fbpx

Lumba haram DASH: Dua mekanik dicekup, kereta Satria dirampas

lumba haram dash 01

DUA orang mekanik dicekup selepas berlumba haram di Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) semalam.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 20 dan 29 tahun ditahan kira-kira pukul 11:49 malam sekitar daerah Shah Alam dan pihak polis merampas dua kereta jenis Proton Satria digunakan mereka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, “Siasatan awal mendapati perlumbaan itu berlaku kira-kira pukul 12:30 tengah malam hingga 1:30 pagi dengan melibatkan enam kereta jenis Proton Satria.”

Katanya, mereka berlumba dari Plaza Tol Denai Alam sehingga ke kilometer 0 (susur ke Pulau Angsa) Lebuh Raya DASH.

“Mereka juga berlumba dengan berpatah balik melawan arus sehingga ke Plaza Tol Denai Alam. Jarak perlumbaan bagi sehala adalah kira-kira dua kilometer,” katanya.

Menurut laporan Kosmo, difahamkan perlumbaan tersebut lebih kepada kepada menguji jentera masing-masing tanpa tawaran sebarang hadiah.

Mohd. Iqbal menambah, pihaknya kini mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Beliau menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Justeru, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 56 saat tular di media sosial memaparkan aksi lumba kereta tersebut di Lebuh Raya DASH.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved