fbpx

Audi R8 V10 performance RWD varian asas tetapi lebih kuasa, dilengkapi mod drift

audi r8 v10 performance 07

AUDI R8 generasi kedua telah berada di pasaran sejak enam tahun yang lalu dan dalam tempoh itu, entah berapa banyak varian dan versi yang telah dihasilkan.

Kini, Audi memperkenalkan satu lagi versi dan ia merupakan model entry-level yang dikenali sebagai R8 V10 performance RWD. Ini bermakna R8 V10 Quattro dan R8 V10 RWD telah digugurkan daripada barisan model R8.

Bergantung pada pasaran, UK contohnya, setiap varian R8 yang dijual akan menggunakan nama ‘performance’, dengan pilihan bentuk badan coupe dan Spyder, serta pacuan roda belakang (RWD) dan semua-roda (quattro).

Jadi apa yang istimewa mengenai R8 V10 performance RWD? Pertama sekali, ia mendapat kuasa yang lebih tinggi.

Enjin 5.2-liter V10 masih kekal digunakan namun kali ini, unit FSI itu menghasilkan 570PS dan 550Nm, 30PS dan 10Nm lebih tinggi berbanding sebelum ini. Transmisi S-tronic 7-kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke gandar belakang.

Atas kertas, model ini memerlukan hanya 3.7saat untuk melakukan pecutan 0-100km/j sebelum mencapai kelajuan maksimum 329km/j. Itu untuk versi coupe.

Versi Spyder pula boleh mencapai 100 km/j dalam 3.8saat, dengan kelajuan maksimum sedikit rendah iaitu 327km/j.

Walaupun enjin kini lebih berkuasa, Audi masih menggunakan formula yang sama untuk pembinaan supercar ini.

Badannya diperbuat daripada aluminium dengan rekaan Audi Space Frame (ASF), diadunkan dengan bahagian-bahagian yang diperbuat daripada CFRP untuk mencapai tahap ketegaran yang diinginkan.

Sistem suspensi pula ditala khas untuk pemanduan roda belakang, manakala Electronic Stability Control (ESC) dikalibrasi semula bagi membolehkan pemandu melakukan aksi drift secara terkawal apabila memandu di dalam mod Sport.

Buat pertama kalinya juga, R8 didatangkan dengan sistem stereng Dynamic yang mampu memberikan maklum balas yang lebih tepat.

Penampilannya tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan versi terdahulu. Di hadapan, terdapat gril berwarna hitam matte, splitter pada bahagian bawah bampar serta tiga bukaan kecil di bawah garisan bonet ala Audi Sport quattro.

Bahagian belakang pula menampilkan muncung ekzos berbentuk bujur Rim didatangkan dalam saiz 19 inci. Audi menawarkan 10 pilihan warna termasuk Ascari Blue Metallic.

Sementara itu, susun atur ruang dalaman juga tidak berubah. Antara kelengkapan yang disertakan adalah kokpit virtual berukuran 12.3 inci, di mana semua maklumat penting dipaparkan, kerusi sport dengan balutan kulit Nappa, stereng multifungsi serta pengecas wayarles.

Di UK, harga R8 V10 performance RWD bermula dari £126,885 (RM722,696) untuk versi coupe dan £135,575 (RM772,191) untuk Spyder.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved