Arkib Tag: ds

Bermaz Auto Alliance henti operasi perniagaan Peugeot, Citroen dan DS

BERMAZ Auto Alliance (BAA) mengumumkan ia akan menghentikan operasi perniagaannya berkuat kuasa 29 Februari 2024.

BAA ditubuhkan tiga tahun yang lalu untuk menguruskan pengedaran, jualan dan selepas jualan untuk Peugeot di Malaysia dan sebagai pembaik pulih sah untuk jenama Citroen dan DS.

Pengumuman ini merupakan susulan kepada keputusan dan pengumuman pada 22 November 2023 oleh Stellantis N.V. untuk menguruskan jenamanya dalam pasaran Malaysia menerusi syarikat jualannya sendiri.

Dalam satu kenyataan, BAA berkata dengan penghentian operasi ini, mereka tidak lagi dapat meneruskan perkhidmatan pelanggan Peugeot.

Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan atas sokongan dan keyakinan terhadap perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang diberikan oleh BAA sepanjang mereka beroperasi.

BAA bersetuju untuk memindahkan sepenuhnya program Free Service Maintenance (FSM) berkontrak kepada Stellantis. Ini bermakna semua FSM yang akan datang akan dilaksanakan menerusi rangkaian yang dilantik oleh Stellantis.

Untuk maklumat terkini, pelanggan dinasihatkan untuk merujuk kepada Stellantis atau hubungi talian sokongan pelanggan bebas-tol di 1800-18-7852 atau e-mel kepada customersupport.my@stellantis.com untuk penjelasan lanjut.

Bermaz gesa pemilik henti pandu Citroen C3, C4, DS3, DS4 dan DS5

BERMAZ Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) menggesa pemilik kenderaan Citroen dan DS di Malaysia untuk segera berhenti memandu kenderaan mereka sekiranya penggantian beg udara Takata masih belum dilakukan.

Menurut BAASB, kempen panggilan semula beg udara Takata yang dilakukan sejak 2020 itu melibatkan model C3, C4, DS3, DS4 dan DS5 yang dikeluarkan dari 2009 hingga 2017.

Kereta-kereta berkenaan dilengkapi dengan beg udara Takata dengan inflator yang mengandungi bahan kimia yang mungkin merosot terutamanya apabila terdedah kepada cuaca panas dan lembap untuk satu tempoh panjang.

Keadaan ini mungkin akan menyebabkan inflator tersebut pecah ketika letupan, di mana serpihan logam yang berterabur boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian.

Oleh kerana sudah terdapat kes kematian yang disebabkan oleh isu ini, pemilik atau pemandu model-model tersebut digesa untuk menghubungi BAASB dengan kadar segera untuk menukar beg udara.

Kerja-kerja penggantian adalah percuma dan BAASB akan menyediakan kereta ihsan (courtesy car) bagi memudahkan urusan pelanggan sehingga proses penggantian beg udara selesai.

BAASB berkata pihaknya telah mencuba untuk menghubungi pemilik kenderaan yang terlibat dalam kempen panggilan semula ini, termasuk menerusi surat, penghantaran kurier, emel, teks pesanan dan panggilan telefon.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian Pengurusan Perhubungan Pelanggan di 03-7627 8818 atau emel kepada customersupport@baasb.com.my.

Pusat servis Peugeot 3S Glenmarie kini rasmi dibuka, juga untuk Citroen dan DS

SEBUAH pusat servis Peugeot 3S kini secara rasmi telah dibuka di Glenmarie. Ia merupakan pusat servis pertama jenama itu dibawah pengurusan baharu Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd dan menampilkan operasi jualan, servis serta alat ganti.

Menurut Bermaz Auto Alliance, mereka komited dalam memberikan pengalaman pemilikan terbaik untuk pelanggan dan pemilik Peugeot dari segi sokongan selepas jualan serta jaminan. Sokongan ini juga meliputi pelanggan jenama Citroen dan DS yang juga di bawah Stellantis Group.

Fasiliti ini mampu menampung 21 kenderaan untuk diservis dalam satu masa, dengan juruteknik terlatih yang sentiasa peka dengan perkembangan terkini kenderaan.

Sambil menunggu kenderaan siap, pelanggan boleh menikmati ruang menunggu yang selesa dengan makanan dan minuman percuma serta WiFi.

Pusat servis Peugeot 3S Glenmarie ini terletak di Lot.15, Jalan Pelukis U1/46, Temasya Industrial Park U1, 40150, Shah Alam, Selangor. Ia dibuka pada jam 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 12 tengahari untuk Sabtu.

Anda miliki kenderaan Peugeot, Citroen atau DS? Untuk membuat tempahan slot servis, hubungi 03-5021 2300 (sambungan 2402/2403) atau layari https://peugeot.com.my/find-us.php.