya, sedan eksekutif itu akan ditawarkan dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya menerusi model yang dikenali sebagai i5.

Sudah tentu, seteru utama i5 dalam pasaran EV adalah Mercedes-Benz EQE yang telah pun diperkenalkan lebih awal iaitu pada November 2021. Sedan elektrik mewah manakah yang lebih baik? Jom kita bandingkannya.

Reka bentuk luaran

Reka bentuk adalah soal subjektif, maka tiada cara yang mudah dan jelas untuk menentukan mana satu yang lebih cantik dan menarik. Semuanya bergantung kepada cita rasa masing-masing.

Untuk reka bentuk i5, ia dilihat ingin menjadi lebih sporty dengan penggunaan garisan-garisan tajam dan bersegi terutamanya pada bahagian depan, belakang, lampu dan gril.

Sementara itu, EQE mempunyai bentuk keseluruhan yang bujur dan setiap permukaannya juga nampak lebih licin dan rata. Jelas sekali, kecekapan aerodinamik adalah fokus utama Mercedes-Benz ketika menghasilkan reka bentuknya.

Saiz

i5 mempunyai ukuran panjang 5,060 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,515 mm dan tapak roda 2,995 mm, menjadikannya lebih besar berbanding model generasi terdahulu iaitu G30.

Ukuran dimensi EQE pula adalah panjang 4,946 mm, lebar 1,961 mm dan tinggi 1,512 mm, bermakna ia lebih pendek dan rendah, namun lebih lebar berbanding i5. Walaupun begitu, ia mempunyai tapak roda yang lebih panjang iaitu 3,120 mm.

Ruang dalaman

Sebagai EV premium, kedua-dua model ini mempunyai ruang dalaman yang futuristik dengan skrin yang besar, namun jika dibandingkan secara sebelah menyebelah, EQE mempunyai kelebihan terima kasih kepada MBUX Hyperscreen-nya yang mendominasi keseluruhan papan pemuka dengan tiga paparan sekaligus.

i5 tidak kurang hebatnya, namun Curved Display kelihatan seperti sesuatu yang diletakkan pada saat akhir. Walau bagaimanapun, sistem operasi BMW OS 8.5 membolehkan pemandu atau penumpang bermain permainan video ketika kereta berhenti.

Prestasi

i5 dilancarkan dengan dua pilihan varian iaitu eDrive40 dan M60 xDrive. Untuk perbandingan ini, kami akan membandingkan i5 eDrive40 dan EQE 350+.

i5 eDrive40 mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 340 hp dan 430 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam enam saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 193 km/j.

EQE 350+ juga mempunyai sebuah motor elektrik sahaja, namun kuasanya lebih rendah iaitu 292 hp. Bagaimanapun, tork yang dihasilkan lebih tinggi iaitu 565 Nm. Pecutan 0-100 km/j lebih perlahan sebanyak 0.4 saat, namun kelajuan maksimumnya mengalahkan i5 iaitu 210 km/j.

Untuk jarak pemanduan, EQE 350+ sekali lagi menang dengan jarak maksimum 669 km, mengalahkan i5 eDrive40 dengan perbezaan sebanyak 87 km.

Keputusan

Bagi penulis, agak sukar untuk memilih pemenang mutlak di antara kedua-dua model kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. i5 mempunyai penampilan lebih agresif, namun ruang dalamannya dilihat tidak setanding dengan kabin EQE.

Dari segi prestasi dan jarak pemanduan, i5 dan EQE sebenarnya tidak jauh berbeza. Ya, EQE mempunyai kelajuan maksimum lebih tinggi tetapi ini bukanlah faktor utama yang mampu mempengaruhi pelanggan ketika membeli EV. Untuk jarak, EQE mempunyai kelebihan tetapi jurangnya tidak terlalu besar.

Jika wang tidak menjadi masalah, model manakah yang anda akan pilih?

Mercedes E-Class 2023 akan dapat aplikasi TikTok dan Zoom

MERCEDES-Benz E-Class 2023 generasi baharu dijangka membuat pelancaran globalnya pada 25 April ini, pengeluar itu mengumumkan. Sementara itu, Mercedes turut membekalkan imej menunjukkan profil sisi E-Class W214 itu.

Sama seperti ruang dalaman yang didedahkan awal tahun ini, kita jangkakan rekaan luar E-Class 2023 generasi baharu ini juga mendapat elemen dari kembar elektriknya. Sebaliknya, sedan ini nampaknya membawakan bentuk lebih tradisional berbanding bentuk melengkung EQE.

Tetapi cermin belakang nampaknya akan lebih condong disebabkan bumbungnya yang lebih kemas dan sleek. Kita dapat lihat juga garisan karakter di sepanjang sisi kereta yang menghubungkan lampu depan dan belakang.

Tiada sebarang spesifikasi teknikal diumumkan, tetapi kita boleh jangkakan barisan elektrifikasi sepenuhnya, bermakna sama ada mendapat mild hybrid atau PHEV. Hal ini juga serupa untuk GLS dan GLC.

Walaubagaimanapun kita tidak perlu berteka-teki akan rupa dalamannya, kerana Mercedes telah mendedahkan rupa kabinnya awal tahun ini.

Ia akan mendapat rekaan Superscreen, pengganti kepada Hyperscreen dalam EQS dan EQE. Perbezaan utamanya adalah ia menampilkan skrin berlainan untuk kluster instrument, dan posisi lebih menegak untuk lebih mudah dilihat semasa memandu.

Sistem operasi MBUX juga telah dikemas kini untuk menyokong aplikasi-aplikasi seperti TikTok, Zoom dan Angry Birds. Dua aplikasi pertama (TikTok dan Zoom) akan menggunakan kamera binaan dalam kereta di atas papan pemuka untuk merakam video semasa tidak bergerak.

The MBUX operating system has also been updated to support downloadable apps including TikTok, Zoom, and Angry Birds among others – the first two will utilise a new in-car camera perched atop the dashboard for video while the car is stationary.

Mercedes-AMG EQE kini dengan talaan AMG, sehingga 626PS dan 950Nm!

PADA September tahun lalu, Mercedes-Benz memperkembangkan barisan kenderaan elektrik mereka dengan EQE. Kini, model itu mendapat bukan satu tetapi dua versi berprestasi tinggi talaan AMG iaitu EQE 43 4Matic dan EQE 53 4Matic+.

Seperti yang boleh dilihat menerusi penggunaan label ‘4Matic’, kedua-dua varian didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar. EQE 43 mempunyai 476PS (350kW) dan 858Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.2saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210km/j.

Sebagai varian yang lebih tinggi, EQE 53 pula mempunyai 626PS (460kW) dan 950Nm. Perbezaan output yang ketara itu berjaya mengurangkan masa pecutan 0-100km/j sebanyak 0.7saat kepada 3.5saat, serta meningkatkan kelajuan maksimum sebanyak 10km/j kepada 220km/j.

Pelanggan yang dahagakan kuasa yang lebih tinggi boleh mendapatkan AMG Dynamic Plus Package yang ditawarkan sebagai opsyen. Pakej ini akan meningkatkan kuasa dan tork kepada 687PS dan 1,000Nm, sekaligus memendekkan lagi masa pecutan kepada 3.3saat dan meningkatkan kelajuan maksimum kepada 240km/j.

Kuasa untuk motor-motor elektrik tersebut dibekalkan oleh pek bateri litium ion berkapasiti 90.6kWj yang disertakan secara standard pada kedua-dua varian. Dengan satu cas penuh, EQE 43 boleh mendapat jarak pemanduan sehingga 533km, manakala EQE 53 pula sehingga 518km. Kedua-dua angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTP.

Untuk pengecasan pula, kedua-dua varian didatangkan standard dengan pengecas on-board Type 2 berkapasiti 11kW, namun pelanggan mempunyai pilihan untuk menaik taraf kepada versi 22kW. Turut disertakan adalah sistem pengecasan pantas 170kW yang boleh memberikan jarak pemanduan sejauh 180km dalam hanya 15 minit.

Menurut Mercedes-Benz, output penuh AMG EQE hanya akan diberikan jika pemandu mengaktifkan mod Sport+ atau Race Start. Dalam mod Sport, kuasa dikurangkan kepada 90 peratus manakala dalam mod Slippery, ia diturunkan kepada 50 peratus. Mod Comfort pula ditala untuk membolehkan pemandu memaksimumkan jarak pemanduan.

Bercakap tentang jarak, Mercedes-Benz berkata angka-angka tersebut boleh ditambah baik lagi pada masa hadapan menerusi kemas kini secara atas udara (OTA) pada sistem pengurusan bateri.

Selain itu, EQE 43 dan EQE 53 mempunyai tiga tahap pemulihan tenaga yang boleh dilaraskan menerusi butang pada stereng. Ini memberikan fungsi pemanduan satu pedal, serta prestasi nyahpecutan yang optimum semasa Drive Pilot diaktifkan.

Sebagai jentera AMG yang sebenar, kedua-dua varian didatangkan dengan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dengan peredam adaptif, rim aloi AMG yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport EV, serta sistem stereng gandar belakang.

Bukan itu sahaja, pengalaman pemanduan yang mengujakan turut disumbangkan oleh sistem AMG Sound Experience. Sistem itu menyediakan mod Authentic, Balanced, Sport dan Powerful. Mod Performance juga ada, namun ia hanya untuk EQE 53 dengan AMG Dynamic Plus Package.