Arkib Tag: edisi terhad

Suzuki Jimny dengan dua edisi khas untuk Malaysia – Rainforest dan Black Edition, dari RM169k

NAZA Eastern Motors Sdn Bhd hari ini mendedahkan dua edisi terhad bagi Suzuki Jimny, iaitu Rainforest dan Black Edition.

Kedua-dua edisi ini eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja, dan hadir dengan penggayaan serta kemasan unik.

Berikut adalah kelengkapan bagi setiap edisi:

Suzuki Jimny Rainforest

 

  • Rak bumbung
  • Gril depan dengan kemasan camouflage
  • Mud flap depan dan belakang
  • Decal badan
  • Kemasan camouflage pada kabin

Suzuki Jimny Black Edition

  • Rak bumbung
  • Penutup tayar ganti belakang dengan kemasan karbon
  • Gril kemasan karbon
  • Kemasan dalam unik pada beberapa bahagian

Terdapat juga naik taraf percuma untuk Black Edition iaitu tempat duduk balutan kulit Nappa. Sementara itu, visor pintu dan mud flap disertakan pada kedua-dua model.

Ciri lain dikekalkan pada Suzuki Jimny. SUV kecil ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter naturally-aspirated dengan output 100hp dan 130Nm tork.

Kuasa ini disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 4-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda ALLGRIP PRO, low range transfer gear, dan sistem brek LSD Traction Control.

Suzuki Jimny Rainforest ditawarkan pada harga RM168,900 manakala Black Edition dengan harga RM171,900.

Triumph Bonneville Stealth Editions diperkenalkan untuk lapan model 2024

TRIUMPH Bonneville diperkenalkan dengan Stealth Editions bagi tahun 2024, bukan untuk satu atau dua model, tetapi lapan model berbeza.

Model-model tersebut adalah seperti berikut:

Bonneville Speedmaster Red Stealth Edition
Bonneville Bobber Purple Stealth Edition
Bonneville T100 Blue Stealth Edition
Bonneville T120 Blue Stealth Edition
Bonneville T120 Black Stealth Edition
Speed Twin 1200 Red Stealth Edition
Speed Twin 900 Green Stealth Edition
Scrambler 900 Orange Stealth Edition

Setiap satu model edisi ini hadir dengan rekaan unik pada tangki minyak, membawakan kemasan lukisan tangan dengan latar belakang warna berbeza.

Proses bermula dengan lapisan metalik ‘Silver Ice’ dikenakan pada setiap tangki, diikuti graphite ‘Sapphire Black’ yang dilukis dengan tepat dari gelap kepada cerah. Akhir sekali, beberapa lapisan jernih dibuat untuk memberikan balutan yang pekat dan menyerlah.

Kesemua edisi ini hanya boleh didapati selama setahun pada 2024 nanti. Sementara itu, anda boleh belek setiap model dan warna unik masing-masing dalam galeri di bawah.

Suzuki Jimny Heritage dengan pelekat badan retro yang cool – untuk Australia sahaja, RM101k

SAMA seperti Mazda MX-5 Miata, Suzuki Jimny juga antara kenderaan yang sukar untuk kita tidak suka. Ianya kecil, comel, mampu milik (sekurang-kurangnya di luar negara), dan boleh dibawa masuk ke off-road.

Suzuki Jimny mula dilancarkan pada 1970 dan menjadi ikon di seluruh dunia, malah masih sangat berjaya hingga ke hari ini. Untuk meraikan kejayaan dan sejarahnya, edisi Heritage diperkenalkan, tetapi sayang hanya untuk pasaran Australia.

Dihadkan hanya 300 unit, Jimny Heritage dihasilkan berdasarkan varian GLX dan dilengkapi dengan mud flap merah di depan dan belakang, dengan tulisan Suzuki untuk yang belakang. Terdapat juga alas kargo Jimny Heritage dengan lencana untuk menandakan ia versi edisi terhad.

