Arkib Tag: dash

Peruntukan RM3 juta untuk lebarkan Persiaran Mokhtar Dahari

LALUAN Persiaran Mokhtar Dahari yang menghubungkan Puncak Alam dengan kawasan Kampung Melayu Subang mengalami kesesakan teruk selepas pembukaan Lebuh Raya DASH (Damansara-Shah Alam Elevated Expressway) pada Oktober lepas.

Kini, kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi projek pelebaran jalan bagi membendung masalah itu yang semakin kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata projek langkah jangka pendek itu membabitkan dua lorong sepanjang satu kilometer.

“Projek dijangka siap akhir tahun ini. Namun untuk langkah jangka panjang, kita akan tambah satu lagi lorong di kedua-dua hala memandangkan lokasi ini adalah jalan utama selain bertembung dengan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

“Projek akan dilaksanakan dua tahun lagi dengan anggaran RM20 juta termasuk kos utiliti. Bagaimanapun ia ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan syarikat Teguh Mantap yang memajukan kawasan berkenaan,” tambahnya.

Pada 26 Oktober tahun lalu, media melaporkan pihak berwajib dirayu segera melaksanakan pelebaran laluan sedia ada yang sering mengalami kesesakan teruk membabitkan anggaran lebih 100,000 pengguna, terutama pada waktu puncak.

Ia adalah laluan utama penduduk di beberapa kawasan penempatan sekitar, terutama dari Alam Budiman, Kampung Meru, Setia Alam, dan Puncak Alam, yang kini terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam berbanding perjalanan hanya lima minit sebelum ini.

Malah, kekurangan lorong untuk menampung peningkatan aliran trafik di laluan terbabit kerap menyaksikan kesesakan berlaku hingga sepanjang lebih tiga kilometer.

Lumba haram DASH: Dua mekanik dicekup, kereta Satria dirampas

DUA orang mekanik dicekup selepas berlumba haram di Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) semalam.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 20 dan 29 tahun ditahan kira-kira pukul 11:49 malam sekitar daerah Shah Alam dan pihak polis merampas dua kereta jenis Proton Satria digunakan mereka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, “Siasatan awal mendapati perlumbaan itu berlaku kira-kira pukul 12:30 tengah malam hingga 1:30 pagi dengan melibatkan enam kereta jenis Proton Satria.”

Katanya, mereka berlumba dari Plaza Tol Denai Alam sehingga ke kilometer 0 (susur ke Pulau Angsa) Lebuh Raya DASH.

“Mereka juga berlumba dengan berpatah balik melawan arus sehingga ke Plaza Tol Denai Alam. Jarak perlumbaan bagi sehala adalah kira-kira dua kilometer,” katanya.

Menurut laporan Kosmo, difahamkan perlumbaan tersebut lebih kepada kepada menguji jentera masing-masing tanpa tawaran sebarang hadiah.

Mohd. Iqbal menambah, pihaknya kini mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Beliau menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Justeru, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 56 saat tular di media sosial memaparkan aksi lumba kereta tersebut di Lebuh Raya DASH.

DASH bekerjasama rapat dengan PDRM bantu siasatan lumba haram di RSA Denai Alam

PROJEK Lintasan Damansara-Shah Alam (Prolintas) iaitu pengendali lebuh raya Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) memandang serius perhimpunan besar kenderaan berkelajuan tinggi dan aktiviti lumba haram yang berlaku di sekitar Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) Denai Alam baru-baru ini.

Menurut siaran media oleh Prolintas, tiada permit sah dikeluarkan oleh mana-mana pihak untuk sebarang perhimpunan besar sedemikian dijalankan di kawasan terbabit.

“Pihak DASH bekerjasama rapat dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan kejadian berkenaan”, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak JSPT merancang menjalankan operasi di kawasan yang dilaporkan berlaku aktiviti haram itu.

“Hasil pemantauan mendapat, susulan kejadian itu, beberapa kesan tayar kenderaan ditinggalkan di sepanjang laluan dikenal pasti.

“Pihak DASH melarang sekeras-kerasnya kegiatan lumba haram di atas Lebuhraya DASH serta menasihatkan pengguna agar sentiasa mematuhi had laju dan semua peraturan pemanduan.”

DASH juga turut mengalu-alukan maklum balas orang ramai dan terus komited menyelesaikan isu yang timbul bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna dan komuniti sekeliling.

Kutipan tol Lebuhraya DASH bermula hari ini, RM2.30 untuk kereta penumpang

KUTIPAN tol di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dimulakan hari ini (1 Disember 2022) dengan kadar sama dikenakan kepada pengguna yang melalui Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (Kwasa Damansara) dan Plaza Tol Kota Damansara mengikut kelas kenderaan.

Kelas kenderaan satu iaitu kereta dicaj RM2.30, lori iaitu kelas dua (RM4.60), treler iaitu kelas tiga (RM6.90), kelas empat iaitu kereta jenis teksi (RM1.20) dan bas iaitu kelas lima dicaj RM2.30.

Gambar oleh: Prolintas

Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn. Bhd. (Prolintas) dalam satu kenyataan memaklumkan, kutipan tol dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan RFID.

“Pengguna disaran memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-wallet mencukupi sebelum memasuki Lebuhraya DASH,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bahagian Operasi Lebuhraya DASH sentiasa memantau kelancaran sistem kutipan tol di ketiga-tiga plaza tol tersebut selain menempatkan petugas di lorong plaza tol kedua-dua arah lebuh raya terutama pada waktu puncak bagi membantu pengguna yang menghadapi kesulitan.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui plaza tol bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi dituju.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian hotline DASH 1300885522.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan lebuh raya sepanjang 20.1 kilometer itu dibuka kepada pengguna secara percuma selama 48 hari bermula 14 Oktober lepas.

Persiaran Mokhtar Dahari sesak teruk selepas pembukaan DASH, lorong akan ditambah dalam dua fasa

LALUAN Persiaran Mokhtar Dahari yang menghubungkan Puncak Alam dengan kawasan Kampung Melayu Subang mengalami kesesakan teruk selepas pembukaan Lebuh Raya DASH (Damansara-Shah Alam Elevated Expressway).

Kesesakan ini terjadi kebiasaannya pada waktu petang apabila penduduk setempat pulang dari tempat kerja berikutan aliran tinggi trafik dari beberapa lebuh raya di luar perlu susur masuk ke Persiaran Mokhtar Dahari yang hanya mempunyai satu lorong untuk kedua-dua arah.

Justeru, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menambah tiga lorong baharu kenderaan bagi mengatasi kesesakan teruk laluan itu sejak dua minggu lalu.

Dua fasa pelebaran jalan sedia ada itu dijangka melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM35 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir. Izham Hashim berkata, JKR akan membuat laporan teknikal secara terperinci mengenai projek penambahan lorong tersebut.

Kata beliau, kos peruntukan projek itu bakal diajukan pihaknya kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

“Fasa pertama yang perlu disegerakan meliputi tambahan satu lorong di laluan menghala ke Puncak Alam.

Kita menjangkakan projek pertama akan dilaksanakan awal tahun depan sebelum diteruskan dengan fasa kedua,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi itu, petang semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan lebih 100,000 pengguna laluan Persiaran Mokhtar Dahari memohon pihak berwajib melebarkan jalan sedia ada yang sesak teruk pada waktu puncak.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terutama di Alam Budiman, Kampung Meru dan Puncak Alam terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam berbanding hanya lima minit sebelum ini.

Tambah Izham, laluan itu merupakan jalan rizab kerajaan dan boleh memuatkan enam lorong secara keseluruhannya.

“Laluan berbukit selepas kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana ketika ini hanya mempunyai tiga lorong bagi kedua-dua arah.

“Bagi jangka masa pendek, satu lorong sejauh 800 meter akan dibina terlebih dulu sebelum disambung dengan dua lorong lain,” jelasnya.