Arkib Tag: dakar

Ducati DesertX tiba di Malaysia dengan liveri khas RR22, dari RM113k

SEJAK pelancarannya awal tahun ini, Ducati DesertX telah dijangka menjadi pesaing utama dalam segmen adventure (ADV). Buat peminat Ducati di Malaysia, berita baik kerata DesertX kini bersedia menemui anda.

Ducati Malaysia telah mengumumkan pelancaran model itu, dan ditawarkan dengan liveri RR22 baharu yang direka khas dengan kerjasama Audi dan bekas penunggang MotoGP, Danilo Petrucci.

Mengambil inspirasi Audi RS Q e-tron iaitu kenderaan EV yang telah memenangi rali Dakar sebanyak 4 kali, liveri RR22 ini dihasilkan dengan teliti oleh pakar-pakar di Ducati Style Center. Ini merangkumi gandingan warna hitam, kelabu, dan merah yang cukup garang.

Ducati DesertX mengekalkan penggunaan enjin Testastretta V-Twin 937cc dengan kuasa 110hp dan 92Nm tork.

Dengan rim 21-inci depan dan 18-inci belakang serta suspensi tinggi (9.1-inci depan, 8.7-inci belakang), DesertX menawarkan jarak kelegaan tanah yang cukup bagi membolehkan menakluki permukaan off-road tidak rata.

Sebagai sebuah ADV moden juga, Ducati DesertX dilengkapi ciri terkini seperti Cornering ABS, Traction Control, Anti-Wheelie, Engine Braking Control, Quickshifter, Riding Modes, dan Power Modes.

DesertX boleh menjadi milik anda dengan harga RM112,900 untuk Star White Silk dan RM115,900 untuk RR22 Matt Saturn Grey.

Porsche 911 Dakar 2023 – 3.2 inci lebih tinggi, dengan mod Rallye!

PORSCHE memperkenalkan variasi terbaharu 911, bukan convertible, bukan GT3 untuk litar, sebaliknya 911 Dakar. Ya, ia hadir lengkap dengan suspensi lebih tinggi dan tayar all-terrain dari kilang. Dan ia juga akan menjadi agak rare, hanya 2,500 unit akan dikeluarkan seluruh dunia.

Paling ketara anda dapat lihat pada 911 Dakar ini pastinya ride height padanya yang lebih tinggi, iaitu dua inci pertambahan dari biasa. Dan bila diperlukan, ia boleh dinaikkan sebanyak 1.2 inci lagi.

Ini bermakna 3.2 inci lebih tinggi dari Carrera biasa, menyamai ride height sebuah SUV. Ketinggian 3.2 inci ini boleh dipandu sehingga 169km/j, dan selepas itu ia akan turun semula ke ketinggian asal. Kelajuan maksima ialah 241km/j.

Kelajuan itu dihadkan secara elektronik kerana 911 Dakar ini datang dengan tayar all-terrain khas Pirelli Scorpion dengan profil 245/45/R19 di depan dan 295/40/R20 di belakang. Tayar ini mempunyai rating Z untuk kekerasan dan pemanduan di jalan biasa.

Untuk anda yang mahu lebih prestasi, tayar prestasi biasa atau tayar salji juga boleh digunakan.

Porsche 911 Dakar ini dipacu oleh enjin 3.0-liter flat-six twin-turbo dengan 473hp, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear PDK dwi-klac 8-kelajuan.

Dengan bantuan Launch Control, 911 Dakar mampu memecut ke 96km/j dalam masa 3.2 saat.

Kereta ini juga mendapat dua mod tambahan iaitu Off-Road dan Rallye. Seperti pada namanya, mod Off-Road untuk permukaan kasar yang akan menaikkan ketinggian kenderaan ke tahap maksima, manakala Rallye untuk permukaan berpasir, dan kuasa akan dihantar lebih ke roda belakang untuk keseronokan.

Ciri standard lain termasuklah Porsche Dynamic Chassis Control, sistem stereng belakang, cagak enjin dari GT3, dan Rallye Launch Control khas untuk pecutan di permukaan off-road.

Terdapat spoiler di belakang, manakala hud depan adalah CFRP dari GT3. Anda juga boleh mendapatkan khemah bumbung dan bakul kargo.

Kelengkapan lain pada badannya termasuklah flared fender, beberapa komponen stainless steel, dan cangkuk tunda berwarna merah.

Kesemua pembeli 911 Dakar juga akan mendapat akses khas untuk membeli jam Porsche Design Dakar istimewa.

Audi RS Q e-tron: Jentera elektrik yang direka untuk menakluki Dakar Rally

TIDAK lama selepas mendedahkan R8 LMS GT3 Evo II, divisyen perlumbaan Audi Sport memperkenalkan satu lagi jentera lumba.

RS Q e-tron ialah jentera yang sangat berbeza berbanding supercar berenjin V10 itu, sebaliknya ia kenderaan lumba untuk Dakar Rally yang pertama dari Audi. RS Q akan berentap dalam rali dengan permukaan mencabar dan bukan litar jalanan biasa.

Untuk sukan permotoran elektrik, Audi tidak akan bersaing lagi dalam Formula E untuk musim 2022, sebaliknya akan beralih ke rali dengan RS Q e-tron. Selain dari rupanya yang nampak cukup ganas dan lasak, jentera ini cukup menarik kerana jenis powertrain yang digunakannya.

RS Q ini elektrik sepenuhnya, dikuasakan dua motor elektrik (satu di depan, dan satu di belakang) yang diambil dari jentera Formula E 2021 Audi e-tron FE07.

Walaubagaimanapun, terdapat juga enjin yang diambil dari kereta lumba DTM, berfungsi sebagai sistem penukar tenaga untuk mengecaj bateri sambil bergerak. Enjin ini bertindak sebagai range extender dan berputar sekitar 4,500 hingga 6,000rpm.

Audi berkata enjin 2.0-liter turbo 4-silinder ini ditala supaya mempunyai tahap pelepasan kurang dari 200 gram CO2 untuk setiap kWh dibekal kepada bateri.

Penukar tenaga ini juga mempunyai motor-generator ketiga (MGU) untuk mengecaj bateri semasa RS Q e-tron dilenjan dalam perlumbaan. Audi Sport juga membekalkan pek 50-kWh seberat 370kg yang menyokong sistem energy recovery (KERS) semasa membrek.

Menurut pasukan Audi, sistem elektrik pada RS Q ini menjana kira-kira 670hp dan untuk mematuhi peraturan Dakar Rally, ia perlu mempunyai berat sekurang-kurangnya 2,000kg.

Apa pendapat anda mengenai jentera rali Audi Sport ini? Kami geram melihatnya, nampak rugged macam kereta radio-control!