Paling ketara ialah pelekat dekal badan retro, dan semua unit mendapat rim bersaiz 15-inci. Suzuki Jimny Heritage ini boleh didapati dengan warna Black Pearl, Jungle Green, White, atau Medium Grey, sementara kotak gear adalah khas manual 5-kelajuan sahaja. Tiada pilihan automatik.

Memandangkan ia dari varian GLX, Jimny ini hadir dengan lampu LED automatik, lampu kabus depan, kamera undur, dan sistem keselematan seperti Lane Departure Warning dan Autonomous Emergency Braking.

Ciri di dalam kabin termasuklah skrin infotainmen dengan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio dua pembesar suara, stereng balutan kulit, navigasi satelit, dan sistem penghawa dingin.

Harganya di Australia bermula pada AUD33,490 (RM101,031).

Nissan Kicks 327 Edition kereta unik hasil kerjasama dengan New Balance

PENGELUAR kereta bekerjasama dengan jenama-jenama luar bidang automotif bukanlah suatu perkara baharu. Kebiasaannya kita melihat kerjasama antara kereta dan jam tangan, selain dengan kasut sneaker.

Satu lagi kerjasama yang dapat kita jangkakan ialah Nissan, menerusi kempen terbaharu mereka di Jepun. Dengan nama kereta mengikut slang untuk kasut, Nissan Kicks telah dijelmakan sebagai versi sepasang sneaker, lebih tepat lagi New Balance 327.

Perkenalkan, Nissan Kicks 327 Edition.

Untuk merealisasikan projek ini, Nissan ‘membalut’ Kicks e-Power 4WD dengan reka bentuk mirip New Balance 327. Terdapat logo besar di bahagian kanan SUV itu, manakala bahagian kiri menampilkan tulisan “Nissan Kicks 3227 Edition”.

Sementara itu, bahagian lain dikenakan dengan fabrik suede dan tapak putih New Balance yang ikonik, menyempurnakan pericincian sneaker itu. Bumbung Nissan Kicks juga hadir dengan ‘lidah dan kolar’ manakala talinya disambung pada hud depan.

Nissan Kicks 327 Edition ini bukan hanya sekadar kempen edisi terhad. Kereta atau hasil karya seni ini akan dipamerkan di Nissan Crossing, iaitu galeri baharu dii Ginza.

Ia akan dipromosikan dengan motto “Catch the Kicks” dimana mereka yang melihatnya dan memuatnaik gambar ke Twitter akan berpeluang memenangi sebuah Nissan Kicks e-Power 4WD sebenar. Cuma tidak dinyatakan sama ada kereta hadiah itu mendapat livery 327 Edition atau tidak.

Sementara itu, pelekat Nissan Kicks 327 Edition boleh didapati di cawangan New Balance Ginza bermula 24 Januari, selagi stok masih ada. Mereka yang membawa pelekat itu ke Crossing Cafa di tingkat atas pula akan mendapat kopi macchiato istimewa.

Vespa edisi Justin Bieber serba putih dengan aksesori edisi terhad – RM28,000

VESPA sering menjalankan kolaborasi dan kerjasama dengan pelbagai selebriti, artis dan pereka seluruh dunia. Kali ini, mereka berkolaborasi pula dengan penyanyi pop Justin Bieber.

Model Vespa ini mendapat sentuhan dan idea yang diinspirasi dari Bieber sendiri. Penyanyi itu juga dikhabarkan memang meminati Vespa.

“Kali pertama saya menunggang Vespa adalah semasa di Eropah, sama ada di London atau Paris. Saya teringat melihat Vespa dan berkata kepada diri sendiri, saya mahu menunggangnya,” kata Bieber.

“Dan saya memang menikmatinya. Dengan angin di rambut saya, kebebasan, ia memang seronok,” tambahnya.

Vespa x Justin Bieber ini diasaskan dari model Sprint, dengan warna serba putih dari tempat duduk hingga bilah rimnya.

Logo dan grafik api yang dilukis di sisi badan pula berwarna putih sedikit berbeza, dan Bieber mahukan ia nampak kreatif, meriah dan menyerlah.

Vespa ini dikuasakan oleh enjin 150cc dengan teknologi dan piawaian terkini. Ia turut dilengkapi dengan lampu depan LED petak, paparan TFT moden, sambungan telefon pintar, dan rim 12-inci yang sepadan.

Setiap pembelian Vespa Justin Bieber ini juga akan hadir dengan koleksi aksesori edisi terhad iaitu sebuah beg, sepasang sarung tangan, dan topi keledar putih dengan grafik api.

Vespa Justin Bieber ini dijual pada harga RM28,000 termasuk dengan flyscreen depan, dan topbox putih dengan perehat belakang.

BMW 5-Series edisi terhad dengan ‘jajan’ M Performance, 30 unit sahaja

AUTO Bavaria mengumumkan pengeluaran BMW 5-Series G30 LCI (facelift) yang hadir dengan pelbagai barangan M Performance serta komponen percuma lain.

5-Series edisi terhad ini hadir dalam varian 530e M Sport dan 530i M Sport, dan hanya 30 unit akan ditawarkan.

Apa yang anda dapat pada versi edisi terhad ini adalah seperti berikut:

  • BMW M Performance High Gloss Black Kidney Grille
  • BMW M50 Years Wheel Cap
  • BMW M Performance Carbon Fibre Mirror Cover
  • BMW M50 Years Emblem (Front and Rear Bonnet)
  • BMW M Performance Carbon Fibre Steering Cover
  • BMW LED Door Lights Projector
  • BMW Gloss Black Air Duct Trims (Left and Right)
  • BMW M Performance Set of Paddle Shift
  • BMW M Performance Floor Mats
  • BMW Advanced Car Eye 2.0 dashcam
  • Samsung Galaxy S22 Ultra
  • Sttoke Ceramic Reusable Cup
  • Complimentary tinting

BMW 530e M Sport dan 530i M Sport ini masing-masing berharga RM362,800 dan RM420,800. Harga adalah termasuk dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej servis berjadual percuma.

Sebagai perbandingan, 530e biasa berharga RM358,217 manakala 530i berharga RM402,800, dan harga-harga ini juga termasuk dengan pakej jaminan dan servis serupa.

Anda wajib tahu semua Proton edisi terhad ini!

SEMPENA bulan kemerdekaan ini, mari kita imbas sedikit sejarah automotif negara, lebih tepat lagi Proton. Kebetulan pula semalam Proton melancarkan Iriz dan Persona facelift 2021, jadi hari ini kita lihat model-model bersejarah agar tidak dilupakan.

Sepanjang lebih 35 tahun Proton ditubuhkan, pelbagai edisi terhad dan istimewa dihasilkan. Ada yang untuk meraikan sesuatu acara, kemenangan, atau kolabrasi, dan ada yang sekadar aksesori dan ada yang melibatkan prestasi.

Jom kita tengok 9 model Proton keluaran terhad yang wajib anda tahu.

1. Proton Saga Knight

Model ini diasaskan dari Proton Saga Aeroback dan dikeluarkan pada 1989. Nama unik itu diambil dari rancangan TV popular pada masa itu, iaitu Knight Rider.

Proton Saga Knight boleh dikenalpasti melalui pelekat badan unik tiga warna (oren, merah dan kelabu) berserta tulisan “KNIGHT” padanya. Ia turut mendapat lip depan dan spoiler duck tail diperbuat dari getah.

Disebabkan nama istimewa, enjin pun mestilah ada umph, bukan? Saga Knight dikuasakan enjin Magma 8V 4G15 yang menjana kira-kira 75hp dan 127Nm tork.

2. Proton Saga LMST

Mendapat jolokan nama “Saga kereta kebal” kerana bentuknya yang terlalu bersegi dan ringkas, kami tetap merasakan Proton Saga LMST ini wajar masuk dalam senarai ini.

Antara sebab utamanya ialah ia agak seronok dipandu, dengan pedal dan gear manual yang terasa sangat serasi.

Ia hadir dalam tiga pilihan warna – Sunrise Orange, Black dan Silver. Dikeluarkan sekitar 2003 hingga 2008, Saga ini dipacu oleh enjin 1.3-liter 4G13 dengan 90hp dan 110Nm tork.

Bagi kami, magik kepada Saga LMST ini ialah sistem ekzos Catback R3. Dengan bunyinya yang cukup merdu, pemanduan harian Saga ini terasa cukup sporti.

3. Proton Wira SE Special Edition

Kini kita ke Proton Wira pula. Edisi SE ini datang dengan penggayaan bampar depan baharu, serta warna istimewa Merah dan Hitam.

Wira ini adalah antara edisi paling memfokus kepada kepuasan pemanduan, dan bukan kuasa semata-mata.

Ini disokong oleh kemasan luar lebih aerodinamik, tempat duduk berkontur lebih sporti, spring sport, panel meter sporti, tombol gear aluminium, pedal aluminium, spoiler GT, ekzos sport, dan rim 16-inci berspesifikasi GTi.

Oh ya, ia mendapat brek cakera depan dan belakang! Nampak serius tu.

Wira SE ini boleh didapati dalam pilihan enjin 1.3-liter 4G13P SOHC dan 1.5-liter 4G15P SOHC.

4. Proton Wira 1.6 Millennium dan Thomas Cup Edition

Proton Wira seterusnya adalah 1.6 Millennium dan Thomas Cup Edition. Ia bukan paling sporti, tetapi bagi kami, antara paling cantik dan elegan.

Versi 1.6 Millennium ialah model Aeroback dengan warna Lake Green metalik istimewa yang dikeluarkan sebagai tanda memasuki era Millennium pada masa itu.

Versi 1.6 Thomas Cup Edition pula ialah model sedan dengan warna Ocean Blue pekat metalik, dikeluarkan sempena kemenangan Malaysia dalam Piala Thomas dan ia dilancarkan oleh penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Antara ciri yang dikongsi antara Wira Millennium dan Thomas Cup Edition adalah stereng balutan kulit, tempat duduk kulit, skirting badan istimewa, antena getah “bee sting”, lampu depan lebih gelap, jaluran badan di sisi, dan rim rekaan baharu.

5. Proton Wira 1.8 PERT

Satu lagi Proton Wira yang wajar anda tahu ialah versi 1.8 PERT. Ianya seperti gabungan Millennium dan Thomas Cup Edition; mendapat warna Lake Green tetapi dengan badan sedan.

Menariknya, Wira PERT ini dijana oleh enjin 1.8 EXi, tetapi versi PERT ini berlainan dengan Wira 1.8 EXi DOHC C99 Limited Edition dengan spoiler “tiang gol” ya.

Wira PERT ini rupanya lebih “baik” dan “jinak” berbanding Wira tiang gol itu.

6. Proton Satria R3

Seterusnya, kita pergi pula ke model dua pintu, dan kita mulakan dengan Satria R3. Mungkin semua sudah tahu akan Satria GTi, tetapi Satria R3 ini lebih istimewa dan kerana lebih terhad (hanya 150 unit) dan lebih hardcore.

Berbanding GTi yang dilancarkan pada 1998, Satria R3 pula diperkenalkan pada 2004. Ia mendapat kemasan badan seperti GTi, tetapi bukan berwarna Silver, sebaliknya hanya hadir dengan warna Incognito Black dan dihiasi pelekat badan halus R3 berwarna merah.

Casis dan badan Satria R3 ini dicantum dengan kimpalan berganda berbanding GTi, memberikannya badan lebih teguh. Ini digandingkan pula dengan suspensi yang dibangunkan dan ditala oleh pasukan R3 menjadikan kereta ini lebih suka berada di litar atau gymkhana berbanding di jalanraya biasa.

Seterusnya, enjin ialah unit sama dari GTi iaitu 4G93P 1.8-liter, dengan sistem pengurusan Siemens EMS 400 serta sistem ekzos yang dipertingkat (sebab itu hanya satu muncung dan bukan berkembar seperti GTi).

Brek pula adalah dari jenis prestasi berserta cakera ditebuk. Padanan enjin dan brek ini memberikan Satria R3 prestasi memecut dan membrek terbaik untuk mana-mana model Proton.

Ciri lain pada Satria R3 adalah spoiler belakang gentian karbon, roda stereng Momo, tempat duduk Recaro, dan tali pinggang keledar berwarna merah.

7. Proton Satria Neo R3 Clubsport

Untuk pengganti Satria pula, Satria Neo dihasilkan dalam beberapa versi dan edisi terhad. Sudah tentu paling popular adalah Satria Neo R3, R3 RS dan R3 Lotus Racing.

Yang kami nak ketengahkan di sini ialah Satria Neo R3 Clubsport kerana beberapa sebab. Hanya 18 unit pernah dihasilkan, untuk pemilik-pemilik terpilih dan kerana ia sedia dibawa untuk perlumbaan sebaik sahaja anda membelinya.

Ini kerana Satria Neo Clubsport dilengkapi komponen seperti ECU dan ekzos perlumbaan, suspensi coilover, roll-cage (sangkar guling) enam-poin yang diluluskan FIA, pin bonet, pintu but belakang dengan klip, cangkuk tunda, dan tayar Bridgestone Potenza RE001.

Bahagian lain adalah sama dengan Satria Neo 1.6 manual biasa, cuma enjin S4PH CamPro itu ditala menjadi 137hp berbanding enjin asal berkuasa 110hp.

Selain itu, tempat duduknya adalah jenis perlumbaan, iaitu Recaro TS-G, lengkap dengan tali pinggang keledar jenama itu. Terdapat juga komponen R3 seperti splitter depan, spoiler bumbung dan rim 15-inci.

8. Proton 25th Anniversary Edition – Saga, Persona, Exora

Pada 2010, Proton melancarkan 25th Anniversary Edition untuk menyambut ulang tahun ke-25 mereka.

Tiga model diberikan edisi istimewa iaitu Saga, Persona dan Exora, dan setiap model hanya dijual sebanyak 25 unit.

Apa yang istimewa? Semua model diberikan warna khas Pearl White dan terdapat garisan nipis di sepanjang sisi badan kereta, dan stripe ini diakhiri dengan logo “25th Anniversary”.

Paling istimewa ialah bahagian dalaman dimana semua kereta dilengkapi kemasan berwarna coklat premium, dan logo “25th Anniversary” pada perehat kepala.

9. Proton Waja dan Gen2 MME Edition

Proton Waja dan Gen2 MME Edition merupakan edisi khas yang dilancarkan sebagai sambutan ke atas kemenangan pasukan Proton R3 Amprex yang berlumba dengan jentera Lotus Exige 300R.

Hanya 200 unit dihasilkan setiap satu, dan transmisi manual sahaja. Waja ditawarkan dengan warna istimewa Deep Burgundy, manakala Gen2 hadir dengan pilihan warna merah dan hitam.

Waja dan Gen2 MME masing-masing dapat banyak aksesori dan komponen prestasi R3 seperti tombol gear R3, karpet R3, kabel plug prestasi, ekzos R3, rim R3 16-inci, brek cakera R3, dan pemain CD dengan Bluetooth dan MP3. Waja dilengkapi lampu HID pertama kali untuk model Proton.

Kedua-dua Waja MME dan Gen2 MME dikuasakan oleh enjin CamPro 1.6-liter yang telah ditala menjadi 122hp (12hp lebih dari CamPro biasa).

Baik, antara 9 model di atas, yang mana paling gempak? Ya, kami tahu ada lagi Satria GTi, dan Satria Neo pun ada Lotus Racing Edition, R3 RS 2012, dan R3 2008. Tapi yang ini semua dah tahu.

Lagipun kalau nak masuk semua, nanti jadi panjang la pula kalau senaraikan semua. Semoga model-model ini akan terus diingati dan semoga Proton terus menghasilkan edisi terhad dan istimewa di masa akan datang.

Kredit gambar: Protonjohor.com, Mudah.my, Paultan.org, Facebook (Hye Rits, Nano Eddy, Sahabat Wira Malaysia), Wikipedia, kereta.info, Autoworld, Funtasticko, Motoqar, dan Zerotohundred.

Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition kereta sports moden dengan gaya retro, 450hp, RM1.7 juta

PORSCHE 911 dikenali sebagai sebuah kereta sports yang membawakan imej dan elemen klasik. Dengan bentuk tidak berubah sejak lebih 50 tahun, ia mengekalkan resepi asal sambil ditambahbaik saban tahun.

Tetapi terdapat satu edisi 911 dengan gaya yang lebih klasik dan retro, iaitu Heritage Design Edition. Untuk 2021, edisi ini diberikan pada 911 Targa 4S, dengan aksesori dan teknologi dari Porsche Exclusive Manufaktur.

Pakej yang diberikan pada Porsche 911 Heritage Design Edition adalah:

  • Balutan kulit dwi-tona dengan warna Bordeaux Red dan Atacama Beige
  • Bahagian tengah tempat duduk dan panel pintu dengan kemasan corduroy
  • Kluster instrumen Heritage Design
  • Jam Sport Chrono Heritage Design
  • Tulisan Historical Porsche pada perehat kepala
  • Logo “Porsche Exclusive Manufaktur” pada penutup ruang simpanan
  • Tali pinggang keledar dengan warna Atacama Beige
  • Lencana 911 berwarna perak
  • Pemijak tepi aluminium dengan logo 911

Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition dibawakan secara rasmi ke Malaysia oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) dengan harga jualan RM1,677,409 (termasuk pengecualian cukai SST).

Dari segi mekanikal, Heritage Design Edition ini masih diasaskan dari 911 Targa 4S yang bermakna ia dikuasakan oleh enjin boxer 3.0-liter twin-turbo yang menjana 450hp dan 460Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear dwi-klac PDK 8-kelajuan dan pacuan semua-roda, dan membolehkan 911 ini memecut ke 100km/j dalam 3.6 saat sahaja. Kelajuan maksima pula ialah 304km/j.

Selain dari warna Cherry Metallic dengan gaya 50an, edisi ini boleh dipilih dengan tiga warna lain iaitu Black, Guards Red, GT Silver Metallic dan satu warna istimewa Crayon. Sebagai tambahan, anda juga boleh kustom kereta ini mengikut citarasa untuk menjadikannya lebih eksklusif.

Satu ciri khas pada edisi Heritage Design ini ialah grafik Spears pada bahagian depan, iaitu pelekat putih rekaan khas. Grafik ini hanya ditawarkan pada model-model terhad seperti 911 Speedster.

Memandangkan ini model Targa, terdapat bar unik di belakang kabin yang menjadi identitinya. Tetapi khas untuk Heritage Design Edition, bar ini dikemaskan dengan tulisan berwarna emas di belakangnya.

Ciri lain pada 911 ini termasuklah rim Carrera Exclusive Design berwarna hitam berkilat (atau pilihan satin Platinum) bersaiz 20- dan 21-inci, angkup brek berwarna hitam, lencana Porsche Heritage dan ekzos sports berwarna perak.