Arkib Tag: drift

Lelaki tunjuk hebat buat aksi drift dengan Toyota GR Supra ditahan

Tindakan seorang lelaki memandu secara berbahaya dengan melakukan aksi drift mengundang padah apabila kereta jenis Toyota GR Supra dipandunya merempuh kenderaan lain.

Malah, aksi lelaki berusia lingkungan 20-an itu tular di media sosial baru-baru ini dengan kejadian berlaku di Jalan Desa Botani 1, Taman Botani, Batu Pahat pada 21 Februari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata susulan itu polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan lelaki itu pada jam 1.15 tengahari.

Shahrulanuar berkata, penahan itu dibuat susulan aksi dilakukan suspek yang bekerja kilang, mula tular di Facebook jam 12 tengahari tadi.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) daerah Batu Pahat mengesan paparan video tular di Facebook menunjukkan rakaman kereta dipandu secara berbahaya sambil melakukan drift.

“Tindakan suspek menyebabkan keretanya dipandu merempuh pacuan empat roda yang diparkir di tempat kejadian.

“Bertindak atas maklumat serta hasil risikan lanjut, polis berjaya mengenal pasti pemandu dan kenderaan yang terbabit.

“Suspek ditahan dan saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah. Pada masa sama, kereta terbabit turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat esok untuk perintah reman.

Lelaki ini kudung tapi mampu buat aksi drift pada kelajuan 231 km/j

RASANYA tidak perlu diperkatakan lagi yang aksi drift memerlukan koordinasi mata, kaki dan tangan yang baik. Tetapi bagaimana jika seseorang itu tidak mempunyai salah satu daripada tiga anggota tersebut?

Inilah situasi yang perlu dihadapi oleh Bartosz Ostalowski, seorang pemandu drift dari Poland. Beliau kehilangan kedua-dua belah tangan dalam satu kemalangan pada 2006 namun itu tidak menghalangnya daripada terus berkecimpung dalam sukan permotoran.

Malah, apa yang lebih mengagumkan, baru-baru ini beliau berjaya mencatat rekod Guinness untuk aksi drift terpantas dengan hanya menggunakan kaki.

Ostalowski mencatatkan rekod tersebut pada 30 September lalu di landasan lapangan terbang Pila menggunakan sebuah BMW M3 yang dimodifikasi khusus untuk drift.

Bermula dari pegun, Ostalowski mula memecut sehingga mencapai kelajuan 277 km/j. Beliau kemudiannya menarik brek tangan untuk menggelongsorkan kereta untuk melakukan aksi drift di atas zon penilaian sepanjang 50 meter.

Ostalowski berjaya merekodkan kelajuan purata 231.66 km/j pada sudut maksimum 60 darjah. Menerusi aksi berani tersebut, Ostalowski bukan sahaja mencatatkan rekod untuk aksi drift terpantas menggunakan kaki malah beliau turut berjaya memecahkan rekod untuk aksi drift terpantas Poland yang sebelum ini dipegang oleh Jakub Przygoński pada kelajuan 217.97 km/j.

M3 E92 yang dipandu oleh beliau bukan calang-calang juga. Ia mempunyai 1,000 hp dan 1,280 Nm yang dijana oleh enjin LS3 7.0-liter V8 dengan pengecas turbo berkembar. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik ZF lapan kelajuan.

Ostalowski kini bertanding dalam kejohanan drift Poland dan beberapa lagi siri kejohanan di sekitar Eropah.

Toyota AE86 Sprinter Trueno untuk dijual kepada hati kental sahaja, RM160k dengan penuh ‘jajan’

Jarang-jarang kami naikkan iklan jual kereta, biasanya hanya jentera terpilih yang kami rasa ingin kongsikan dengan anda para pembaca.

Dan untuk hari ini, jentera yang ingin kami kongsikan ialah sebuah Toyota AE86 Sprinter Trueno GT Apex original. Tidak selalu ia timbul di laman jualan, tetapi pastinya ada sahaja tersimpan di garaj-garaj pemilik bertuah negara kita.

Ia sebuah jentera yang cukup ikonik bagi peminat kereta. Terkenal di litar lumba, di litar drift, di skrin filem, anime, malah di lampiran kertas manga. Silap-silap yang bukan kaki kereta pun kenal AE86 ini.

Ya, Toyota AE86 Sprinter Trueno ini untuk dijual lengkap dengan segala ‘jajan’ sekali jalan. Maka, harganya pun kami rasa padan untuk pakej diberikan. Mari kita lihatkan dulu perincian spesifikasi AE86 ini, seperti dikongsi oleh pemiliknya:

ENGINE: 4AGE 16v

  • Upgraded Toda Cam pulley
  • Upgraded NGK Plug Cable
  • SARD Fuel Regulator
  • Upgraded SARD Big Radiator
  • Upgraded 5zigen Exhaust Manifold
  • Upgraded Honda High Torque Starter

BOTTOM PART

  • Upgraded TRD Poly Bushings
  • Upgraded TRD Full lock LSD 4.3 Gear Ratio
  • Upgraded EXEDY Heavy Duty Clutch Pad
  • Federal RSRR semi slick tyre 205/50/15 4 pcs
  • 15″ 9JJ Atara Racing Pisang Wheels
  • (Front) Upgrade Japan JIC HLSF Adjustables
  • (Rear) Upgrade Japan TRD SH Absorbers

BODY PART

  • VARIS Carbon Fiber hood
  • Carbon Fiber headlight cover
  • D-Max Side skirt
  • TRD duck tail

INTERIOR

  • Nardi Deep Dish Steering
  • Stock Kouki Interior
  • Other than steering, all remain stock condition

Extra: Ultra racing front and rear strut bar

Lazat? Ya, hampir meleleh juga air liur penulis membaca spesifikasinya. Sayang sekali tiada bajet untuk menyambar.

Harga ditawarkan ialah RM160,000, boleh dirunding. Jika anda berkemampuan dan berminat, boleh hubungi terus nombor-nombor tertera di bawah:

Brian: 016-210 0628
Winnie: 011-3700 1216

Toyota AE86 Trueno 1986 ini diiklankan di Facebook Group Kereta Turbo untuk dijual, dan anda boleh lihat terus iklannya di sini.

Toyota bangunkan sistem yang mampu menjadikan kereta anda ‘drift’ sendiri

PERNAH tonton klip video aksi drift dari Ken Block? Hebat bukan? Kini, semua orang boleh menjadi seperti beliau. Bayangkan jika kereta anda boleh membuat aksi drift tanpa sebarang kawalan dari pemandu.

Toyota kini sedang membangunkan teknologi Autonomous Drifting yang mana kereta anda mampu membuat aksi drift secara automatik tanpa sebarang bantuan daripada pemandu.

Jangan salah faham, teknologi ini dibangunkan bukan untuk memberikan anda kebebasan membuat aksi di jalan raya awam.

Sebaliknya menurut Toyota, teknologi yang dibangunkan ini adalah lebih kepada menaiktaraf aspek keselamatan bagi barisan kenderaan Toyota dan Lexus di masa hadapan.

Sebagai contoh, jika anda hilang kawalan ketika melalui jalan licin, komputer akan mengambil alih pemanduan seperti pemandu rali profesional.

Sebuah Toyota Supra telah digunakan bagi tujuan penyelidikan dan kajian teknologi ini. Komputer akan mengawal input pendikit minyak, sistem kawalan stereng, transmisi dan juga kuasa membrek bagi setiap tayar secara berasingan.

Bagi mengekalkan kawalan ketika aksi ‘drift’, sistem yang dipanggil Nonlinear Model Predictive Control (NMPC) akan mengira pergerakan kenderaan bagi setiap 0.05 saat. Ya, 0.05 saat! Lebih pantas dari kelipan mata anda.

“Melalui projek ini, adalah diharapkan agar pemandu mampu memberikan tindak balas yang sama seperti pemandu profesional terutamanya ketika menghadapi saat kecemasan dan memastikan keselamatan para pengguna jalan raya yang lain,” menurut kata Avinash Balachandran, salah seorang Pengurus Human Centric Driving Research di Toyota Research Institute (TRI).

Audi R8 V10 performance RWD varian asas tetapi lebih kuasa, dilengkapi mod drift

AUDI R8 generasi kedua telah berada di pasaran sejak enam tahun yang lalu dan dalam tempoh itu, entah berapa banyak varian dan versi yang telah dihasilkan.

Kini, Audi memperkenalkan satu lagi versi dan ia merupakan model entry-level yang dikenali sebagai R8 V10 performance RWD. Ini bermakna R8 V10 Quattro dan R8 V10 RWD telah digugurkan daripada barisan model R8.

Bergantung pada pasaran, UK contohnya, setiap varian R8 yang dijual akan menggunakan nama ‘performance’, dengan pilihan bentuk badan coupe dan Spyder, serta pacuan roda belakang (RWD) dan semua-roda (quattro).

Jadi apa yang istimewa mengenai R8 V10 performance RWD? Pertama sekali, ia mendapat kuasa yang lebih tinggi.

Enjin 5.2-liter V10 masih kekal digunakan namun kali ini, unit FSI itu menghasilkan 570PS dan 550Nm, 30PS dan 10Nm lebih tinggi berbanding sebelum ini. Transmisi S-tronic 7-kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke gandar belakang.

Atas kertas, model ini memerlukan hanya 3.7saat untuk melakukan pecutan 0-100km/j sebelum mencapai kelajuan maksimum 329km/j. Itu untuk versi coupe.

Versi Spyder pula boleh mencapai 100 km/j dalam 3.8saat, dengan kelajuan maksimum sedikit rendah iaitu 327km/j.

Walaupun enjin kini lebih berkuasa, Audi masih menggunakan formula yang sama untuk pembinaan supercar ini.

Badannya diperbuat daripada aluminium dengan rekaan Audi Space Frame (ASF), diadunkan dengan bahagian-bahagian yang diperbuat daripada CFRP untuk mencapai tahap ketegaran yang diinginkan.

Sistem suspensi pula ditala khas untuk pemanduan roda belakang, manakala Electronic Stability Control (ESC) dikalibrasi semula bagi membolehkan pemandu melakukan aksi drift secara terkawal apabila memandu di dalam mod Sport.

Buat pertama kalinya juga, R8 didatangkan dengan sistem stereng Dynamic yang mampu memberikan maklum balas yang lebih tepat.

Penampilannya tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan versi terdahulu. Di hadapan, terdapat gril berwarna hitam matte, splitter pada bahagian bawah bampar serta tiga bukaan kecil di bawah garisan bonet ala Audi Sport quattro.

Bahagian belakang pula menampilkan muncung ekzos berbentuk bujur Rim didatangkan dalam saiz 19 inci. Audi menawarkan 10 pilihan warna termasuk Ascari Blue Metallic.

Sementara itu, susun atur ruang dalaman juga tidak berubah. Antara kelengkapan yang disertakan adalah kokpit virtual berukuran 12.3 inci, di mana semua maklumat penting dipaparkan, kerusi sport dengan balutan kulit Nappa, stereng multifungsi serta pengecas wayarles.

Di UK, harga R8 V10 performance RWD bermula dari £126,885 (RM722,696) untuk versi coupe dan £135,575 (RM772,191) untuk Spyder.