fbpx

Mercedes-AMG EQE kini dengan talaan AMG, sehingga 626PS dan 950Nm!

Mercedes-AMG EQE 02

PADA September tahun lalu, Mercedes-Benz memperkembangkan barisan kenderaan elektrik mereka dengan EQE. Kini, model itu mendapat bukan satu tetapi dua versi berprestasi tinggi talaan AMG iaitu EQE 43 4Matic dan EQE 53 4Matic+.

Seperti yang boleh dilihat menerusi penggunaan label ‘4Matic’, kedua-dua varian didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar. EQE 43 mempunyai 476PS (350kW) dan 858Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.2saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210km/j.

Sebagai varian yang lebih tinggi, EQE 53 pula mempunyai 626PS (460kW) dan 950Nm. Perbezaan output yang ketara itu berjaya mengurangkan masa pecutan 0-100km/j sebanyak 0.7saat kepada 3.5saat, serta meningkatkan kelajuan maksimum sebanyak 10km/j kepada 220km/j.

Pelanggan yang dahagakan kuasa yang lebih tinggi boleh mendapatkan AMG Dynamic Plus Package yang ditawarkan sebagai opsyen. Pakej ini akan meningkatkan kuasa dan tork kepada 687PS dan 1,000Nm, sekaligus memendekkan lagi masa pecutan kepada 3.3saat dan meningkatkan kelajuan maksimum kepada 240km/j.

Kuasa untuk motor-motor elektrik tersebut dibekalkan oleh pek bateri litium ion berkapasiti 90.6kWj yang disertakan secara standard pada kedua-dua varian. Dengan satu cas penuh, EQE 43 boleh mendapat jarak pemanduan sehingga 533km, manakala EQE 53 pula sehingga 518km. Kedua-dua angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTP.

Untuk pengecasan pula, kedua-dua varian didatangkan standard dengan pengecas on-board Type 2 berkapasiti 11kW, namun pelanggan mempunyai pilihan untuk menaik taraf kepada versi 22kW. Turut disertakan adalah sistem pengecasan pantas 170kW yang boleh memberikan jarak pemanduan sejauh 180km dalam hanya 15 minit.

Menurut Mercedes-Benz, output penuh AMG EQE hanya akan diberikan jika pemandu mengaktifkan mod Sport+ atau Race Start. Dalam mod Sport, kuasa dikurangkan kepada 90 peratus manakala dalam mod Slippery, ia diturunkan kepada 50 peratus. Mod Comfort pula ditala untuk membolehkan pemandu memaksimumkan jarak pemanduan.

Bercakap tentang jarak, Mercedes-Benz berkata angka-angka tersebut boleh ditambah baik lagi pada masa hadapan menerusi kemas kini secara atas udara (OTA) pada sistem pengurusan bateri.

Selain itu, EQE 43 dan EQE 53 mempunyai tiga tahap pemulihan tenaga yang boleh dilaraskan menerusi butang pada stereng. Ini memberikan fungsi pemanduan satu pedal, serta prestasi nyahpecutan yang optimum semasa Drive Pilot diaktifkan.

Sebagai jentera AMG yang sebenar, kedua-dua varian didatangkan dengan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dengan peredam adaptif, rim aloi AMG yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport EV, serta sistem stereng gandar belakang.

Bukan itu sahaja, pengalaman pemanduan yang mengujakan turut disumbangkan oleh sistem AMG Sound Experience. Sistem itu menyediakan mod Authentic, Balanced, Sport dan Powerful. Mod Performance juga ada, namun ia hanya untuk EQE 53 dengan AMG Dynamic Plus Package.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved