Arkib Tag: Elon Musk

Kerjasama Malaysia-Tesla tidak terhad kepada EV – Tengku Zafrul

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata potensi kerjasama di antara Malaysia dan Tesla tidak terhad kepada sektor kenderaan elektrik (EV) semata-mata, tetapi turut membabitkan sektor lain.

Menurut Tengku Zafrul, pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk dijangka berlaku sebelum akhir minggu ini.

“Terdapat lebih daripada sektor EV yang akan kita bincangkan dalam potensi kerjasama ini.

Kilang pemasangan Tesla. Gambar oleh: CNBC

“Apa yang kita mahu ialah untuk menarik lebih banyak potensi atau komitmen pelaburan dalam sektor automotif dan sektor lain yang boleh kami pasarkan di Malaysia,” katanya kepada pemberita.

Tesla, pereka dan pengilang EV yang beribu pejabat di Austin, Texas, AS, akan membuat penampilan sulung rasminya di Malaysia dengan pelancaran rasmi berlangsung di Kuala Lumpur pada 20 Julai.

Terdahulu, Tesla mengumumkan rancangan untuk membuka sebuah ibu pejabat, pusat pengalaman, pusat servis serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Ini selepas syarikat itu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke negara ini.

Anwar Ibrahim akan bertemu Elon Musk minggu depan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk pada minggu hadapan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Anwar memberitahu pertemuan tersebut antara lain adalah untuk membincangkan berkenaan penambahan pelaburan oleh hartawan tersebut di negara ini.

“Minggu hadapan, Elon Musk meminta untuk berunding dengan saya, untuk bincang kemungkinan komitmen beliau untuk tambah pelaburan di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau lagi, bagi menguruskan pendekatan ekonomi negara, tumpuan tentulah antaranya untuk meningkat pelaburan domestik dan menarik pelaburan asing.

“Minggu lalu saya jumpa pelabur-pelabur Jepun yang mahu menambah dan mengembangkan pelaburan mereka, beberapa bulan yang lalu saya ke negara China, hasil pelaburan China ke Malaysia adalah paling tinggi dalam sejarah,” katanya lagi.

Dalam satu jemputan rasmi yang diterima oleh Engear TV, Tesla akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 20 Julai ini.

Pengeluar kenderaan elektrik dari Amerika Syarikat itu sebelum ini mengumumkan rancangan untuk membuka sebuah ibu pejabat, pusat pengalaman, pusat servis serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger.

Syarikat itu juga telah mengiklankan peluang pekerjaan menerusi laman web mereka, serta mengadakan sesi temuduga terbuka pada bulan lalu sebagai persediaannya untuk beroperasi di negara ini.

Pepsi syarikat pertama terima trak elektrik Tesla Semi

BOS Tesla, Elon Musk baru-baru ini menyerahkan Tesla Semi yang pertama kepada PepsiCo, lima tahun selepas trak tugas berat elektrik sepenuhnya itu diperkenalkan kepada umum.

Berucap pada majlis penyerahan yang diadakan di kilang Tesla di Nevada, Texas, Musk berkata trak itu mampu mengurangkan emisi di lebuh raya, mengatasi trak diesel sedia ada dari segi kuasa dan keselamatan, serta menggunakan teknologi pengecasan pantas terkini yang akan digunakan pada trak pikap Cybertruck kelak.

Musk, yang kini juga merupakan pemilik Twitter, bagaimanapun tidak mendedahkan harga Semi, perincian mengenai varian trak berkenaan serta jangkaan penyerahan kepada PepsiCo dan pelanggan lain. Syarikat pengeluar makanan dan minuman itu dilaporkan telah memesan 100 unit Semi.

Pada 2017, Tesla berkata versi jarak 300 batu (482 km) dianggarkan berharga kira-kira $150,000 (RM658,200), manakala versi 500 batu (805 km) berharga $180,000 (RM789,840).

Antara syarikat terkemuka lain yang dilaporkan turut memesan Tesla Semi termasuklah pengeluar bir Anheuser-Busch, United Parcel Service dan juga Walmart.

Menurut Musk, Semi telah menjalani ujian antara kilang Tesla di Nevada dan satu lagi kilangnya di Fremont, California. Ia dikatakan mampu melengkapkan perjalanan sejauh 500 batu (805 km) dengan satu cas penuh, dengan berat keseluruhan mencecah 36,740 kg.

Sebelum ini, Tesla berkata trak itu akan dilengkapi dengan teknologi pemanduan autonomi penuh iaitu Autopilot, namun perkara ini tidak disentuh oleh Musk pada majlis penyerahan tersebut.

Semi mempunyai tiga motor elektrik pada gandar belakang yang asalnya dibangunkan untuk Model S. Satu digunakan untuk memacu trak itu pada kelajuan melayar di lebuh raya, manakala dua lagi untuk memecut.

Untuk pengecasan pula, Semi menggunakan Supercharger versi terbaru yang boleh menampung kuasa sehingga 1 megawatt, selain mempunyai teknologi penyejukan cecair di dalam kabelnya.

Robyn Denhold, pengerusi Tesla, baru-baru ini dilaporkan berkata syarikat itu mungkin menghasilkan 100 unit Semi tahun ini. Musk sebelum ini pernah berkata Tesla mensasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 50,000 unit trak itu pada 2024.

Saham Tesla menurun, Musk bukan lagi individu kedua terkaya dunia

PENGASAS Tesla, Elon Musk hilang kedudukannya sebagai individu kedua terkaya di dunia.

Agensi berita Sputnik melaporkan ia susulan penurunan 2.2 peratus saham syarikat kenderaan elektrik itu.

Musk kehilangan $3.16 juta atau bersamaan RM3,033,420.00 susulan penurunan saham syarikatnya.

Sebelum ini, Musk dilaporkan berkata syarikatnya tidak lagi menerima sebarang bayaran dalam bentuk mata wang digital.

Kenyataan menerusi laman media sosial Twitter itu memberi impak negatif dengan menyaksikan penurunan saham Tesla.

Tindakan Musk pada masa sama menyaksikan harga Bitcoin menjunam lebih dari 10 peratus kepada sekitar $42,200.

Ini bukan kali pertama kenyataan Musk di media sosial telah mempengaruhi pasaran perdagangan.

Pada 13 Mei lalu, harga Bitcoin ditutup setelah Musk mengumumkan Tesla berhasrat berhenti menerima mata wang kripto.